Series
3266
Selesai makan malam bersama rakan-rakan yang lain, Maya memilih untuk duduk seketika di ruang lobi hotel sebelum kembali ke bilik.
Suasana di lobi yang semakin lengang pada lewat malam membuatkan fikirannya terasa sedikit lebih tenang, namun ketenangan itu tidak bertahan lama apabila matanya kembali tertumpu pada skrin telefon yang berada di tangannya.
Mesej yang dihantarnya kepada Faris masih belum berbalas.
Maya sudah tahu suaminya membaca mesej tersebut kerana tanda blue tick tertera pada setiap mesej yang dihantar. Mesej pertama sekadar memberitahu bahawa dia sudah selamat tiba di Jakarta.
Selepas itu, dia menghantar beberapa mesej lagi, bertanyakan keadaan Faris dan ibunya, sekadar mahu berkongsi sedikit cerita tentang perjalanan mereka.
Namun, semuanya hanya dibaca.
Tiada satu pun yang dibalas.
Maya cuba memujuk hatinya sendiri dengan mengatakan mungkin Faris sedang sibuk, tetapi alasan itu semakin sukar diterima apabila dia teringat bahawa suaminya sedang bercuti selama seminggu. Tidak mungkin Faris begitu sibuk sehingga tidak mempunyai sedikit masa untuk membalas satu mesej daripadanya.
Sejak tadi Maya menunggu.
Setiap kali telefonnya bergetar, dia akan segera memeriksa skrin dengan harapan nama Faris muncul bersama satu balasan yang mampu membuatkan hatinya sedikit lega. Namun, berkali-kali juga harapan itu berakhir dengan kekecewaan.
Dia tidak meminta banyak.
Hanya mahu tahu bahawa suaminya masih mengambil berat.
Hanya mahu merasakan bahawa kewujudannya masih penting dalam hidup lelaki itu.
Namun, malam itu sekali lagi Maya terpaksa berhadapan dengan hakikat yang semakin sukar untuk dinafikan, mungkin dia memang tidak sepenting yang dia sangkakan.
Tanpa sedar, Maya menghela nafas panjang sebelum menyandarkan tubuh pada sofa. Pandangannya masih tertancap pada skrin telefon yang sudah kembali gelap.
“Jauh termenung, Maya.”
Teguran itu membuatkan Maya segera menegakkan tubuh. Dia menoleh ke sisi dan mendapati Ervin sudah duduk di sofa bersebelahan dengannya. Entah sejak bila lelaki itu berada di situ, Maya sendiri tidak menyedarinya.
Maya mengangkat wajah lalu menghadiahkan senyuman tipis.
“Oh, awak.”
Ervin hanya memandang wajahnya. Senyuman yang diberikan Maya terlalu hambar untuk membuatkan lelaki itu percaya bahawa dia benar-benar baik-baik sahaja.
“Kalau awak tak mampu nak senyum, jangan senyum, Maya,” tegur Ervin perlahan. Nada suaranya tidak kedengaran menghakimi, sebaliknya lebih kepada seseorang yang benar-benar perasan perubahan pada wajah wanita itu.
Senyuman Maya perlahan-lahan mengendur. Dia menundukkan pandangan sebelum kembali menggenggam telefonnya.
“Anything problem?” soal Ervin lagi, jelas ingin tahu apa yang sedang mengganggu fikiran Maya.
Maya hanya menggeleng perlahan. Dia tidak mahu membuka cerita tentang rumah tangganya, apatah lagi kepada lelaki yang semakin lama semakin mudah membuatkan hatinya berasa selesa.
“Small matter. Just forget about it,” jawab Maya akhirnya sambil cuba mengukir senyuman kecil. Dia berharap jawapan itu cukup untuk membuatkan Ervin berhenti bertanya.
Namun, lelaki itu tidak mudah mempercayainya.
Ervin mengangguk perlahan, tetapi matanya masih tertumpu pada Maya. Ada sesuatu pada wajah wanita itu yang membuatkan dia berasa tidak senang untuk membiarkannya bersendirian dengan masalah yang sedang dipendam.
“Awak bergaduh dengan Faris ke?” tebaknya akhirnya.
Maya segera menggelengkan kepala.
“Tak.”
“Kalau awak tak pandai menipu, awak jangan menipu, Maya,” ujar Ervin sambil menarik nafas perlahan.
Dia kemudian memandang Maya dengan riak wajah yang lebih lembut.
“Saya bukan nak masuk campur urusan awak, tapi bila saya tengok muka awak macam ni... saya jadi resah. Awak boleh share dengan saya. Saya sudi dengar.”
Kata-kata itu membuatkan Maya terdiam.
Ada sesuatu pada cara Ervin bercakap yang membuatkan benteng yang dibinanya sejak tadi terasa semakin rapuh. Dia menundukkan wajah, cuba menahan perasaan yang mula memenuhi dada.
Ervin pula menghela nafas perlahan. Dia memandang sekeliling lobi yang semakin kosong sebelum bangun dari sofa.
“Jom, ikut saya,” arah Ervin sambil menghulurkan tangan ke arah Maya yang masih duduk.
Maya mendongak memandangnya dengan wajah penuh tanda tanya.
“Hah? Nak ke mana?” soalnya, sedikit hairan dengan tindakan lelaki itu.
“Just follow me... Let's go,” jawab Ervin sambil tersenyum kecil.
Tanpa menunggu Maya bertanya lagi, dia mencapai tangan wanita itu dan menariknya perlahan agar bangun.
Maya menurut, tetapi sebaik sahaja berdiri, dia segera melepaskan pegangan tangan Ervin. Matanya sempat melirik ke arah beberapa orang staf hotel yang berada tidak jauh dari situ. Dia tidak mahu rakan-rakan mereka ternampak mereka berjalan sambil berpegangan tangan.
Ervin hanya tersenyum kecil seolah-olah memahami kebimbangan Maya sebelum melangkah keluar dari lobi.
Sebuah kereta sudah menunggu di hadapan hotel. Ervin membuka pintu belakang untuk Maya terlebih dahulu, dan tanpa banyak bertanya, Maya terus masuk ke dalam. Ervin kemudian menyusul sebelum duduk di sebelahnya.
“Bawa kami ke tempat yang saya beritahu tadi,” arah Ervin kepada pemandu. Setelah itu, dia bersandar dan memandang ke luar tingkap.
Maya yang masih tertanya-tanya akhirnya menoleh kepadanya.
“Kita nak ke mana ni?” soalnya sekali lagi, kali ini dengan nada yang lebih ingin tahu.
“Saya nak bawa awak tengok view malam yang cantik kat sini,” jawab Ervin sambil tersenyum kecil. Pandangannya beralih kepada Maya seketika sebelum kembali menghadap ke hadapan.
Maya hanya mampu mengangguk.
Tidak lama kemudian, kereta mula meninggalkan kawasan bandar menuju ke sebuah kawasan peranginan di pinggir Jakarta yang menawarkan pemandangan pergunungan.
Semakin jauh mereka bergerak, lampu kota semakin berkurangan dan udara di luar terasa semakin sejuk.
*****
Apabila kereta berhenti, Maya turun dan terus terpaku.
Di hadapannya terbentang pemandangan malam yang cukup indah. Deretan lampu kecil menerangi kawasan perkhemahan yang tersusun kemas, sementara kabus nipis mula menyelimuti kawasan pergunungan di kejauhan.
Beberapa buah khemah sudah didirikan dengan jarak yang selesa antara satu sama lain, lengkap dengan lampu-lampu hangat yang membuatkan suasana malam itu kelihatan begitu tenang.
Maya melangkah perlahan ke hadapan. Senyuman lebar mula terukir di bibirnya apabila melihat pemandangan gunung yang samar-samar kelihatan di sebalik kabus. Udara malam yang sejuk menyentuh wajahnya, membuatkan segala rasa kecewa yang terbawa-bawa sejak dari lobi tadi seolah-olah terpinggir buat sementara waktu.
“Awak suka?” soal Ervin yang kini sudah berdiri di sisinya. Lelaki itu memerhatikan perubahan wajah Maya dengan senyuman kecil, seolah-olah puas melihat wanita itu akhirnya kelihatan lebih tenang.
“Suka,” jawab Maya sambil tersenyum lebar. Matanya masih tidak berganjak daripada pemandangan di hadapan.
“Cantik view kat sini.”
Ervin hanya mengangguk sebelum memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar.
“Jom.”
Dia terus melangkah menuju ke kawasan khemah yang sudah disediakan.
Maya mengikut dari belakang dengan langkah yang jauh lebih ringan berbanding ketika mereka meninggalkan hotel tadi.
Dua buah khemah disediakan bersebelahan, tetapi masih mempunyai ruang yang cukup di tengah-tengahnya. Di ruang tersebut terdapat sebuah meja kecil dengan dua buah kerusi yang menghadap pemandangan gunung dan hamparan cahaya kota yang kelihatan dari kejauhan.
Ervin menarik salah sebuah kerusi untuk Maya sebelum duduk di kerusi bertentangan. Tidak lama kemudian, kopi panas yang dipesan terlebih dahulu diletakkan di atas meja.
Maya menggenggam cawan tersebut dengan kedua-dua tangannya, membiarkan kehangatannya meresap ke jari-jarinya.
“Lama dah saya tak duduk tempat macam ni,” katanya perlahan sambil memandang sekeliling. Wajahnya jelas menunjukkan rasa teruja yang cuba disembunyikan.
Ervin tersenyum melihatnya.
“Bila kali terakhir?”
Maya mengangkat bahu sebelum ketawa kecil.
“Tak ingat. Mungkin masa saya belum kahwin.”
Ervin terdiam seketika.
Entah kenapa, jawapan itu membuatkan pandangannya kembali tertumpu pada wajah Maya.
Maya yang menyedari perubahan itu menoleh kepadanya.
“Kenapa?”
Ervin menggeleng perlahan sebelum mengangkat cawannya.
“Tak ada apa. Minum kopi dulu. Nanti dah sejuk tak sedap pula.”
Maya ketawa kecil lalu mengikutnya.
Untuk beberapa ketika, mereka hanya menikmati kopi panas dalam suasana malam yang dingin, ditemani bunyi angin yang bertiup perlahan dan kabus yang semakin tebal di lereng gunung.
Malam itu, Maya tidak lagi memandang telefonnya.
Dia tidak lagi menunggu mesej daripada Faris.
Kerana buat sementara waktu, dia sudah menemui seseorang yang membuatkan dirinya terasa diperhatikan.
Tanpa sedar, Maya kembali memerhati wajah Ervin yang sedang leka menikmati pemandangan di hadapan mereka sambil menghirup kopi yang masih berasap. Lelaki itu kelihatan begitu tenang, seolah-olah tidak ada apa-apa yang perlu difikirkannya buat seketika.
Ervin Rayyan memang memiliki daya tarikan yang sukar untuk dinafikan. Wajahnya tampan dengan raut maskulin yang jelas, garis rahang yang kemas dan pandangan mata yang sering membuatkan orang di hadapannya terasa sedang diperhatikan dengan teliti.
Penampilannya juga sentiasa terjaga. Walaupun hanya mengenakan pakaian yang lebih santai malam itu, tetap ada gaya tersendiri pada dirinya, kemas, bergaya dan kelihatan mahal tanpa perlu berlebihan.
Tidak hairanlah Ervin sering menjadi perhatian wanita di sekelilingnya. Status sebagai lelaki yang sudah beristeri bukanlah sesuatu yang menghalang pesonanya daripada menjadi dambaan ramai.
Maya sendiri pernah melihat bagaimana sesetengah wanita memandang Ervin ketika mereka berada di acara korporat. Ada yang cuba mencari alasan untuk mendekati, ada yang sengaja melanjutkan perbualan, malah ada juga yang tidak segan-segan menunjukkan kekaguman terhadap lelaki itu.
Namun, Ervin tidak pernah mengambil kesempatan daripada perhatian tersebut.
Mungkin juga lelaki itu seorang yang setia pada isterinya.
Di pejabat, lelaki itu dikenali sebagai seorang yang tegas, serius dan sukar dibaca. Setiap keputusan dibuat dengan penuh pertimbangan, dan setiap arahan disampaikan dengan nada yang membuatkan orang bawahannya tahu bahawa Ervin tidak suka perkara dilakukan sambil lewa.
Tetapi apabila bersama Maya, sisi lelaki itu seakan-akan berubah.
Dia boleh menjadi begitu prihatin. Dia perasan apabila Maya tidak tersenyum dengan ikhlas. Dia tahu apabila ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Malah, tanpa Maya meminta, Ervin sanggup membawanya jauh dari suasana hotel hanya kerana tidak mahu melihatnya terus termenung seorang diri.
Perhatian-perhatian kecil itulah yang tanpa sedar mula menyentuh hati Maya.
Maya menundukkan pandangan pada cawan kopi di tangannya. Entah kenapa, tiba-tiba terlintas satu perkara yang selama ini cuba dijauhkan daripada fikirannya.
Alangkah baiknya kalau Faris juga begitu.
Alangkah baiknya kalau suaminya pernah bertanya bagaimana perasaannya. Kalau Faris perasan ketika dia sedang bersedih tanpa perlu Maya menjelaskan apa-apa. Kalau Faris pernah mengambil berat tentang perkara-perkara kecil yang mungkin bagi orang lain tidak penting, tetapi cukup bermakna buat seorang isteri.
Namun, semakin Maya memikirkannya, semakin jelas perbezaan antara dua lelaki itu.
Faris ialah suaminya. Lelaki yang sepatutnya menjadi tempat dia pulang, tempat dia berkongsi segala rasa dan menjadi orang pertama yang membuatkan dia berasa dihargai.
Ervin pula bukan sesiapa dalam hidupnya selain bos.
Tetapi malam itu, lelaki yang bukan sesiapa itulah yang duduk di sisinya, menemani ketika hatinya sedang tidak baik-baik sahaja. Lelaki itu juga yang membawanya ke tempat yang tenang, hanya supaya fikirannya dapat berehat daripada perkara yang sedang membebankannya.
Bukan hanya pada malam ini sikap Ervin begini terhadapnya. Semenjak beberapa bulan lalu. Maya sendiri tidak tahu kenapa, tetapi dia sangat hargai perhatian dari Ervin.
Maya menarik nafas perlahan.
Keluhan kecil terlepas dari celah bibirnya sebelum sempat dia menahannya.
Ervin yang sejak tadi memandang jauh ke arah cahaya di lereng bukit terus menoleh. Pandangannya jatuh tepat pada wajah Maya yang kembali muram.
Dia perasan.
Sejak tadi Maya kelihatan lebih tenang, tetapi sekarang wajah itu kembali dibayangi kesedihan yang cuba disembunyikannya.
Ervin meletakkan cawan kopi di atas meja kecil di hadapan mereka sebelum tubuhnya sedikit berpaling menghadap Maya.
“Kenapa termenung lagi?” soalnya perlahan.
Maya tersentak kecil. Dia segera mengangkat wajah dan cuba menghadiahkan senyuman, tetapi senyuman itu tidak sempat bertahan lama.
“Tak ada apa-apa,” jawabnya perlahan.
Ervin merenungnya beberapa saat. Lelaki itu tidak terus mempercayai jawapan tersebut.
“Maya,” panggilnya lembut.
Nada suaranya membuatkan Maya kembali memandang.
“Awak tak perlu paksa diri untuk nampak okey depan saya,” sambung Ervin, tenang tetapi penuh perhatian.
“Kalau ada sesuatu yang awak nak luahkan, cakaplah. Saya ada dekat sini.”
Jantung Maya berdegup sedikit lebih laju.
Sekali lagi, perhatian lelaki itu membuatkan hatinya tersentuh.
Dan tanpa segan lelaki itu mengenggam tangannya seolah memberi ketenangan dalam dirinya.
Bermula hanya dengan sentuhan...
Share this novel
Oh no…