BAB 8

Romance Series 3266

“Maaf, Pak! Saya mau kasih tahu, jalan yang kita lewati tadi ada pohon besar tumbang.”

Suara Pak Jaka, pemandu yang membawa mereka ke kawasan peranginan itu, memecahkan suasana tenang malam tersebut.

Mendengar berita itu, genggaman tangan Ervin pada tangan Maya terlerai serta-merta.
Lelaki itu menoleh ke arah pemandunya dengan kerutan di dahi.

“Hah? Teruk ke, Pak Jaka?” soal Ervin, nada suaranya berubah serius apabila membayangkan keadaan jalan yang mungkin menghalang mereka daripada kembali ke hotel malam itu.

“Iya, Pak. Lumayan parah. Pohonnya tumbang melintang jalan, jadi jalannya ditutup total. Kita belum bisa pulang ke hotel sekarang. Mending Pak Ervin sama Bu Maya menginap saja di sini malam ini,” jelas Pak Jaka dengan wajah serba salah.

Dia tahu kedua-dua penumpangnya mempunyai urusan penting pada keesokan hari, tetapi keadaan di luar jangkaan itu menyukarkan mereka untuk berbuat apa-apa.

“Tapi saya tak booking penginapan di sini, Pak. Mungkin dah tak ada kekosongan,” balas Ervin sambil menghela nafas perlahan.

Matanya sempat mengamati kawasan sekitar yang masih dipenuhi pengunjung sebelum kembali memandang Pak Jaka, cuba mencari jalan penyelesaian yang paling munasabah.

“Pak Ervin tak usah khawatir. Saya sudah minta satu tenda dari pihak penginapan. Cuma tinggal satu saja karena yang lainnya sudah penuh. Gara-gara pohon tumbang itu, banyak pengunjung yang akhirnya terpaksa menginap di sini juga,” terang Pak Jaka dengan nada meminta pengertian.

Dia sendiri tidak menyangka kejadian tersebut akan menyebabkan ramai pengunjung terkandas dan memenuhi semua khemah yang tersedia.

Ervin mengalihkan pandangan kepada Maya yang sejak tadi hanya mendiamkan diri. Wajah wanita itu kelihatan sedikit tegang, barangkali sedang memikirkan perkara yang sama dengannya.

Mereka datang ke sini sekadar mahu menikmati pemandangan malam dan menenangkan fikiran, bukannya untuk berhadapan dengan situasi yang boleh mengganggu jadual kerja mereka.

“Ervin, macam mana ni? Esok kita ada meeting dengan pihak client,” ujar Maya sambil memandang lelaki itu.

Kebimbangan jelas terpancar pada wajahnya kerana mesyuarat tersebut bukan urusan kecil yang boleh ditangguhkan sesuka hati, apatah lagi mereka datang ke Jakarta khusus untuk membincangkan projek penting bersama rakan strategik RayMoon.

Ervin mengeluh perlahan. Dia terdiam seketika, menyusun kemungkinan yang ada dalam fikiran sebelum kembali menghadap Pak Jaka.

“Pak Jaka, kira-kira bila pohon tumbang itu bisa dialihkan? Besok pagi kami ada meeting dengan client. Saya perlu pastikan kami boleh sampai ke hotel sebelum waktu yang dijadualkan,” soal Ervin dengan nada terkawal, meskipun fikirannya mula sibuk memikirkan langkah seterusnya.

“Kalau tidak ada kendala, besok baru bisa dialihkan, Pak. Sekarang sudah malam, pekerjanya juga sudah tidak ada. Lagi pula harus pakai mesin pemotong untuk membersihkan pohon itu. Jadi, malam ini memang belum bisa dilewati,” jawab Pak Jaka sambil menggeleng perlahan.

Dia memahami kegusaran Ervin, tetapi tiada apa yang dapat dilakukannya selain menunggu sehingga kerja-kerja pembersihan dimulakan.

Ervin kembali menghela nafas, kali ini lebih panjang. Dia memandang Maya yang masih menunggu keputusannya sebelum akhirnya bersuara.

“Maya, nampaknya kita terpaksa stay kat sini malam ni. Awak okey?” tanyanya lembut, cuba memastikan Maya tidak terlalu risau dengan keadaan yang tidak pernah mereka jangkakan itu.

Maya tidak terus menjawab. Dia memandang sekeliling, kemudian mengalihkan pandangan ke arah khemah-khemah yang memenuhi kawasan tersebut.

Udara malam semakin dingin, sementara kabus nipis mula menyelubungi kawasan yang dikelilingi pepohonan. Pilihan mereka memang terhad. Hendak kembali ke hotel, jalan pula terhalang.

“No choice. Saya okey,” jawab Maya akhirnya sambil menghadiahkan senyuman tipis kepada Ervin.

Dia cuba kelihatan tenang walaupun jauh di sudut hati, ada sedikit rasa janggal memikirkan mereka perlu bermalam di tempat yang sama, apatah lagi dengan hanya satu khemah yang tersedia.

Ervin mengangguk perlahan, menerima jawapan itu tanpa mendesak Maya menjelaskan lebih lanjut.
Dia kemudian kembali memandang Pak Jaka.

“Pak, nanti tolong inform saya bila jalan sudah dibuka. Saya kena sampai di hotel sebelum pukul sepuluh pagi esok. Kalau ada apa-apa perkembangan, terus beritahu saya,” pesannya dengan nada tegas tetapi tidak meninggi.

Mesyuarat esok perlu berjalan seperti yang dirancang, dan dia tidak mahu kelewatan mereka menjejaskan persediaan pasukan RayMoon.

“Baik, Pak Ervin. Saya akan pantau keadaannya. Pak Ervin sama Bu Maya istirahat dulu saja. Ini tendanya, kalau Bu Maya mau beristirahat. Tiketnya juga sudah saya ambil dari kaunter tadi,” kata Pak Jaka sambil menghulurkan tiket penginapan kepada Ervin.

Dia kemudian menundukkan sedikit kepala sebelum menambah dengan nada meminta maaf.

“Maaf, Pak, saya cuma dapat satu tenda saja. Yang lainnya sudah penuh semua. Tapi tidak apa-apa, kan, kalau dipakai berdua? Di dalamnya cuma untuk istirahat.”

Ervin menerima tiket tersebut dengan senyuman nipis. Dia tahu keadaan itu bukan salah Pak Jaka. Dengan begitu ramai pengunjung terkandas akibat pokok tumbang, mendapatkan satu khemah pun sudah cukup membantu. Dia tidak mahu menyalahkan sesiapa atas kejadian yang berada di luar kawalan mereka.

“Tak apa, Pak Jaka. Saya dengan Maya boleh berkongsi,” jawab Ervin selamba, seolah-olah perkara itu tidak menjadi masalah besar baginya.

Namun, sebaik sahaja ayat itu terucap, dia sempat melirik ke arah Maya, mahu melihat reaksi wanita tersebut terhadap keputusan yang dibuatnya.

Pak Jaka mengangguk lega sebelum meminta diri untuk menguruskan beberapa perkara lain. Sebaik sahaja lelaki itu berlalu, suasana di antara Ervin dan Maya kembali sunyi, hanya ditemani bunyi angin yang menyapu dedaunan serta suara pengunjung lain yang kedengaran sayup-sayup dari khemah berdekatan.

Ervin memandang Maya yang masih berdiri di sisinya. Ada sedikit rasa bersalah menyelinap ke dalam hati apabila memikirkan bahawa dialah yang mencadangkan mereka keluar menikmati pemandangan malam di tempat itu. Jika dia tidak membawanya ke sini, tentu mereka sudah berada di hotel sekarang, bersedia untuk menghadapi urusan kerja pada keesokan hari.

“Sorry, Maya. Salah saya bawa awak ke sini. Saya tak sangka pula akan jadi macam ni,” ucapnya perlahan. Wajahnya memperlihatkan rasa kesal yang tulus, berbeza daripada sikap yakin yang selalu ditunjukkannya ketika mengendalikan urusan syarikat.

Maya yang pada mulanya kelihatan bimbang terus mengangkat wajah. Dia tidak menyangka Ervin akan menyalahkan dirinya sendiri atas kejadian tersebut. Lalu, tanpa dapat menahan reaksi spontan, dia ketawa kecil sebelum menggeleng.

“Eh, bukan salah awak pun, Vin. Awak bukannya tahu pokok tu akan tumbang, kan?” balas Maya sambil tersenyum. Dia sendiri tidak mahu Ervin terus berasa bersalah kerana baginya, perkara itu benar-benar di luar jangkaan sesiapa pun.

Ervin terdiam seketika.

Matanya tertancap pada wajah Maya yang sedang tersenyum, sebelum senyuman wanita itu berkembang menjadi tawa kecil yang kedengaran begitu menyenangkan di telinganya.

Ada sesuatu pada wajah Maya ketika itu yang membuatkan dia terlupa seketika tentang jalan yang terhalang, mesyuarat pada keesokan pagi dan segala perkara yang perlu diselesaikannya.

Dia sudah biasa melihat Maya tersenyum di pejabat, terutama ketika wanita itu berurusan dengan pelanggan atau berbincang bersama pasukan pemasaran. Namun, senyuman yang terukir malam itu terasa berbeza.

Maya kelihatan lebih santai, tanpa perlu menjaga penampilan profesional atau memikirkan bagaimana dirinya harus membawa diri di hadapan seorang ketua.

Tanpa sedar, Ervin memandangnya lebih lama daripada yang sepatutnya.

Maya yang menyedari renungan itu perlahan-lahan menghentikan tawanya.

“Kenapa pandang saya macam tu?” tanyanya sambil menahan senyuman. Ada rasa malu yang mula menjalar, lebih-lebih lagi apabila menyedari jarak mereka tidak begitu jauh.

Ervin tersedar daripada lamunannya lalu berdeham kecil, cuba menyembunyikan rasa canggung yang tiba-tiba muncul.

“Tak ada apa-apa. Saya cuma rasa lega tengok awak dah tak risau sangat,” jawabnya sambil mengalihkan pandangan ke arah khemah mereka. Dia tidak mahu Maya menyedari bahawa senyuman wanita itu sebenarnya sudah cukup untuk mengubah suasana hatinya malam itu.

Maya hanya mengangguk kecil sebelum mengikut langkah Ervin menuju ke khemah yang disediakan. Walaupun masih ada sedikit kebimbangan tentang mesyuarat esok, suasana antara mereka tidak lagi setegang tadi.

*****

Beberapa ketika kemudian, Maya menyelak zip khemah besar itu lalu menundukkan sedikit kepala ketika melangkah keluar. Udara malam yang dingin terus menyapa kulitnya, membuatkan dia merapatkan jaket yang dipakai.

Embun mula membasahi permukaan meja dan kerusi di luar khemah, sementara lampu-lampu kecil di sepanjang laluan memancarkan cahaya kekuningan yang menjadikan kawasan itu kelihatan tenang.

Maya menoleh ke arah meja yang terletak tidak jauh dari khemah mereka.

Ervin masih berada di situ.

Lelaki itu duduk di atas kerusi dengan tubuh sedikit membongkok, kedua-dua tangannya bersilang di dada seolah-olah cuba menahan kesejukan. Sehelai selimut yang diberikan pihak penginapan menutupi sebahagian tubuhnya, tetapi jelas kelihatan bahawa kain itu tidak cukup untuk menghangatkan badannya dalam cuaca yang semakin dingin.

Maya berhenti seketika di muka khemah.

Tadi, Ervin berkeras menyuruhnya masuk berehat terlebih dahulu. Lelaki itu sendiri memilih untuk duduk di luar kerana mahu memberikan ruang privasi kepadanya, walaupun mereka terpaksa berkongsi khemah yang sama. Maya pada mulanya menyangka Ervin akan masuk juga selepas beberapa ketika, tetapi apabila dia terjaga daripada lena yang singkat, lelaki itu masih belum berada di dalam.

Hatinya mula terasa tidak sedap.

Dia tidak sampai hati membiarkan Ervin terus duduk di luar, terdedah kepada angin malam dan embun yang semakin tebal. Walaupun lelaki itu ketuanya, Ervin tetap manusia biasa yang boleh jatuh sakit, lebih-lebih lagi selepas seharian menguruskan perjalanan dan mesyuarat mereka.

“Vin…”

Panggilan lembut itu membuatkan Ervin mendongak. Dia kelihatan sedikit terkejut melihat Maya berdiri di hadapan khemah.

“Eh, Maya. Awak tak tidur lagi ke?” soalnya sambil membetulkan kedudukan duduk.

Maya menarik sebuah kerusi lalu duduk di hadapan Ervin.

“Macam mana saya nak tidur kalau bos saya berjemur di bawah embun macam ni?” balasnya dengan nada bersahaja, tetapi jelas ada kebimbangan dalam suaranya. Dia cuba menyampaikan teguran itu secara bergurau supaya Ervin tidak merasakan dirinya sedang dipersoalkan.

Ervin tersenyum kecil lalu menggeleng, seolah-olah tidak mahu Maya terlalu memikirkan keadaan dirinya.

“Saya okeylah, Maya. Awak masuk berehat dan sambung tidur. Esok kita kena bangun awal,” kata Ervin.

Dia lebih bimbang Maya tidak mendapat rehat yang cukup berbanding dirinya sendiri, apatah lagi wanita itu perlu membuat persediaan untuk pembentangan dan perbincangan bersama pihak client pada keesokan hari.

Maya menjatuhkan sedikit bahunya sebelum menghela nafas lemah. Sikap Ervin yang masih cuba mengutamakan keselesaannya membuatkan dia semakin sukar untuk membiarkan lelaki itu terus berada di luar.

“Khemah tu besar, Vin. Ada dua katil single. Awak boleh masuk berehat dan tidur juga kat dalam tu. Saya tak nak awak sakit sebab duduk bawah embun macam ni,” jelasnya sambil memandang tepat ke wajah Ervin.

Ervin terdiam.

Dia memandang Maya agak lama, seolah-olah cuba memahami sama ada wanita itu benar-benar selesa dengan cadangannya atau sekadar tidak sampai hati melihatnya kesejukan.

Walaupun terdapat dua katil berasingan di dalam khemah itu, hakikat bahawa mereka akan bermalam berdua tetap membuatkan Ervin berfikir panjang.

Maya ialah wanita yang sudah bersuami, manakala dia sendiri mempunyai seorang isteri. Ada batas yang perlu mereka jaga, walaupun perasaan yang semakin tumbuh di dalam hatinya kadangkala membuatkan batas itu terasa semakin sukar untuk difahami.

“Awak tak kisah ke berkongsi khemah dengan saya, Maya?” tanyanya akhirnya, dengan suara yang sedikit perlahan.

Maya mengerutkan dahi, sedikit hairan dengan pertanyaan itu.

“Kenapa pula nak risau? Saya lagi risau kalau awak sakit sebab duduk bawah embun ni. Embun ni, embun Jakarta tahu? Kat Malaysia tak ada embun macam ni,” usiknya sambil mengangkat kening, sengaja mahu mencairkan suasana yang tiba-tiba menjadi sedikit serius.

Ervin terpaku seketika sebelum ketawa. Dia tidak menyangka Maya akan mengeluarkan gurauan sebegitu.

“Yalah, kalau macam tu, nanti kita kena datang lagi ke sini kalau awak nak cari embun Jakarta,” balasnya sambil menggeleng kecil, masih tersenyum dengan gurauan Maya.

Maya turut ketawa mendengar jawapan itu. Ketawa mereka berselang-seli dalam udara malam yang dingin, mencairkan sedikit rasa.

“Baiklah, saya ikut cakap awak. Tapi kalau awak rasa tak selesa, beritahu saya, okey? Saya tak nak awak rasa serba salah sebab kita terpaksa berkongsi tempat malam ni,” pesannya dengan nada bersungguh-sungguh.

Dia mahu Maya tahu bahawa keselesaan wanita itu tetap menjadi keutamaannya, walaupun mereka kini berada dalam keadaan yang tidak pernah dirancang.

Maya mengangguk perlahan.

“Baik, Tuan Ervin. Sekarang masuklah sebelum Tuan Ervin betul-betul jadi ais,” jawabnya sambil bangun dari kerusi dan memberikan laluan kepada Ervin. Gurauannya sekali lagi mengundang senyuman lelaki itu.

Malam yang pada awalnya dirancang sekadar untuk menikmati pemandangan indah akhirnya membawa mereka ke dalam keadaan yang berbeza.

Mereka tidak pernah merancang untuk berkongsi khemah, apatah lagi menghabiskan malam di tempat yang jauh daripada kesibukan kota. Namun, dalam keterpaksaan itu, ada ruang kecil yang terbuka untuk mereka mengenali satu sama lain dengan lebih dekat.

Dan Maya sendiri belum menyedari bahawa perhatian yang diberikan Ervin kepadanya, sedikit demi sedikit, sedang mengisi ruang kosong yang sekian lama dibiarkan dalam hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience