Series
4555
Pagi itu, langit Jakarta kelihatan cerah ketika kereta yang membawa Ervin, Maya dan Pak Jaka memasuki kawasan hotel.
Perjalanan mereka dari kawasan peranginan tanah tinggi mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan, tetapi mujurlah jalan sudah dibuka dan mereka masih mempunyai masa untuk bersiap sebelum mesyuarat seterusnya.
Sepanjang perjalanan, Maya lebih banyak mendiamkan diri. Sesekali, dia mencuri pandang ke arah Ervin yang duduk di sebelahnya, tetapi setiap kali mata mereka hampir bertemu, dia segera mengalihkan pandangan.
Ingatannya masih tertinggal pada kejadian malam tadi, pada sentuhan dan ciuman yang mengubah hubungan mereka menjadi sesuatu yang tidak mungkin lagi dianggap biasa.
Ervin pula kelihatan tenang seperti selalu. Dia sempat menjawab beberapa mesej kerja pada telefonnya, malah bertanya kepada Pak Jaka tentang perkembangan jalan yang telah dibuka. Namun, di sebalik sikap bersahaja itu, fikirannya sesekali kembali kepada Maya yang duduk tidak jauh daripadanya.
Dia masih dapat mengingati kehangatan wanita itu dalam pelukannya, suara lembutnya ketika memanggil namanya, dan haruman yang begitu dekat sehingga masih melekat dalam ingatan.
Ervin cuba menumpukan perhatian kepada urusan kerja, tetapi semakin dia mengingatkan dirinya supaya bersikap biasa, semakin kuat keinginan untuk berada dekat dengan Maya.
Apabila kereta berhenti di hadapan lobi hotel, Maya segera mencapai beg tangannya sebelum turun. Dia mahu masuk ke bilik, mandi dan bersiap secepat mungkin, sekurang-kurangnya supaya tidak perlu berhadapan dengan Ervin terlalu lama dalam keadaan fikirannya yang masih bercelaru.
Namun, sebaik sahaja mereka memasuki lobi, kelibat Shah, Amir, Jiha dan Mira yang sedang menunggu berhampiran ruang rehat membuatkan langkahnya terhenti seketika.
“Eh, Maya! Kau pergi mana semalam? Kami cari kau sebelum tidur, tapi kau tak ada dalam bilik,” tegur Mira sebaik sahaja melihatnya.
Wajahnya menunjukkan rasa hairan, lebih-lebih lagi apabila menyedari Maya baru kembali bersama Ervin pada pagi itu.
Maya terdiam sesaat. Dia tahu soalan itu pasti akan muncul, tetapi dia belum benar-benar bersedia untuk memberikan jawapan. Dia cuba mengawal riak wajah sebelum menghadiahkan senyuman kecil kepada Mira.
“Maaflah, semalam aku tidur rumah kawan lama aku yang tinggal kat Jakarta ni. Dah lama tak jumpa, jadi bila dia tahu aku ada kat sini, dia ajak aku bermalam kat rumah dia,” jawab Maya, cuba memastikan suaranya kedengaran bersahaja.
Dia sendiri tidak selesa terpaksa berbohong kepada rakan sekerjanya, tetapi buat masa itu, dia tidak nampak cara lain untuk menjelaskan ketiadaannya tanpa membuka perkara yang sepatutnya kekal antara dirinya dengan Ervin.
Mira mengangguk, menerima penjelasan tersebut tanpa banyak soal.
“Tuan Ervin pula?” soal Shah sambil memandang Ervin yang baru saja berdiri di sisi Maya.
Maya menoleh sekilas.
“Saya keluar awal pagi tadi. Saja jalan-jalan kat kota ni,” balas Ervin bersahaja sambil menyeluk poket seluarnya.
“Ooo, patutlah. Ingatkan kau sesat kat mana semalam, Maya. Aku call kau pun tak dapat semalam,” usiknya sambil ketawa kecil.
“Sorry, Mira. Bateri aku habis terus semalam. Dah tertidur terus tak sempat nak charge.” Maya memberi alasan yang boleh di katakan logik.
“Kau orang gerak dulu. Aku naik bilik sekejap,” ujar Maya.
“Okey. Sempat lagi ni. Kita orang nak breakfast dulu,” balas Mira sambil tersenyum.
“Saya naik dulu. Nanti jumpa kat sini pukul 9.45 pagi.” Ervin berkata kepada stafnya.
“Okey, Tuan Ervin.”
Tiada sesiapa yang mengesyaki apa-apa.
Dan apabila mereka mula bergerak ke lif, Maya sempat menoleh ke arah Ervin yang berdiri tidak jauh daripadanya. Lelaki itu memandangnya sekilas, dengan riak wajah yang sukar ditafsirkan, sebelum kembali berbual dengan Amir tentang persediaan mesyuarat.
Pandangan singkat itu sahaja sudah cukup membuatkan jantung Maya berdegup sedikit lebih pantas.
Dia segera menundukkan wajah, berasa lega kerana Ervin tidak cuba mendekatinya di hadapan rakan sekerja mereka. Namun, dalam masa yang sama, ada rasa lain yang mula menyelinap ke dalam hati.
*****
Mesyuarat pagi itu berlangsung seperti yang dijadualkan. Wakil PT Aruna Cipta Properti menyambut mereka di pejabat syarikat sebelum perbincangan mengenai cadangan pembangunan komersial diteruskan.
Ervin mengetuai rundingan dengan penuh keyakinan, manakala setiap ahli pasukannya memainkan peranan masing-masing dalam memastikan semua perkara penting dibincangkan dengan teratur.
Maya berusaha memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugasnya. Dia membentangkan strategi pemasaran, menjelaskan sasaran pasaran dan menerangkan pendekatan yang dicadangkan oleh RayMoon untuk memastikan projek tersebut mempunyai daya tarikan kepada bakal penyewa serta pelabur.
Suaranya kedengaran jelas dan profesional. Setiap kali menerima soalan, dia menjawab dengan tenang, menggunakan pengetahuannya tentang projek untuk meyakinkan pihak yang hadir. Jika ada yang memerhatikan Maya pada pagi itu, mereka tentu tidak akan menyangka bahawa wanita tersebut sedang menyimpan rahsia yang begitu besar.
Ervin juga tidak menunjukkan sebarang perubahan di hadapan orang lain. Dia memberikan perhatian kepada pembentangan Maya, mengajukan beberapa soalan berkaitan strategi pemasaran dan sesekali meminta penjelasan lanjut tentang sasaran yang dikemukakan.
Segala-galanya berjalan seperti hubungan biasa antara seorang ketua dengan pekerja yang dipercayainya.
Namun, ada ketika Maya dapat merasakan pandangan Ervin singgah pada wajahnya lebih lama daripada yang diperlukan.
Setiap kali itu berlaku, dia terpaksa mengingatkan dirinya supaya tidak memberikan sebarang reaksi yang boleh menimbulkan persoalan.
Dia tidak mahu sesiapa menyedari perubahan yang berlaku antara mereka.
*****
Menjelang tengah hari, mesyuarat berakhir dengan beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum kedua-dua pihak meneruskan perbincangan pada sesi berikutnya. Mereka kemudian menghadiri jamuan makan tengah hari bersama wakil syarikat rakan strategik itu sebelum kembali ke hotel.
Sepanjang hari, Maya berjaya mengekalkan sikap profesionalnya. Namun, setiap kali mempunyai ruang untuk bersendirian, fikirannya kembali kepada Ervin.
Dia masih berasa segan untuk memandang lelaki itu terlalu lama. Bukan kerana menyesali sepenuhnya apa yang berlaku, tetapi kerana dia tahu hubungan mereka sudah berubah.
Dia tidak lagi dapat menganggap Ervin sekadar bos yang prihatin, sedangkan dia sendiri sudah membenarkan lelaki itu mendekatinya dengan cara yang tidak sepatutnya.
Maya cuba menepis perasaan itu dengan menyibukkan diri. Dia mahu percaya bahawa apabila mereka kembali ke Malaysia nanti, semuanya akan kembali seperti biasa.
*****
Petang itu, urusan kerja mereka akhirnya selesai. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada wakil PT Aruna Cipta Properti dan akan kembali sambung pada esok hari, pasukan RayMoon kembali ke hotel untuk berehat sebelum makan malam.
Maya baru sahaja selesai mandi dan duduk di birai katil.
Satu mesej daripada Ervin muncul pada skrin.
Ervin : Come to my room. I need to talk to you.
Maya membaca mesej itu beberapa kali.
Dia menggenggam telefon seketika, cuba meyakinkan dirinya bahawa mereka hanya perlu berbincang. Mungkin ada perkara berkaitan projek yang belum selesai. Mungkin Ervin mahu menyemak sesuatu sebelum mereka meneruskan jadual esok.
Selepas beberapa minit, Maya akhirnya membalas ringkas.
Maya : Okay. Saya datang sekejap lagi.
Tetapi akhirnya, Maya tetap melangkah keluar setelah memaklumkan kepada Mira dan Jiha.
******
Pintu dibuka tidak lama kemudian.
Ervin berdiri di hadapannya dengan baju t-shirt biasa, menampakkan lagi gaya santai lelaki itu.
“Masuklah,” pelawanya perlahan sambil berundur sedikit untuk memberikan laluan.
Maya melangkah masuk sebelum menoleh ke belakang untuk memastikan pintu tertutup.
“Awak nak bincang apa, Vin?” soalnya, sengaja membawa perbualan itu kepada tujuan yang lebih munasabah.
Dia mahu memberikan dirinya alasan untuk berada di situ, walaupun jauh di sudut hati, dia sudah dapat mengagak bahawa bukan urusan kerja yang membuatkan Ervin memanggilnya.
Ervin tidak terus menjawab. Dia memandang Maya lama, seolah-olah sedang menimbang sama ada perlu berpura-pura seperti tiada apa-apa berlaku atau mengakui perkara yang sejak pagi tadi memenuhi fikirannya.
“Ada benda yang saya nak bincangkan,” katanya akhirnya sambil melangkah mendekati Maya.
“Tapi bukan pasal kerja.”
Maya terdiam.
Dia tahu dia sepatutnya berundur, mengingatkan Ervin bahawa mereka perlu menjaga batas dan tidak mengulangi apa yang berlaku malam tadi.
Tetapi apabila lelaki itu memandangnya dengan begitu lembut, segala kata-kata yang sudah disusunnya di dalam fikiran hilang begitu sahaja.
“Vin, kita tak boleh selalu macam ni,” ujarnya perlahan, cuba menyuarakan pertimbangan yang masih berbaki dalam dirinya.
Dia memandang lelaki itu dengan riak yang bercampur-baur, antara rasa bersalah dengan keinginan yang tidak mampu dinafikan.
Ervin mengangguk perlahan. Dia tidak menafikan kata-kata Maya, malah dia sendiri tahu bahawa mereka sedang berjalan ke arah sesuatu yang boleh mengubah kehidupan masing-masing.
“Saya tahu,” jawabnya jujur. Dia menghela nafas.
“Saya tahu kita sepatutnya berhenti. Tapi sejak pagi tadi, saya cuba fokus pada kerja, cuba anggap malam tadi tak lebih daripada satu kesilapan. Saya cuba, Maya. Tapi saya tak boleh berhenti fikir tentang awak.”
Maya menundukkan wajah.
Kata-kata itu membuatkan hatinya bergetar kerana dia sendiri mengalami perkara yang sama. Sejak pagi tadi, dia cuba menumpukan perhatian kepada tugasnya, tetapi ada bahagian dalam dirinya yang sentiasa mengingati kehangatan pelukan Ervin.
Dia merindui rasa selamat ketika berada dalam dakapan lelaki itu, dan tanpa disedari, dia sudah mula menantikan saat mereka dapat bersendirian semula.
“Saya pun tak tahu apa yang sedang berlaku pada kita,” luah Maya, suaranya semakin perlahan.
Dia mengangkat wajah, memandang Ervin dengan mata yang menyimpan terlalu banyak perkara yang tidak mampu diungkapkan.
“Saya cuba lupakan apa yang berlaku malam tadi…”
Ervin tidak terus menjawab. Sebaliknya, dia mengangkat tangan lalu menyentuh pipi Maya dengan lembut.
Maya memejamkan mata seketika. Sentuhan itu mengingatkannya kepada segala perkara yang cuba dilupakan sejak pagi tadi.
Ervin merapatkan tubuhnya perlahan-lahan, kemudian memeluk Maya. Pelukan itu pada mulanya begitu berhati-hati. Tetapi apabila Maya membalas pelukannya dengan meletakkan kedua-dua tangan pada tubuhnya, Ervin melepaskan nafas panjang.
Dia merindui saat itu lebih daripada yang mahu diakuinya.
Haruman lembut yang melekat pada rambut Maya kembali menyapa derianya, membuatkan dia merapatkan pelukan tanpa sedar. Dia membenamkan wajah seketika di sisi kepala wanita itu, menikmati kehadiran yang sejak pagi tadi hanya mampu dibayangkan dalam fikirannya.
Maya pula membiarkan dirinya bersandar pada dada Ervin. Dia dapat mendengar degupan jantung lelaki itu, merasakan tangan yang mengusap belakangnya dengan lembut, dan untuk seketika, dia tidak mahu memikirkan apa-apa selain kehangatan yang sedang dirasainya.
“Jangan peluk saya macam ni kalau awak cuma nak lupakan kesunyian awak,” bisik Maya, suaranya kedengaran begitu perlahan sehingga hampir tenggelam di antara mereka.
Dia tidak mahu menjadi sekadar tempat Ervin melepaskan rasa sunyi, sedangkan hatinya sendiri sudah mula terikat dengan lelaki itu.
Ervin melonggarkan pelukan sedikit supaya dapat memandang wajah Maya. Riak wajahnya berubah serius apabila menyedari bahawa wanita itu bukan sekadar memerlukan sentuhan, tetapi juga kepastian tentang apa yang sedang berlaku antara mereka.
“Saya tak boleh janji yang semua ini tak akan menyakitkan kita, Maya,” jawabnya jujur. Dia mengusap pipi wanita itu dengan ibu jarinya.
“Tapi saya tak nak tipu awak. Saya memang rindukan awak. Saya perlukan awak. Saya akan bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada kita ni…”
Maya menahan nafas seketika.
Pengakuan itu begitu ringkas, tetapi cukup untuk membuatkan hatinya terasa penuh. Dia tahu kerinduan tersebut tidak menjadikan hubungan mereka betul, dan tidak menghapuskan hakikat bahawa ada dua orang lain yang mungkin akan terluka jika perkara ini terbongkar.
Namun, pada saat itu, dia terlalu ingin mempercayai bahawa perasaan Ervin bukan sekadar keinginan sementara.
Maya mengangkat tangan lalu menyentuh wajah lelaki itu, memandangnya seperti mahu menyimpan setiap butiran pada wajah yang kini terasa begitu dekat dengannya.
“Saya pun perlukan awak, Vin,” bisiknya akhirnya.
Ervin menutup mata seketika sebelum menundukkan wajah dan mengucup Maya. Kali ini, tiada lagi kejutan seperti malam sebelumnya. Maya menyambut ciuman itu dengan rela, dan apabila mereka saling merapatkan diri, segala jarak yang cuba dipertahankan sejak pagi tadi kembali hilang.
Mereka tahu apa yang sedang mereka lakukan. Mereka tahu hubungan tersebut salah, dan kehangatan yang mereka temui tidak akan menghilangkan tanggungjawab yang menanti di luar.
Namun, buat sementara waktu, mereka memilih untuk tidak memikirkan semua itu.
Ervin membawa Maya duduk bersamanya di sofa, lalu memeluk wanita itu sekali lagi. Jarinya menyelusuri rambut Maya dengan lembut, sesekali menyentuh pipinya seolah-olah masih sukar mempercayai bahawa wanita yang dirinduinya sejak pagi tadi kini berada dalam dakapannya.
Maya menyandarkan kepala pada bahu Ervin, membiarkan dirinya dibelai dalam kesunyian bilik tersebut.
Perhatian dari Ervin membuatkan Maya semakin sukar melepaskan diri.
Waktu berlalu tanpa mereka sedari. Perbualan yang pada mulanya dipenuhi pengakuan dan keraguan perlahan-lahan bertukar menjadi keintiman yang semakin mendalam. Mereka kembali hanyut dalam ciuman dan pelukan, membiarkan tindakan mengambil alih pertimbangan yang cuba dipertahankan.
Di sebalik pintu bilik yang tertutup, mereka sekali lagi memilih untuk bersama.
Maya mengangkat wajah dan Ervin kembali mengucup dahinya dengan lembut, tiada seorang pun daripada mereka benar-benar bersedia untuk melepaskan satu sama lain.
Hubungan yang bermula dengan perhatian kecil kini semakin sukar dikawal dan berlarutan sehingga hari seterusnya ketika mereka berada di Jakarta.
Kota Jakarta saksi cinta mereka yang salah!
Cinta tak pernah salah...
Share this novel