Surat Aisyah Afiqah Afiq

Romance Series 1974

Ke hadapan Leana,
Aku, Aisyah Afiqah Afiq. Wanita yang telah merampas kebahagiaan yang sepatutnya engkau kecapi. Tetapi semua tu telah dirampas oleh aku dengan meletakkan Razif sebagai dalang yang menyebabkan hidupku rosak. Aku melihat bagaimana dia lebih utamakan kekeluargaannya berbanding dengan perkara lain. Dia sanggup korbankan kebahagiaan yang sepatutnya dia kecapi bersama engkau, demi menjaga nama baik keluarga kami.

Saat engkau putus tunang dengan Razif di cafe dahulu, mama Aminah menjadi saksi jahat dan tersenyum gembira melihat hal itu kerana sudah perancangannya untuk hapuskan halangan dalam menyatukan aku dengan Razif. Mama Aminah mempunyai niat yang tidak baik dengan cuba memanfaatkan Razif melalui wasiat arwah atuk kami, tanah, yang diberikan kepada mama Yunita.

Mama Yunita lah orang yang paling terluka dan terpukul dengan keputusan Razif untuk bertanggungjawab atas apa yang terjadi kepada aku. Sehinggakan Mak cik Milah datang ke rumah, mama Yunita malu untuk bersemuka dengan mak cik Milah atas apa yang terjadi. Bahkan, mama Yunita cuba untuk lari dari kampung ini. Tetapi, dengan sedaya upaya Mak cik Milah cuba untuk berjumpa dengan mama Yunita dan pujuk mama untuk terima dan lupakan. Kerana mak cik Milah sayangkan persahabatan mereka.

Sepanjang kami berkahwin, aku melihat usahanya untuk mencintai aku. Walaupun sehingga nafas yang terakhir, aku tidak dapat rasakan cinta yang ikhlas dari Razif kerana hatinya terkunci untuk engkau.

Leana, aku menjadi saksi penderitaan Razif selama hidup dengan aku. Gambar kecil yang tersimpan kemas dalam dompet pemberian engkau semasa hari jadinya selalu menemani tangisnya di malam hari. Hanya aku yang tahu betapa sakitnya penderitaannya. Sedalam mana dia sembunyikan, walaupun wajahnya dia riangkan untuk kami, tetapi dia tidak dapat menyembunyikan penderitaan perasaan yang dia pendam selama ini untuk engkau. Hanya engkau di hatinya sampai saat ini.

Selama kami berkahwin, sekalipun Razif tak pernah sentuh aku mahupun memandang aku seperti mana seorang suami memandang isteri. Bukan kerana dia tak nak, tetapi kerana dia masih cintakan engkau. Ini hukuman aku, Leana. Aku sama sekali tidak layak mengandungkan zuriat Razif dan aku sedar akan hal itu walaupun aku sudah menjadi isteri Razif yang sah. Aku mengalami keguguran akan anak hasil tragedi itu. Kerana aku dahagakan belaian sang lelaki dalam hidupku, aku mencari sang lelaki lain untuk puaskan kehendakku. Aku berzinah dengan lelaki lain. Bukan cuma sekali, tetapi banyak kali. Aku sendiri tak faham, kenapa aku tak sanggup paksa Razif untuk sentuh aku, tetapi lelaki lain di luar sana aku alu-alukan untuk sentuh aku.

Aku tak hargai pengorbanan Razif untukku. Aku curang di belakangnya dengan tidur bersama lelaki lain di luar sana. Sebulan, aku tidur dengan lelaki yang sama dan berganti bulan dengan lelaki lain supaya sekiranya aku mengandung, aku tahu nak tunding siapa. Tetapi kebanyakan lelaki yang tidur dengan aku, memakai pelindung. Namun hanya satu sahaja lelaki yang tidur dengan aku sehingga aku mengandung. Anak itu selamat dilahirkan dan membesar bersama kami. Di situ sekali lagi aku melihat pengorbanan Razif dengan memberikan namanya sebagai nama bapa kepada budak itu. Setelah aku sedar akan pengorbanan Razif, dan mama Yunita tahu akan kecurangan aku di belakang Razif, aku berhenti dari semua itu dan berubah.

Walaupun mama Aminah terkejut dan tidak terima, tetapi mama Yunita terima budak itu seadanya. Kebaikan mama Yunita diwarisi oleh Razif. Tetapi mama Aminah, aku tak tahu sama ada aku ni anak dia atau tidak, atau, sama ada dia adik mama Yunita atau tidak kerana perangai mereka jauh berbeza. Budak itu bernama Latisya Adriana Razif.

Sejak lahir, Latisya mengalami jantung berlubang. Aku sedar ini hukumanku untuk semua dosa-dosaku. Latisya anak luar nikah aku, hasil kecurangan aku dengan seorang usahawan muda, Joshua. Latisya ada kacukan Cina walaupun wajahnya hampir sama dengan wajahku dan tidak ada iras wajah lelaki itu.

Leana, jujur aku katakan, aku sangat menyesal dengan jalan hidup yang aku pilih. Maafkan aku atas semua kesalahan, dosa, dan kesilapan yang telah aku lakukan kepada engkau agar aku dapat pergi dengan tenang. Sekalipun aku tidak sempat meminta maaf kepada engkau semasa aku masih bernafas di muka bumi ini, tetapi biarlah surat ini jadi saksi aku menyesal atas semua perbuatanku terhadap engkau.

Leana, jagakan Latisya untukku. Jagakan Razif untukku, jagakan mereka untukku.

Yang benar,
Aisyah Afiqah Afiq.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience