6. Bukan Rock Kapak

Romance Series 14261

6. Bukan Rock Kapak

“Ayah, Maira pergi kerja dulu,” tangan ayah aku raih lalu aku kucup.

“Hmm… bawa kereta tu elok-elok. Sampai surat saman ke rumah ni siaplah kamu,” ayah memberi pesanan penaja seperti biasa.

“Baik, bos! Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Aku menghidupkan enjin kereta Myvi kesayanganku lantas memulakan pemanduan. Hari ni aku mahu menjadikan hari yang ceria dan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Lepas parking kereta, aku nak bersarapan dekat warung Mak Timah depan office aku tu.

Pekena Nasi Lemak dengan air milo panas betul-betul boleh membuatkan berat badan aku naik berganda kalau pilih menu tu hari-hari. Jadi aku biasanya akan makan Nasi Lemak seminggu dua kali atau sekali sahaja. Hari lain aku makan kuih muih atau sarapan dekat rumah aje. Tapi memandangkan esok dah mula nak puasa jadi hari ni aku nak makan makanan kegemaran aku tu buat kali terakhir sebelum bercuti selama sebulan. Sebulan tanpa Nasi Lemak Mak Timah yang sedap lagi enak lagi memukau? Ohhh…! Semestinya sungguh syahdu apabila membayanginya.

Disebabkan itu minggu lepas aku ‘cuti’ makan Nasi Lemak Mak Timah sebab nak kasi feel makan untuk last day hari ni. Rasanya dua bungkus pun okay kalau aku makan ni!

Tanpa sedar, aku sudah sampai pun di tempat kerjaku. Alaa… office aku ni dengan rumah aku tak sampai 20 minit dah sampai.

“Haiih… banyaklah pula kereta hari ni. Mana aku nak park kereta terchenta aku ni?” aku memandu keretaku perlahan sambil mataku liar memandang kalau-kalau ada tempat letak kereta yang kosong. Kawasan sini banyak juga kedai makan jadi ni mesti sebab ramai nak sarapan dekat tempat favourite sebelum puasa. Macam aku. Hehe…

“Hah! Orang tu dah nak keluar dah! Oraitt…! Alhamdulillah.” Aku sudah tersengih senang lantas memberhentikan kereta untuk menunggu kereta tersebut keluar.

Sebaik saja kereta tersebut keluar, aku cepat-cepat menekan minyak untuk memarkir kereta di situ tapi malangnya enjin keretaku mati secara tiba-tiba. “Hish, kereta manual memang suka mati time-time orang nak cepat macam ni tau!”

Dalam aku cepat-cepat nak hidupkan semula enjin, sebuah Toyota Vios hitam muncul lalu dengan penuh selambanya parking di tempat letak kereta yang kosong itu.

Mataku terbeliak, “Amboii!! Punyalah ya-ya aku tunggu kereta tadi tu keluar, boleh selamba badak aje dia masuk?” aku sudah mula rasa mahu mengebom kereta Toyota Vios itu!

Sebaik saja pemandunya keluar aku mengecamnya sebagai pengurus baru bahagian tempat aku bekerja bernama Iqram. Tapi aku peduli apa! Lelaki itu sudah mencuri parking lot aku! Aku menekan hon untuk menarik perhatiannya namun malangnya dia tidak mendengar kerana telinganya bersumbat dengan earphone dan tumpuannya pula pada telefon bimbit di tangan.

Dadaku berombak naik. “Eii! Dasar mamat pekak, hampehh!” aku menyumpah seranah lelaki itu kerana sudah merosakkan permulaan hari aku! Ikutkan hati memang aku letak mercun bola dekat ekzos kereta dia tapi takut lain pula halnya yang jadi karang.

Nak tak nak aku terpaksa juga mencari tempat letak kereta yang lain dan akhirnya aku menemui juga tempat letak kereta yang kosong. Itupun jauh dari pejabat aku. Akibatnya aku kena berjalan kaki agak jauh jugalah.

“Sabar Shahila Humaira… sabar… lepas ni kita makan dekat warung Mak Timah, okay? Nasi Lemak dan air milo panas Mak Timah mesti boleh buat kau tenang balik. Sabar… sabar…” aku memujuk diri.

Aku ni bukan penyabar orangnya jadi kalau aku boleh bersabar itu dah kira bagus sangatlah tu. Ada waktu-waktunya aku boleh mengamuk macam King Kong kalau dah tak tahan sangat!

Sampai di gerai Mak Timah aku memesan air milo panas dan sudah sedia mahu mencapai Nasi Lemak yang biasanya tersedia siap dibungkus di atas meja. Tapi… eh, meja ni tak ada Nasi Lemak ke? Takkan baru seminggu aku tak beli Nasi Lemak Mak Timah ni dah advance sampai boleh invisible?

“Mak Timah, Nasi Lemak tak ada ke?” aku bertanya ketika Mak Timah membawa air yang ku pesan.

“La… hari ni kamu nak makan Nasi Lemak ke Shahila?” Mak Timah bertanya. Aku mengangguk. Mestilah nak! Kalau tak buat apa aku tanya.

“Mak Timah minta maaflah. Nasi Lemak dah habis. Itu yang last hah,” Mak Timah menjuihkan bibir ke arah seorang lelaki di belakangku. Membuatkan darah aku semakin mendidih, lelaki itu ialah Iqram! Lelaki yang sudah mencuri parking aku sebentar tadi.

Dengan penuh senang hatinya dia mengunyah penuh nikmat Nasi Lemak yang sepatutnya menjadi milik aku itu! Eii… dahlah curi parking lot aku, sekarang Nasi Lemak aku pun dia rembat! Memanglah Nasi Lemak tu bukan milik aku tapi kalau tak sebab dia tadi, aku dengan gumbiranya sudah sampai ke sini lebih awal dan dapat menikmati Nasi Lemak tu!

“Shahila?” Mak Timah memanggil lembut. Aku memang sudah lama mengenali wanita tua itu. Sejak hari pertama aku bekerja lagi iaitu dua tahun lalu. Akulah antara pelanggan setianya yang tidak jemu menikmati sarapan di sini hampir setiap hari.

Aku menarik nafas dalam-dalam memaksa diri supaya tenang sebelum tersenyum penuh terpaksa kepada wanita itu,“Tak apalah Mak Timah. Saya minum ajelah.”

“Mak Timah minta maaflah ya. Kuih ada. Kamu nak?” Mak Timah seakan memujuk.

Aku menggeleng sambil menghirup air milo yang ku pesan tadi. Apa maknanya air milo ini tanpa Nasi Lemak tercinta aku?!

***************************

“KENAPA muka kau macam nak bunuh orang aje ni, Ila?” rakan sekerjaku, Diana yang baru saja tiba bertanya.

“Aku nak bunuh orang yang dekat dalam tu!” aku menjuihkan bibir menunjuk ke arah bilik Iqram.

“Siapa? Encik Iqram manager baru kita tu? Dah kenapa pula?” Diana bertanya pelik.

“He’s already ruined my day.” Jawabku sambil menekan dengan kuat papan kekunci di hadapanku seolah-olah keyboard itu berwajah Iqram.

“Dia buat apa?”

Aku beralih menoleh Diana. “Dia dah curi parking aku membuatkan aku terpaksa parking kereta aku nun jauh dari sini dan berjalan kaki jauh kau tau tak! Lepas tu dia makan nasi lemak yang sepatutnya menjadi milik aku!”

Tanpa diduga Diana melepaskan tawanya. Beberapa orang rakan sekerjaku sudah mula menoleh.

“Baik kau stop ketawa sebelum kau pula aku cekik.” Ugutku.

“Okay… kay… aku stop.” Diana sedaya-upaya memberhentikan tawanya walaupun masih bersisa.

“Aku tengah bengang kau jangan tambahkan bengang aku.”

“Alaa… chill lah! Kau ni pasal tempat parking dengan Nasi Lemak pun nak mengamuk. Tak macholah!”

“Tak macho tengkorak hang! Disebabkan dia, tak pasal-pasal aku kena jalan kaki jauh untuk ke sini dan disebabkan dia aku tak dapat makan Nasi Lemak favourite aku! Dahlah esok dah start puasa. Sebulan tak dapat makan Nasi Lemak tu.”

“Alolololo… sedihnya aku dengar. Kesian anak Haji Azman ni…”

“Kau perli aku ke apa ni?”

*********************************

JAM 10.05 pagi perutku sudah mula berbunyi. Memandangkan aku hanya bersarapan secawan milo sahaja, patut pun perut ni dah berbunyi mengalahkan setahun tak makan!

Aku melangkah ke pantri untuk mencari sesuatu yang boleh mengalas perut. Aku membancuh teh panas kemudian cuba mencari biskut gandum yang biasanya ada tersimpan di dalam kabinet di pantri ini. Kejap, mana pula perginya biskut ni?

“Cik Shahila cari apa tu?” Kak Mina, cleaner di pejabat ini bertanya.

“Kak Mina, mana pergi biskut kat dalam ni?”

“Dah habislah, Ila. Tadi akak nampak Encik Iqram ada makan biskut yang terakhir tu tadi.” Kata-kata Kak Mina membuatkan aku menimbang kembali sama ada patut atau tidak aku meletakkan mercun bola di ekzos keretanya.

“Takkan dah habis langsung? Kenapa tak beli kalau dah tau stok dah nak habis?” aku menyoal sebab biasanya Kak Mina yang belikan barang-barang di pantri ini.

“Sebab esokkan dah nak puasa jadi Kak Mina ingat tak payahlah beli dulu. Pekerja dalam pejabat ni pun semua Islam.” Terang Kak Mina.

Aku mengeluh. ‘Eiii!!!! Semua ni mamat slenge tu punya pasal!!!!!’

**************************************

TEPAT saja jam menunjukkan pukul satu, aku cepat-cepat mengemas barang mahu pulang ke rumah makan tengahari. Tadi aku sudah menelefon ayah memintanya masakkan makanan tengahari untuk aku kerana aku mahu makan tengahari di rumah.

“Eh, kau nak ke mana ni? Jomlah pergi lunch.” Diana mengajak.

“Aku nak lunch dekat rumah. Aku dah sakit jiwa bila semua benda aku nak makan asyik tak dapat gara-gara mamat slenge tu.”

“Pulakk….”

“Ah, aku tak peduli! Aku nak balik. Dah kebulur dah ni! Assalamualaikum,” aku terus mencapai beg tanganku sebelum mendengar Diana menjawab salamku dengan nada yang perlahan.

Kakiku melangkah laju ke arah keretaku. Jauh beb! Berpeluh aku dibuatnya. Sabar… sabar… api neraka lagi panas, Shahila! Nauzubillahiminzalik!

Sebaik saja masuk ke dalam kereta aku tersenyum lega. Alhamdulillah… selamat juga aku sampai ke kereta ni. Manalah tau mamat tu tiba-tiba muncul dan bagi aku susah lagi. Tolonglah jangan…

Aku menghidupkan enjin kereta dan segera menuju ke jalan besar. Sambil memikirkan makanan hasil masakan ayah aku tersenyum sendiri lagi. Ayah memang pandai masak! Bagiku ayahlah bapa, ayahlah ibu kerana selepas pemergian ibu tujuh tahun lepas ayah tidak pernah mengeluh dalam bekerja untuk mencari wang bagi membesarkan aku dan adik.

Ayah juga tak lupa menguruskan makan pakai aku dan adik. Biasa kita dengar ibu tunggal bekerja untuk menyara anak-anak juga menjaga keperluan harian anak-anak. Mungkin jarang kita mendengar lelaki juga berupaya untuk bekerja sekaligus menjaga keperluan harian anak-anak dengan baik. Tapi ayahku berjaya menjaga, memberi kasih sayang dan didikan yang sempurna kepadaku dan adik.

Buktinya sekarang aku sudah memegang ijazah dalam jurusan perakaunan dan adikku pula sedang menuntut di matrikulasi. Ayah bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah tapi sekarang dia dah pencen. Jadi sekarang tibalah masanya aku pula membalas jasa ayah yang tidak terbalas itu. Tapi sekarang ayah…

“ALLAHUAKBAR!” aku pantas menekan brek secara mengejut apabila menyedari ada sebuah kereta tiba-tiba keluar dari kawasan tempat letak kereta sehingga mengakibatkan dahiku terhantuk pada stereng kereta. Aku dapat merasakan kereta kesayanganku dilanggar.

“Allah… sakitnya kepala aku!” aku menggosok-gosok dahiku. Nasib tak berdarah!

Sambil memegang kepala yang masih berdenyut aku segera keluar untuk melihat nasib kereta kesayanganku pula.

Lemah lututku apabila melihat kereta kesayanganku yang dihadiahkan ayah sebagai hadiah hari jadiku ke-22 tiga tahun lalu sudah kemek manakala lampu kereta pula pecah. Oh my darling kereta Myvi… ni yang rasa nak buat hindustan tengah-tengahari buta ni!

“Ya Allah…” suara seorang lelaki berjaya membuatkan aku menoleh.

Baru aku sedar yang melanggar keretaku ini ialah sang pemilik Toyota Vios hitam yang bernama Iqram!! WARGHH!! Mana pisau? Aku nak bunuh dia sekarang juga!

“Eh, awak Shahila kan? Akauntan office tu.” dia bertanya sambil menunjuk pejabat kami.

Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum mengangguk.

“Awak tak perasan ke saya nak keluar tadi?” dia menyoal.

Keningku terangkat sebelah, “What? Awak nak salahkan saya?”

“Bukan salahkan tapi saya tanya.” Terangnya semula. Wajahnya jelas menunjukkan dia mahu menyalahkan aku yang membuatkan plat kereta belakangnya patah dan mengakibatkan keretanya calar.

“Of courselah saya tak perasan! Awak yang nak keluar, awaklah kena tengok belakang sama ada, ada kereta lalu atau tak.” Aku membela diri.

“Tapi awak sepatutnya waspadalah. Yalah, sekarang ni waktu break jadi banyaklah kereta nak keluar. Saya nak cepat ni tau! Nak pergi sembahyang Jumaat.” Jawapannya membuatkan darahku yang sudah tersedia mendidih semakin menggelegak. Perut aku dah lama berbunyi ni. Rasanya kalau aku panggang mamat ni lepas tu cicah pulak dengan sos black pepper mesti sedap.

“Eh, hello! Awak fikir awak soranglah nak cepat? Saya pun nak cepat tau! Saya nak balik makan. Dah kebulur sangat ni! Kang awak pulak saya makan.”

Dia tersengih sinis, “Nak balik makan? Makan ajelah dekat kafeteria bawah ni. Yang mengada-ngada nak balik tu kenapa?”

Mataku terbeliak mendengar jawapannya, “Saya nak balik sebab tak nak awak kacau lagi saya nak makan!”

“Lagi? What do you mean?” tanyanya sambil mengerutkan kening. Ewahh… ewahh… dia buat muka minta penampar kiri kanan pulak…

“For your information, you’ve already ruined my day!”

Dia mendengus, “Apa yang saya ‘ruined your day’ sangat? Awak merepek apa ni?”

Aku mengeluarkan jari telunjuk menunjukkan nombor satu, “Firstly, pagi tadi awak curi parking lot saya! Ini!” aku menunjukkan tempat keretanya parking.

Keningnya terangkat seolah-olah terkejut dengan kenyataan aku. Atau mungkin dia rasa kenyataan aku itu agak bodoh untuk dibahaskan.

“Second, awak dah menyebabkan saya terpaksa park jauh kereta saya dan juga terpaksa berjalan kaki jauh untuk ke sini!”

“Third, disebabkan saya terpaksa mengambil masa yang lama untuk berjalan ke sini, saya terlepas untuk merasai Nasi Lemak Mak Timah kegemaran saya buat kali terakhir sebelum puasa esok and the best part, awaklah orang yang merembat Nasi Lemak terakhir tu!”

“Nasi Lemak?”

Aku tidak mempedulikan soalannya sebab aku tak rasa aku perlu jawab. Aku sebut Nasi Lemak, bukan Kuih Koci!

“Forth, awak menyebabkan saya hilang selera nak sarapan and you must know, breakfast is really important. Saya tak dapat nak concentrate kerja sebab lapar! Fifth, bila saya ke pantri nak cari biskut untuk alas perut, biskut dekat situ semua dah habis and what’s making me want to explode, awaklah orang yang menghabiskan biskut dekat situ! Last but not least, sekarang awak dah buat kereta saya rosak! Lampu depan ni dah pecah gara-gara awak yang langgar! Kereta saya pun dah kemek depan ni.”

Dadaku berombak naik menahan marah. Aku lihat Iqram terdiam. Hahaha… amek kau! Aku dah rasa macam buat esei dah. Namun, tanpa disangka dia ketawa. Terbahak-bahak pulak tu!

“WOII! Orang serius ni!” Aku memarahinya namun dia masih lagi tidak sudah ketawanya. Aii… mamat ni! Cari pasal dengan aku sungguh!

Dengan kemarahan membara aku menyepak ketingnya. “ADOIIIII!!!!” Hah, kau! Dari ketawa terbahak-bahak terus menjerit kesakitan!

“Awak ni gila ke apa?” dia memarahiku.

“Aik? Awak kata saya gila? Habis awak dari tadi ketawa macam orang gila bukan gila namanya?”

Mukanya berubah serius. Uuuuu… takut mak!

“Awak ni psycho ke?”

Mataku terbeliak, “Sorry?”

“I’m asking you! Are you psycho?”

Sekali lagi aku menyepak ketingnya. “Woi! Sakitlah!”

“Padan muka! Dahlah cari pasal, lepas tu suka hati panggil orang psycho!” ibu jari kakiku sudah rasa agak sakit akibat menyepak keting Iqram yang bertulang.

“Saya panggil macam tu sebab awak mengamuk macam orang gila hanya kerana parking lot, Nasi Lemak dan biskut! Hal kecil aje, kan?!”

“Apa dia? Hal kecil? Benda tu memang ‘cenonet’ aje bila awak cuma menghadapi satu masalah but dia akan menjadi sebesar-besar alam bila awak dah mengharapkan hari ini merupakan hari yang terbaik tetapi menghadapi masalah yang bertimpa-timpa gara-gara seorang manusia! By the way, awak lupa pasal kereta.” Aku membidasnya semula.

Mukanya kelihatan sedang bersabar. “Please lah. Saya tak ada masa nak main benda budak-budak dan saya dah lambat nak sembahyang Jumaat ni. Jangan nak bagi saya tambah dosa!”

Dia terus berlalu pergi. Eh, eh! “Hei, habis tu kereta saya ni?”

Dia berpaling kembali, “Kereta awak dan saya dah sama-sama rosak. Fair and square right?”

“No. It’s not! Kereta saya lagi teruk rosaknya!” aku menjawab tapi dia terus berjalan pergi meninggalkan aku sendiri membuatkan aku terpinga-pinga.

Aku tak puas hati! Fair and square lutut dia! Dahlah dia dah rosakkan hari aku. Kereta aku pun dia dah jahanamkan! Aku tak puas hati… aku tak puas hati…

Aku pandang kiri dan kanan lalu aku terpandang sebuah kedai makan yang penuh dengan pekerja perempuan yang bekerja di sekitar kawasan ini juga kelihatan beberapa orang rakan sekerjaku yang sedang enak menjamu makan tengahari.

Aku mendapat idea. Bibirku mengukir senyuman.

***********************************

“DIANA, kalau ada manusia yang nak meletup cari aku yang cun ni, kau kata aku ambil MC setengah hari dan aku dah inform dekat Tuan Haji.” Aku memaklumkan kepada Diana melalui telefon.

“Hah? Siapa manusia tu?” Diana bertanya.

“Alaa… kejap lagi muncullah tu! Ingat pesan aku tau. Assalamualaikum,” aku mematikan panggilan selepas mendengar suara Diana menjawab salam.

Dengan perasaan penuh bahagianya aku mengunyah penuh nikmat makanan tengahariku. Nasi putih berlauk tomyam dan telur dadar. Gandingan yang boleh membuatkan sesiapa saja meletup! Nak-nak ayah terchenta aku yang masak. Huhuhu…

“Sedap?” ayah yang baru saja pulang dari masjid menegur.

“Of courselah sedap! Rasa nak habiskan satu periuk aje tomyam ni.”

“Janganlah kamu habiskan. Petang nanti Syafiq balik. Tinggalkanlah untuk dia sikit,” pesan ayah.

“Orang acah ajelah,” aku tersengih sambil terus menikmati makananku.

“Eh, ni dah pukul berapa? Masuk kerja pukul berapa? Jalan jam karang.”

“Maira ambil cuti setengah hari. Dah inform kat Tuan Haji dah.” Beritahuku. Tuan Haji ialah owner besar tempat kerjaku. Aku dengan Tuan Haji memang kamcheng! Katanya sejak aku masuk kerja, business dia semakin berkembang. Aku pula kembang empat mangkuk kena puji!

“Kamu sakit ke?” tanya ayah.

“Sakit hati! Sakit jiwa! Sakit otak!”

Dahi ayah berkerut. “Kamu merapu apa ni?”

Aku menghabiskan suapan terakhir. Ingat nak tambah lagi sepinggan. Nak cukupkan tiga pinggan tapi teringatkan mamat senget nama Iqram tu membuatkan seleraku mati. Ceh! Selera mati konon. Dah dekat habis satu periuk aku kerjakan konon tak ada selera. Kenyang cakap ajelah kenyang!

“Ayah nak tau tak, ada sorang mamat kat tempat kerja Maira tu hari ni dia always cari pasal dengan Maira. Mula-mula dia curi parking lot Maira lepas tu dia sambar Nasi Lemak yang sepatutnya jadi milik Maira. Sudahnya kelaparan anak ayah ni. Dah pula tu, bila Maira nak makan biskut dekat pantri, biskut tu pun dah habis dia kerjakan! Dan paling menyakitkan jiwa, dia dah buat Maira punya Myvi kesayangan tu pecah lampu depannya! Dahlah tu, dia boleh tak nak mengaku salah dan buat selamba iguana aje!”

Hah, kau! Panjang lebar aku cerita! Ayah sekali-sekala semakin berkerut dahinya mendengar cerekerama aku.

“Siapa dia tu?”

“Dia tu manager baru bahagian tempat Maira kerja. Masuk baru tiga hari tapi berlagak bagus! Poyo tau mamat tu!” marahku lagi.

Ayah menggeleng, “Haiih…kamu ni suka membesarkan benda kecil tau.”

Mataku terbeliak, “Benda kecil? Ayah sama macam mamat tu tau! Memanglah benda tu kecil mula-mula tapi bila dah bertimpa-timpa dia jadi besar tau! Maira paling bengang bila dia berlagak sombong dan tak nak mengaku salah. Dahlah pulak tu, dia salahkan Maira lagi ada!”

“Kamu cakap dekat dia macam mana? Secara lembut ke kasar?” tu diaa…. soalan cepumas ayah!

Aku terdiam seketika sebelum menjawab, “Cara kasarlah. Dah dia cari pasal dulu. Lagi satu… Maira ada sepak keting dia.”

“Ya Allah… Kamu sepak dia?” ayah terkejut.

Aku mengangguk. “Dua kali,” tambahku perlahan.

“Astarghfirullahal’azim…” ayah menepuk dahi.

“Padanlah muka dia! Cari pasal lagi dengan orang. Memang kenalah.” Aku terus bangun menuju ke sinki untuk mencuci pinggan.

“Haiihh… tak berubah-ubah perangai anak dara aku sorang ni! Sudahlah. Ayah nak tidur sekejap. Pukul 4.15 nanti kejutkan ayah.”

“Ayah bertugas ke?”

“Ha’ah. Haji Ali tu ada hal balik kampung katanya. Itu yang kena ganti tu,” jawab ayah sambil terus ke ruang tamu. Ayah memang suka tidur siang dekat sofa.

Oh, ya! Aku sebenarnya belum habis cerita pasal ayah aku ni. Ayah atau nama sebenarnya ialah Haji Azman merupakan bilal yang paling kacak bergaya di masjid kawasan rumah aku ni. Hehehe…

Lepas pencen jadi guru, ayah banyak menghabiskan masa beribadah di masjid. Setiap hari dan setiap waktu solatnya akan dilaksanakan dia masjid. Kira ayah dah jadi orang masjidlah. Kemudian, nazir masjid, Ustaz Kamarul mencadangkan nama ayah untuk jadi bilal. Itu yang sangkut tu.

Ada jugalah orang yang pelik bila tahu aku ni anak bilal sebab aku ni kasar gila tak hengat! Panas baran pula tu. Tapi nak buat macam mana. Dah takdir aku ni jenis kasar dan tak reti nak berlembut. Ayah pun selalu nak dapat heart attack sebab aku. Huhuhu…

Bunyi telefon bimbitku yang berbunyi membuatkan aku terhenti. Diana. Belum sempat aku nak menyapa, Diana terlebih dahulu bersuara, “Ila, apa kau buat dekat Encik Iqram tu?”

“Assalamualaikum,” perliku.

“Waalaikumussalam,” jawabnya. “Jawablah!”

“Aku buat apa?” tanyaku buat-buat bangang.

“Dia masuk aje office terus pekik nama kau. Terperanjat budak-budak office ni semua! Muka dia bengis gila. Macam nak telan orang. Hilang semua gaya karisma dia. Apa kau dah buat?” tanya Diana lagi mendesak.

“Apa aku buat? Hehehe…” ayuh kita flashback;

Mukaku sudah berasap melihat Iqram dengan penuh selamba meninggalkan aku sendiri selepas apa yang sudah dia lakukan padaku. Aku tak puas hati! Aku terpandangkan restoran yang tidak jauh dari pejabatku. Ada satu idea gila muncul yang membuatkan bibirku tersenyum. Aku melangkah ke restoran itu. Bukan untuk makan tengahari tapi berjumpa dengan makcik yang jaga kaunter. Dapurnya betul-betul belakang cashier jadi aku kena lepaskan diri dari makcik ni dulu untuk ke dapur.

“Makcik, tong sampah mana? Tong sampah depan tu penuh.” Tanyaku penuh hemah.

“Belakang,” jawab makcik tu sambil menunjuk ke arah belakang. Dia yang sedang sibuk melayan pelanggan tidak bertanya lanjut.

Aku pantas ke bahagian dapur. Aku lihat semua pekerjanya sedang sibuk melakukan kerja masing-masing dan langsung tidak menyedari kehadiranku. Ini sudah bagus… Mataku terpandang sasaran. Tanduk setanku sudah keluar. Hahahahha!

Aku terus mencapai tong sampah yang penuh dengan sampah. Sampahlah kan. Takkan emas. Lantas aku melarikan diri ikut pintu belakang dan terus kembali ke tempat keretaku dan kereta mamat slenge tersebut.

Tanpa menunggu aku menuang sampah tersebut ke atas kereta Iqram. Sekata di setiap tempat. Tiada yang tertinggal. Mukaku berkerut menahan bau sampah yang bisa membuatkan sesiapa saja pitam dan dapat nightmare. Siap kerjaku aku tersenyum puas. Seolah-olah menang award Anugerah Bintang Popular gitu. Haiih… ‘cantik’ kereta dia aku buat dengan isi perut ikan di cermin depan kereta beserta darahnya meleleh. Kepala ayam di bahagian bumbung. Hampas kelapa bertaburan di mana-mana dan macam-macam lagi. Teringin aku nak tengok riak wajahnya. Bwahahahahaa!!

Kemudian aku kembali memulangkan tong sampah yang ku ‘pinjam’. Selepas keluar aku mendengar seseorang bersuara, “Eh, bila tong sampah ni dah kosong?”

************************************

“KAU GILA?!”

Aku menjauhkan telefonku dari telinga mendengar minah sorang ni jerit. “Lepas tu aku terus hidupkan enjin kereta. Nasib boleh hidup. Dan dengan gumbiranya aku pulang ke rumah untuk bersantap.”

“Kau boleh kena buang kerja tau!” marah Diana lagi.

“Siapa nak buang aku? Dia? Heh… aku dengan Tuan Haji kamcheng okay. Dia tu newbie. Walaupun pangkat dia lagi tinggi tapi Tuan Haji lebih percayakan aku!” aku membela diri.

“Berani betul kau ni.”

“Beranilah! Baru dia tau aku siapa. Baru aje masuk kerja tiga hari dah berlagak dengan pangkat dia tu. Dahlah tu. Cari pasal dengan Shahila Humaira. Itu makannya!” penuh bersemangat aku membalas.

“Haiihh… anak Pak Bilal sorang ni…”

*************************************

“SYAFIQ! Bangun sahur!” aku mengetuk pintu bilik adikku.

“Hmmm…” jawabnya.

“Tak payah nak hmm… hmm… bangun!”

Tiada jawapan.

Aku membuka pintu biliknya dan membuka lampu. Adik aku tengah terbongkang tidur sampai ternganga mulutnya. Buruk bebenor rupanya. Boleh tak kalau aku tak nak mengaku tu adik aku. Hehehe…

“Syafiq! Bangun!”

“Lima minit.” Dia mengalihkan posisi tidurnya. Amboi!

“Lima minit tengkorak kau! Bangun. Nanti azan karang terlepas sahur. Bangun!”

Dia diam. Bikin aku hot betul pagi-pagi buta ni. “Baik kau bangun sebelum akak baling mercun bola dekat tepi telinga kau!”

Dia masih diam dan tidak terkesan dengan ugutanku. Aku terus kembali ke bilik dan mengambil mercun. Aku membalingnya ke lantai.

POP!

“Oi, pak hang!” Syafiq pantas melompat bangun sambil melatah.

“Ini bukan pak hang tapi kakak hang!”

“Hish, akak ni! Ingat betullah mercun bola.” Syafiq mengomel.

“Kau memang. Mercun pop pun kau ingat mercun bola! Kalau betul akak baling mercun bola baru kau tau. Dah, bangun!” gesaku sambil melangkah keluar namun selepas tiga saat aku kembali toleh Syafiq sudah terbaring lagi. Bapak liat betul budak ni!

“BANGUN!!!!!!!” aku membaling baki mercun pop di tangan sambil kakiku menyepak kuat pintu biliknya.

********************************************

HAJI AZMAN yang baru saja selesai menunaikan solat tahajud terperanjat. “Apa-apa ajelah anak-anak aku dua orang ni. Anak orang ke anak beruklah ni. Haiiihhh….”

“AKAK buat apa tu?”

“Tengah lastik cicak. Tak nampak?” jawabku sambil menuangkan bancuhan kuih cara ke acuannya. Kemudian aku memasukkan sedikit gula ke dalamnya.

“Akak buat lawak ke?” tanya Syafiq sinis.

“Eh, lawak ke? Akak tak gelak pun. Siapa suruh kau tanya soalan tak cerdik. Nah, akak kasi kau jawapan yang sepadan.”

Syafiq mencebik kemudian dia duduk di kerusi makan sambil tangannya bermain-main dengan daun pandan lebihan yang aku gunakan untuk buat kuih cara manis. Meja makan tersebut sudah penuh dengan bahan-bahan untuk membuat kuih yang aku gunakan.

“Banyaknya akak buat. Nak buat kenduri ke apa?”

“Nak hantar dekat masjidlah.”

“Ooo…”

“Apa kata kau tolong kemas semua ni. Lepas tu tolong angkat kuih tu bila dah masak. Itu yang terakhir. Tolong ya. Akak nak tidur kejap. Penat.” Aku terus berlalu ke ruang tamu.

“Eh, apa pula orang yang kena? Hish, menyesal betul ke dapur ni.”

***************************************

PETANG ITU aku mengangkat kain jemuran sambil menunggu waktu berbuka. Ayah ke masjid menghantar kuih. Syafiq pula tengah sibuk berfac sambil tunggu waktu buka. Ada baiknya jugalah kalau budak ni buka kitab.

Otakku pula ligat berfikir tentang pelbagai perkara. Dari hal mamat slenge yang paling aku benci hinggalah arwah mak yang paling aku sayangi. Selepas pemergian mak, puasa aku, ayah dan Syafiq tidak lagi semeriah dulu. Dulu bila tengahari mak selalu tanya, buka nanti nak makan apa? Air apa? Bila dekat nak raya pula maklah orang yang paling ligat buat persiapan raya.

Mak memang superwoman. Dia boleh buat banyak benda dalam satu masa. Aku pula biasa jadi tukang tengok dan lepas tu mesti kena marah sebab tak tolong. Rindunyalah haii… Sekarang ni bab-bab tu semua aku sorang ajelah buat. Minta tolong Syafiq, banyak benor alsaannya. Minta tolong ayah, lain aku minta tolong buat, lain dibuatnya. Adehhh…!

Lamunanku terhenti sewaktu terdengar bacaan ayat suci Al-Quran dari corong pembesar suara masjid. Ya Allah, merdunya suara! Siapa yang baca tu? Tak pernah dengar pun suaranya. Kalau tahun lepas, Ustaz Hafiz yang baca tapi lepas dia kahwin, dia dah pindah. Habis suara siapa ni?

******************************************

“AYAH, sekarang ni siapa yang mengaji time tunggu waktu berbuka dekat masjid tu?” tanyaku sewaktu kami sedang berbuka puasa.

“Oh, Firdaus namanya. Nama penuhnya apa entah,” jawab ayah pendek.

“Orang luar ke?” soalku kembali. Tidak pernah ku dengar rasanya nama itu.

“Alaa… dia baru pindah sini minggu lepas. Dulu belajar tahfiz dengarnya. Itu yang Ustaz Kamarul minta dia gantikan Ustaz Hafiz untuk mengaji time bulan puasa ni.” Terang ayah lagi.

“Berapa umur dia? Sedap suaranya,” aku bayangkan Firdaus tu seorang lelaki berumur pertengahan 30-an. Dah berkahwin dan ada anak sekurang-kurangnya 2. Orang alim ni kan selalu kahwin awal. Heheheh… ya ya aje! Itu jodoh namanya…

“Dalam hujung 20-an kut. Bujang lagi.” Jawab ayah.

“Huiyoo… muda lagi tu,” sampuk Syafiq. Namun aku turut akuinya. Mudanya!

Hujung 20-an? Aku 25. Aii… macam sesuai aje dengan aku! Ecececeh! Tapi memang taste aku yang jenis ala-ala Imam Muda. Muka tak handsome pun tapi tenang aje jiwa bila tengok.

***************************************

DIA mengambil kuih cara manis di hadapannya. Kuih favourite ni! Lalu dimasukkan ke dalam mulut. Keningnya terangkat tatkala lidahnya merasai keenakan kuih tersebut.

“Siapa yang sponsor makanan berbuka hari ni Ustaz?” tanyanya kepada Ustaz Kamarul yang duduk di sebelahnya.

“Pak Amat. Dia memang pakar memasak. Siap ada restoran sendiri tau. Kamu patut cuba makan dekat restoran dia Firdaus,” beritahu Ustaz Kamarul.

“Ya ke? Kuih ni sedaplah! Nanti ada masa saya nak beli dengan dialah,” Firdaus sudah memasang angan.

“Eh, Pak Amat sponsor makanan utama aje. Kuih ni Haji Azman yang beri. Anak dia yang buat. Kuih anak dia buat memang sedap. Memang kalau anak dia ada kelapangan memang dia akan buat dan sedekahkan untuk orang buka puasa dekat masjid ni. Siapa nama anak dia tu…? Emmm… hah! Maira kalau tak silap. Humaira.” Terang Ustaz Kamarul panjang lebar.

Firdaus terdiam seketika. Humaira? Sedap nama dia? Sama sedap macam kuih yang dia buat ni. Firdaus tersengih sendiri sambil mencapai lagi kuih tersebut. Alamatnya sepinggan itu hanya untuk dia seoranglah!

***************************************

BAM!

“Oi, mak hang!” aku yang baru saja mahu melabuhkan punggung melatah apabila fail-fail yang tebal dihempaskan ke mejaku.

“Apa mak-mak? Kerja ni semua saya nak awak siapkan hari ni juga!” Iqram memberi arahan.

Aku memandang Iqram yang menunjukkan riak wajah mahu membunuh. Eleehh… ingat aku takut? Puihh! Namun aku buka juga fail-fail yang diberi. “Eh, kerja ni bukan Tuan Haji suruh hantar hujung bulan ni ke?”

“Dah tu tunggu 31 haribulan baru nak buatlah?”

“Tak adalah… Kan ada…”

“Saya tak peduli! Apa saya tahu esok pagi-pagi saya sampai kerja benda ni semua dah tersedia atas meja saya. Saya nak kena semak dulu sebelum hantar ke Tuan Haji.”

“Tapi mana boleh saya nak siapkan semua ni sebelum pukul 5 hari ni,” aku cuba meminta kelonggaran. Yalah, waktu pejabat sampai pukul 5. Kerjanya banyak kut!

“Awak tengok muka saya,” dia mendekatkan wajahnya membuatkan aku sedikit terkebelakang. Bau minyak wanginya menusuk hidungku. Dia menyambung, “Ada muka peduli tak?”

Mataku terbeliak menahan marah apabila dia terus berlalu pergi. Namun sebelum dia mencapai tombol pintu dia menambah, “Kalau awak ada banyak masa mendajal orang, mesti awak ada banyak masa nak buat kerja juga, kan?”

*********************************************

“WARGHHH!!!! AKU NAK BUNUH MAMAT TAK GUNA TU!!!!” aku memekik sewaktu aku berjalan kaki pulang ke rumah dari perhentian bas. Tak peduli orang nak pandang ke nak apa. Pasal dialah, kereta aku kena masuk bengkel. Pasal dialah aku kena pergi balik kerja naik bas. Pasal dialah aku terpaksa balik lambat hari ni. Pasal dialah aku terpaksa menggendong segala bagai fail-fail berat ni balik rumah! Semua pasal dia!!

Aku menyumpah seranah dalam hati sambil terus melangkah laju. Dahlah kerja-kerja ni semua masih belum siap. Eiii…. kecik besar kecik besar aje aku tengok dia! Nasib baik makanan untuk berbuka aku dah beli siap-siap dekat bazaar berdekatan tempat kerjaku. Ayah buka puasa di masjid. Syafiq pula sudah balik ke kampus. Hari ni tak sempatlah aku nak buat kuih.

Sumpah seranahku berhenti apabila pendengaranku menangkap suara orang membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Terus sejuk jadi hatiku. Ahhh… suara Firdauslah!

Sepanjang tiga hari berpuasa ni, aku tak lupa untuk mendengar suaranya. Sungguh menenangkan hati dan perasaan. Terus lupa rasa marah meluap-luapku terhadap Iqram. Aku berjalan kaki dengan lebih tenang sambil menghayati bacaannya. Teringinnyalah aku nak jumpa dia.

******************************************

“APA yang kamu cari tu Firdaus?” tanya Ustaz Kamarul.

“Kuih cara manis,” jawabnya ringkas sambil terus menjengul kepala ke kiri kanan mencari pinggan berisi kuih kegemarannya itu.

“Hah, tak ada ke hari ni Man?” tanya Ustaz Kamarul kepada Haji Azman di sebelahnya.

“Hari ni si Humaira tu balik lambat. Banyak kerja katanya. Itu yang tak sempat nak buat tu,” terang Haji Azman.

Wajah Firdaus berubah muram.

“Ya ke? Firdaus ni kalau kau nak tahu suka benar dengan kuih tu. Hari-hari dicarinya. Suka benar dia dengan kuih hasil tangan anak dara kamu tu.” Usik Ustaz Kamarul. Firdaus menjadi malu apabila diusik.

“Iya? Hah, kalau dia ada masa pakcik suruh dia buat lagi, ya?” pujuk Haji Azman.

Firdaus sekadar tersenyum. Haiihhh… kempunan aku hari ni!

*****************************************

“BANYAK kerja Maira?” tanya ayah yang baru saja pulang dari solat terawih. Aku sekadar mengangguk sambil mataku tidak lepas dari pandangan komputer. Sesekali tanganku ligat menyelak fail-fail yang berselerak di atas meja.

“Kalau esok kamu ada masa boleh buatkan kuih cara manis tu tak?” tanya ayah lagi.

Aku berhenti melakukan kerjaku dan memandang ayah, “Maira tak boleh janjilah sebab kerja banyak. Pengurus baru Maira yang slenge tahap itik tulah yang bagi kerja banyak-banyak! Kenapa ayah tanya?”

“Bukan apa. Ada orang berkenan sungguh dengan kuih kamu tu,”

“Siapa?”

“Alaa… Firdaus yang ayah cakap hari tu,”

Jantungku berdegup kencang. Huiyo! Dia suka kuih aku. Itu baru kuih, belum aku bagi dia makan Nasi Ayam ke Nasi Beriyani ke! Ecececeh… macamlah kau expert sangat buat semua tu! Expert makan memang aku juara.

“Emmm… tengoklah kalau Maira sempat ya?” aku akan pastikan kerja-kerjaku akan siap! Pasal Iqramlah hari ni pengarang jantungku kempunan kuih aku. Siaplah kau esok Iqram!

*********************************************

IQRAM sempat menjeling sekilas kepadaku sebelum melangkah masuk ke biliknya. Hekeleh! Jeling-jeling! Aku cungkil biji mata tu karang sedap aje. Tak apa… tak apa… tunggu ajelah!

Sepuluh minit berlalu, kedengaran suara seorang lelaki memekik nama seseorang.

************************************************

DIA melihat mejanya sudah penuh fail-fail yang diminta. Hmm… cepat juga minah tu buat kerja. Patut jadi anak emas Tuan Haji.

Iqram membuka satu-persatu fail-fail tersebut. Tidak dinafikan, kerja Shahila agak memuaskan. Tatkala dia membuka fail yang ketiga dia pantas mencampakkan fail itu.

“Allahuakbar!” Iqram menganjak ke belakang tatkala melihat topeng hantu betul-betul diletakkan di muka surat pertama di mana sebaik sahaja fail itu dibuka, ada wajah yang terjelir lidah dengan mata berdarah serta wajah berparut sedang merenungnya.

“SHAHILAAAAAAAA!!!!”

***********************************************

SUDAH hampir 10 hari Ramadhan berlalu. Selama itu juga, setiap hari ada saja perkara yang berlaku antara aku dan Iqram. Walaupun dah puas aku cuba tahan sabar, aku tetap susah nak bersabar bila pandang muka dia. Kalau tak dia cari pasal, aku yang cari pasal. Tapi selalunya lebih dalam bentuk senyap-senyap. Ada satu hari tu dia letak lipas getah dalam laci aku. Menjerit aku dibuatnya. Satu office haru-biru!

Esoknya aku letak ubat gegat satu paket dalam briefcase dia. Hambek kau! Time meeting bila dia buka aje beg dia, semerbak bau ubat gegat. Aku tau, bulan puasa patut jaga perangai tapi sangat payah bila berdepan dengan mamat slenge tu!

Bila dalam bilik mesyuarat lagilah, apa yang dia cadang pasti aku bangkang dan begitulah juga sebaliknya. Namun apapun, aku pastikan yang dia takkan tahan aku sampai kena balik lambat. Aku dah mengadu dekat Tuah Haji bagi alasan tak boleh balik lambat sebab kereta dekat bengkel jadi aku terpaksa balik naik bas dan bila balik lambat, bas susah nak dapat. Jadi Tuan Haji dah bagi amaran dekat Iqram jangan bagi aku kerja banyak sangat sampai balik lewat.

Tuan Haji ni memang baik pasal kebajikan pekerja-pekerja dia. Itu yang aku sayang sangat dengan bos aku ni (aku anggap macam taraf bapak aku okay). Sudahnya Iqram tak puas hati. Tapi kisah pula aku! Aku tau, aku nak balik cepat dan nak buat kuih untuk my lovely Imam Muda, Firdaus. Ohh!

************************************

‘NANTI Maira tolong hantarkan kuih ke masjid. Ayah ada kerja sikit dekat masjid ni. Ayah berbuka dekat masjid aje hari ni.’

Aku membaca mesej ayah sekali lalu. Hmm… kenalah pergi menghantar kuih ni nampaknya. Aku bungkus kuih tersebut elok-elok dalam bekas kemudian selepas selesai mengenakan baju kurung berwarna ungu, aku melangkah keluar ke masjid.

Sebaik sampai di masjid aku lihat ayah sedang rancak berbincang tentang sesuatu dengan Ustaz Kamarul. Entah apa dibincangnya sampai berbincang sambil berdiri depan pintu masjid. Sambil tu sempat aku menjengul kepala ke dalam masjid. Ada seorang lelaki sedang duduk sambil membaca Al-Quran dengan menggunakan mikrofon. Rasanya itulah Firdaus berdasarkan suaranya. Uihhh… berdebar pula rasa!

“Assalamualaikum,” aku menyapa ayah dan Ustaz Kamarul. Sopan sikitlah bila orang tua tengah berborak dan kita nak menyampuk.

“Waalaikumussalam,”

“Hah, kamu hantar kuih ya Maira?” tanya Ustaz Kamarul. Aish… buat-buat tanya pula! Takkan nak hantar rombongan meminang. Aku sekadar mengangguk sambil tersenyum.

“Sempat ya kamu buat kuih lepas balik kerja.”

“Bolehlah, ustaz. Sikit-sikit aje. Lagipun kuih ni bukan susah mana.” Terangku merendah diri. Hehehe…

“Dia ni ikut arwah Hasmah, ustaz. Suka buat kuih,” ayah menambah. Aku tersenyum mengiakan.

“Patutlah. Firdaus tu suka sangat kuih kamu. Hari-hari kuih itulah yang dia cari dahulu time berbuka.” Kata-kata Ustaz Kamarul buatkan aku kembang semangkuk. Huihuihui…

“Betulkan Firdaus? Hah, inilah Humaira anak Haji Azman ni,” kata-kata Ustaz Kamarul membuatkan aku pasti Firdaus berada di belakangku. Sejak bila pula dia stop mengaji ni? Tak perasan pula aku. Ah, sudah! Berdebarlah pula aku. Nak-nak bila aku membau bau minyak wanginya menandakan dia berada dekat denganku. Tunggu kejap, kenapa macam biasa bau, bau minyak wangi ni?

“Ustaz janganlah buat saya segan.”

Kini suaranya membuatkan aku pantas berpaling. Mataku terbeliak. “Iqram?”

Dia juga turut terkejut beruk, “Shahila?”

“Eh, kamu berdua kenal ke?” ayah bertanya.

Aku sekadar diam. Nak cakap apa ni? Takkan nak kata, ‘Ayah, inilah dia mamat slenge yang selalu Maira cerita tu. Kenalkan!’ atau ‘Err… tak. Tak kenal. Ni baru first time jumpa.’

Ish, yang first tu agak straight to the point.Yang second tu dah kira menipu! Apa nak kata ni?

“Errr… kami kawan sekerja.” Kata Iqram cuba mengawal keadaan.

“Ayah, Maira nak ke dapur hantar kuih ni. Lepas tu nak terus balik. Rasanya tadi api dapur lupa nak tutup. Hahaha… Balik dulu!” aku terus mencium tangan ayah dan terus berlalu pergi tanpa menoleh lagi. Jangan pandang belakang… jangan pandang belakang…!

**********************************************

MATANYA memandang pinggan di hadapannya. Air liurnya sudah hampir meleleh keluar. Tangannya gatal mahu mencapai hatta cuma sebiji namun hatinya tak sudah menahan. Takkan kau nak makan lagi lepas tau kuih tu musuh kau yang buat? Tapi kuih tu sedap… ingat Iqram Firdaus! Kuih tu Shahila yang buat! SHA-HI-LA!

Bulan puasa ni syaitan MC sebulan tapi nafsu masih ada. Jadi nampaknya nafsunya tidak tertahan lagi maka dia capai juga sebiji lantas dimasukkan ke dalam mulut. Sedapnya!

Sambil mengunyah dia mengenang kembali kejadian tidak sampai sejam lalu. Tidak disangka Shahila yang ganas dan brutal tu anak pak bilal! Pandai memasak kuih favourite aku pula tu. Dahlah ciri-ciri perempuan idaman aku ialah pandai memasak makanan kegemaran aku. Tunggu! Apa? Kau kata Shahila tu perempuan idaman kau. Eh, peh-lis!

Tapi dia pandai masak. Dari keluar baik-baik. Tak! Perangai dia tu tak baik! Macam singa betina! Wargh! Serabut otak aku.

“Eh, Firdaus! Berselera sungguh kamu. Dah sampai tinggal sebiji aje kuih tu kamu belasah. Bertambah selera ke lepas kenal orang yang membuatnya?” usikan Ustaz Kamarul membuatkan Firdaus tersedak! Haji Azman pula sekadar senyum geli hati. Orang muda…

**************************************

NASI AYAM yang aku beli petang tadi hanya dipandang sepi. Kepalaku ligat membuat flashback kejadian petang tadi. Aku tekup muka. Waaaaa! Kenapa mesti Iqram juga menjadi Firdaus aku? ‘Firdaus aku’? Firdaus tu ialah Iqram. Eee… geli aku! Macam manalah aku boleh tak ingat nama penuh Iqram ialah Iqram Firdaus? Grrrr…!

Tapi suara dia mengaji sedap sangat. Merdu. Itu aku tak boleh nafi. Muka dia tadi siap dengan berkopiah dan berjubah putih tidak aku nafikan juga menggetarkan jiwaku. Sebab taste aku memang dengan lelaki yang ala-ala Imam Muda gitu. Tapi Iqram tu perangai macam anak jin! Macam mana nak buat laki. Eh, apa? Laki? Kau merepek apa ni Shahila Humaira? Kau dah hilang akal ke?

Namun bila aku fikirkan balik, entah kenapa hatiku berdebar pula bila teringatkan dia. Eh, kenapa aku nak berdebar pula? Siapa kata aku suka dia? Alaa… kau tu tak nak mengaku kau dah mula jatuh hati dengan dia, kan? Tak payah tipulah. Oh, tidak! Mana mungkin aku suka musuhku sendiri. Tapi musuhku itu sebenarnya orang yang kuat agama dan memang taste aku. Wargh! Aku dah ada masalah jiwa tanya sendiri jawab sendiri!!

*******************************************

MATA kami bertaut apabila dia datang ke mejaku. Selalu belum sempat bertaut mata, mulut dah bertindak dulu. Tapi kali ni lama kami berpandangan mencari kata.

“Err… ada apa?” aku membuka soalan.

“Emm… Tuan Haji minta awak selesaikan benda ni.” Dia menghulurkan sebuah fail. Aku menyambutnya lalu berpura-pura sibuk menyelak fail tersebut untuk memulakan kerja. Namun aku sedar Iqram masih belum beredar.

“Ada… ehhem!” aku membetulkan tekak yang tiba-tiba saja gatal, “Ada apa-apa lagi ke?” pantas aku mengalihkan pandangan apabila dia masih memandangku.

“Err… tak! Cuma hantar di bilik saya bila… emmm… bila dah siap.”

“O… okay!” aku memerhatikannya melangkah masuk ke biliknya. Aku menghela nafas lega. Huiih! Kecut betul rasa perut aku.

******************************************

IQRAM menghentak-hentak dahinya. Bodoh! Bodoh! Apasallah slow sangat? Aku nak bagitahu dia yang kuih dia buat sedap tapi kenapalah mulut ni lambat sangat nak mendapat arahan dari otak? Iqram menampar mulutnya sendiri.

Dia melabuhkan punggung di kerusinya. “Haiih… Kenapa aku rasa berdebar semacam dengan dia ni? Selama ni tak ada pun!”

Iqram diam berfikir sendiri. Ada satu perasaan yang hadir dalam dirinya. Perasaan yang tak pernah sekali pun dia terfikir dia akan merasainya. Hampir tidak tidur malam dia dibuatnya memikirkan hal ini. Dia jadi terpaut pula tatkala mengenangkan Shahila yang manis berbaju kurung semalam. Dia terpaksa akui bahawa hatinya sudah terpaut kepada Shahila Humaira Haji Azman!

*************************************************

HARI-HARI yang berlalu jelas menunjukkan rasa kekok antara aku dan Iqram. Walaupun kami sudah tidak lagi bertelagah namun jauh di sudut hati aku lebih selesa jika kami bertelagah. Entah mengapa aku rindu pula mahu mengenakannya dan dikenakan olehnya. Eh, apa kau merepek ni? Baguslah tu dah aman. Tak payah sesak otak nak fikirkan aktiviti membalas dendam dengan si Iqram tu. Tapi masalahnya hati aku pula sesak apabila kami terlalu kekok untuk bekerjasama.

Kawan-kawan pejabat ada juga menyedarinya namun aku katakan Iqram sudah insaf dan tidak lagi mencari pasal. Walaupun hakikatnya perkara lain yang berlaku. Hati aku juga semakin tidak tenteram bila fikirkan pasal Iqram ni lepas dah tau dia ialah Firdaus.

Yalah, dulu bukan main aku menaruh hati dekat dia sebab terpesona dengan suara merdu dia tapi bila dah tau Firdaus ialah Iqram, hatiku berbelah bahagi walaupun kini sewaktu suaranya kedengaran mengalunkan ayat suci Al-Quran, aku tidak dapat menahan diri daripada berasa kagum dengannya dan setiap kali itu juga hati aku semakin lama seolah-olah mahu mengambilnya untuk tinggal di hatiku. Tapi otakku berkeras mengingatkan Iqram ialah musuhku. Itulah diriku. Susah untuk mengakui bila sudah mula mencintai seseorang yang tidak ku terfikir akanku cinta. Tapi masalahnya sekarang, Iqram ada simpan perasaan sayang ke dekat musuh dia ni?

*******************************************

“MAIRA!”

“Ya?” aku menyahut sewaktu aku sedang sedap melepak depan tv sambil mengubah saluran tv ikut suka hati. Maklumlah, hari Ahad. Hari untuk rest!

“Emmm… ayah ada benda nak beritahu kamu ni.”

“Apa dia?” serius bunyinya. Aku bangun dari pembaringanku dan duduk bersila menghadap ayah yang duduk di atas sofa.

“Semalam waktu kamu keluar pergi beli barang raya dengan kawan kamu, ada orang datang.”

“Orang datang? Siapa?” aku semakin tertanya-tanya.

“Orang datang bawa rombongan,”

Mataku terbeliak, “Hah, rombongan? Nak pinang ayah ke? Atau Syafiq? Eh, mana ada orang pinang lelaki!” aku membuat soalan bodoh. Bagiku pasti ayah sengaja mahu mengusikku. Tahulah aku dah pertengahan 20-an tapi pakwe pun haram tak ada! Mana taknya, orang baru usik kata ‘hai’ aku dah jengil mata.

“Hish, kamu ni! Ayah seriuslah.” Suara ayah jelas menunjukkan ayah tidak main-main. Serta-merta aku jadi berdebar.

“Tapi siapa yang hantar rombongan tu? Maira kawan lelaki pun tak ada. Pakwe lagilah! Haram nak ada…”

“Dah kamu tu macam singa betina. Orang nak mengurat, kamu dah tunjuk pelempang. Mana lelaki nak sangkut?”

“Aii… perli nampak? Betul-betullah ayah. Siapa yang hantar rombongan tu?”

“Laaa… kamu tanya ayah? Katanya kamu sendiri dah tau.”

“Mana ada! Pandai-pandai aje. Siapa ayah?” aku bertanya lagi.

“Ayah malas nak layan lawak kamu tu. Ayah cuma nak beritahu yang ayah dah setuju. Cincin merisik ada dekat atas meja tu. Pertunangan kamu lepas seminggu raya berlangsung.” Dengan selamba ayah berkata kemudian dia terus menyambung membaca surat khabar. Cara ayah cakap sangat selamba macam tengah cerita tentang sinopsis drama Vanilla Coklat Raya!

Aku pandang di atas meja dan baru perasan ada sebuah kotak di situ. Aku ingat kotak apalah tadi, “Maira buat lawak apa kejadahnya? Maira betul tak tahu siapalah! Apa ni ayah. Takkan Maira nak tunang dengan orang Maira tak kenal!”

“Kamu kenallah orangnya,” jawab ayah ringkas.

“Siapa?” entah dah kali ke berapa aku ulang tanya siapa!

“Kalau betul kamu tak tau, kamu tekalah sendiri. Pakai cincin tu. Pakailah tak kira ke mana saja kamu pergi. Mana tahu orangnya tu akan muncul. Sudahlah, ayah nak bersiap pergi solat zohor dekat masjid.” Ayah dengan penuh selamba ‘derk’ berlalu pergi ke tandas.

Aku mencapai kotak cincin tersebut. Woww! Aku ni bukan jenis suka cincin tapi cincin ni serious lawa!

“Mahal tau cincin tu,” ayah tiba-tiba menambah. Ingat dah lesap ke tandas. Segan aku bila ayah nampak aku membelek-belek penuh minat cincin ni!

*******************************************

AKU memakai cincin tersebut di jari manisku sewaktu aku mahu ke tempat kerjaku. Keretaku sudah selamat keluar dari bengkel. Terbanglah juga duit aku gara-gara Iqram. Tapi sekarang entah kenapa, aku sudah tidak lagi membencinya. Elehhh… ‘entah kenapa’ konon! Sebenarnya kau memang dah jatuh hati dekat Iqram kan Shahila?

Aku tekup muka. Tiba-tiba rasa malu sendiri. Memang aku dapat rasa sekarang aku dah mula jatuh hati dekat Iqram. Dulu bukan main benci! Tapi… tunggu kejap. Macam mana kalau cincin ni sebenarnya Iqram yang kasi? Dia pun suka aku? OMG! *kay gedik* Tapi macam mana kalau sebenarnya bukan? Yang meminang aku tu orang lain? Sanggup ke aku nak terima?

Wargh! Sakit otak aku nak fikir siapa yang pinang aku. Ayah pun satu, beria-ia dia suruh aku teka sendiri. Okay, senang macam nilah. Kalau nanti Iqram nampak happy bila nampak aku pakai cincin ni, bermakna dialah orang yang pinang aku. Itu berita baik! Kalau dia muram, bermakna bukan dia yang pinang aku but good news juga sebab itu bermakna dia suka aku! Tapi kalau dia tak ada sebarang perasaan bila nampak aku pakai cincin ni? Itu bermakna bukan dia yang pinang aku dan dia tak ada sebarang perasaan dekat aku. Okay, itu sangat sadis!

Sesampainya aku di ofis, aku lihat dia sudah pun sampai dan berada di dalam biliknya. Aiseh! Macam mana nak show off cincin aku ni? Hmm… tak apalah! Aku buat ajelah kerja macam biasa dulu.

Aku melangkah ke rak yang memuatkan pelbagai fail di situ. Aku mencari fail yang aku perlukan dan sewaktu aku menariknya keluar dari rak itu, aku lihat Iqram keluar dari biliknya dan menuju ke arah rak fail di mana aku jua berada di situ sekarang. Ah, sudah! Macam mana aku nak buat dia perasan cincin yang tersemat di jari manis aku ni? Iqram seakan-akan menganggap aku tidak wujud di situ. Dia meneruskan carian fail yang dimahukan.

Tidak lama kemudian Diana pula muncul. Aku mendapat idea. Aku menyelak helaian kertas di fail yang kupegang dengan menggunakan tangan kiri dan berkali-kali aku meninggikan jariku dan akhirnya, “Eh, Ila! Kau pakai cincin? Cantiknya!”

“Oh,em… Thanks,” aku tersenyum dan sempat mataku menjeling Iqram dan seperti jangkaanku, dia menjeling jariku.

“Kau beli dekat mana ni? Sejak bila kau minat benda-benda alah ni? Setahu aku, kau kalau cincin beli dekat kedai RM2 pun belum tentu kau nak beli dan pakai. Ini cincin mahal, kan?” Diana yang aku kenal sebagai wanita yang paling kepoh tak sudah-sudah menelek cincin di jari manisku.

“Entahlah. Cincin ni orang bagi,”

“Orang bagi? Jangan kata yang… kau dah kena pinang?!”

Aku sekadar tersenyum kemudian mengangguk. Aku menjeling ke arah Iqram lagi dan aku lihat dia dengan penuh selamba menumpukan perhatian kepada fail di tangan sambil kakinya terus melangkah masuk ke biliknya. Eh, wait! Apa reaction dia? Suka ke? Sedih ke? Atau… dia tak ada apa-apa perasaan? Oh, tidak! Aku rasa nak menyanyi lagu Patah Seribu ni! Boleh tak?

***************************************

“AYAH, Maira tak naklah kahwin dengan orang yang Maira tak kenal!” aku meletakkan cincin yang ku pakai sepanjang hari ini di hadapan ayah.

“Hah, masih tak kenal?” ayah bertanya.

Aku menggeleng, “Ayah cakaplah siapa! Kan senang…”

“Dia tak kasi ayah beritahulah. Tapi ayah yakin, kamu mesti suka dia.” Ayah tersenyum yakin. Aku tengah kusut ni boleh pula dia senyum macam tu!

“Masalahnya Maira tak tahu siapa? Entah-entah orang yang pinang Maira tu Pak Ustaz tua yang nak jadikan Maira isteri ketiga atau keempat. Itu yang ayah suka sangat tu!”

“Hish, kamu ni! Takkanlah ayah nak rosakkan kebahagiaan anak dara ayah sorang ni. Kamu tak payah risau, dia tu bujang, muda, baik, beragama dan semualah yang baik-baik!” aku yakin pasti jika lelaki tersebut mendengarnya pasti kembang tiga belas mangkuk apabila dipuji sebegitu rupa.

“Maira tak peduli! Maira tak nak teruskan majlis pertunangan tu.Titik. Noktah. Full stop!” kataku muktamad.

Ayah mengeluh seketika, “Macam inilah. Majlis pertunangan ni kita teruskan. Sepanjang waktu pertunangan kamu tu, kamu kenallah hati budi bakal suami kamu tu. Tapi kalau betul kamu tak boleh nak terima dia, putuskan aje tali pertunangan tu cuma asalkan itu selepas kamu dah kenal dia. Boleh?”

“Dah tu majlis tu nanti pakai duit juga untuk makanan, barang hantaran apa semua jadi membazir ajelah nanti kalau pertunangan tu berlangsung tapi last-last putus. Apa guna bertunang kalau dah tau akan diputuskan?”

“Kenapa kamu yakin sangat pertunangan kamu tu akan putus?” soal ayah.

“Sebab…” sebab Maira dah ada pilihan Maira sendiri ayah. Cuma lelaki tu malangnya tiada perasaan terhadap Maira. Andai saja aku berani meluahkannya kepada ayah.

“Ingatlah, jodoh pertemuan, ajal maut itu semua kerja Allah. Kalau kamu bertunang dengan lelaki yang kamu dah bercinta bertahun-tahun pun tapi kalau Allah sudah tetapkan jodoh kamu dengan orang lain, kamu tak boleh nak elak. Dan begitu juga kalau kamu membenci seseorang itu setengah mati tapi kalau Allah dah kata dia ialah jodoh kamu, maka itulah yang akan berlaku. Kamu faham, Shahila Humaira?” ayah memberikan penjelasan panjang lebar.

Aku menunduk. Tidak mampu berkata apa-apa.

Ayah mengusap kepalaku, “Jangan risau. Naluri ayah kuat mengatakan lelaki ini ialah jodoh terbaik buat kamu. Insya-Allah, dia boleh menjadi imam yang baik untuk anak ayah yang brutal ni.”

Aku memandang ayah dengan muncung kemudian kami sama-sama ketawa. Brutal ya?

********************************************

HATIKU resah menunggu di kamarku. Wajahku sudah siap disolek dengan bantuan Diana yang sememangnya pakar menyolek. Sesekali aku membetulkan baju kebaya arwah mak berwarna putih yang tersarung di badan. Kata ayah, baju ini dipakai mak sewaktu hari perkahwinan mereka. Sanak saudaraku pula tak sudah-sudah buat aku terpaksa menahan hidung yang semakin mengembang bila asyik puji aku nampak cantik dan tak ubah seperti arwah mak. Huhuhu… rasa nak terbang pula dengan pujian melambung macam tu!

Raya tahun ni aku rasa macam tak meriah langsung sebab aku tak sudah-sudah memikirkan tentang hal pertunangan aku. Apalah nasib!

Sepanjang menunggu wakil rombongan pihak lelaki untuk menyarungkan cincin pertunangan di jari, hatiku diselubungi rasa resah dan gelisah. Yalah, siapa sebenarnya bakal tunang aku ni? Ayah kata muda dan bujang. Tapi kalau lelaki tu memang muda setahun atau beberapa bulan aje dari ayah dan merupakan bujang terlajak, jadi tetap dikira muda dan bujang oleh ayah. Ayah aku tu kadang-kadang buat lawak sampai nak menangis aku dibuatnya!

Diana yang duduk menemani aku pula tidak sudah-sudah bertanya siapa bakal tunangku. Yalah, tak pernah-pernah aku cerita aku suka mana-mana lelaki, tup-tup dah nak bertunang! Tapi masalahnya soalan dia tu tak ada jawapan sebab aku sendiri pun tak tahu siapa bakal tunang aku. Haiihh… ni baru nak bertunang dah rasa gelabah. Kalau kahwin nanti macam mana?

Akhirnya tibalah saat yang paling aku takuti. Seorang wanita dalam usia separuh abad masuk ke kamarku dan aku sendiri tidak pasti wanita ini ialah ibu, kakak, makcik, nenek, atau adik bakal tunang aku! Di belakangnya ada lagi beberapa orang yang aku kira rombongan pihak lelaki turut mengekori. Tidak ketinggalan, photographer yang datang entah dari mana turut muncul.

“Cantiknya anak ni. Pandai anak makcik pilih,” wanita itu tersenyum. Aku tahu sekarang wanita itu ialah ibu bakal tunangku. Aku membalas dengan senyuman yang ku rasa sangat plastik. Tegang rahangku untuk senyum.

Dia mula meraih tangan kiriku dan sudah mula mahu menyarungkan cincin ke jari manis kiriku. Hatiku berdebar. Biar betul ni?

“Nanti!”

Aku tarik kembali tanganku. Tercengang wanita tua itu. Aku lihat semua hadirin yang berada di sekelilingku turut tercengang dan terkebil-kebil. Aku tidak tahu mahu berkata apa lantas melepaskan diri keluar dari bilikku.Di luar aku lihat tetamu yang lain pula terkejut melihat aku tiba-tiba keluar dengan muka cemas.

“Kenapa ni Maira?” ayah yang sedang duduk berborak dengan pakcik yang tidak kukenali bertanya dengan nada yang cemas. Pantas dia bangun diikuti Syafiq di sebelahnya.

Aku meraih tangan ayah lantas kucium. “Maira minta maaf ayah! Maira tak boleh nak bertunang dengan lelaki yang Maira tak tahu siapa. Maira yakin Maira akan putuskan pertunangan ini nanti!”

Aku dapat mendengat suara tertahan-tahan orang di sekelilingku. Suasana yang tadi sepi seketika berubah hingar-bingar apabila masing-masing berbisik sesama sendiri. Ayah pula memandangku dengan wajah tidak percaya, “Kenapa pula?”

“Sebab… sebab Maira dah ada pilihan sendiri. Maira rasa Maira takkan boleh lupakan dia walaupun ada lelaki lain yang datang.” Aku berterus-terang.

“Siapa kak?” Syafiq yang mendekatiku menyampuk. Aku memandangnya kemudian pandangan itu kualih kembali kepada ayah.

Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung, “Iqram Firdaus.”

Kata-kataku menyebabkan semua terdiam. Sepuluh saat sepi, kedengaran suara seseorang memberi salam, “Assalamualaikum.”

Aku pantas menoleh. Mataku terbeliak memandang Iqram yang muncul berbaju kemeja nerah petak-petak. Amboi, handsomenya! “Iqram?”

Dia memandangku tidak berkelip.

“Jadi anak betul ke tak nak bertunang dengan anak pakcik yang namanya Iqram Firdaus ni? Pakcik tak tahulah kalau anak maksudkan Iqram Firdaus lain tapi anak pakcik ni namanya Iqram Firdaus.” Lelaki yang berbual dengan ayah tadi menyampuk.

Aku terkebil-kebil. “Hah, inilah bakal tunang kamu Maira!” ayah menambah.

Wajahku tiba-tiba berbahang. Mana meja? Aku rasa nak menyorok bawah meja sekarang!!!

“Jadi macam mana? Nak teruskan ke tidak?” emak Iqram pula menegur. Entah sejak bila dia sudah berada di sebelahku. Aku diam membatu. Nak kata apa ni?

Apabila aku masih membatu, Syafiq meraih tanganku lantas dihulurkan kepada emak Iqram, “Teruskan aje makcik. Dia dah malulah tu!”

Ikutkan hati nak aje aku tampar-tampar kiri kanan budak ni tapi mengenangkan mak mertua dekat depan ni aku tahan. Emak Iqram menyarungkan cincin ke jari manisku kemudian tangannya aku cium. Aku dapat merasakan ada flash kamera menandakan gambarku sedang diambil. Aku rasa blusher yang aku pakai mesti dah dua kali ganda merahnya!

Selepas selesai sesi bergambar bersama-sama keluarga, semua tetamu dijemput menikmati hidangan di khemah yang sudah tersedia di luar rumah. Aku pula tinggal di dalam memberi laluan kepada para tetamu terlebih dahulu.

“Ada orang tu dah jatuh hati dekat kita.” Telingaku menangkap suara yang ditujukan buatku.

Aku menoleh. Iqram sudah tersengih sendiri betul-betul di sebelahku. Aku menjeling ke arahnya walaupun wajahku sudah terasa panas.

“Elehh… malu lettewwww…!” Iqram sengaja menguji kesabaranku membuatkan kakiku spontan menyepak ketingnya kirinya, “ADOII!”

“Padan muka!”

“Hish, awak punya perangai ni tak berubah. Saya ni bakal suami awak tau!” dia seakan mengugut.

“Hello, bakal suami okay! Belum suami jadi bermakna saya masih belum perlu mengikut kata awak.” Aku mengingatkannya.

“Itupun nyaris tak jadi. Kalau tak sebab Syafiq yang text saya suruh saya masuk sebab awak nampak macam hilang kawalan, mungkin kempunanlah awak jadi tunang saya kan?” Iqram mengusik.

Aku membalas dengan memberikan jelingan tajam kepadanya. Mana pula si Syafiq ni? Berani dia kata aku hilang kawalan. Siaplah malam karang, aku karate dia!

Iqram tergelak sendiri, “Macam manalah saya boleh suka dekat anak pak bilal brutal macam awak ni ya?”

Aku sudah mula malu mendengar kata-katanya. “Manalah saya tau.”

“Eleehhh… awak pun suka saya! Tak nak mengaku!”

Kini keting kanannya pula menjadi sasaran. Kain yang dipakai tidak menjadi halangan. Heeeyaaaak!!

“ADOIII!!!!” aku tidak mengendahkannya yang mengerang. Aku bergegas ke muka pintu mahu keluar. Ish, mana pula selipar aku ni? Eh, takkan pakai lawa-lawa macam ni pakai selipar Jepun aje?

Sedang aku berfikir tentang seliparku, aku lihat Iqram sedang terhincut-hincut menghampiriku. Aku mendengus, “Awak nak apa lagi?”

Aku memandang ke anak matanya untuk menanti jawapan namun sebaliknya dia hanya berdiam diri. Berdegup kencang jantungku apabila kami saling merenung antara satu sama lain.

Dia memegang bahagian kiri dadanya. Tepat di bahagian jantung, “Saya nak awak tahu yang di sini cuma tersimpan nama Shahila Humaira Haji Azman. Anak pak bilal brutal yang menjadi igauan saya.”

Kata-katanya membuatkan aku benar-benar tersentuh. Ya Allah, izinkanlah aku untuk menjadi isterinya. Izinkanlah dia menjadi Adamku. Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya kerana-Mu.

Mata kami bertaut lama. Tanpa kusedari, ada flash kamera yang sedang menangkap gambar kami. Oooppsss!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience