BAB 8

Romance Completed 3154

Entah bagaimana aku mahu ungkapkan perasaanku ini. Melihat senyuman pada bibir mereka semua, aku terasa diriku benar-benar dihargai. Sebaik turun dari pentas, aku terus mencari Ahmad.

Aku mahu menemuinya. Namun hampa bila kelibatnya tiada di mana-mana. Aku duduk sendiri di belakang pentas sambil memegang epal yang dia berikan padaku tadi. Epal itu aku renung. Entah kenapa saat ini, aku benar-benar mengharapkan kehadirannya di sisi.

Dalam kesunyian itulah, aku terasa kerusi di sebelahku ditarik. Aku terus mengangkat kepala. Alangkah terkejutnya aku melihat dia dengan selambanya duduk di sebelahku. Ahmad tersenyum memandangku.

“Tahniah,” ucapnya. Aku diam. Rasa terharu membelit hatiku.

“Semuanya sebab awak. Kalau awak tak ada, dah lama saya tarik diri,” ucapku. Dia tersenyum manis.

“Ucap terima kasih kat epal tu…” Bibirnya dimuncungkan ke arah epal di tanganku. Aku mengerutkan dahi.

“Kenapa pula?” Ahmad mengambil epal di tanganku dan menggenggamnya erat.

“Ada sesuatu yang awak perlu tahu…”

“Apa…”

“Saya cintakan awak.” Mulutku terus terkunci rapat sebaik ucapan keramat itu meniti keluar dari bibirnya. Aku terpaku merenungnya tanpa kelip. Jikalau ini mimpi, aku berharap agar aku terus tidur tanpa perlu bangun-bangun lagi.

“Epal ni tanda cinta saya pada awak. Ingat pesanan saya, setiap kali awak rasa sunyi atau sedih, awak makanlah epal. Dengan cara tu, awak akan rasa saya sentiasa ada dekat dengan awak dan beri awak semangat setiap masa.”

Mataku berkaca-kaca. Ucapannya benar-benar menyentuh kalbuku. Ingin sekali aku membalas kata-katanya itu tetapi lidahku ini seakan-akan kelu untuk berkata-kata.

Lantas, epal di tangannya aku ambil semula. Tidak perlu kata-kata, senyuman pada bibirku ini sudah cukup memberikan jawapan. Aku tidak peduli lagi apa saja kata Nia dan Tiara kerana aku tahu, aku akan sentiasa kuat dengan adanya Ahmad di sisiku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience