AKU memejam mata rapat-rapat. Nafasku tarik dalam-dalam sebelum menghembusnya perlahan-lahan. Debaran di dada masih lagi belum surut. Takut membayangkan apa yang akan berlaku sebentar nanti.
Aku terlalu berharap agar aku terpilih untuk membuat persembahan pada majlis makan malam kolejku ini nanti. Tetapi sebelum itu, aku harus menghadiri uji bakat terlebih dahulu.
Tidak putus-putus aku menitip doa di dalam hati agar segala-galanya berjalan lancar nanti.
“Luna !” Aku terkejut mendengar namaku dipanggil.
“Ya!” sahutku sambil menggalas gitarku pada bahu.
Langkah kuatur perlahan-lahan untuk masuk ke dalam bilik uji bakat. Jejak saja lantai yang dilapisi karpet tebal itu, mataku hinggap pada tiga susuk tubuh yang sedang duduk di kerusi masing-masing. Kalau tidak silapku,
ketiga-tiga mereka adalah seniorku yang bertanggungjawab menguruskan acara nyanyian ini. Yang duduk di kerusi kanan itu Tiara, di sebelahnya Nia dan kerusi hujung itu… err… Aku tidak pasti apa namanya kerana aku kurang kenal dengan lelaki itu.
“Luna … awak pun datang uji bakat?” Suara sinis Nia itu membuatkan jantungku mula berdegup tanpa arah. Apakah aku tidak layak untuk datang menguji bakat? Aku memandang ke arah Tiara pula yang tersenyum sinis dengan kepala tergeleng-geleng.
“Kenapa? Salah ke kalau dia nak datang uji bakat?” Lelaki yang aku tidak kenali itu menyampuk tiba-tiba. Ada kerut di dahinya merenung Tiara dan Nia. Nia ketawa.
“Ahmad, cuba you tengok dia ni. Penampilan pun dah tak menarik. Kalau dia buat persembahan malam tu nanti, ada ke orang yang nak tengok?”
“Tapi…” Aku cuba bersuara tetapi Nia sudah memintas.
Share this novel