"Abang Aisy, mana mummy saya?" tanya Yaya.
Namun Aisy hanya mendiamkan diri. Wajahnya serius, sepatah pun tidak dijawab pertanyaan itu. Pelik dengan reaksi Aisy, remaja itu memanjat tangga untuk mencari ibunya yang diketahui berada di tingkat atas.
Alangkah terkejutnya remaja berkenaan kerana dia bertemu sekali lagi dengan Aisy, kali ini di tingkat atas! Itulah Aisy yang sebenar. Jadi, Aisy yang ditemuinya di bawah tadi ialah?
Hal ini pernah juga terjadi pada Aisy yang memang bekerja sebagai pembantu di hospital, sebelum ini. Suatu pagi dia di dekati oleh seorang jururawat.
Perkara pertama yang ditanya oleh jururawat itu ialah mayat siapa yang dilakukan post-mortem pada pukul 3.00 pagi itu dan apakah punca kematiannya. Adakah kerana kes bunuh, sakit, terbakar atau bunuh diri?
Aisy berasa pelik.
"Apa yang awak cakap ni?" dia bertanya semula.
Jururawat itu menjelaskan, pukul 3.00 pagi itu, dia melihat Aisy mencuci bilik mayat. Itu bermakna, ada mayat yang telah dilakukan post-mortem. Apa punca kematiannya?
Mendengar soalan itu, kata Aisy dia terpinga-pinga. Manakan tidak, semalam dia tidak bekerja. Pukul 3.00 pagi itu dia sedang nyenyak tidur di rumah.
Dia baru masuk bekerja pagi ini. Kali terakhir dia mencuci bilik mayat pun dua minggu sebelum itu.
Share this novel