Rate

tiga

Drama Series 656

ALYSSA mengetuk meja dengan hujung jari. Dia dah tak tahu nak buat apa lagi memandangkan semua kerja sekolahnya sudah siap. Hendak berborak, nanti diberi demerit pula oleh pengawas asrama. Akhirnya Alyssa melentokkan kepalanya di atas meja.

"Hoi, siapa suruh kau tidur waktu prep," jerkah seseorang.

Alyssa segera mengangkat kepalanya. Dia sangat kenal akan suara itu. Memang betullah itu suara Adrian. Lelaki itu lengkap berbaju Melayu berwarna hitam. Mungkin dia baru sahaja selesai mengerjakan solat Isyak.

"Ikut aku." Adrian terus melangkah keluar dari kelas.

Terdapat beberapa orang rakan sekelas Alyssa sudah berbisik sesama sendiri.

"Yang lain tu bisik-bisik apa? Nak dimerit ke? Aku boleh bagi free," sindir Adrian sebelum melangkah pergi.

Alyssa menggeleng kepalanya melihat sikap Adrian. Tanpa menunggu lama lagi, Alyssa terus mengikut Adrian menuju ke Anjung Ilmu iaitu sebuah pondok kecil yang terdapat di dalam kawasan asrama. Kelihatan Hykal, Haizar dan Laila berada di situ dan yang paling mengejutkan adalah Laili turut ada.

"Okay guys. Aku bawakan PA untuk korang." Adrian mengambil tempat di sebelah Haizar.

Laili menepuk kerusi kosong sebelahnya mengisyaratkan pada Alyssa untuk duduk. Alyssa segera mengambil tempat. Mereka memulakan kerja masing-masing dan Alyssa hanya mendiamkan diri. Apa sebenarnya fungsi dia diajak ke mari?

"Okay budak. Mulai hari ini, kau adalah setiausaha asrama. Lagipun aku pilih kau sebab tak ada pelajar yang layak pun. Di asrama ini hanya ada kau dan Laili sahaja pelajar 5 sains 1," ujar Adrian memecah kesunyian.

Haizar mengeluarkan komputer riba daripada beg sandangnya lalu dihulurkan pada Alyssa. Laila pula menghulurkan exam pad yang ditulis sesuatu pad Alyssa. Mereka mahu Alyssa menaip kembali apa yang tertulis pada kertas itu. Lagipun itu adalah kerja Alyssa sebagai setiausaha sekarang. Mereka mula berbincang mengenai aktiviti yang akan dijalankan sepanjang kem itu berlangsung. Kebanyakan buah fikiran dikeluarkan oleh Adrian dan Haizar.

"Weh, aku nak pergi check budak-budak tu kejap. Apahal bising sangat. Waktu prep kot sekarang," ujar Hykal.

"Aku ikut." Adrian mengikut langkah Hykal.

Laili mengeluarkan buku kimia. Alyssa hanya memandang sahaja. Rupa-rupanyanya rakannya itu masih belum menyiapkan kerja sekolah. Laili adalah seorang pelajar terbaik sekolah. Jadi memang tidak hairanlah kalau dalam saat-saat akhir pun dia mampu menyiapkan kerja sekolahnya.

"Weh, aku nak balik dorm kejap ambil buku rujukan. Tertinggal pula atas katil." Laili mengeluh. Kenapalah dia boleh cuai.

"Aku pun nak ikut. Nak pergi tandas," ujar Laila separuh berbisik. Mungkin dia malu kalau-kalau Haizar terdengar.

"Tak apa ke kau duduk sini sorang Alyssa. Kau nak ikut sekali?" soal Laili sebaik sahaja bangun.

"Aku bukan nak makan dia pun. Pergi sajalah," ujar Haizar tiba-tiba. Matanya masih lagi tertancap pada buku Pengajian AM semester 3.

Laila dan Laili hanya mengangkat bahu. Mereka terus pergi meninggalkan Haizar dan Alyssa. Sesekali Haizar mencuri pandang ke arah Alyssa yang sibuk menaip pada komputer ribanya. Muka Alyssa dikerutkan apabila dia tidak memahami apa yang ditulis oleh Laila pada kertas tersebut. Susah payah dia membacanya lalu ditaip pada komputer riba.

"Kenapa kau pindah ke sini? SPM ada beberapa bulan saja lagi kan." Haizar menanggalkan kaca mata lalu memandang ke arah Alyssa.

"Err... sebenarnya, ibu bapa saya meninggal beberapa minggu lepas akibat terlibat dalam kemalangan. Tak ada yang nak jaga saya di sana. Ibu saudara yang menjaga saya dan uruskan pertukaran ke sini." Nada suara Alyssa sudah mula mengendur.

Haizar cepat-cepat meminta maaf apabila sedar keterlanjurannya bertanyakan soalan begitu. Alyssa menggeleng sahaja dan sedikit tidak kisah akan pertanyaan Haizar.

"Kau rasa selesa di sini?" soal Haizar lagi.

"Selesa. Sekolah lama saya tak macam ni. Sekolah sini semuanya sistematik." Alyssa mengukir senyuman.

Haizar segera melarikan pandangannya apabila mata Alyssa bertaut dengannya. Dia meraba dadanya seketika. Kau dah kenapa Haizar? Haizar menarik nafas dalam lalu dihembus perlahan-lahan.

"Kurang ajar budak-budak form 2. Dah berani hisap rokok belakang blok kita," bebel Hykal dari jauh lalu mengambil tempat di sebelah Haizar.

"Kau buat apa dekat budak-budak tu?" soal Haizar.

Hykal melepaskan keluhan yang berat. Dia mengatakan bahawa dia menyuruh Adrian sahaja uruskan. Lagipun dia memang dah tak kuasa nak melayan sikap pelajar-pelajar tingkatan dua tersebut. Dari awal tahun hingga sekarang, ada sahaja masalah yang mereka timbulkan. Jangan-jangan kem itu diadakan pun sebab mereka.

"Kau suruh Adrian uruskan? Kau biar betul. Jangan sampai dia ulang benda yang sama sudah." Haizar menggeleng-geleng kepalanya.

Hykal dan Haizar tersedar sesuatu. Mereka terus berlari-lari anak ke arah belakang blok aspura. Nampaknya Adrian buat lagi. Lelaki itu sedang berdiri di hadapan kolah air di ampaian sambil menghentak-hentak kakinya.

"Biar korang rasa sikit macam mana kena rendam malam-malam ni kan. Baru seronok. Apalah sangat setakat rendam dalam kolah ni," ujar Adrian sinis.

Ketiga-tiga pelajar itu sudah mula menggigil di dalam kolah. Mereka dipaksa untuk berendam di dalam kolah air sehingga tamat waktu prep malam. Lagipun air kolah pada waktu begini boleh tahan sejuknya. Adrian menyandarkan tubuhnya pada dinding kolah air sambil sebelah tangannya memercikkan air pada pelajar-pelajar tersebut. Ini baru hukuman kecil sahaja. Dia pernah buatkan pelajar-pelajar yang bermasalah tidur di dataran asrama sehingga waktu pagi dengan hanya memakai seluar pendek sahaja.

"Weh Ad, sudahlah. Nanti demam pula budak-budak tu." Haizar menghampiri kolah air tersebut.

"Biarlah demam pun. Sekali-sekala ja nak mandi malam begini kan," ujar Adrian selamba lalu terus meninggalkan kawasan ampaian tersebut. Lagi lama dia berada di situ, makin banyak pula idea nakal bermain dalam fikirannya.

Haizar segera mengarahkan pelajar-pelajar tersebut keluar dari kolah air. Sempat lagi dia memberi amaran kepada pelajar-pelajar itu supaya tidak merokok lagi. Mungkin Adrian sudah kenakan dimerit pada pelajar-pelajar tersebut. Tambahan pula, dimerit yang diberikan untuk kesalahan merokok sangat tinggi. Cukup tiga kali melakukan kesalahan yang sama, pelajar akan digantung sekolah atau terus dibuang. Sistem yang digunakan oleh sekolah ini memang sangat ketat.

"Jomlah bro. Ada lebih kurang sejam sahaja lagi masa prep nak habis. Aku dengar malam ni makan bijirin ja." Haizar memeluk bahu Hykal lalu sama-sama melangkah ke arah Anjung Ilmu.

Kelihatan kelibat Adrian sedang berbual-bual dengan Laila dan Laili di tepi Anjung Ilmu. Alyssa pula masih sibuk dengan kerja-kerja yang diberi oleh mereka sebentar tadi. Haizar mengambil semula tempat di sebelah Alyssa lalu membuka buku sejarah semula. Dia memang suka membaca fakta-fakta sejarah pada waktu-waktu begini. Lagipun semester tiga akan bermula selepas cuti semester yang akan datang.

Hykal membelek-belek buku-buku milik Alyssa. Dia menggaru-garu kepalanya melihat soalan-soalan Matematik Tambahan yang berjaya diselesaikan oleh gadis tersebut. Kebanyakannya memperoleh markah penuh pula. Boleh tahan juga Alyssa ini. Silap hari, jadi pelajar terbaik sekolah pula.

"Kau dulu top student di sekolah lama kau ke?" soal Hykal sambil membelek-belek buku kimia pula.

Alyssa berhenti menaip lalu memandang Hykal. Bibirnya mengukir senyuman lalu perlahan-lahan menggeleng. Takkanlah dia nak mengaku pula kan. Biarlah orang tak tahu. Lagipun sejak di sekolah lama lagi Alyssa tak gemar menjadi perhatian. Selalunya pelajar yang ada potensi selalu diberi perhatian yang lebih. Itulah yang dia tak gemar sebenarnya. Kasihan pada rakan-rakan yang lain. Biarlah dia dilayan sama rata dengan pelajar yang lain.

"Saya dah siapkan semua kerja tu. Saya save dalam folder 'asrama' di desktop." Alyssa menghulurkan komputer riba pada Hykal.

Adrian segera menghampiri apabila mendengar kata-kata Alyssa. Boleh tahan laju juga dia buat kerja. Mereka segera mengambil tempat masing-masing untuk berbincang mengenai aktiviti yang akan dijalankan. Kali ini Adrian dan Hykal yang banyak mengeluarkan buah fikiran. Setelah berbincang mengenai beberapa aktiviti, mereka akhirnya mencapai kata sepakat untuk mendapatkan persetujuan pelajar senior yang lain mengenai aktiviti-aktiviti tersebut.

"Mengenai barang-barang yang diperlukan, aku akan jumpa penyelia untuk dapatkan duit esok. Korang cuma tulis barang apa yang diperlukan dan aku akan keluar ke pekan dengan warden untuk beli. Lagipun kami yang form 6 dah habis exam sem 2. Memang tak ada apa-apa dah sepanjang minggu sebelum cuti semester ni," terang Hykal.

"Pekan? Nak ikut." Adrian tersenyum mempamerkan barisan giginya. Jarinya sudah melata di bahu Hykal.

Hykal segera menepis tangan Adrian. Naik menyampah pula dengan si Adrian ni. Pantang sebut nak keluar pekan, mesti nak ikut saja.

"Weh malam ni makan bijirinlah," ujar Haizar teruja.

Adrian dan yang lain-lain sudah buat muka loya. Apa yang teruja sangat makan bijirin lemau tu. Buruk benar selera makan Haizar ni. Dalam banyak-banyak menu, bijirinlah yang paling tidak diminati oleh semua penghuni. Berbeza betul dengan si Haizar seorang ni. Dia siap hafal lagi hari yang ada menu bijirin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience