ALYSSA mengeluarkan semua isi beg sandangnya apabila perasan barang penting miliknya telah hilang. Semua zip dibuka lalu diselongkar dengan cermat. Mana pula hilang barang itu? Itulah satu-satunya kenangan yang dia ada dengan ibunya. Rantai emas bersama loket namanya itu sangat penting. Kalau rantai leher itu hilang, hilanglah satu-satunya harta yang dia ada. Dia juga sudah berjanji dengan ibu untuk menjaga rantai leher itu dengan baik.
"Kau cari apa?" soal Laili lalu mengambil tempat di hadapan meja Alyssa.
"Rantai aku hilang. Merata dah aku cari." Alyssa meraup wajahnya.
Hatinya takkan tenang selagi dia tidak menjumpai rantai tersebut. Laili menarik beg sandang Alyssa lalu dia memeriksa sekali lagi. Mungkin rantai itu tersembunyi dalam ruang-ruang beg tersebut. Laili menggeleng kepalanya menandakan rantai leher itu memang tak ada. Alyssa menyembamkan wajahnya ke atas meja.
"Last kau nampak rantai leher tu bila?" Laili mengusap tangan Alyssa. Dia tahu rantai leher itu sangat penting pada sahabatnya.
"Semalam sebelum waktu prep. Aku memang letak dalam beg ini."
Laili mengangguk. Dia terus meminta diri untuk mencari Nana di kelas. Lagipun waktu rehat juga akan tamat tidak lama lagi. Selepas rehat, semua pelajar 5 sains 1 perlu ke makmal biologi. Alyssa mengeluh lemah lalu menyimpan kembali semua buku dan barangannya ke dalam beg. Tiba-tiba ada tangan meletakkan seutas rantai di atas mejanya. Alyssa segera mencapai rantai lalu diciumnya berkali.
"Lain kali jangan cuai," ujar pemilik tangan itu mendatar.
Alyssa mengangkat pandangannya. Bibirnya mengukir senyuman melihat Hykal dengan wajah murungnya. Berkali-kali ucapan terima kasih diucapkan pada lelaki itu. Sebaik sahaja Hykal ingin melangkah meninggalkan kelas itu, Alyssa terperasan akan pergelangan tangan Hykal yang berdarah. Dahinya dikerutkan melihat darah tersebut. Dia segera berlari-lari anak mendapatkan Hykal.
"Eh, tangan awak kenapa ya?" soal Alyssa sebaik sahaja dia menghalang langkah Hykal.
"Jangan sibuklah. Aku dah pulangkan kau punya rantai kan. Blah." Hykal menolak Alyssa ke tepi.
Alyssa tetap berkeras untuk melihat pergelangan tangan lelaki itu. Tangan Hykal tiba-tiba sahaja spontan menepis tangan Alyssa kasar sehingga tubuh gadis itu terhempas ke dinding. Terkejut dengan tindakannya, Hykal cepat-cepat membantu Alyssa bangun. Tapi Alyssa menolak pertolongan yang dihulurkan oleh Hykal. Dia cepat-cepat bangun lalu berlari pulang ke kelas.
Hykal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pandangan matanya hanya menghantar langkah Alyssa yang semakin menjauh. Dia tiada niat pun sebenarnya nak berkasar. Matanya kini tertancap pada pergelangan tangannya yang berdarah. Tangannya itu berdarah akibat cuba mengambil rantai leher yang tersangkut pada rimbunan pokok berduri berhampiran Anjung Ilmu.
Sebenarnya secara tidak sengaja dia menjumpai rantai tersebut apabila ingin mengambil barang di Anjung Ilmu sebentar tadi. Sebaik sahaja membelek rantai yang tertera nama Alyssa, dia segera mencari gadis itu tanpa menghiraukan luka di tangannya.
"Hykal..." panggil Alyssa dari belakang secara tiba-tiba.
Hykal melangkah ke belakang beberapa langkah akibat terkejut dengan kehadiran gadis tersebut. Alyssa mencapai tangan Hykal lalu mengikat pergelangan tangan yang berdarah itu dengan sehelai sapu tangan.
"Semoga cepat sembuh."
Hykal mengangguk. Tiba-tiba sahaja lidahnya menjadi sangat kelu untuk berkata apa-apa. Alyssa hanya tersenyum lalu meminta diri. Pandangan mata Hykal tertancap pada pergelangan tangannya. Tanpa disedari bibirnya menguntum senyuman.
"Alyssa... terima kasih," bisik Hykal.
Hykal membawa langkahnya pulang ke kelas. Bibirnya masih lagi tidak lekang dengan senyuman. Setibanya di kelas, Hykal mencapai komputer riba lalu melangkah ke bilik MPP. Sebaik sahaja pintu dibuka, kelihatan kelibat Adrian dan Haizar sedang berbaring di atas kerusi yang disusun panjang. Mujurlah semester dua dah berakhir. Jadi mereka boleh jalankan aktiviti bebas sementara semester tiga belum bermula.
"Adrian, kau nak ikut keluar ke pekan tak petang nanti?" soal Hykal.
Adrian menggosok-gosok matanya yang agak kabur. Dengar sahaja perkataan pekan cepat saja dia terjaga. Kepalanya pantas dianggukkan.
"Tapi aku rasa nak bawa seorang senior perempuan lah. Aku dah tanya Laila tadi, tapi dia ada hal petang nanti. Agak-agak kau kita nak ajak siapa?" Hykal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Adrian termenung seketika sebelum bibirnya mengukir senyuman. Lancar sahaja nama Alyssa keluar dari bibirnya. Dia tahu, Alyssa takkan berani menolak kalau dia yang mengajak.
"Baiklah. Kau ajak dia petang nanti," tambah Hykal lagi. Dia kembali menumpukan perhatian pada komputer ribanya.
Adrian mengambil tempat di hadapan Hykal. Wajahnya menunjukkan dia ingin bertanya sesuatu yang agak penting.
"Weh, kau dengan Laili macam mana? Serius memanjang ja aku tengok?" soal Adrian bersama senyuman lebarnya.
Hykal memandang Adrian sekilas lalu kembali memandang skrin komputer riba. Bahunya terus diangkat menandakan dia juga tiada jawapan untuk soalan Adrian. Lagipun dia rasa hubungannya dengan Laili agak complicated sejak kebelakangan ini. Dia pun tidak tahu kenapa Laili seakan-akan menjauhkan diri daripadanya sejak dua menjak ini. Nak dikatakan mereka ada masalah, tiada pula mereka ada bertikam lidah.
"Eleh kau ni. Main rahsia pula. Aku dah pesan dekat kau jangan couple dengan budak junior. Kau nak juga dekat si Laili tu. Budak-budak ni, dia punya emotional boleh tahan tau."
"Tapi Laili bukan macam tu. Aku kenal dia. Dah dua tahun aku dengan dia kan," bidas Hykal.
Adrian mencebik. Sikit-sikit nak bela awek. Cubalah jadi macam dirinya yang kekal single ni. Tapi itulah, yang menyedihkan apabila dia dilabel sebagai buaya pula di sekolah ini kerana sikapnya yang suka berfoya-foya itu. Tapi Hykal pun apa kurangnya, dia juga dilabel sedemikian rupa. Cuma bezanya, Hykal sudah mempunyai kekasih hati dan statusnya itu langsung tidak diketahui oleh sesiapa melainkan teman rapatnya sahaja.
"Weh, aku nak pergi mesin 'gedegang' ni. Ada yang nak kirim?" ujar Haizar yang sedang mengeliat membetulkan urat-uratnya yang tegang.
Hykal dan Adrian menggeleng kepala mereka. Haizar hanya mengangguk lalu membawa langkahnya ke arah mesin minuman layan diri yang berada di hujung koridor. Haizar memasukkan dua keping wang RM1 ke dalam mesin tersebut lalu memilih air tin Coca Cola. Sedang dia menunggu air itu keluar dari mesin tersebut, bahunya ditampar daripada belakang.
"Eh Laili. Kau buat apa kat sini? Adrian nampak nanti habis kau." Haizar mengambil tin Coca Cola yang sudah keluar dari mesin tersebut.
"Mana Hykal?" soal Laili dingin.
Haizar menunjuk ke arah pintu bilik MPP yang tertutup rapat. Laili menghentak kakinya sekilas lalu melangkah ke arah bilik MPP tersebut. Tombol pintu dipulas kasar lalu langkahnya terus dibawa masuk ke dalam bilik tersebut.
"Weh Laili, pahal kau ceroboh blok ni?" tercengang Adrian melihat Laili.
Laili tidak menghiraukan kata-kata Adrian. Dia terus menarik tangan Hykal keluar dari bilik MPP. Langkah mereka dibawa menuruni anak tangga meninggalkan blok tingkatan enam.
"Apa ni Laili. Awak nak semua orang nampak ke?" Hykal merentap tangannya kasar.
Wajah Laili jelas menunjukkan ketegangan yang amat. Wajah Hykal dipandang penuh rasa marah.
"Awak tak patut buat saya begini. Saya boleh diamkan diri bila junior ganggu awak dan awak layankan saja. Tapi bukan dengan kawan saya sendiri."
"Apa awak cakap ni?"
"Sudahlah buat tak tahu tu. Saya nampak awak dengan Alyssa tadi," ujar Laili separuh menjerit.
Hykal mengeluh lemah. Wajahnya diraup kasar. Sebab ini saja Laili nak marah-marah begini. Makin lama makin dia tidak faham akan gadis di hadapannya ini.
"Awak tahu ke apa yang Alyssa buat tadi? Awak tahu ke pasal ni?" suara Hykal sudah separuh menjerit.
Dia membuka butang pada pergelengan kemejanya lalu membuka balutan sapu tangan lalu menunjukkan luka pada tangan yang masih berdarah. Terkesima Laili memandang tangan Hykal yang masih berdarah. Dia segera mencapai sapu tangan yang dipegang Hykal lalu mengikat tangan lelaki itu.
"Saya minta maaf," ujar Laili perlahan, menundukkan kepalanya.
"Kenapa awak jauhkan diri daripada saya dua tiga hari ini? Baru sekarang saya boleh bercakap dengan awak."
Laili mengeluh mendengar kata-kata Hykal. Bukannya dia hendak menjauhkan diri daripada Hykal. Tapi dia lakukan semua itu bersebab. Peperiksaan akan menjelang tidak lama lagi. Dia perlu fokus pada pelajaran. Dia ingatkan Hykal akan faham situasinya sepertimana dia faham situasi Hykal setiap kali menjelang peperiksaan.
"Saya perlu fokus untuk SPM. Keputusan peperiksaan bulan pertama pun dah merosot. Kalau SPM juga merosot habislah saya."
"Lain kali beritahu saya. Jangan diam begini saja."
Hykal mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya lalu dihulurkan pada Laili. Sekeping kertas putih sebesar tapak tangan itu kini berada dalam tangan Laili. Kertas itu terdapat bait-bait ayat suci Al-Quran yang sentiasa diamalkan oleh Hykal apabila dia buntu dan hampir berputus asa. Mungkin kini Laili pula yang perlukan kertas tersebut.
"Simpanlah. Amalkan ayat ini okay. Waktu rehat dah habis kan. Baliklah ke kelas. Nanti orang nampak kita pula."
Gadis di hadapan Hykal hanya mampu tersenyum. Dia terus menghayun langkahnya pulang ke kelas. Hykal pula hanya mampu menguntum senyuman melihat Laili yang main hilang pada pandangannya. Hykal kembali memandang sapu tangan yang terikat kemas pada pergelangan tangannya. Baru dia perasan nama Alyssa dikait pada penjuru sapu tangan tersebut.
Share this novel