JANTUNG Iris berdebar-debar saat jururawat sedang menolaknya dengan menggunakan kerusi roda untuk menuju ke bilik pengurusan jenazah. Dia masih tertanya-tanya, siapakah lelaki yang dikatakan suaminya tadi? Dan kenapa lelaki itu, mahu menguruskan jenazah anaknya?
“Puan, kita dah sampai ya? Suami puan pun, dah ada di dalam menunggu.” Jururawat yang bernama Fatihah terus menolak daun pintu.
Mata Iris merenung ke arah susuk tubuh lelaki yang bertubuh tinggi lampai itu, sedang berdiri membelakanginya.
“Encik Faliq. Isteri encik sudah berada di sini.”
Faliq? Bukan Haqim? Terpinga-pinga wajah Iris ketika ini.
Lelaki tersebut mula berpusing dan memandang ke arah Iris. Iris tersentak. Lelaki itu bukan Haqim. Tetapi lelaki ini siapa? Wajahnya nampak begitu dingin, langsung tiada senyuman di wajahnya. Walaupun wajahnya nampak dingin, tetapi itu langsung tidak mencacatkan ketampanan yang dimilikinya.
Faliq merenung wajah wanita itu, yang begitu pucat sedang merenungnya.
“Baiklah, saya tinggalkan puan dengan suami puan ya?” Fatihah terus sahaja berjalan meninggalkan Iris bersama Faliq di situ.
Setelah memastikan jururawat tersebut berlalu pergi, Iris terus memakukan pandangannya ke arah lelaki yang berwajah dingin itu. Dia mula menyusun kata.
“Er... encik ni siapa? Kenapa nurse tadi cakap, encik ni suami saya? Encik ke yang bawa saya ke hospital malam tadi? Tapi, apa-apa pun saya berterima kasih kepada encik. Dan terima kasih juga, tolong uruskan jenazah anak saya. Tanpa encik, saya tak tahulah apa akan jadi pada diri saya ni,” ucap Iris. Dia benar-benar terhutang budi dengan lelaki itu.
Faliq terdiam seketika. Ini bermakna, wanita itu memang tidak mempunyai suami. “Kau ingat aku nak sangat ke tolong kau?”
Iris tersentak mendengar kata-kata lelaki itu. “Er... apa maksud encik?”
“Aku tak nak banyak cakap. Ni jenazah anak kau dah siap mandi, dan dah dikapankan. Aku tolong sampai takat ini aje. Dalam buku rekod kesihatan kau tu, tak ada nama suami. Disebabkan aku tak nak pihak hospital tanya macam-macam, aku terpaksa mengaku yang aku ni suami kau. Kalau nak diikutkan, aku tak ingin pun nak tolong kau.” Faliq terdiam seketika.
Hati Iris terguris, tatkala mendengar bait-bait kata yang diucapkan lelaki itu tadi. Kenapa sungguh kasar? Jika tidak mahu menolongnya, kenapa lelaki itu membawanya juga ke hospital?
“Tapi kenapa encik tolong saya juga?”
“Kenapa aku tolong kau? Aku berhenti tepi jalan, sebab nak jawab call. Aku tak tahu, kau dah terbaring dekat tepi jalan tu. Dan kau dah tak sedarkan diri. Takkan aku nak tinggalkan kau macam tu aje? CCTV banyak dekat area situ. Sekarang ni zaman viral. Kalau kau mati dekat situ? Pasti aku yang kena. Bodoh betullah, kenapalah aku boleh berhenti dekat tepi jalan tu.” Faliq mendengus kasar. Dia berasa sungguh malang pada hari itu. Dan dia juga telah memutuskan pertunangannya malam tadi, gara-gara tunangnya tidur dengan lelaki lain.
“Saya, saya minta maaf...” ucap Iris perlahan.
“Mana suami kau? Jangan cakap, kau mengandung anak luar nikah?” Faliq tersenyum mengejek.
Berderau darah Iris, apabila dia mendengar kata-kata Faliq ketika ini. “Encik tak berhak nak cakap macam tu pada saya!”
Faliq tersenyum lagi. “Huh! Perempuan. Semua perempuan sama aje. Tak pandai nak jaga diri langsung. Tunduk dengan pujuk rayu lelaki! Dasar perempuan murahan!”
“Encik Faliq!” Suara Iris naik seoktaf. Sungguh dia tidak dapat menerima kata-kata lelaki itu.
Faliq memandang wajah wanita di hadapannya. Berani-beraninya, wanita itu menaikkan suara kepadanya.
“Saya bukan perempuan yang tunduk dengan pujuk rayu lelaki. Encik Faliq tak patut cakap macam tu pada saya. Dan, terima kasih sebab dah bantu saya, dan bantu mandikan arwah anak saya, sehinggalah dia dikapankan. Dan saya minta Encik Faliq, tolong keluar dari sini. Saya tak nak tengok muka Encik Faliq di sini lagi.” Iris mengalihkan pandangannya ke arah lain.
“Kau tak nak tengok muka aku? Aku lagilah tak ingin nak tengok muka kau! Jijik aku tengok perempuan macam kau ni. Kau dengan tunang aku sama aje, dua kali lima!” Disebabkan dia tidak mahu ada perbalahan antara mereka berdua, akhirnya Faliq berjalan meninggalkan Iris di situ.
Air mata yang ditahan tadi, akhirnya tumpah jua. Iris teresak-esak menangis di situ. Kenapa orang luar mengatakannya perempuan murahan? Dia bukan perempuan murahan. Bukan.
Pandangannya dihalakan pada sekujur tubuh anaknya yang sudah dibaluti dengan kain kapan. Iris perlahan-lahan bangun dari kerusi roda. Kaki dihayun perlahan menuju ke arah anaknya.
Wajah anaknya ditenung lama. Nampak kelihatan tersenyum anaknya itu. Langsung tidak kelihatan sudah meninggal dunia. Wajah anaknya itu, lebih kepada raut wajahnya.
“Maafkan ibu ya sayang? Ibu tak jaga betul-betul kandungan ibu. Tunggu ibu dekat syurga ya nanti?” Satu kucupan diberikan pada ubun-ubun anaknya itu.
FALIQ melemparkan kesemua fail-fail di atas meja. Serabut kepalanya, tatkala memikirkan tunangnya. Sehingga kini, masih terbayang-bayang tunangnya itu sedang memadu asmara di atas katil, bersama dengan seorang lelaki.
“Sial!” jerit Faliq.
Tiba-tiba daun pintu dibuka. Muncul Datin Hanani. “Apa kena dengan kamu ni ha? Dari tadi, tak habis-habis nak mengamuk. Kalau ada masalah kerja dekat pejabat pun, tak perlu nak bawa sampai ke rumah.” Dari tadi, dia mendengar bunyi bising dari bilik kerja anak lelakinya itu. Tidak pernah-pernah Faliq bersikap seperti itu.
“Apa kena dengan Liq? Ini semua salah mama!”
“Apa kamu cakap ni?” Datin Hanani tidak mengerti.
“Liq dah putus tunang dengan Asha. Antara Liq dengan Asha dah tak ada apa-apa. We are over!”
“Apa? Kamu cakap apa ni Liq? Kenapa kamu putus dengan Asha?”
“Mama pergilah tanya sendiri pada bakal menantu tak jadi mama tu. Liq dah curahkan kasih sayang dan cinta Liq pada dia, alih-alih dia curang dengan Liq, mama tahu tak!” Faliq bersuara keras.
Ya, Asha adalah wanita pilihan mamanya. Pada awalnya, dia langsung tidak bersetuju untuk menerima Asha dalam hidupnya. Setelah didesak oleh mamanya, akhirnya Faliq menerima Asha sebagai tunangnya. Hampir setahun bertunang, barulah Faliq betul-betul mencintai Asha. Tetapi apakan daya, Asha pula curang dengannya.
“Mana kamu tahu yang Asha curang dengan kamu? Tak mungkin anak Datin Asnah boleh curang.”
“Liq, tak nak cakap pasal dia. Yang penting sekarang ni, Liq dah putuskan pertunangan dengan dia. Ni, ambil balik cincin tunang ni. Mama bagi dekat dia balik. Cincin yang Liq bagi dekat dia, suruh dia buang.” Faliq bangun dari kerusi.
“Maaf Datin. Cik Asha ada di bawah. Dia nak jumpa dengan Tuan Faliq.” Muncul Mak Zah yang merupakan orang gaji di rumah mereka.
“Asha ada dekat bawah?” Datin Hanani memandang Faliq.
“Mak Zah beritahu dekat dia, saya tak nak jumpa dia. Kami dah putus tunang. Saya jijik tengok perempuan kotor tu.” Faliq terus sahaja berjalan meninggalkan mamanya di situ.
“Liq! Kamu nak ke mana? Pergi jumpa Asha,” laung Datin Hanani. Dia sebenarnya masih terkejut, yang anaknya sudah memutuskan pertunangannya dengan Asha. Apa maksudnya Faliq mengatakan Asha ‘perempuan kotor’?
“Liq! Mama tak habis cakap ni!” Tetapi Faliq langsung tidak mengendahkan panggilannya.
Datin Hanani terus berjalan ke bawah untuk bertemu dengan Asha. Dia perlu tahu, apa penyebabnya, Faliq memutuskan pertunangan? Benarkah, Asha curang dengan anak lelakinya itu?
Tiba sahaja di bawah, kelihatan Asha sedang berdiri memandangnya.
“Mama...” panggil Asha perlahan. Asha sudah terbiasa memangil Datin Hanani dengan panggilan mama. Itu pun setelah Datin Hanani yang menyuruhnya.
“Asha explain to me. What happened? Betul ke, Liq dah putuskan pertunangan dengan kamu? Kenapa dia cakap kamu curang dengan dia?”
Asha terdiam seketika. Dia menundukkan kepalanya. Cuba untuk memikirkan apa yang perlu dia sampaikan pada Datin Hanani.
“Kenapa diam? Betul ke, Asha curang dengan Liq?”
“Hey betina sial! Kau buat apa dekat dalam rumah ni lagi? Berambuslah. Memang muka tak tahu malulah kau ni, kan?” Faliq menahan marah.
“Liq, I tahu I salah. Tolong maafkan I...”
“Maafkan kau? Dah berapa jantan kau serahkan body kau?”
“Liq, mana ada ramai jantan. Just dia aje. I tahu, I tak patut curang dengan you. Tapi, percayalah, hanya you yang I cinta. Not him...” Asha cuba merapati Faliq.
“Just dia aje? Langsung tak ada maruah betullah kau ni. Pergi berambus kau sekarang. Betullah kau ni memang perempuan tak tahu malu. Kenapalah aku tak dengar kata-kata kawan aku dulu. Sebabkan aku percayakan kau, aku tak nak selidik kau. Tapi, disebabkan aku nampak dengan mata aku sendiri tempoh hari, aku terpaksa ekori kau, mana kau pergi. Dan ternyata kau memang curang di belakang aku! Kau berambus! Antara kita dah tak ada apa-apa lagi!”
“Liq, don’t do this to me. I love you so much. Lagi tiga bulan kita nak menikah, takkan you nak putuskan juga...”
“Oh, supaya aku jadi pak sanggup? Entah-entah kau dah mengandung sekarang ni, kan?”
“Liq, kamu cakap apa ni?” Datin Hanani bersuara. Dari tadi dia mendiamkan dirinya, kerana mahu mendengar perbualan di antara mereka berdua.
“Mama dah dengarkan? Kenapa nak tanya lagi? Betina ni, dah tidur dengan jantan lain, mama tahu tak? Liq tak nak jadi lelaki dayus. Takkan Liq nak kahwin juga dengan betina ni? Entah berapa jantan dia dah tidur. Liq pun tak pernah sentuh dia tahu, sepanjang kami bertunang.” Faliq memandang jijik ke arah Asha.
“Mama, betul Asha curang dengan Liq. Tapi, Asha hanya cintakan Liq...”
“Cinta? Shit!” Faliq mahu berlalu dari situ, tetapi lengannya ditarik Asha.
“Liq, I’m begging you. Please, jangan tinggalkan I. I tahu I salah. Tolong, jangan putus dengan I...” Asha mula menangis teresak-esak. Silapnya juga, kerana tidak berhati-hati. Dia tidak dapat membuang sikapnya yang suka keluar dengan lelaki lain. Ya dia tahu, dia telah curang. Tetapi, perasaannya pada Faliq tidak pernah berubah.
Faliq terus sahaja menolak tubuh Asha dari menyentuhnya. Dia benar-benar jijik dengan Asha. “Kau berambuslah! Kau tak faham-faham ke? Kalau aku nak cari isteri, aku nak cari yang pandai jaga diri! Bukan betina macam kau ni!”
“Liq! Elok sikit bahasa tu! Semua orang pernah buat silap. Tak perlu nak cakap Asha macam tu.” Datin Hanani benar-benar geram dengan kata-kata Faliq tadi. Langsung tidak berlapik apabila berkata-kata.
“Oh really? Seperti mana mama curang dengan arwah daddy dulu?” Faliq tersenyum sinis. Dia terus sahaja berlalu pergi dari situ. Tiba-tiba bapa tirinya berhenti di hadapan pintu. Faliq memandang wajah bapa tirinya. Sungguh dia berasa meluat melihatnya. Ibunya sudah dua tahun berkahwin lain, setelah bapanya meninggal dunia. Sehingga kini, Faliq masih tidak dapat menerima kehadiran bapa tirinya itu.
Datin Hanani masih terdiam apabila mendengar kata-kata Faliq tadi.
“What happened?” soal Dato' Yahya.
“Liq dah putuskan pertunangan dengan Asha.”
“Sebab apa pula?” soal Dato' Yahya lagi, sambil pandangannya dihalakan ke arah Asha.
“Asha curang dengan Liq.” Datin Hanani terdiam seketika.
“Asha, mama tak boleh nak buat apa dah. Nanti mama pergi jumpa ibu kamu. Beritahu tentang ni semua,” sambung Datin Hanani.
“Tapi mama. Asha tak nak putus. Asha betul-betul cintakan Liq. Please mama...” rayu Asha.
“Maaf, mama tak boleh tolong...” Datin Hanani, benar-benar terasa dengan kata-kata Faliq. Ya, dia tahu dia pernah curang dulu. Sehingga ke hari ini, dia menyesal dengan apa yang telah dia lakukan. Dato' Yahya merupakan kekasihnya dulu, sehinggakan dia sanggup curang dengan arwah suaminya.
FALIQ baru teringat tentang keadaan keretanya yang masih belum dicuci. Esok dia perlu ke Ipoh, untuk menghadiri satu mensyuarat. Dia terus sahaja bangun, sambil menggapai kunci keretanya.
Tiba sahaja di bawah, Pak Wan terus sahaja dicari.
“Pak Wan...” panggil Faliq.
Terkocoh-kocoh Pak Wan menuju ke arah Faliq. “Ya tuan?”
“Kereta saya tu, tolong hantar car wash boleh tak? Esok saya nak ke oustation. Ada darah dalam kereta saya tu. Berbau hanyir sikit.”
“Darah? Kamu buat apa Liq? Sampai ada darah? Kamu cederakan diri kamu ke, disebabkan Asha buat hal?” Datin Hanani berdiri memandang Faliq, dengan riak wajahnya yang kerisauan.
“Cederakan diri? Ingat Liq ni apa? Disebabkan betina tu, Liq nak cederakan diri?”
“Habis tu, kenapa ada darah?”
“Tolong orang bersalinlah. Liq hantar perempuan tu ke hospital.” Faliq terdiam seketika. Teringat pula wajah wanita yang ditolongnya. Kejamkah dia, kerana memanggil wanita itu dengan panggilan perempuan murahan? Arh, tapi dia sama sahaja dengan Asha. Kalau dia bukan wanita seperti itu, kenapa tiada nama suami di dalam buku rekod kandungan ibu?
“Okeylah, Pak Wan. Tolong ya, hantar hari ni juga.” Faliq mahu berlalu dari situ, tetapi ditahan Datin Hanani.
“Liq, please. Kembalilah pada Asha. Kesian dia Liq. Dia menangis tak sudah-sudah. Ya, dia buat silap sebab curang. Tapi, dia cintakan Liq.”
“Liq, tak nak perempuan yang dah tak ada apa untuk diberikan kepada suami. She’s not my type anymore. Sorry, I’m not interested.” Faliq terus sahaja berlalu pergi dari situ.
Datin Hanani mengeluh perlahan. Tadi, dia menerima panggilan dari Datin Asnah, supaya pertunangan diteruskan. Tetapi dia tidak mampu untuk memujuk Faliq. Ini kerana, Faliq adalah seorang yang degil.
Dulu, sewaktu dia meminta Faliq untuk menerima Asha, agak begitu payah. Hampir tiga bulan dia memujuk, barulah Faliq menerima Asha. Itu pun hubungan anaknya bersama Asha, seperti kaku, dan tidak nampak seperti pasangan kekasih. Setelah setahun bertunang, barulah nampak Faliq menyukai Asha. Tetapi sekarang, Asha pula yang membuat masalah.
Macam mana cara mama nak buat lagi? Mama tak mampu nak pujuk Liq. Gumam Datin Hanani.
Share this novel
bagus banget, terharu