HR 1 - BERSALIN

Romance Completed 306075

Note : Kepada yang nak topup Ncoins, terlebih dahulu kena update apps NovelPlus di playstore. Takut ada masalah Ncoins tak masuk pula nanti. Kalau apps dah up to date, boleh sahaja topup Ncoins seperti biasa. Kalau ada yang dah topup tapi tak dapat Ncoins boleh email ke
Jangan lupa screenshot bukti pembelian dan juga profile NP anda. Dan seterusnya email kepada pihak NP.

BERULANG kali Iris menghubungi Malia. Tetapi langsung tidak dapat dihubungi. Ke mana pula, rakannya itu pergi? Kenapa masih belum pulang? Bagaimana dia harus ke hospital tanpa rakan baiknya itu?

Iris memegang perutnya. Sekejap-sekejap mengeras. Sekejap-sekejap sakitnya hilang. Dan tidak berapa minit, sakitnya datang kembali. Seakan mahu patah pinggangnya ketika ini. Dia tidak dapat menahan rasa sakitnya. Adakah ini tanda-tanda yang dia akan bersalin?

Bibir digigit kuat menahan sakit. Dia cuba untuk bangun, tetapi dia tidak berdaya.

Allah... sakitnya. Sakitnya... Iris memegang bawah perutnya.

Perlahan-lahan Iris bangun dari katil. Dia perlu ke hospital sekarang. Dengan kudrat yang dia ada, dia cuba juga untuk berjalan keluar dari biliknya. Jam pula sudah menunjukkan pukul 11.30 minit malam.

Iris tiada sesiapa lagi, selain Malia. Malia sahajalah yang dia ada. Keluarganya sudah lama membuangnya, gara-gara dirinya yang mengandungkan anak luar nikah.

Tetapi itu bukan salahnya. Sebenarnya Iris telah dirogol, ketika pulang dari tempat kerja. Walaupun berulang kali dia memberitahu yang dirinya dirogol, ibu bapanya tetap tidak mempercayainya.

Kekasih Iris iaitu Haqim, turut meninggalkannya gara-gara dirinya yang sudah tidak suci lagi. Lebih-lebih lagi, dia sepatutnya bertunang dengan Haqim lebih kurang dalam dua minggu sahaja, pada waktu itu.

Beg tangan dicapai. Belum sempat Iris mahu berjalan keluar dari bilik, tiba-tiba sahaja ada cecair suam-suam panas telah mengalir laju dari celah kelangkangnya. Iris tergamam. Cecair apakah yang keluar ketika ini?

Air ketuban ke ni? Fikir Iris. Habis lencun kain yang dipakainya. Iris tidak mahu menunggu lama lagi. Dia perlu ke hospital dengan segera, tanpa menukarkan dengan kain yang baru.

Iris terpaksa gagahkan dirinya untuk berjalan keluar dari rumah. Satu beg pakaian bersaiz sederhana, sudah siap diisi dengan buku rekod kesihatan ibu, dan juga beberapa kelengkapan bayi. Telefon bimbit dikeluarkan dari beg tangan. Sekali lagi nombor telefon Malia dihubungi. Tetapi hanya masuk ke dalam peti simpanan suara sahaja.

Tak boleh jadi ni. Aku kena ke hospital sekarang. Fikir Iris. Pintu terus dibuka, dan Iris berjalan keluar dari rumah sewanya.

Kaki dihayun dengan laju untuk menuju ke hentian bas, walaupun sebenarnya dia sudah tidak mampu untuk berjalan lagi.

Belum sempat Iris tiba di hentian bas, tiba-tiba sahaja kakinya tersadung pada batu, lalu tubuhnya tersembam di atas tanah, dengan perutnya juga turut terhempas dengan kuat.

“Allah!” jerit Iris. Menyeringai wajahnya menahan sakit. Perutnya yang membulat dipegang dengan kuat. Bau darah, mula menusuk ke rongga hidungnya. Iris mula kaget, apabila melihat darah mula membasahi kain yang dipakainya.

Tubuhnya mula lemah. Dia tidak mampu untuk bangun dari atas tanah tersebut. Tetapi tiada sesiapa pun yang ada di situ, supaya dapat membantunya untuk bangun.

Iris cuba menggapai pagar di sebelah kirinya, tetapi dia terjatuh semula di situ. Air matanya mula bergenangan. Kenapalah nasibnya sebegini rupa?

Tiba-tiba kedengaran sahutan anjing yang begitu kuat dari arah belakangnya. Iris mula memalingkan wajahnya. Ada beberapa ekor anjing liar sedang merenungnya dengan renungan yang tajam, seakan mahu mengejarnya. Pasti anjing-anjing tersebut telah tercium bau darahnya.

Nak tak nak, Iris terpaksa gagahkan juga dirinya untuk bangun semula. Tanpa menunggu lagi, Iris terus sahaja melarikan diri, dengan keadaan dirinya yang semakin lemah. Baru sahaja beberapa langkah, Iris terjatuh semula.

Ya Allah, aku tak mampu lagi. Aku redha Ya Allah.

Gong! Gong! 

Bunyi anjing sudah semakin hampir. Mata Iris perlahan-lahan tertutup. Akhirnya dia sudah tidak sedarkan diri di situ.

 

 
“BETUL ayah. Iris tak buat benda-benda terkutuk macam tu. Iris kena rogol. Iris kena rogol.” Iris memeluk kaki Saad iaitu bapa kandungnya. Selepas pulang dari klinik tadi, ibu bapanya tidak henti-henti memaki hamunnya, apabila mengetahui yang dirinya sudah mengandung tiga bulan.

“Kena rogol? Kenapa baru sekarang kamu nak cakap, kamu kena rogol? Kalau aku tak dengar kamu muntah-muntah semalam, mesti sampai ke hari ini aku tak tahu kamu mengandung! Kamu tahu tak, kamu dah mengandung tiga bulan? Tiga bulan kamu tahu tak!” tengking Saad.

Air mata Iris tidak henti-henti mengalir. Dia mula menuju ke arah ibunya pula.

“Iris takut. Iris takut nak beritahu mak dengan ayah. Iris tak nampak wajah lelaki yang rogol Iris.” Air matanya semakin mengalir laju. Ya, dia tidak tahu siapakah yang merogolnya. Ini kerana, wajah lelaki itu ditutup separuh dengan kain hitam. Yang kelihatan, hanya matanya sahaja.

“Kamu jangan nak tipu akulah. Adik kamu cakap, kamu sendiri yang serah diri. Dia dengar kamu cakap telefon dengan lelaki mana entah. Siap cakap nak tidur hotel. Kamu tahukan, kamu tu orang islam? Tahu tak, semua tu salah di sisi agama? Kamu tahukan! Ini, lagi dua minggu keluarga Haqim nak datang merisik kamu. Mana mak dengan ayah nak letak muka?” Irani memukul belakang badan anak perempuan sulungnya. Sungguh dia tidak dapat menerima hakikat yang anak perempuannya sanggup menconteng arang pada wajah mereka.

Iris memandang Irma. Sungguh dia tidak sangka, adik perempuannya sanggup menabur fitnah sebegitu rupa.

“Sampai hati kau Irma? Bila masa akak cakap dekat telefon macam tu? Akak tak pernah sikit pun cakap macam tu. Apatah lagi nak ke hotel. Fitnah apa yang kau cuba buat?”

Irma memandang wajah kakaknya. Satu senyuman sinis diberikan kepadanya. “Takkanlah Irma nak tipu mak dengan ayah. Memang Irma dengarlah, apa yang akak cakap. Kalau betul akak kena rogol, kenapa baru hari ini nak beritahu? Dah mengandung, dan-dan beritahu kena rogol. Orang bodoh aje, boleh reka cerita macam tu.”

“Kau!” Iris mahu menyerang adik perempuannya. Belum sempat dia berbuat begitu, tubuhnya terus ditarik Saad. 

Pang!

Satu tamparan diberikan pada wajah anak sulungnya itu.

“Aku nak, kau berambus dari rumah ni!” jerkah Saad.

Iris memegang pipinya akibat ditampar bapa kandungnya tadi. Dia terpinga-pinga ketika ini. “Ayah?”

“Aku bukan ayah kau lagi. Kau berambus! Anak tak guna!”

“Ayah! Mak!” Iris meraung.

“Keluar! Aku cakap keluar!” jerit Saad lagi.

Irma terus menarik kakaknya keluar dari rumah. Beg pakaian kakaknya juga, turut dicampak keluar.

Iris masih di dalam keadaan terkejut. Dia tidak sangka, dirinya dihalau dari rumah tersebut. Dan dia juga tidak dapat menerima, dengan kata-kata ayahnya tadi.

“Mak...” Iris menangis lagi.

“Aku bukan mak kau lagi. Anak aku hanya Irma sahaja,” kata Irani.

Irma tersenyum gembira. Puas hatinya. Selepas ini, tiada lagi nama Iris disebut di dalam rumah itu lagi. Hanya dia sahaja, anak kepada ibu bapanya. Kalau tidak sebelum ini, hanya nama Iris sahaja yang disebut oleh ibu bapanya. Ya, dia cemburu! Kadang-kadang, dia merasakan dirinya langsung tidak wujud.

Dan selepas ini, Haqim. Ya, Haqim. Dia tidak kisah, jika dia perlu menggantikan tempat kakaknya, sebagai tunang lelaki itu. Lebih-lebih lagi, dia turut menyukai Haqim, sejak dari dulu lagi.

 

 

“TIDAK!” jerit Iris. Dia terus terjaga dari tidur. Matanya terus memandang keadaan sekeliling. Dia kini sudah berada di hospital. Siapakah yang membawanya ke hospital?

Dalam masa yang sama, Iris menarik nafas lega, apabila melihat cadar tilam yang tertulis Hospital Kuala Lumpur. Dia kini berada di hospital kerajaan. Tidak pening kepalanya, untuk membayar kos rawatannya nanti. Jika swasta, di mana dia mahu mencari wang?

Perutnya dipandang seketika. Terasa sedikit perit. Perlahan-lahan dia menyelak baju yang dipakainya. Kelihatan ada jahitan pada bawah perutnya. Ini bermakna, dia sudah pun bersalin. Tetapi, di manakah anaknya? Kenapa anaknya tiada di sisi?

“Puan Iris?” Muncul seorang jururawat di situ, sambil tersenyum.

Iris memandang wajah jururawat tersebut, dengan wajahnya yang masih kebingungan. Ada name tag di bahagian dada wanita itu, yang tertulis Fatihah.

“Puan dah sedar?”

“Ya. Er, nurse... mana anak saya?”

Jururawat tersebut tersenyum lemah. Agak berat dia mahu menyampaikan berita kepada Iris.

“Terlebih dahulu, kami nak minta maaf pada puan. Sebenarnya, anak puan sudah tiada. Kami sudah sedaya upaya cuba untuk selamatkan anak puan, tetapi tidak berjaya.”

“Apa maksud nurse?”

“Anak puan, dah tak ada. Dia dah meninggal terlebih awal di dalam kandungan.”

“A... apa? Maksudnya anak saya dah meninggal dunia? Dia dah tak ada?” Air mata Iris mula bergenang.

“Ya puan. Maafkan kami. Dia meninggal dunia di dalam kandungan, tanpa sempat kami selamatkan. Lebih-lebih lagi puan mengalami pendarahan yang teruk ketika tiba di hospital ni.”

“Ya Allah...” Iris mencebik menahan tangis. Sungguh dia tidak sangka, anak yang dikandung sembilan bulan, sudah pun pergi meninggalkannya.

“Maafkan kami puan.” Jururawat yang bernama Fatihah menghampiri Iris, lalu bahu wanita itu disentuh lembut.

“Tak apa. Lagi pun salah saya. Saya tak berhati-hati.” Iris masih menundukkan kepalanya.

“Er, suami puan sekarang ini dekat bilik mandi jenazah. Sebentar lagi, kami akan membawa puan melihat jenazah anak puan, untuk kali yang terakhir.”

Iris tersentak. Suami? Bila masa pula dia ada suami? “Suami? Suami saya?”

Iris tidak mengerti. Siapakah lelaki yang menyamar menjadi suaminya? Adakah Haqim?

“Ya, puan. Baiklah, puan rehatlah dulu. Nanti dah siap semua, kami akan bawa puan ke sana.”

Iris masih tertanya-tanya. Adakah Haqim? Haqim sedang menguruskan jenazah anaknya? Jururawat tersebut terus berlalu keluar. Iris termenung seketika.

Anak ibu... maafkan ibu sayang. Ibu tak dapat nak bawa sayang melihat dunia. Maafkan ibu. 

Iris menangis teresak-esak di situ. Walaupun dirinya telah dirogol oleh lelaki yang tidak dikenalinya, dan telah menyebabkan dirinya mengandung, Iris sikit pun tidak terfikir mahu menggugurkan kandungannya.

Ini kerana, anak yang dikandungnya langsung tidak bersalah. Iris redha. Redha dengan ketentuan yang diberikan oleh Allah S.W.T. Setiap perkara yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Biarlah anaknya itu pergi, dari anaknya menanggung malu. Nanti apa yang perlu dijawabnya, jika anaknya nanti bertanyakan siapakah ayahnya? Takkan dia mahu memberitahu, yang ibunya ini telah dirogol?

Pergilah sayang. Nantikan ibu di syurga ya nanti? Air mata diseka. Sekarang ini, siapakah yang menguruskan jenazah anaknya?

 

 

IRANI terjaga dari tidur. Dia memandang jam di sisinya, yang sudah menunjukkan pukul 5.30 minit pagi. Tadi, dia telah bermimpikan anak perempuannya Iris. Apa khabar anaknya sekarang ini?

“Kenapa dengan awak ni?” Saad turut terjaga dari tidur. Dia memandang wajah isterinya, yang kelihatan muram.

“Saya... saya mimpikan Iris.”

Wajah Saad mula merah menahan marah. “Saya dah cakapkan, jangan sebut nama perempuan tu dalam rumah ni! Awak tak faham-faham ke!”

“Tapi abang, dia tu anak kita. Awak tak kesian ke dekat dia? Mesti dia dah bersalin sekarang ni, kan abang? Kita bawa dia balik nak tak?”

“Irani!”  suara Saad naik seoktaf.

Terenjut bahu Irani ketika ini. 

“Aku tak nak perempuan yang tak ada maruah diri dalam rumah ni! Dia dah conteng arang pada wajah kita! Anak kita hanya Irma! Dia seorang sahaja anak aku! Lepas ni, kalau aku dengar lagi kau sebut nama Iris lagi, aku ceraikan kau, kau faham tak!”

“Abang!” Membulat mata Irani mendengarnya.

Saad terus sahaja bangun dari katil. Lama-lama dia di situ, takut hilang kesabarannya nanti.

Irani terus menangis teresak-esak, mengenangkan anak perempuan sulungnya. Dia benar-benar rindukan Iris. Sejak Iris dihalau, Irani benar-benar sunyi. Dia tidak tahu, benarkah Iris sebenarnya dirogol? Ataupun sebenarnya, memang betul anak perempuan nombor duanya menabur fitnah?

Dia perlukan jawapan. Irani terus sahaja bangun, dan menuju ke bilik Irma. Pintu terus sahaja dibuka dengan kasar.

“Irma! Bangun Irma!”

“Ee, apa ni. Orang ngantuklah.” Irma masih memejamkan matanya.

“Mak nak tanya ni. Betul ke kakak kamu Iris tu, tidur hotel? Ke sebenarnya memang dia kena rogol?”

Irma yang dari tadi memejamkan matanya, terus sahaja membuka matanya. “Apa mak ni? Pagi-pagi buta datang bilik orang, nak tanya pasal perempuan tu kenapa?”

“Mak tanya ni. Betul ke Kak Iris pergi tidur hotel dengan lelaki?”

“Betullah, takkanlah Irma nak tipu? Ee, apa benda mak ni? Benda dah lama, tiba-tiba hari ni nak tanya pula? Sudahlah, janganlah kacau. Penat ni. Kejap lagi nak pergi kerja lagi.”

Irma terus merebahkan badannya semula. Selimut terus ditarik. Dia berasa sakit hati, apabila nama Iris disebut. Sedangkan sudah berapa bulan kakaknya itu telah pergi meninggalkan rumah itu. Jangan cakap pula, yang maknya mahu Iris dibawa pulang semula?

Assalammualaikum, lama dah Alin tak publish novel baru. Jemput pembaca semua support novel baru Alin. Dan untuk pengetahuan semua, novel ini adalah novel versi unlock chapter. Insya-Allah, jika berkesempatan, Alin akan buat novel versi free reading pula, selepas tamatnya novel HR ni. Terima kasih.

Share this novel

Mrs aish
2022-10-12 00:01:01 

ajak dah tgk tp tak da pun..maaf ganggu mlm2

Mrs aish
2022-10-11 23:55:48 

ok..tq

Mrs aish
2022-10-11 23:51:52 

e-mail NP apa yer..


NovelPlus Premium

The best ads free experience