FATIHAH memarkirkan keretanya di dalam pagar rumah sewanya. Setelah itu, dia menghalakan pandangannya ke arah Iris.
“Iris, inilah rumah sewa saya. Bulan ni, awak tak payah bayar sewa. Saya tolong bayarkan dulu. Dan saya pun, dah beritahu dekat tuan rumah,” ujar Fatihah tersenyum manis.
“Awak betul ke nak bayarkan? Serba salah pula saya. Saya ingatkan nak tumpang dalam beberapa hari aje.”
“Nak tumpang buat apa? Baik awak menyewa sekali aje.”
“Tapi awak... deposit lagi. Banyak nak kena bayar tu.”
“Tak apa. Tuan rumah kata, tak payah bayar deposit. Dia suruh bayar sewa aje.”
Ya, Iris akan menyewa bersama-sama Fatihah dengan seorang lagi rakan Fatihah. Pada awalnya Iris menolak, tetapi setelah didesak Fatihah, akhirnya Iris bersetuju.
“Saya tak tahu nak cakap mana. Saya benar-benar terhutang budi dengan awak Tihah. Kalau tak ada awak, tak tahulah dekat mana saya nak tinggal lagi. Entah-entah dekat tepi jalan kut.” Iris melepaskan keluhan yang berat.
“Janganlah cakap macam tu Iris. Macam saya cakap dulu, saya memang suka tolong orang. Mana tahu, hari ini hari awak. Esok lusa hari saya pula, kan?”
Iris tersenyum. “Bila saya dah dapat kerja nanti, saya bayar duit awak semula ya Tihah?”
“Itu nanti-nanti kita cerita. Jangan pening kepala, nak fikirkan pasal duit tu okey?”
Iris mengangguk. “Er, kawan awak okey ke, saya menyewa sekali ni?”
“Dia okey. Saya dah beritahu dia. Lagi pun, kami berdua aje tinggal di rumah ni. Nama dia Zya. Sekarang ni dia tak ada di rumah. Dia kerja. Petang nanti baru dia balik. Dah jom masuk. Saya nak tunjukkan bilik awak.”
Iris terus membuka pintu kereta, dan menuju ke bonet kereta untuk mengambil beg pakaiannya.
“Lagi satu awak. Dekat area sini, senang dapat public transport. Awak perlu jalan depan sikit aje. Memang akan ada bas berhenti, untuk ambil penumpang.”
Iris mengangguk tanda faham. Setelah itu, mereka berdua berjalan masuk ke dalam rumah. Fatihah terus menunjukkan bilik pada Iris.
“Ini bilik awak.” Fatihah memulas tombol pintu.
Iris tercengang melihat keadaan bilik, yang cukup cantik dah kemas. “Cantiknya bilik ni. Saya ingatkan bilik ni kosong.”
“Masa saya pindah dengan kawan saya, tuan rumah memang dah beritahu, rumah ni fully furnished. Kita orang hanya bawa diri aje.” Fatihah tersengih.
“Hmm, awak. Kalau saya bayar seratus lima puluh dulu boleh tak? Segan pula saya. Masuk-masuk free macam tu aje.”
“Iris? Kan saya dah cakap tadi? Ee, geramlah dengan awak ni.”
“Alah, saya cuma cakap aje.”
“Awak cari kerja dulu. Dah dapat gaji nanti, awak start bayar sewa okey?
Iris tersenyum sedikit. “Okeylah, kalau awak dah cakap macam tu. Terima kasih tau?”
“Sama-sama. Ni, ada nak saya tolong apa-apa ke?”
“Tak payah. Saya nak kemas baju aje ni.”
“Okeylah, saya pergi dapur dulu. Ingat nak masak.”
“Awak nak masak?”
“Ha’ah. Nanti awak datanglah dapur.”
“Okey, saya kemas baju saya sekejap.”
Fatihah terus sahaja berlalu meninggalkan Iris di situ.
Iris mula mengemas pakaiannya, lalu dibawa masuk ke dalam almari. Setelah itu, bingkai gambarnya bersama Malia turut dibawa keluar, lalu diletakkan di atas meja sebelah dengan katilnya. Sudah dua bulan Malia pergi meninggalkannya. Iris redha dengan pemergian rakan baiknya itu.
Aku harap, kau bahagia di sana, dengan anak aku Lia...
Tipulah kalau dia tidak pernah rasa sunyi, sepanjang dia di dalam pantang. Pernah sekali itu, dia terasa tidak mahu hidup lagi. Tetapi, apabila difikirkan semula, tiada sebab dia perlu melakukan perkara yang dilarang Allah S.W.T. Nasib baik jugalah, Fatihah ada sesekali datang melawatnya. Dan Fatihah jugalah, yang banyak memberi nasihat dan dorongan kepadanya.
Ibu bapanya pula, memang langsung tidak menghubunginya. Apatah lagi adiknya Irma. Sehingga kini, Iris langsung tidak dapat memaafkan adiknya, kerana telah menabur fitnah tentang dirinya.
MALAM itu Iris, Fatihah dan juga Zya sedang menikmati makan malam bersama. Rakan Fatihah iaitu Zya, nampak seorang yang suka berbual.
“Sedap betul awak masak sambal telur ni Iris. Lupa pula, Tihah ada cakap dengan saya, yang awak nak cari kerja ya?” soal Zya.
“Ha’ah. Saya ada apply kerja secara online, tapi satu pun tak ada yang panggil untuk temuduga. Saya ingat esok nak cuba cari sendiri,” ujar Iris. Dia mula menyuapkan nasi ke mulut.
“Dua hari lepas, mak cik saya ada minta saya carikan orang yang nak kerja. Tapi, kerja tea lady la. Awak nak ke?” Zya memandang Iris.
“Tea lady? Eh, saya okey aje. Lagi pun kerja saya sebelum ini pun, bukannya kerja besar. Kerja biasa aje. Saya banyak kerja pernah buat. Kedai makan pun saya pernah kerja.”
Fatihah dari tadi hanya mendengar perbualan antara mereka berdua. Sikit pun, dia tidak mahu menyampuk.
“Ha, kalau macam tu. Lepas makan nanti, saya call mak cik saya. Saya tanyakan semula, ada lagi tak kerja kosong tu. Kalau dia kata ada lagi, nanti saya bagi phone number awak pada dia. Boleh?”
Iris sudah tersenyum. “Boleh.”
“Harap adalah kerja kosong tu kan?” kata Fatihah pula.
“Aku pun harap masih ada lagi,” ujar Zya.
Iris memang tidak memilih kerja. Baginya cukup dibayar gaji, dan tiada masalah apa-apa di tempat kerja nanti.
MALAM tadi Kak Meena, iaitu mak cik Zya sudah menghubunginya, supaya datang ke syarikat tempat kerjanya. Tepat pukul 7.30 minit pagi, Iris sudah terpacak di hadapan bangunan lima tingkat di hadapannya. Kepalanya didongakkan ke atas. Ada satu papan tanda besar yang tertulis Dynamic Group.
Walaupun lima tingkat, boleh tahan tinggi juga. Harap, adalah rezeki aku dekat sini. Gumam Iris.
Dia terus sahaja melangkah masuk ke dalam bangunan tersebut. Setelah itu, dia terus menuju ke kaunter pertanyaan. Hampir lima minit di situ, Iris terus diarahkan menuju ke tingkat lima, di mana mak cik Zya berada.
Ting!
Pintu lif terbuka. Terpacul satu susuk tubuh yang sedang berdiri di luar pintu lif. “Iris?”
“Ya saya. Ini Kak Meena ya?”
“Ha, pandai pun. Jom ikut akak.”
Iris terus mengekori Kak Meena dari belakang. Setelah itu, mereka terus masuk ke dalam satu bilik, yang tidak begitu besar. Hanya boleh memuatkan lima orang sahaja.
“Zya beritahu, ada orang nak kerja. Tahu tak, akak punya happy tu macam mana? Happy sangat.”
“Happy?”
“Ya, happy. Office ni kekurangan tea lady. Yang ada pun tiga orang aje, termasuk akak. Mana cukup. Bangunan ni, tengoklah ada berapa tingkat? Jadi Kelam kabut.”
“Itulah. Saya tengok pun tinggi juga, walaupun lima tingkat.”
“Ha, kan? Okey ambil ni, isi borang. Kejap lagi akak explain berapa gaji awak, dan skop kerja awak ya? Tapi sebelum tu, awak memang okey ke, kerja tea lady ni?”
“Saya tak ada masalah kak. Lagi pun zaman sekarang, tak boleh nak pilih-pilih kerja.”
“Baguslah macam tu, kalau boleh janganlah berhenti ya? Kalau tak, payah akak nak cari pekerja baru.”
Iris tersenyum sambil mengangguk. Mana mungkin dia berhenti kerja. Lebih-lebih lagi, Zya yang tolong carikan kerja untuknya.
Dalam 10 minit mengisi borang, Iris terus menghulurkan borang tersebut kepada Kak Meena.
Kak Meena mula membaca isi kandungan borang tersebut. “Oh, awak baru 24 tahun. Sebelum ni kerja penyambut tetamu? Speedmart pun pernah kerja juga?”
“Er, ha’ah.”
“Family dekat kampung ke?”
“Ha, ya kak.” Iris tundukkan wajahnya, apabila keluarganya disebut.
“Okey. Akak beritahu skop kerja tea lady ni. Awak kena sediakan minuman, untuk bos dan tetamu yang datang ke office ni. Dan pantry, kena sentiasa kemas. Pastikan semua stock barang, macam gula, kopi, milo sentiasa kena ada. Kalau dah nak habis, awak kena buat checklist, dan beritahu pada akak, barang mana yang nak kena beli.”
“Oh, maknanya barang-barang akak yang beli?”
“Ha’ah. Kalau tak ada akak, ada lagi sorang, nama dia Kak Sal. Tapi sekarang ni dia cuti. Dan seorang lagi, nama dia Kak Chah. Dia tak sampai lagi.”
“Oh...” Iris bersuara pendek.
“Dan lagi satu, kalau ada meeting, awak kena kemas bilik meeting, sebelum meeting bermula. Dan kena sediakan minuman, untuk berapa orang yang attend meeting tu. Kalau ada staf yang minta tengokkan kertas fax ataupun minta tolong fax, awak kena buat juga ya?” jelas Kak Meena panjang lebar.
“Okey faham kak.”
“Dan basic salary awak pula, RM2500. Kalau terpaksa kerja lebih masa, itu dikira OT. Sabtu dan Ahad cuti. Kalau hari Sabtu kena datang kerja, awak kena datang ya? Sekarang ni macam mana? Awak okey ke?”
Iris sedikit terkejut apabila mendengar gaji yang disebut Kak Meena. Belum pernah dia menerima gaji setinggi itu. Paling tinggi pun, RM1700.
“Saya okey kak.”
“So, ada nak tanya apa-apa tak?”
“Hmm, air untuk bos nak tunggu dia suruh, atau buat aje?”
“Air, selalunya memang akak yang buat. Nampak aje bos masuk, akak terus aje pergi buatkan air. Tapi kalau akak cuti, awak yang kena buatlah. Awak okey, kan?”
“Okey kak. Saya tak ada masalah.”
“Waktu kerja, 8 pagi hingga 5 petang. Kalau macam tu, boleh start kerja hari ni?” soal Kak Meena.
“Ha? Hari ni?” Iris sedikit terkejut.
“Ya hari ni. Ke, awak nak start esok?”
“Boleh aje kak. Saya tak ada masalah kalau nak start hari ni. Macam terkejut sikit, sebab akak tak cakap yang saya ni dah diterima bekerja.” Iris tersengih.
Kak Meena ketawa kecil. “Dah diterimalah ni. Kalau macam tu, awak tunggu sini kejap. Akak pergi hantar borang dekat HR dulu. Kejap lagi, akak tunjukkan pantry dekat awak ya? Oh, ya. Ini bilik rehat kita ya? Macam kira office kita jugalah.”
“Oh, baik kak.”
Kak Meena terus berlalu pergi. Tinggallah Iris di situ berseorangan. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Harap-harap, dia dapat bekerja lama di situ.
TIDAK susah untuk memahami apa yang diajar Kak Meena tadi. Dia hanya perlu membuat air, dan memastikan pantry sentiasa kemas. Di syarikat itu juga, memang ramai pekerja. Boleh dianggarkan sebanyak seratus orang pekerja. Cuma wajah majikannya sahaja belum dilihatnya lagi.
“Iris,” panggil Kak Meena.
“Ya kak?”
“Kejap lagi ada meeting. Awak dengan Kak Chah pergi kemas bilik sana ya? Akak nak kena keluar beli barang ni. Bos pun dah on the way datang office.”
“Okey kak.”
Kak Meena terus sahaja berlalu pergi. Tidak lama itu Kak Chah muncul di hadapan muka pintu. Berpeluh-peluh wajahnya ketika ini.
“Ada Kak Meena beritahu suruh kemas bilik meeting?”
“Ada tadi. Ni perut akak okey tak ni?”
“Okey sikit. Dah jom, kejap lagi bos datang tengok tak kemas, bising pula dia. Bawa kotak air mineral sekali.”
Iris terus mengangkat kotak berisi air mineral di tepi dinding. Terkocoh-kocoh dia mengekori Kak Chah dari belakang. Mereka terus menuju ke bilik mensyuarat. Iris agak kagum melihat bilik mensyuarat yang boleh dikatakan agak begitu besar, dan boleh memuatkan dua puluh orang di dalamnya.
Dindingnya pula dibuat daripada kaca. Boleh nampak sesiapa yang lalu lalang di luar. Cuma dari luar sahaja, tidak akan nampak orang yang berada di dalam. Kerana cermin bilik mensyuarat tersebut sedikit gelap.
“Akak kemas depan ni, awak kemas sana. Anggaran dalam 10 orang akan masuk sini.”
“Ha, okey kak.” Tanpa menunggu lagi, Iris terus sahaja mengemas bilik mensyuarat tersebut, seperti yang diarahkan Kak Chah tadi. Dia hanya perlu menyusun kerusi, dan meletakkan pen dan kertas di setiap tempat duduk tersebut. Setelah itu, dia terus menarik jendela supaya cahaya matahari boleh menerobos masuk ke dalam.
“Iris, akak nak ke tandas kejap. Awak letak air mineral tu dulu. Akak lari kejap aje.”
“Ha, yalah. Pergi cepat kak, nanti tercirit pula dekat sini.” Iris mengusik.
Kak Chah ketawa. Tanpa menunggu, dia terus sahaja berlari keluar. Memang dari tadi, perutnya asyik memulas sahaja.
Iris terus sahaja menyusun botol air mineral di atas meja. Tidak sampai lima minit, siap kerjanya.
Settled! Iris tersenyum.
Kotak yang berisi lebihan botol air mineral tadi, terus sahaja diangkat. Sebentar lagi, dia perlu menyediakan air kopi pula, untuk tetamu yang akan hadir ke mensyuarat sebentar lagi.
Belum sempat dia mahu melangkah keluar dari bilik mensyuarat tersebut, matanya terus tertancap pada satu susuk tubuh di luar bilik mensyuarat. Berderau darahnya ketika ini.
Ke... kenapa dia ada dekat sini? Dia ke bos syarikat ni? Iris telan liur. Mana mungkin dia lupakan wajah lelaki, yang telah menghinanya.
“Tuan Faliq, Tuan Faliq.” Seorang wanita bertudung, sedang menghulurkan satu fail kepada Faliq.
Sepantas kilat, Iris berlari menuju ke bawah meja, lalu dia menyorokkan dirinya di situ. Dia masih di dalam keadaan terkejut. Bibirnya dikemam rapat, sambil dia memeluk kotak. Janganlah lelaki itu nampak, yang dia berada di situ.
Klak!
Kedengaran pintu bilik mensyuarat dibuka.
“Ini apa you buat ni? I tak nak tengok dokumen macam ni. Mana Erin? Dia tak ajar ke, cara nak buat? Macam ini ke nak hantar ke DBKL? Nonsense!” Fail terus dicampakkan di atas meja.
Terenjut bahu Iris ketika mendengar suara Faliq tadi.
“Maafkan saya Tuan Faliq. Saya baru seminggu kerja di sini. Jadi, banyak yang saya tak tahu.”
“I tak pedulilah you baru kerja seminggu ke apa. Sebab tu you kena belajar! I bagi you masa seminggu aje, untuk you belajar semua ni. Kalau still salah lagi, I nak you resign! And now, get out!”
Terkocoh-kocoh wanita itu mengambil fail di atas meja. Tinggallah Faliq di dalam bilik mensyuarat tersebut bersama Iris.
Iris menggigit bibir. Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Takkan pula dia mahu bangun, dan tayang wajahnya pada lelaki itu? Dan buat seperti, tidak mengenali antara satu sama lain?
Iris masih duduk mencangkung di bawah meja. Tiba-tiba ada seekor cicak sedang berjalan di hadapannya. Hampir menjerit Iris ketika ini. Secara automatik kepalanya terhantuk pada meja, ketika dia cuba mengelak dari cicak lalu di kakinya.
Dum!
Faliq turut terkejut, apabila mendengar bunyi dentuman kecil dari bawah meja. Dia mengerutkan dahinya. Bunyi apa pula yang datang dari bawah meja? Faliq terus sahaja bangun dari kerusi, dan mahu menuju ke arah bunyi tersebut.
Bunyi derapan kaki sedang menghampiri ke arah Iris. Iris sudah memejamkan matanya. Kalau boleh dia tidak mahu lelaki itu tahu, yang dia ada di situ.
Mampus aku. Jangan dia datang sini! Janganlah! Jerit hati kecil Iris.
Belum sempat Faliq mahu menuju ke arah bunyi tadi, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.
Bunyi deringan telefon bimbit milik Faliq, telah mengejutkan Iris. Lelaki itu terus menjawab panggilan tersebut.
“Yes Datuk. Ya, I dah ada dekat office. Yang lain belum sampai lagi. No need to worry Datuk. I boleh tunggu. Lagi pun masih awal lagi. Take your time.”
Iris mengambil peluang untuk melarikan diri, ketika Faliq sedang menjawab panggilan. Lelaki itu pula sedang berdiri, sambil memandang ke luar jendela.
Perlahan-lahan Iris bangun, dan terus sahaja melangkah menuju ke muka pintu. Tombol pintu dipulas perlahan-lahan. Tanpa menunggu lagi, dia terus menolak pintu tersebut, lalu kakinya dihayunkan dengan laju, tanpa menoleh ke belakang.
Dum!
Bunyi pintu bilik mensyuarat telah mengejutkan Faliq. Dia terus berpusing. Kelihatan satu susuk tubuh wanita yang membelakanginya, sedang berlari sambil memegang kotak.
Faliq mengerutkan dahinya. Ada yang masuk ke bilik mensyuaratkah tadi? Rasanya hanya dia seorang sahaja.
Berdegup kencang jantung Iris ketika ini. Dengan peluh juga merenek di dahinya.
Kenapa aku mesti jumpa dia! Kenapa! Apa aku nak buat sekarang ni? Berhenti kerja? Ataupun, aku buat tak tahu?
Kepada yg ada masalah Ncoins tak masuk, boleh email ke pihak NP iaitu : support@novelplus.co screenshot profile NP, dan bukti pembelian. Lepas itu, terus send email yg tertulis di ats ni. Maaf di ats kesulitan.
Share this novel
Best novel ni, tapi tak boleh baca full bab
Selalu mcm ni..nk kena coins la apa la
Kenapa tetibe log ni..