SELESAI sudah urusan pengembumian anaknya atas bantuan pihak hospital. Iris benar-benar berterima kasih kepada pihak hospital, yang telah banyak membantunya.
“Iris...” panggil satu suara dari arah belakang.
Iris memalingkan wajahnya memandang wajah jururawat yang telah banyak membantunya hari ini. Jururawat yang bernama Fatihah tersenyum ke arahnya.
Iris telah menceritakan apa yang telah terjadi pada dirinya, pada Fatihah. Dan Fatihah turut terkejut apabila mengetahui lelaki yang membantu menguruskan anaknya, bukanlah suaminya.
“Esok awak dah boleh balik tau?” kata Fatihah.
“Terima kasih Tihah.”
“Macam mana, dah dapat ke hubungi Malia kawan awak tu?”
Iris menggelengkan kepalanya. “Saya tak tahu, kenapa saya tak dapat call dia langsung. Pelik betul saya. Selalu dia tak macam ni. Tak apalah, nanti saya cuba call dia semula. Kalau tak dapat juga, saya kena balik naik Grab esok.”
“Tak apalah. Tapi kalau awak nak, esok saya boleh hantar awak balik. Dah alang-alang esok saya cuti.”
“Eh, tak apalah Tihah. Saya tak nak terhutang budi banyak sangat dengan awak.”
“Janganlah cakap macam tu. Saya happy tolong orang tau? Manalah tahu, hari ini hari awak. Esok hari saya pula ke? Lupa pula, awak tak nak buat repot polis ke?”
“Kalau saya buat repot pun, saya nak cakap apa dengan pihak polis? Dah sembilan bulan kejadian tu berlaku. Muka orang yang rogol saya pun, saya tak tahu.” Iris melepaskan keluhan. Pandangan dihalakan ke arah jendela.
Fatihah memegang bahu Iris. Dia faham, pasti Iris tidak mahu mengingati kembali peristiwa yang lepas. “Ni awak berpantang sendiri ke?”
Iris mengangguk perlahan. Malia sudah mencarikan tukang urut untuknya. Wang juga, sudah dibayar. Esok dia perlu menghubungi tukang urut tersebut, supaya datang ke rumah. Sebenarnya Malia banyak membantunya, dari segi wang ringgit dan tempat tinggal. Malia jugalah yang mengajaknya tinggal bersamanya. Kata Malia, dia tidak kisah jika mahu menjaga anaknya bersama-sama. Iris benar-benar terhutang budi pada Malia. Malialah, sahabat dunia akhiratnya.
“Tak apalah, saya ada kerja nak buat ni. Kalau ada apa-apa, awak tekan aje button tu ya?”
Iris mengangguk perlahan. Setelah itu, Fatihah berlalu keluar dari wadnya.
Manalah kau pergi ni Malia? Kenapa aku tak dapat call kau langsung ni?
IRIS mengunci pintu Pasaraya Speedmart, sambil ditemani rakan sekerjanya iaitu Ida. Malam itu, dia terpaksa bekerja lebih masa, bagi menggantikan rakan sekerjanya yang cuti sakit.
“Kau balik naik apa?” soal Ida, sambil mengenakan topi kaledar di kepalanya.
“Aku jalan kaki aje. Ayah aku tak dapat datang ambil. Mak aku kan, masuk hospital semalam.”
“Eh, kau jalan kaki? Kau biar betul? Jauh tu, nak berjalan ke rumah. Makan masa 15 minit juga, kan?”
“Aku dah biasalah. Ini bukan first time. Dan bukannya tak pernah aku jalan kaki. Lagi pun, baru pukul 10 malam, kan?”
“Aku nak tumpangkan kau pun, boyfriend aku bawa motor aje. Kalau naik kereta, boleh juga aku tumpangkan.” Ida mengeluh perlahan.
“Dah, tak payah pening kepala fikir pasal aku. Aku ikut jalan belakang. Cepat sikit sampai.”
“Kau nak ikut jalan belakang? Sunyi tu, jalan area situ. Kau biar betul?” Riak wajah Ida mula kerisauan.
“Aku dah biasalah lalu situ. Tak ada apa pun. Tu, boyfriend kau dah tunggu tu. Pergilah cepat.” Iris tersenyum.
Ida melepaskan keluhan. “Okeylah, kau elok-elok jalan kaki tu. Kalau boleh laju sikit jalan, bila dah lalu kawasan sunyi tu.”
“Yalah.” Iris tersenyum.
Ida terus berjalan meninggalkan Iris di situ. Tanpa menunggu lagi, Iris terus sahaja menghayunkan kakinya untuk pulang ke rumah. Dia sudah biasa berjalan berseorangan, jika ayahnya tidak dapat datang mengambilnya. Memang jalan belakang, adalah jalan yang paling dekat, walaupun kawasan di situ sedikit sunyi.
Haqim pula tinggal berjauhan darinya, walaupun keluarga Haqim satu kampung dengannya. Dan lelaki itu juga, baru enam bulan bekerja di Johor Bahru sebagai juruteknik. Mereka hanya dapat berjumpa dua bulan sekali sahaja.
Mata Iris terus tertancap ke arah bintang yang bersinar di langit. Lagi tiga bulan sahaja, keluarga Haqim akan datang merisiknya. Selepas itu, mereka berdua akan mengikat tali pertunangan. Ya, Haqimlah lelaki yang telah mencuri hatinya, sejak mereka di bangku sekolah lagi.
Telefon bimbit dikeluarkan. Dia mula menaip mesej untuk dihantarkan kepada Haqim.
-Saya dalam perjalanan pulang ke rumah. Nanti dah sampai rumah, saya call awak.-
Butang hantar terus ditekan. Telefon bimbit terus dimasukkan ke dalam beg tangannya. Iris kini sedang berjalan di satu lorong yang agak gelap. Kiri kanannya juga ada semak samun yang meninggi. Dia perlu berjalan dengan laju, walaupun dia tahu, tiada apa yang akan berlaku.
Sedang dia berjalan, tiba-tiba sahaja tubuh badannya ditarik dengan kuat, lalu dibawa ke satu semak, jauh dari jalan yang Iris lalui tadi. Iris langsung tidak dapat menjerit, kerana mulutnya sudah ditutup satu tangan kasar.
Setelah itu, tubuhnya terus sahaja ditelentangkan di atas tanah.
“Lepaskan aku!” Iris bersuara kuat. Tetapi lelaki itu tidak peduli, malah tubuhnya terus sahaja ditindih.
“Diam! Kau jerit aku tikam kau!” Lelaki itu memberi amaran.
Iris cuba meronta. Dia tidak tahu apa yang lelaki ini mahukan. Wajahnya tidak kelihatan. Kain hitam sudah menutupi wajahnya. Hanya kelihatan matanya sahaja. Air mata Iris mula bertakung di tubir matanya. Mulutnya terus sahaja diikat dengan satu kain. Iris tidak dapat bersuara. Kain yang diikat begitu kuat. Setelah itu, lelaki itu melonggarkan tali pinggang yang dipakainya, lalu kedua-kedua tangannya turut diikat dengan tali pinggang tersebut.
“Cantik betul kau ni. Aku tak boleh lepaskan kau. Tak tahu pula, orang kampung ni sebenarnya banyak yang cantik-cantik.”
Terbuntang mata Iris apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Tidak mahu lepaskan? Apakah lelaki ini mahukan? Iris meronta lagi. Dia cuba melawan, tetapi dengan pantas lelaki itu menampar wajahnya. Kepala Iris terus miring ke kiri.
“Kau main kasar dengan aku ya betina?” Tanpa menunggu lagi, lelaki itu terus sahaja membuka zip seluarnya.
Iris cuba menjerit, tetapi langsung tidak keluar suaranya. Lagi pun kawasan yang dilaluinya tadi, memang tidak akan ada orang yang akan melaluinya. Walaupun jam baru menunjukkan pukul 10 malam.
Iris menggeleng-gelengkan kepalanya, tanda dia tidak mahu diapa-apakan. Tetapi lelaki itu, langsung tidak mempedulikannya. Iris sudah merasakan seluar yang dipakainya sudah ditarik sehingga ke bawah.
“Tak!” Iris bingkas bangun dari tidur. Berpeluh-peluh wajahnya ketika ini.
“Awak okey ke?” soal Fatihah, yang sudah berada di hadapannya.
“Saya mimpi buruk tadi...” Iris mengelap peluh di dahinya.
“Biasalah. Selalu bila orang lepas bersalin, memang akan mengalami trauma. Ada setengah orang, akan terkejut-terkejut dalam tidur."
Iris hanya memandang wajah Fatihah dengan pandangan yang suram.
"Iris, sebenarnya saya ada benda nak cakap dengan awak ni.”
“Awak nak cakap apa? Hmm, ada kawan saya Malia datang tak?”
“Tak ada. Ini yang saya nak beritahu ni. Berita ni, baru kejap tadi saya dapat. Saya tak tahulah, ini Malia kawan awak ke atau pun bukan. Malia binti Abdullah kawan awak ke?” soal Fatihah, mahu mendapatkan kepastian.
Iris agak tercengang ketika ini. Dia langsung tidak memberitahu nama penuh Malia pada Fatihah.
“Ya, kawan saya nama Malia binti Abdullah.”
“Kawan awak ada cakap ke, dia pergi mana-mana dalam dua hari ini?”
“Dia kata kena pergi ke Genting Highlands atas urusan kerja.”
Malia bekerja di dalam bidang perlancongan, dan disebabkan itulah, Malia perlu bekerja di luar. Dan dalam sebulan, sebanyak tiga kali dia akan bekerja di luar.
“Saya rasa ini memang kawan awak.”
“Apa maksud awak Tihah?” Terukir riak wajah Iris yang agak kerisauan. Seperti ada perkara buruk yang mahu disampaikan oleh Fatihah.
“Malia kawan awak dah meninggal dunia. Kereta menjunam masuk ke dalam gaung.”
“A... apa? Kereta menjunam masuk ke dalam gaung?”
“Ya. Kereta Malia dijumpai oleh sekumpulan budak motor, masa mereka berhenti di tepi jalan. Mayat Malia tersepit di bahagian pemandu,” jelas Fatihah.
“Ha? A... apa? Tak mungkin. Tak mungkin itu Malia.” Hampir rebah Iris ketika ini, tetapi sempat disambut Fatihah.
“Awak, sabar awak.” Fatihah cuba menenangkan Iris.
“Tak mungkin Tihah. Takkan Malia dah meninggal? Sebab itu ke, saya call dia tak dapat Tihah? Sebab itu ke?” Iris sudah menangis.
Fatihah terus sahaja memeluk tubuh Iris. “Sudahlah Iris. Dah ajal dia.”
“Malia anak yatim piatu. Dia tiada siapa-siapa. Hanya saya aje, yang dia ada... kenapa semua nak tinggalkan saya Tihah? Semalam anak saya. Hari ini, Malia. Saya dah tak ada siapa-siapa lagi Tihah. Tak ada siapa-siapa...”
Fatihah berasa kasihan pada Iris. “Sabar Iris. Sabar. Saya ada Iris...”
Teresak-esak Iris menangis di bahu Tihah.
“Iris, kalau awak nak tengok mayat Malia, awak boleh datang ke bilik pengecaman mayat.”
Iris hanya diam membisu. Sungguh dia berasa sedih dengan berita yang diterimanya tadi. Kenapa Malia pergi meninggalkannya? Siapa lagi yang akan bersamanya? Keluarganya telah membuangnya. Anaknya pula sudah meninggalkannya. Kini, tinggal dia sahaja berseorangan.
MATA Faliq sedikit sembap kerana tidak cukup tidur malam tadi. Semasa mensyuarat tadi, dia kurang memberi tumpuan. Nasib baik jugalah, mensyuarat tadi berjalan dengan lancar.
Dia kini dalam perjalanan menuju ke Hotel Casuarina Ipoh. Esok pagi dia akan ke tapak projek perumahan di Lahat Ipoh, sebelum pulang ke Kuala Lumpur semula. Nombor telefon Asha sudah disekatnya. Sungguh dia tidak mahu lagi dirinya diganggu oleh wanita itu.
Ibunya pula, tidak henti-henti memujuknya supaya menerima Asha semula. Seperti yang dikatakannya semalam, tidak mungkin dia akan menerima wanita yang sudah disentuh oleh lelaki lain.
Hampir 15 minit memandu, Faliq tiba di pekarangan lobi Hotel Casuarina Ipoh. Dia terus memarkirkan keretanya. Setelah itu, beg pakaiannya diambil. Dia benar-benar mahu merebahkan badannya di atas katil.
Ketika ini, Irma sedang bersembang dengan rakan baiknya Nini. Sedang khusyuk bersembang, matanya terus terarah pada satu susuk tubuh lelaki bertubuh tinggi lampai sedang menuju ke arahnya.
“Weh, weh. Kau tengok lelaki tu? Handsome-nya.” Irma benar-benar cair melihat wajah lelaki itu.
“Mana?” soal Nini.
“Itu, dia datang ke sini. Diam-diam,” bisik Irma, sambil mengarahkan Nini supaya tidak bersuara.
Nini mengerutkan dahinya. Irma memang tidak pernah membuang sikapnya yang pantang melihat lelaki berdahi licin.
“Hai selamat petang. Selamat datang ke Hotel Casuarina. Ya encik, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Irma bermanis mulut. Satu senyuman paling manis dilemparkan kepada lelaki di hadapannya.
“Hai. Semalam, I ada buat booking.”
“Boleh saya dapatkan nama encik?”
“Faliq Datuk Fahim,” balas Faliq pendek.
Membulat mata Irma ketika ini. Dia memandang rakan di sebelahnya. Nini juga turut memandang Irma. Tanpa membuang masa, Irma terus menguruskan urusan daftar masuk untuk lelaki itu. Setelah itu, keycard terus diberikan.
“This is your keycard. So, kalau Encik Faliq ada memerlukan apa-apa bantuan, boleh aje call reception sini ya? Okey encik, terima kasih kerana memilih hotel kami.” Irma tersenyum manis.
Faliq sekadar mengangguk, lalu berlalu menuju ke lif.
Mata Irma masih tidak lepas memandang ke arah lelaki tadi. “Weh, anak Datuk tu.”
“Kau ni kan, pantang nampak lelaki handsome sikit. Kalau dia anak Datuk pun kenapa? Eh, kau tu dah bertunang tau? Buat cara ada tunang.”
“Tunang? Tunang pun macam tak tunang aje. Kau tengoklah Haqim tu? Balik sini pun payah. Padahal Johor aje pun. Ni ha, tarikh kahwin pun tak letak. Bila tanya aje, mesti jawab tak cukup duit. Entah-entah, dia tu ada perasaan dekat betina tu lagi tak?”
“Betina?”
“Iris la, siapa lagi?”
“Kau panggil kakak kau betina?”
“Dia bukan kakak aku lagi, lepas mak ayah aku halau dia.”
“Kau ni, tak elok tau. Dia kakak kau kut.”
“Sudahlah. Tak payah nak sibuk sangatlah hal aku.” Irma menjeling rakan baiknya itu. Ya, walaupun dia sudah bertunang dengan Haqim, lelaki itu langsung tidak menganggap dia sebagai tunang lelaki itu. Mereka hanya berhubung, jika perlu sahaja.
HARI ini genap dua bulan Iris berpantang sendiri. Sejak Malia meninggal dunia, Iris hanya tinggal berseorangan sahaja. Wang pula sudah semakin berkurangan. Sudah sebulan Iris tidak membayar sewa rumahnya. Dia pula sudah diberhentikan kerja, kerana majikannya tidak mampu untuk membayar gaji bulanannya, walaupun dia di dalam cuti bersalin.
Lebih-lebih lagi, rahsianya bocor apabila mendapat tahu dia sebenarnya mengandungkan anak luar nikah. Itu pun setelah salah seorang rakan sekerjanya, telah menceritakan perihalnya kepada majikannya.
Iris mengeluh perlahan. Dia perlu mencari kerja kosong. Kalau tidak, dia tiada wang untuk menampung perbelanjaan hariannya.
Tok! Tok!
Pintu rumah diketuk. Iris berasa pelik. Siapa pula yang mengetuk pintu rumahnya. Dia terus sahaja menuju ke muka pintu. Tombol pintu dipulas. Terpacul susuk tubuh tuan rumah sedang merenung ke arahnya.
“Mana duit sewa untuk bulan lepas?” Wajah tuan rumah sedang menahan marah.
“Maaf kak, saya tak cukup duit sekarang ni. Tapi, lusa saya nak cari kerja. Nanti saya bayar ya kak?”
“Aku tak kira. Esok kau keluar dari rumah ni!”
“Tapi kak, nanti saya nak tinggal di mana? Jangan buat saya macam ni kak. Saya baru aje habis berpantang.”
“Aku tak nak dengar lagi. Sewa bulan lepas, tolak deposit yang kau orang bayar dulu. Esok aku tahu, kau dah pergi ya?” Tuan rumah terus sahaja berlalu dari situ.
Iris terduduk di hadapan pintu. Di mana dia mahu mencari tempat tinggal? Wang simpanannya pula, hanya tinggal lima ratus ringgit sahaja. Mana cukup, jika dia mahu mencari tempat tinggal yang baru.
Dalam kepalanya mula teringatkan Fatihah. Ya, dia perlu menumpang di rumah Fatihah untuk sementara waktu. Dan dia juga perlu mencari pekerjaan yang baru, secepat yang mungkin.
Assalammualaikum semua. Terima kasih sudi bca novel terbaru Alin ni. Sekali lagi Alin nak beritahu, novel ni versi unlock chapter. Memang memerlukan ncoins untuk baca. Bab 1 - 4, bacaan percuma. Masuk bab 5, memerlukan ncoins untuk baca. Maaf di ats kesulitan. Insya-Allah, untuk next novel, Alin akan buat novel free reading ya? Terima kasih.
Share this novel