Completed
328
“Baik, antunna, sebelum ana akhiri halaqah kita harini, ana nak share ibrah tentang surah Al-Anfaal ayat 12. Cuba teka ayat ni berkisar tentang kisah apa?” Zawiyah memandang dengan penuh kasih kepada tiap-tiap mad’u yang sedang duduk mengelilinginya dalam bulatan.
“Kak Zawiyah ! Tentang perang Badar! Betul tak??” Izzah, anak halaqah Zawiyah yang proaktif itu mengangkat tinggi tangannya untuk menjawab dengan suara yang bersemangat.
“Pandai! Bagus ukhti! Kisah di mana Allah memerintahkan tenteranya, para malaikat untuk turun membantu kaum Muslimin di medan Badar. Kemenangan 313 lawan 1000 antara tentera Muslimin dan musyrikin ini benar-benar menunjukkan kekuasaanNya, juga pertolongan Allah itu amat dekat. Apabila ditanya manakah pertolongan Allah itu, katakan bahawa pertolonganNya sudah dekat. Sudah semakin hampir. Antunna, ana masih ingat kata-kata salah seorang pendakwah, penulis dan komposer terkenal tanah air yang sangat ana kagumi, yang selalu ana jadikan kekuatan untuk kuat waktu ana jatuh. Kata-katanya berbunyi, ‘Ketika pintu dunia tertutup, pintu langit terbuka.'”
Zawiyah tidak dapat meneruskan kata-katanya. Sebak di dadanya bersarang kembali. Perlahan, dia memaksa dirinya mengakhiri pertemuan mereka pada hari itu.
“Jadi, teruskan kesabaranmu, adik-adik ana yang dirahmati Allah semua. Antunna, kena terus kuat dan sabar! InsyaAllah, segala yang berlaku pada diri ana ni sebenarnya menandakan pertolongan Allah itu sudah semakin hampir.”
“Kak Zawiyah , jaga diri akak baik-baik, InsyaAllah, doa kami sentiasa bersama dengan akak.” Izzah memeluk erat tubuh kurus dan cengkung itu. Lama, seakan tidak mahu melepaskan pelukan itu.
“InsyaAllah enti, terus mendoakan ana ya.”
Zawiyah mengesat air mata yang mengalir di pipi mad’u kesayangannya itu. Dengan berat hati, dia melepaskan genggaman tangan mad’u-mad’u yang mengelilinginya. Masanya sudah hampir tiba.
Zawiyah menyusun kemas langkahnya menuju ke trak polis sambil dua orang polis wanita mula menggari kedua-dua belah tangannya.
Dalam perjalanan pulang ke penjara perempuan yang terletak di bumi Kinanah itu, Zawiyah tidak henti-henti mengucap tasbih. Perbuatannya menyelamatkan anak-anak Syria di kem pelarian di Jordan itu ternyata tidak disenangi oleh sesetengah pihak yang sudah tidak mempunyai hati dan perikemanusiaan.
“Hey you, the one in black scarf!! Come here!” Seorang pegawai penjara berwajah bengis, tubuh tinggi, tegap dan sasa bersuara lantang memanggil Zawiyah masuk ke dalam bilik soal siasat sebaik sahaja sampai di dalam perkarangan penjara. Dengan lafaz bismillah, Zawiyah melangkah masuk ke dalam bilik soal siasat.
“Why do you help the Syrian refugees and build schools for them?!” Bentak pegawai penjara tersebut sambil meludah ke muka Zawiyah .
Zawiyah tertunduk. Dadanya berombak kencang. Seperti biasa, Zawiyah akan menjawab segala persoalan dengan yakin namun akan dibalas dengan makian dan cacian oleh pegawai penjara yang menyoalnya.
Jika tidak dipukul dengan kayu, pasti akan ada ludahan-ludahan ke mukanya dari makhluk tuhan durjana yang menyoalnya.
Zawiyah tidak henti-henti berdoa memohon perlindungan daripada yang Maha Esa agar makhluk-makhluk durjana di sekelilingnya itu tidak bertindak untuk melakukan sesuatu yang melampaui batas terhadapnya.
Share this novel