Series
52
ARIQ IFFAT menolak kasar dokumen itu ke arah Izzara. Izzara sedikit terkejut dengan perlakuan majikannya. Dia hanya menunduk seraya mengetap bibirnya sedikit kuat.
"Kalau begitu, terangkan kenapa angka jualan suku kedua dalam laporan ini berbeza dengan data kewangan sebenar."
Izzara terkedu. Dia meneliti angka tersebut.
Jantungnya mula berdegup kencang.
"Ini... bukan nilai yang sebenarnya. Beza..."
"Beza hampir dua juta ringgit, Izzara!" Ariq mencelah sebelum Izzara sempat menghabiskan kata-katanya. Nadanya semakin sinis.
Izzara mengangkat wajah.
"I akan semak semula, Encik Ariq."
"Semak?" nada Ariq berubah tajam.
"Projek ini bernilai puluhan juta ringgit, Izzara. Ini bukan tugasan kecil yang boleh disemak selepas tersilap! You ingat I buat bisnes jual bundle, hah!"
"Maaf, Encik Ariq."
"I berikan you projek ini kerana I percaya you mampu laksanakannya."
"I ingat lagi, I tak pernah masukkan angka itu dengan kesilapan sebegitu ketara, Encik Ariq."
"Apa yang cuba you buktikan sekarang, Izzara. You cuba menafikan kesalahan you pula?"
"Tapi, cara encik bercakap tu, macam tuduh I ni cuai."
Ariq berdiri.
"Sebab angka ini menunjukkan, you memang seorang yang cuai!"
Izzara terdiam. Kata-kata itu terasa lebih tajam daripada yang sepatutnya. Dia menunduk semula kepada dokumen yang masih berada di atas meja majikannya itu.
"I akan cari puncanya, Encik Ariq. Dan, I akan buktikan bahawa tuduhan Encik Ariq tu tak berasas langsung!" Izzara mengangkat wajahnya kembali. Wajah Ariq ditatap tajam, cuba memberitahu jejaka kacak itu yang dia sedang mempertahankan dirinya.
"You sepatutnya cari punca sebelum laporan ini sampai kepada I!" Ariq sedikit terkedu dengan tindakan Izzara yang agak berani, namun egonya tidak sedikitpun tercalar. Suaranya yang semakin meninggi membuatkan Izzara kembali menunduk.
Beberapa saat kemudian, Izzara perlahan- lahan mengangkat wajahnya. Pandangannya hanya separas dada bidang Ariq. Tidak lagi berani dia menatap wajah Ariq yang sedang dikuasai amarah yang meluap-luap.
"I... I perlukan masa."
"Berapa lama?"
"Dua jam."
Ariq memandang jam tangannya.
"Sekarang dah pukul dua petang, Izzara."
"Baiklah, pukul empat nanti I jumpa Encik Ariq semula."
Izzara mengambil dokumen tersebut.
Namun, sebelum dia sempat keluar, Ariq bersuara lagi.
"Izzara." Ariq hentikan bicaranya seketika untuk mengambil nafas. "Kalau you tak mampu urus projek ini, beritahu I sekarang."
Kata-kata itu membuatkan dada Izzara terasa sesak. Dia memandang tepat ke mata Ariq.
"I mampu, Encik Ariq. Tolong, jangan memperkecilkan kebolehan I!"
"Pastikan. Don't let me down."
Izzara mengangguk lalu keluar dari bilik tersebut. Pintu tertutup. Ariq berdiri kaku.
Sebenarnya, dia tidak mahu bercakap sekeras itu. Tetapi, projek tersebut terlalu penting. Dan, kesilapan hampir dua juta ringgit bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Dia kembali duduk, tetapi entah kenapa wajah Izzara yang terluka tadi mengganggu fikirannya.
Di meja kerjanya, Izzara membuka semua fail satu demi satu. Dia tidak percaya kesilapan itu datang daripadanya.
Dia menyemak semula data kewangan, laporan pemasaran, rekod jualan dan dokumen asal yang dihantar oleh setiap jabatan.
Semakin lama dia menyemak, semakin pelik data yang ditemuinya. Angka yang dia masukkan semalam memang tepat. Tetapi, laporan yang sampai ke meja Ariq pagi ini menggunakan angka yang berbeza.
Izzara membuka komputer riba dengan lebih pantas. Dia menyemak sejarah fail.
Kemudian, matanya terpaku pada satu perkara.
"Last modified data pukul 11:47 malam tadi. Biar betul?"
Izzara mengerutkan dahi. Dia masih ingat dengan baik, dia yang menghantar sendiri laporan ini pada pukul 7:15 malam semalam di meja pejabat Ariq Iffat. Dia percaya, ada 'seseorang' telah membuka fail tersebut selepas dia meninggalkan pejabat. Dan, 'seseorang' itu telah mengubah data yang sudah dimasukkan olehnya di dalam laporan itu.
Izzara terus bangun. Kali ini, dia tidak akan masuk ke bilik Ariq untuk mempertahankan diri semata-mata. Dia akan mencari siapa yang cuba menjadikannya kambing hitam.
Tanpa dia sedari, di tingkat atas, Ariq juga sedang memandang skrin komputernya dengan wajah serius.
Kerana, ada satu perkara mula bermain dalam fikirannya. Ariq kenal sungguh cara kerja Izzara walaupun gadis itu masih terlalu baharu berkhidmat di perusahaannya.
Dan, walaupun dia baru mengenali wanita itu sehari, ada sesuatu yang membuatkan dia sukar mempercayai bahawa kesilapan sebesar itu datang daripada gadis tersebut.
Mungkin Izzara cuai. Atau mungkin, ada seseorang yang sengaja mahu menjatuhkannya.
***
HAMPIR sejam berlalu. Izzara masih berada di tempatnya. Skrin komputernya dipenuhi rekod transaksi, tarikh kemas kini, sejarah versi dokumen dan akses pengguna. Dia sudah menghubungi dua orang staf kewangan yang terlibat dengan projek Aurora.
Kedua-duanya memberikan jawapan sama.
Mereka menerima fail yang sudah siap daripada Izzara. Tiada siapa mengubah angka. Izzara sedikit hampa dengan jawapan Mia dan Alice sebentar tadi sebelum mengarahkan kedua-dua staf kewangan itu beredar dari ruang kerjanya.
Jejemari Izzara pantas membuka satu lagi rekod. Matanya mengecil.
"Tak mungkin..."
Dia memperbesarkan paparan tersebut.
Ada satu transaksi bernilai RM1.8 juta yang sepatutnya dimasukkan di bawah kategori pelaburan strategik. Dalam fail asal yang disimpannya, angka itu memang ada.
Tetapi, dalam versi yang dihantar kepada Ariq, angka itu hilang.
Lebih pelik, pengubahsuaian dibuat selepas waktu pejabat. Izzara menarik nafas panjang.
"Siapa yang buat, ni?"
Dia mencatat waktu akses tersebut. Kemudian, dia melihat nama pengguna.
Akaun itu bukan miliknya. Bukan juga milik staf kewangan yang dikenalinya. Izzara hampir tersenyum kerana akhirnya menemui sesuatu. Namun, senyuman itu tidak sempat berkembang apabila skrin tiba-tiba berubah.
FILE NOT FOUND.
Izzara terkedu.
"Apa?"
Dia cuba membuka fail tersebut sekali lagi.
Tidak berjaya. Folder itu masih ada. Tetapi, satu fail penting yang mengandungi data transaksi projek Aurora sudah hilang.
Jantungnya mula berdegup laju.
"Tak... tak, tak mungkin jadi macam ni."
Dia memeriksa 'recycle bin'. Kosong. Dia beralih pula menyemak server dalaman. Fail itu sudah tidak ada lagi di situ. Seketika kemudian, komputer di sebelahnya turut memaparkan mesej yang sama.
ACCESS DENIED.
Izzara bangun dari kerusi. Matanya membulat. Panik mula merayap di segenap tubuh. Telapak tangannya mula berpeluh. Dia sedar, ada 'seseorang' bukan sahaja sekadar sengaja mengubah data.
'Seseorang' itu juga sedang memadamkan jejaknya. Dan, 'orang itu' tahu dengan tepat apa yang sedang dilakukannya.
Selang beberapa minit kemudian, pintu pejabat Ariq diketuk kuat.
"Masuk."
Izzara masuk dengan wajah tegang.
"Encik Ariq..."
Ariq mengangkat muka daripada dokumen yang sedang diperiksanya.
"Ada apa, Izzara? Did you manage to sort out all those issues earlier? Have you found a solution?"
"Bukan encik, I nak inform yang data transaksi asal projek Aurora dah hilang."
Ariq mengerutkan dahi.
"Hilang?"
"Ya."
"Macam mana boleh hilang?"
"I pun tak tahu. I baru nak semak rekod transaksi yang asal, tiba-tiba fail itu tak boleh dibuka."
Ariq bangun.
"You maksudkan fail yang you uruskan?"
Izzara memandangnya.
"Ya, Encik Ariq."
Ariq menghela nafas berat.
"Izzara, jangan beritahu I masalah ini berpunca daripada kecuaian you lagi!"
Mata Izzara berubah.
"I tak pernah padam fail tu."
"Bagaimana I nak tahu?"
"I belum gila lagi untuk memadam satu-satunya bukti yang boleh membersihkan nama I sendiri, Encik Ariq!"
Ariq terdiam. Namun, belum sempat dia menjawab, pintu biliknya terbuka. Faizal masuk dengan tergesa-gesa.
"Encik Ariq, kita ada masalah dengan server utama."
Ariq berpaling.
"Apa lagi ni, Faizal? Apa yang awak cuba sampaikan?"
"Beberapa fail projek Aurora mengalami perubahan akses. Sistem keselamatan mengesan aktiviti luar biasa."
Izzara memandang Faizal. Faizal turut memandangnya. Hanya sesaat. Tetapi, sesaat itu cukup untuk membuatkan Izzara terasa janggal dengan tatapan Faizal terhadapnya.
Ariq menekan butang interkom.
"Hubungi ketua IT. I mahu dia datang sekarang."
"Baik, Tuan Ariq." jawab satu suara di hujung talian.
Faizal mendadak berpusing, seolah-olah tergesa-gesa hendak keluar dari pejabat milik Ariq itu.
"Faizal!"
Langkah lelaki itu terhenti.
"Ya, Tuan Ariq?"
"Pastikan, jangan biarkan sesiapapun sentuh server Aurora sehingga pakar IT sampai."
Faizal mengangguk.
"Baiklah, Tuan Ariq. Kalau takde apa-apa lagi, saya keluar dulu."
"Alright, you may leave now."
Dia keluar. Izzara masih memandang pintu yang tertutup. Ariq perasan perubahan Izzara lalu menegur gadis itu.
"Kenapa?"
"Tak ada apa-apa."
"Kalau ada sesuatu, cakap."
Izzara menggeleng.
"I cuma rasa... seseorang memang sengaja nak 'gamekan' I."
Ariq tidak menjawab. Untuk pertama kali, keraguan mula muncul dalam fikirannya.
Dua puluh minit kemudian, ketua IT syarikat tiba bersama seorang jurutera keselamatan sistem.
Tanpa berlengah, mereka terus memeriksa server di bilik mesyuarat. Suasana di dalam bilik itu menjadi semakin tegang apabila skrin besar memaparkan rekod akses pengguna.
"Tuan Ariq, ini bukan masalah sistem biasa." kata ketua IT itu.
"Apa maksud awak, Encik Thaqif?"
"Ada seseorang menggunakan akaun dalaman untuk masuk ke folder projek Aurora. Dia bukan sekadar mengubah fail. Dia cuba memadam sejarah perubahan."
Izzara menelan liur. Ariq pula bersandar pada kerusi.
"Awak boleh kesan siapa?"
"Sedang cuba."
Beberapa minit berlalu. Tiada siapa bercakap. Hanya bunyi papan kekunci dan kipas komputer memenuhi bilik. Kemudian, jurutera IT itu tiba-tiba berhenti menaip.
"Saya jumpa sesuatu."
Semua mata tertumpu kepadanya.
"Alamat IP ini digunakan untuk mengakses fail pada jam 11:47 malam."
Ariq berdiri.
"Siapa?"
Jurutera itu membuka rekod pengguna.
Skrin besar bertukar. Satu nama muncul.
FAIZAL RAHMAN — EXECUTIVE ASSISTANT TO CEO
Bilik itu seolah-olah kehilangan udara.
Izzara terkaku. Ariq tidak bergerak.
"Tak mungkin," katanya perlahan.
Ketua IT menyemak sekali lagi.
"Ini bukan sekadar satu rekod, Tuan. 'Akaun Faizal' digunakan untuk mengubah data dan memadam fail."
Ariq memandang skrin. Wajahnya berubah keras.
"Panggil dia, sekarang!"
Tiada siapa sempat menjawab. Pintu bilik mesyuarat terbuka. Faizal berdiri di situ.
Dia jelas mendengar segala-galanya.
Wajahnya pucat.
"Tuan..."
Ariq memandangnya dengan pandangan yang langsung tidak mempunyai belas kasihan.
"Masuk!"
Faizal melangkah perlahan.
"Tuan Ariq, saya boleh jelaskan."
"Jelaskan!"
"Saya..."
"Kenapa akaun awak digunakan untuk mengubah data projek Aurora?"
Faizal terdiam.
"Saya tak buat."
Ketua IT mencelah.
"Rekod sistem menunjukkan sebaliknya."
Faizal mula berpeluh. Ariq melangkah mendekatinya.
"Awak bekerja dengan I hampir lima tahun."
"Ya, tuan."
"I percayakan awak."
Faizal menundukkan kepala.
"Tapi awak gunakan kepercayaan itu untuk menjatuhkan staf I?"
Faizal mengangkat wajah.
"Saya cuma..."
"Cuma apa!"
Faizal tidak mampu menjawab. Ariq mengetap rahang.
"Awak sengaja ubah data Izzara supaya dia nampak cuai?"
Faizal diam. Diam itu sudah cukup menjadi jawapan. Izzara yang berdiri tidak jauh dari situ merasakan seluruh tubuhnya menjadi lemah. Selama ini dia bersusah payah mempertahankan namanya. Dan, orang yang merosakkannya ialah seseorang yang bekerja paling hampir dengan Ariq.
Ariq memejam mata seketika. Kemudian, dia membukanya semula.
"Mulai saat ini, awak dipecat."
Faizal tersentak.
"Tuan Ariq!"
"I tak mahu dengar apa-apa lagi."
"Tolong, tuan. Saya boleh betulkan semuanya."
"Awak sudah cuba memusnahkan reputasi seorang pekerja untuk menutup perbuatan awak sendiri!" suara Ariq semakin dingin.
"Keluar!"
Faizal masih cuba merayu, tetapi pengawal keselamatan yang dipanggil ketua IT sudah berada di luar. Sebelum dibawa keluar, Faizal sempat memandang Izzara. Pandangan itu membuatkan bulu romanya meremang.
Ada sesuatu pada mata lelaki itu. Bukan penyesalan, tapi kebenciannya yang meluap-luap.
Kemudian, dia dibawa pergi. Bilik mesyuarat kembali sunyi. Ariq berdiri membelakangi semua orang. Dia tidak berkata apa-apa.
Izzara pula hanya berdiri sambil memegang hujung meja. Akhirnya, Ariq berpaling.
"Izzara."
Wanita itu mengangkat muka.
"I..." Ariq mahu berkata sesuatu.
Mungkin meminta maaf untuk mengakui bahawa dia salah. Tetapi, kata-kata itu tersekat di kerongkong. Sebaliknya dia hanya berkata, "You boleh kembali ke meja kerja."
Izzara tersenyum kecil. Senyuman yang langsung tidak mempunyai kegembiraan.
Dia berpusing. Namun, baru beberapa langkah, pandangannya tiba-tiba kabur.
Langkahnya terhenti.
"Izzara?"
Dia cuba memegang kerusi di sebelahnya, namun tidak sempat. Tubuhnya terus terkulai.
"Izzara!"
Ariq meluru. Dia sempat menyambut tubuh gadis itu sebelum kepalanya terhantuk ke lantai. Wajah Izzara pucat. Matanya tertutup rapat.
"Izzara! Bangun!"
Tiada respons. Ariq terasa darahnya berhenti mengalir.
"Tolong, panggil ambulans!"
Suara ketua IT kedengaran cemas.
"Tuan, mungkin dia terlalu penat."
Ariq tidak menjawab. Dia mengangkat tubuh Izzara ke dalam pelukannya. Baru ketika itu dia sedar betapa ringan tubuh gadis itu dan betapa dingin tangannya.
"Izzara..."
Kali ini, suaranya berubah. Tidak lagi seperti seorang CEO yang sedang memberi arahan.
Sebaliknya, seperti seorang lelaki yang tiba-tiba takut kehilangan sesuatu yang baru disedarinya sangat penting.
Ambulans tiba beberapa minit kemudian.
Namun bagi Ariq, setiap saat terasa terlalu lama. Ketika paramedik membawa Izzara keluar dari bilik mesyuarat, Ariq masih berdiri kaku. Matanya tidak lepas daripada gadis itu.
Tuduhan yang dilemparkannya kepada Izzara ligat berputar dalam kepalanya. Tetapi, satu perkara paling mengganggu jiwanya ialah soalan yang tidak mampu dijawab oleh dirinya sendiri.
Kenapa dia begitu takut apabila melihat Izzara jatuh?
Dan, lebih menakutkan lagi, kenapa dirinya mula merasai bagai separuh nyawanya hampir melayang? Apakah mungkin dia sudah mulai cinta kepada gadis itu?
Dah jatuh cinta ke tu Ariq? ❤️
Share this novel