SBMC : BAB 4 (MAAF!)

Romance Series 52

PUKUL tujuh pagi pun belum cukup.
Ariq Iffat sudah berada di pekarangan hospital. Entah kenapa, sejak membuka mata pagi tadi, perkara pertama yang muncul dalam fikirannya ialah wajah Izzara yang pengsan semalam.

Mula-mula, dia cuba menganggap itu sekadar rasa bertanggungjawab sebagai majikan. Kemudian, dia cuba meyakinkan dirinya bahawa dia cuma mahu memastikan pekerjanya berada dalam keadaan baik.

Tetapi, selepas hampir lima belas minit berdiri di hadapan sebuah kedai bunga hospital sambil memilih jambangan bunga mawar, alasan itu mula kedengaran bodoh walaupun kepada dirinya sendiri.

"Encik nak rose warna apa?" tanya pekerja kedai bunga.

Ariq memandang deretan bunga.
"Merah?"

"Merah tanda cinta, encik. Encik yakin nak warna merah? Nak berapa kuntum?"

Ariq terus mengangkat muka.
"Tapi... I tak cakap pun, I cintakan dia."

Pekerja itu tersenyum.
"Saya pun tak kata encik tengah bercinta."

Ariq terdiam. Dia mengambil jambangan mawar merah itu sebanyak tiga kuntum tanpa berkata apa-apa.

"Cantik. I suka."

"Terima kasih, encik. Saya doakan encik dapat buat si dia jatuh cinta dengan encik."

Ariq ukir senyum nipis sebelum berlalu dari kedai itu. Dalam perjalanan menuju ke wad, dia beberapa kali memandang bunga tersebut. Mawar merah yang berkembang cantik bagaikan si penerimanya nanti.

Dan... dia baru perasan dirinya menjadi terlalu romantik. Ariq mengerutkan dahi.

"Kenapa aku beli bunga macam ni?"
Dia berhenti berjalan. "Sepatutnya, aku beli buah jelah kan?" Ariq menyoal dirinya sendiri. Dia memandang kembali bunga mawar yang sudah siap digubah di tangannya.

"Atau aku patut belikan sup untuk Izzara?"
Dia menghela nafas. "Kenapa aku beli bunga?"

Lebih teruk lagi, dia sendiri tidak tahu jawapannya. Sebaik tiba di hadapan wad, Ariq mendapati pintu bilik Izzara terbuka sedikit. Dia memperlahankan langkah.
Belum sempat mengetuk, terdengar suara seorang lelaki dari dalam.

"Izzara, abang dah cakap. Jangan fikir sangat pasal kerja. Makan tu jangan skip, awak tu ada gastrik teruk."

Ariq terhenti.
"Abang?"

Dia mengintai sedikit. Dan, ketika itulah dunia Ariq seperti berhenti selama tiga saat.
Izzara sedang duduk di atas katil, lantas seorang jejaka yang tidak kurang tampannya berdiri di hadapan katil sambil memeluknya. Lebih tepat lagi, Izzara sedang memeluk lelaki itu dengan mesra. Mesra,
sangat mesra.

Tangan Izzara melingkar pada pinggang lelaki tersebut. Lelaki itu pula mengusap belakang kepala Izzara dengan penuh kasih sayang. Ariq terkedu. Matanya jatuh pada jambangan bunga di tangannya. Kemudian, kembali kepada pasangan di hadapannya.

Muka Ariq berubah serta-merta. Mawar merah yang lima minit lalu kelihatan cantik tiba-tiba terasa seperti bukti jenayah.

"Teman lelaki dialah tu."

Perkataan itu terlepas perlahan daripada mulutnya. Ariq berkerut. Kenapa dadanya tiba-tiba terasa panas? Dia mengetap rahang.

"Teman lelaki dia?" Ariq mengulangi pertanyaan itu pada dirinya sendiri.

Jikalau ada sesiapa yang melihat dirinya dari tadi tentu orang itu berfikir-fikir sama ada dirinya waras atau sebaliknya.

Entah kenapa, soalan itu membuatkan dia semakin tidak senang. Dia memandang lelaki tersebut dari atas hingga ke bawah.
Tinggi. Kacak. Kemas. Berpakaian formal.
Nampak matang. Dan, paling menjengkelkan, lelaki itu nampak jauh lebih sesuai berdiri di sebelah Izzara berbanding dirinya.

Ariq terus tidak suka. Sangat tidak suka.
Dia tidak sedar tangannya semakin kuat menggenggam jambangan bunga itu sehingga beberapa kuntum mawar hampir tercabut.

"Takkanlah..." Dia menarik nafas panjang.
"Kenapa aku peduli?"

Dia cuba memujuk dirinya.
"Izzara bukan sesiapa dengan aku."

Betul. Dia bukan isterinya. Bukan tunangnya.
Bukan teman wanitanya. Malah, mereka pun belum berkawan. Izzara hanyalah pekerjanya. Seorang pekerja yang semalam baru sahaja pengsan di hadapannya.

Jadi kenapa dia berasa seperti lelaki yang baru nampak teman wanitanya curang?
Ariq memandang semula ke dalam.
Izzara ketawa kecil. Lelaki itu turut tersenyum.

Ariq mengetap bibir.
"Aduh, diorang gelak-gelak pula dah."

Dia sendiri terkejut apabila ayat itu keluar.
"Kenapa aku kisah dia gelak? Suka hati dialah nak buat apapun."

Ariq berpaling. Kemudian, dia berpaling semula. Matanya masih belum puas untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam bilik itu. Ariq terus mengintai, dia nampak lelaki itu mengusap kepala Izzara sekali lagi. Mata Ariq terus mengecil.

"Tak boleh sentuh kepala orang macam tulah. Berdosa, bukan mahram! Tak belajar agama ke?"

Ariq berhenti. Kemudian, dia mengerutkan dahi.

"Eh."

Dia memandang dirinya sendiri.

"Aku ni siapa?"

Tiada jawapan. Ariq menghela nafas.

"Aku CEO dialah!" Dia cuba menggunakan status itu sebagai alasan.

"Sebagai CEO, aku berhak tahu siapa lelaki yang peluk pekerja aku." Dia terdiam.

"Tak." Dia menggeleng. "Itu langsung tak masuk akal."

Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk masuk. Namun, sebelum sempat dia mengetuk pintu, Izzara sudah terlihat kelibatnya. Mata gadis itu membesar.

"Encik Ariq?"

Lelaki yang sedang dipeluknya tadi turut menoleh. Ariq berdiri di situ dengan wajah paling serius yang mampu dibuatnya.
Di tangannya, jambangan bunga mawar merah itu sudah hampir terkulai akibat digenggam begitu kuat.

Suasana menjadi pelik. Sangat pelik.
Izzara memandang bunga di tangan Ariq. Kemudian, dia memandang Ariq sebelum mengalihkan pandangannya kepada lelaki di sebelahnya. Senyuman kecil mula muncul di bibirnya.

"Awalnya encik datang."

Ariq mengangguk.
"I ada urusan lepas ni. I singgah sekejap je, kebetulan I ada meeting kejap lagi dekat dengan area hospital ni."

Izzara mengangkat kening.
"Ooo, ada meeting rupanya."

"Ya."

"Di hospital?"

Ariq terdiam sebentar. Jelas dia sedang berfikir untuk mencipta sebuah alasan tanpa menjerat dirinya terhadap soalan-soalan yang terkeluar daripada mulut Izzara.

"Bukan, tapi... hospital memang tempat urusan I sekarang."

Izzara hampir ketawa. Lelaki di sebelahnya pula memandang Ariq dengan wajah penuh tanda tanya. Ariq terus menghulurkan bunga kepada Izzara.

"Nah."

Izzara mengambil jambangan itu.
"Untuk I?"

"Tak."

Izzara terpinga. Ariq menunjuk bunga itu.
"Untuk pesakit."

"Pesakit...? Siapa?"

Ariq memandangnya.
"Youlah."

Izzara menahan ketawa.
"Kalau untuk I, kenapa Encik Ariq kata bukan untuk I?"

Ariq mula rasa dirinya terperangkap.
"Err... ini bunga mawar."

"Ya, I tahu. Ini bunga kegemaran I."
Izzara tersenyum lebar. "Encik Ariq beli bunga ni untuk I?"

"Jangan perasan. Ini cuma..." Ariq terdiam beberapa saat. Dia sendiri tidak tahu apa lagi alasan yang patut diberikan. Namun, otaknya masih berhubung dengan baik. Sesaat kemudian, muncul lagi idea untuk terus memperkotak-katikkan perasaan Izzara.

"Bunga tu, hadiah penghargaan syarikat."

Izzara memandang bunga itu.
"Daripada syarikat?"

"Ya."

"Kenapa mawar merah? Hanya tiga kuntum je?"

Ariq terkedu. Dia mahu menjawab, tetapi otaknya kosong. Akhirnya, dia berkata,
"Syarikat kita tak jual bunga, Izzara."

Izzara terus ketawa. Lelaki di sebelahnya turut tersenyum. Dan, sekali lagi dada Ariq terasa panas apabila mendengar lelaki itu ketawa bersama Izzara.

Ariq memandangnya. Lelaki itu turut membalas pandangannya. Kedua-dua lelaki itu saling bertentang mata untuk beberapa saat. Kemudian, lelaki itu menghulurkan tangan.

"Izzul, Izzul Haq."

Ariq menyambutnya.
"Ariq... Ariq Iffat."

Izzul mengangguk.
"CEO, Ariq Holdings?"

"Ya."

"Aku, abang Izzara."

Tangan Ariq yang sedang bersalaman terus kaku. Genggaman Izzul agak kuat.

'Abang?' Dia memandang Izzul. Kemudian, wajah Izzara ditatapnya, lantas kembali kepada Izzul.

"Abang?"

Izzul mengangguk.
"Abang kandung."

Ariq terdiam lama. Izzara sudah menekup mulut menahan ketawa.
"Abang..."

Izzul tersenyum.
"Ya."

Ariq berdeham.
"Abang kandung."

"Betul."

Ariq mengangguk perlahan.
"Oh."

Satu perkataan. Hanya itu yang mampu keluar. Namun, dalam kepala Ariq, sudah hampir meletup otaknya dari tadi asyik memikirkan status lelaki itu dengan Izzara. Ternyata dia hanya tersalah sangka.

ABANG KANDUNG. Status itu hampir membuatkan dia mahu melakukan lompat bintang kerana merasakan sekeping hatinya terlalu lega saat ini. Entah mengapa, dia merasakan jantungnya kini berdetak bagaikan menyenandung alunan lagu berirama romantis.

Dia yang tadi cemburu dengan abang kandung Izzara, hampir menyimpan dendam kepada seorang lelaki yang tidak dikenali.
Dia hampir separuh gila membenci cara lelaki itu menyentuh kepala Izzara dan sekarang lelaki itu ialah abang kandungnya.
Ariq rasa dia mahu menghantukkan kepala ke dinding saat ini.

Izzara akhirnya tidak mampu menahan ketawa.
"Encik Ariq..."

Ariq memandangnya.
"Ya?"

"Encik tadi mesti ingat abang I ni, boyfriend I kan?"

"Tak. Tak pernah terlintas pun dalam kepala otak I ni. Do I care?" jawapannya terlalu sinis.

Izzara ketawa semakin kuat.
"Tak? Ye ke tak?"

"Tak."

"Betul ni?"

"Betul."

"Jadi kenapa muka encik tadi macam nak panggil pengawal keselamatan?"

Ariq terdiam. Izzul pula tersenyum sambil bersilang tangan.

"Menarik."

Ariq memandangnya.
"Apa yang menarik?"

"Tak ada apa."

Izzul menoleh kepada adiknya.
"Izzara, abang rasa bos kau ni..."

"Jangan." Ariq terus memotong.

Izzul mengangkat kening.
"Relakslah, bro... Aku belum habis cakap kau dah potong."

"I tahu apa abang nak cakap."

"Betul ke ni, macam ahli nujum kau ni kan, Ariq? Boleh baca isi hati orang."

"Betul. Dahlah, bang. Jangan nak 'bahan' I pulak."

Izzul tersenyum. Izzara pula sudah ketawa sampai memegang perut. Ariq semakin tidak selesa. Dia memandang wanita itu.

"You nampak macam dah sihat je, Izzara."

"Alhamdulillah, dah bertambah baik."

"Baguslah, kalau macam tu."

"Encik risau?"

Ariq terdiam.

"Tidaklah, you tahukan projek Aurora tu belum settle lagi. Kerja you pun pasti dah menimbun kat pejabat tu." Ariq menjawab terlalu cepat tanpa sedar.

Izzara memandangnya dengan mata yang semakin nakal.
"Encik datang tadi pukul berapa?"

"Tujuh."

"Awalnya."

"I memang bangun awal."

"Dan terus datang ke hospital?" Izzara terus- terusan menyoal.

Ariq mengangguk.
"Ya."

"Kenapa?"

Ariq membuka mulut. Kemudian, dia menutupnya semula. Sebab apa? Dia sendiri tidak tahu. Akhirnya, dia menjawab dengan wajah selamba.

"I nak pastikan pekerja I tak mati."

Izzara terkedu. Izzul terus memandangnya.
Ariq pula baru sedar betapa teruknya ayat itu. Dia berdeham.

"Maksud I... I nak pastikan keadaan you lah."

Izzara tersenyum kembali.
"Baiklah."

Ariq memandang bunga di tangan Izzara.
Kemudian, dia memandang wajah gadis itu. Untuk pertama kali pagi itu, dia mengaku dalam hatinya ada sesuatu yang langsung tidak mahu diakuinya.

Dia cemburu. Cemburu yang tidak masuk akal. Cemburu kepada lelaki yang langsung bukan saingannya. Dan, paling menyakitkan adalah egonya. Dia akui, dia sendiri cemburu kepada abang kandung Izzara sendiri.

Ariq mengusap tengkuknya.
"Habislah."

Izzara mengerutkan dahi.
"Habislah apa?"

Ariq terus menjawab, "Tak ada apa-apalah. Tak penting."

Tetapi, dalam hati, Ariq tahu. Masalah sebenarnya baru bermula. Sebab kalau hanya melihat Izzara berpelukan dengan lelaki lain sudah mampu membuatkan emosinya tidak stabil sebegini rupa, Ariq takut untuk membayangkan apa yang akan berlaku kalau suatu hari nanti Izzara benar-benar mempunyai teman lelaki.

***

ARIQ tiba-tiba berasa tidak selesa dengan dirinya sendiri. Dia tahu dia perlu pergi
sekarang. Sebelum mulutnya terlepas lebih banyak perkara yang akan membuatkan dirinya sendiri kelihatan bodoh.

Lebih lama dia berada di situ, lebih besar kemungkinan Izzara dan abangnya akan menyedari sesuatu yang dia sendiri cuba nafikan sejak tadi. Ariq mengangguk kecil.

"Kalau macam tu, I minta diri dululah."

Izzara memandangnya.
"Encik Ariq dah nak balik? Oo... ada meeting kan lepas ni?"

"Ya." jawab Ariq pantas.

Padahal hatinya langsung tidak mahu beredar. Dia masih mahu tahu keadaan Izzara. Dia mahu memastikan wanita itu benar-benar sudah stabil. Dia mahu bertanya sama ada doktor sudah datang, sama ada Izzara sudah makan, sama ada peningnya masih terasa. Terlalu banyak soalan bermain dalam kepalanya.

Namun, egonya terlalu tinggi. Izzara hanya sekadar pekerjanya. Bukan orang yang patut dirisaukan sebegini rupa. Ariq menarik nafas. Benar, Izzara bukan sesiapa. Bukan isterinya. Bukan kekasihnya. Malah, mereka belum sampai tahap berkawan pun.

Kalau dia terus berdiri di situ, apa pula yang akan difikirkan Izzara? Ariq mengalihkan pandangan.
"You rehatlah. Jangan fikir pasal kerja buat masa ini."

Izzara tersenyum kecil.
"Baiklah."

Ariq sudah berpusing hendak keluar. Namun, langkahnya terhenti. Dia teringat sesuatu. Perlahan-lahan dia menoleh semula.

"Izzara."

"Ya?"

Ariq memandangnya beberapa saat.
Wajahnya kali ini tidak lagi seperti CEO yang sedang memberikan arahan.

"I..." Dia berhenti. Perkataan yang paling mudah pun terasa begitu sukar untuk dilafazkan.

"Pasal semalam..."

Izzara diam.

"I, minta maaf."

Gadis itu terkedu. Ariq menyambung, suaranya rendah.
"I tuduh you cuai tanpa dengar penjelasan you terlebih dahulu. I terlalu cepat buat kesimpulan."

Izzara memandangnya tanpa berkedip.
Dia langsung tidak menyangka Ariq akan meminta maaf. Lelaki itu terkenal dengan egonya. Bahkan semalam pun, ketika dia ditekan dengan masalah projek, Ariq langsung tidak memberinya peluang untuk mempertahankan diri.

Tetapi hari ini, Ariq berdiri di hadapannya dan mengakui kesilapan.
"I sepatutnya percaya pada penjelasan you," sambung Ariq. "Jadi... I minta maaf."

Senyuman perlahan terukir di bibir Izzara.
Senyuman yang sederhana. Tetapi entah kenapa, cukup untuk membuatkan dada Ariq terasa berbeza.

"Tak apalah, Encik Ariq."

Ariq mengangguk. Kemudian, dia berkata lagi, "Semoga you cepat sembuh."

Izzara memandangnya. Kali ini senyumannya menjadi lebih manis.
"Terima kasih, Encik Ariq."

Ariq mengangguk sekali lagi sebelum akhirnya keluar. Pintu bilik tertutup.
Barulah dia melepaskan nafas panjang.
Tangannya masuk ke dalam poket seluar.

"Kenapa aku rasa lega sangat?"

Adoi... cemburu pulak dah.. Dahlah cemburu tak bertempat! Ariq...Ariq...?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience