SBMC : BAB 1 (BOS BAHARU)

Romance Series 52

HARI pertama bekerja sepatutnya menjadi permulaan yang baik. Sekurang -kurangnya itulah yang Izzara Qaireen harapkan ketika dia melangkah masuk ke dalam bangunan kaca tiga puluh tingkat yang menjadi ibu pejabat Ariq Holdings.

Bangunan itu kelihatan jauh lebih gah daripada yang dibayangkannya ketika menghadiri temu duga dua minggu lalu, malah suasana di dalamnya juga cukup berbeza daripada syarikat-syarikat yang pernah menjadi tempat kerjanya sebelum ini.

Semua orang bergerak pantas. Telefon tidak berhenti berdering, bunyi mesin pencetak berselang-seli dengan suara pekerja yang berbincang dan setiap orang kelihatan terlalu sibuk sehingga tidak sempat memandang wajah orang lain lebih daripada beberapa saat.

Izzara membetulkan tali begnya sebelum menghembuskan nafas perlahan.
“Tenang, Izzara. Kau datang sini untuk kerja, bukan untuk cari masalah.”

Dia baru sahaja hendak melangkah menuju ke lif apabila satu suara lelaki membuatkan langkahnya terhenti.

“Cik yang berdiri di situ.”

Izzara segera berpaling. Seorang lelaki sedang berjalan keluar dari pintu utama bersama dua orang pembantunya. Sut gelap yang dipakainya kelihatan sempurna tanpa sedikit pun kedutan, sementara wajahnya yang tenang dan serius membuatkan beberapa orang pekerja yang sedang berbual terus merendahkan suara.

Izzara mengenalinya. Ariq Iffat, CEO Ariq Holdings. Lelaki yang menjadi bahan cerita para pekerja semasa sesi orientasi pagi tadi.
Terlalu tegas, cerewet dan dingin. Tapi, yang
paling penting, dia seorang jejaka yang terlalu ego.

Ariq berhenti beberapa langkah daripadanya lalu memandang kad pekerja yang tergantung di dada Izzara.

“Staf baru?”

“Ya, Encik Ariq.”

“Bahagian?”

“Pemasaran.”

Pandangan Ariq beralih kepada kasut tumit tinggi yang dipakainya sebelum kembali kepada wajahnya.

“You datang untuk bekerja atau menghadiri majlis?”

Izzara terkedu seketika. Dia melihat pakaiannya sendiri. Blazer krim, skirt hitam paras lutut dan kasut tumit tinggi yang sudah dipilihnya dengan teliti sejak malam tadi.

“Bekerja, Encik Ariq.”

“Bagus. Jadi pastikan kasut itu tidak mengganggu kerja you.”

Izzara mengangguk walaupun agak pelik dengan teguran itu.
"Baik, Encik Ariq."

Ariq berlalu tanpa berkata apa-apa lagi, meninggalkan Izzara yang masih memandang belakangnya. Wanita di kaunter penyambut tetamu yang sejak tadi menahan senyum akhirnya bersuara.

“Cik Izzara.”

“Ya?”

“Encik Ariq memang begitu.”

Izzara mengangkat kening.
“Begitu macam mana? Apa maksud awak, Khaira?”

“Kalau boleh, dia nak semua orang datang bekerja dengan kasut sukan.”

Izzara tertawa kecil.
“Patutlah muka dia macam orang tak pernah bercuti.”

Gadis itu hampir tersedak menahan ketawa.
“Cik jangan cakap kuat-kuat. Nanti dia dengar.”

Izzara terus menutup mulut. Baru dia sedar, hari ini baru hari pertamanya bekerja di sini.
Dia belum cukup kaya untuk kehilangan pekerjaan. Dua jam kemudian, Izzara mula sedar bahawa masalah sebenar bukanlah Ariq yang menegur kasutnya. Masalah sebenar ialah tugasan pertamanya.

“Ini bahan kempen suku tahun yang lepas. Awak semak semula semua data dan sediakan cadangan baru sebelum pukul lima petang.”

Izzara memandang skrin komputer.
“Pukul lima?”

“Ya.”

Dia memandang timbunan fail digital yang diberikan kepadanya. Jumlahnya hampir dua puluh fail.

“Encik Daniel, maaf kalau saya bertanya, tetapi bukankah data ini perlu dianalisis dahulu sebelum saya boleh sediakan cadangan?”

“Betul.”

“Jadi saya perlu analisis semua ini dalam masa...”

“Lima jam.”

Izzara menarik nafas panjang sebelum menghembusnya dengan sedikit kasar. Dia sedar, hari ini memang hari pertamanya. Dia tidak boleh mengeluh. Tidak boleh merungut. Tidak boleh menunjukkan dia terkejut.

“Baiklah. Saya akan cuba siapkan.”

Encik Daniel tersenyum simpati sebelum berlalu.

“Selamat datang ke Ariq Holdings.”

Izzara memandang skrin komputer semula.
“Terima kasih. Saya rasa saya perlukan doa, bukan ucapan selamat datang.”

Dia terus bekerja. Satu demi satu fail dibuka. Data jualan, kadar interaksi pelanggan, kos pemasaran, laporan media sosial dan keputusan kempen terdahulu semuanya perlu diteliti.

Baru beberapa jam bekerja, matanya sudah mula terasa pedih. Namun, dia tidak mahu menyerah. Izzara mendapat pekerjaan itu bukan kerana simpati. Dia mendapatnya kerana kelayakan. Dan, dia akan membuktikannya.

Menjelang pukul empat petang, dia sudah berjaya menyiapkan sebahagian besar analisis. Dia menyusun semula data yang berselerak, membandingkan prestasi setiap kempen dan menghasilkan satu cadangan yang menurutnya lebih sesuai dengan sasaran pelanggan syarikat. Dia baru sahaja mahu menghantar fail, tergendala apabila telefonnya berbunyi.

> Mesyuarat bersama CEO, tepat 4.30 petang. Berkumpul di bilik mesyuarat.

Izzara terdiam.
“CEO?”

Dia memandang jam berbentuk Hello Kitty di ruangan bilik kecil di sebelah sudut kiri, merupakan ruangan kerjanya. Waktu sudah menunjukkan pukul 4.22 petang.

“Aduh, kenapa baru sekarang nak hantar mesej?” rungutnya sendirian di dalam bilik itu.

Dia segera mencapai fail dan berjalan pantas menuju ke bilik mesyuarat. Apabila pintu dibuka, hampir semua ketua jabatan sudah berada di dalam. Dan, Ariq duduk di hujung meja. Matanya terus jatuh kepada Izzara.

“You lambat.”

Izzara melihat jam di dinding.
“Sekarang baru pukul empat dua puluh sembilan.”

Ariq mengangkat kening.
“Mesyuarat akan bermula empat tiga puluh. Did you fail to read the message
right, miss...?”

Izzara terdiam. Beberapa orang di dalam bilik mula menundukkan wajah untuk menyembunyikan senyum.

Ariq menyambung, “Sit.”

Izzara terus menarik kerusi dan duduk.
Mesyuarat bermula dengan pembentangan laporan pemasaran suku tahun sebelumnya. Namun, selepas hampir dua puluh minit, Ariq mula mempersoalkan angka yang tertera di skrin.
“Kenapa kadar penukaran pelanggan turun?”

Ketua pemasaran menerangkan panjang lebar tentang keadaan pasaran dan perubahan trend pengguna. Ariq tidak kelihatan berpuas hati.

“Semua itu alasan. I mahu tahu apa penyelesaiannya.”

Tiada siapa menjawab. Izzara yang sejak tadi meneliti laporan di tangannya akhirnya bersuara.
“Kalau I boleh beri cadangan…”

Ariq terus memandangnya.
“You baru bekerja sehari. If I'm not mistaken?”

“Ya, encik.”

“Dan you sudah ada cadangan? Alright, let's hear your proposal. Now.” Ariq membuka butang kotnya lalu bersandar pada kerusi kulit, matanya yang redup merenung tajam ke arah gadis itu.

Izzara mengangguk.
“I perasan penurunan itu bukan semata-mata disebabkan trend pasaran. Sasaran kempen sebelum ini terlalu luas. Kita cuba tarik semua golongan pelanggan sedangkan produk itu sebenarnya lebih sesuai untuk golongan profesional muda.”

Ariq bersandar di kerusinya.
“Teruskan.”

Izzara bangun lalu berjalan ke hadapan.
Dia menerangkan hasil analisis yang dibuat sepanjang hari itu, termasuk beberapa kelemahan kempen terdahulu dan cadangan strategi baharu. Bilik mesyuarat menjadi sunyi. Kali ini tiada siapa menyampuk.

Apabila Izzara selesai, Ariq masih diam.
Kemudian dia bertanya, “Berapa lama you ambil untuk analisis semua data itu?”
“Lebih kurang empat jam.”

“Empat jam?”

“Ya.”

“Dan you yakin dengan cadangan ini?”

Izzara menarik nafas.
“Kalau I tak yakin, I takkan bentangkan.”

Beberapa orang ketua jabatan terus memandangnya. Ariq pula hanya menatap wajah Izzara tanpa riak.
“Baik.”

Dia mencapai fail di hadapannya. Senyuman nipis yang menampakkan keikhlasannya perlahan-lahan menggantikan senyuman sinis di wajah Ariq. Dia condong ke hadapan, menyilangkan jemarinya di atas meja.
“Alright, you have my attention. I'm intrigued by your proposal.”

Izzara hampir tidak percaya.
“Encik?”

“Kita akan buat seperti apa yang you cadangkan.” Ariq kemudian menoleh kepada ketua pemasaran. “Mulai minggu depan, I mahu kempen baru berdasarkan analisis Cik Izzara.”

“Baik, Tuan Ariq.”

Mesyuarat hampir tamat apabila Ariq tiba-tiba memandang semula kepada Izzara.
“Dan satu lagi.”

Izzara menunggu.
“Lain kali kalau ada pendapat, jangan tunggu orang lain bertanya.”

“Baik.”

“You dibayar untuk berfikir, bukan sekadar ikut arahan.”

Izzara mengangguk. Namun, sebelum sempat dia duduk semula, Ariq menambah dengan nada selamba, “Walaupun I akui cara you bercakap agak berani untuk seseorang yang baru bekerja sehari.”

Izzara tersenyum nipis.
“I minta maaf kalau terlalu berani.”

Afiq membalas pandangannya.
“I tak kata I tak suka.”

Kemudian, lelaki itu bangun dan meninggalkan bilik mesyuarat. Izzara hanya mampu memandangnya. Lelaki itu memang pelik. Kadang-kadang dingin. Ada masanya, menyebalkan. Dan, kadang-kadang, dia sendiri tidak tahu sama ada Ariq sedang memuji atau menghina seseorang.

Jam sudah menunjukkan pukul tujuh tiga puluh minit malam ketika Izzara akhirnya menutup komputer. Hampir semua pekerja sudah pulang. Dia mengemas mejanya sambil menahan lenguh di bahu. Hari pertamanya ternyata jauh lebih mencabar daripada yang dibayangkan, tetapi sekurang-kurangnya dia berjaya melepasi satu hari tanpa membuat kesilapan besar.

Sebaik sahaja dia keluar dari lif, dia ternampak Ariq berdiri berhampiran pintu utama. Lelaki itu sedang bercakap di telefon. Izzara cuba berlalu tanpa menarik perhatian, tetapi suara Ariq tiba-tiba membuatnya berhenti.

“Cik Izzara.”

Izzara perlahan-lahan berpaling.

Ariq menamatkan panggilan lalu memasukkan telefon ke dalam poket.
“You baru balik?”

“Ya. Kenapa Encik Ariq?” Izzara memandangnya pelik.

“You kerja? Kerja sampai hampir pukul lapan malam?”

“Encik Ariq sendiri yang beri I tugasan sampai pukul lima. I lewat sikit, sebab I singgah ke surau dulu. Solat.”

“I beri you tugasan, bukan suruh you bermalam di pejabat. Oo... solat. Yelah,
tak baik lengah solat kan?” Ariq garu tengkuknya sambil tersengih.

Izzara mengetap bibir bila jantungnya mula bertukar detak iramanya. Riak wajah bersalah Ariq kelihatan sangat comel ketika ini. Sempat Izzara merenungnya walaupun hanya untuk beberapa saat.

“I cuba siapkan sebaik mungkin, Encik Ariq.”

Ariq diam seketika. Kemudian, dia berkata, “Bagus.”

Hanya satu perkataan. Tetapi, entah kenapa, pujian ringkas itu membuat Izzara tersenyum.

Ariq sudah melangkah pergi apabila dia berhenti semula.
“Oh, ya... Cik Izzara.”

“Ya?”

“Esok, jangan pakai kasut tu.”

Izzara memandang kasutnya.
“Kenapa pula?”

Ariq memandangnya seketika sebelum berkata dengan tenang, “Sebab I rasa you akan mengeluh sepanjang hari.”

Izzara mencebik.
“I tak akan mengeluh.”

Afiq tersenyum kecil.
“We'll see tomorrow.”

Dia terus berjalan keluar. Izzara berdiri di situ sambil menggeleng.
“Dia, CEO paling pelik pernah aku jumpa.”

Izzara tidak tahu bahawa beberapa langkah di hadapan, Ariq turut tersenyum kecil. Dan, lebih dia tidak tahu mulai esok, lelaki itu akan mula mencari alasan untuk mengganggunya.

Bukan kerana Izzara pekerja baharu. Tetapi, Ariq sendiri rasa tercabar. Di tahun baru ini, ada seseorang yang berani bercakap
dengannya tanpa rasa takut. Dan, Ariq mula menyukai hakikat itu jauh lebih daripada yang sepatutnya.

Izzara menghela nafas lega sebaik sahaja keluar dari pintu utama bangunan Ariq Holdings. Jam di pergelangan tangannya sudah menunjukkan hampir pukul lapan malam. Selepas seharian bergelut dengan fail, angka, carta jualan serta sesi soal jawab bersama lelaki paling menjengkelkan yang pernah ditemuinya, apa yang paling diinginkannya sekarang hanyalah katil yang empuk dan tidur tanpa diganggu sesiapa.

Dia segera mencapai telefon untuk menyemak aplikasi e-hailing yang sudah ditempahnya tadi. Izzara mendongak dan terlihat sebuah kereta berhenti beberapa meter dari pintu masuk bangunan.

"Ya Allah, dah sampai!"

Tanpa membuang masa, Izzara terus melangkah laju. Tumit kasut tingginya sudah mula terasa menyucuk tapak kaki sejak sejam yang lalu, tetapi dia tidak peduli. Dia hanya mahu sampai ke kereta sebelum pemandu itu menyangka dirinya tidak muncul lalu membatalkan tempahan.

"Miss! Miss, careful!"

Suara pengawal keselamatan kedengaran dari belakang, tetapi Izzara tidak sempat memikirkan apa-apa. Kerana pada langkah seterusnya, tumit kasut tingginya tersangkut pada lubang longkang kecil di permukaan jalan.

Tubuhnya terus hilang keseimbangan.

"Aaah!"

Fail yang berada di tangannya hampir terlepas. Tubuh Izzara terdorong ke hadapan, manakala sebelah kakinya terangkat tanpa sempat mencari pijakan.
Dalam fikirannya, dia sudah membayangkan dirinya tertelungkup di atas jalan.

Malu, sakit dan lebih memalukan lagi kerana mungkin pemandu e-hailing itu akan melihatnya terbaring seperti ikan yang baru terlepas dari jaring.

Namun, sebelum tubuhnya sempat mencium permukaan jalan, sebelah lengan kekar pantas melingkar kemas pada pinggangnya. Satu lagi tangan menyokong bahagian belakang bahunya.

Tubuh Izzara yang hampir terjatuh kini berhenti dalam satu gerakan yang begitu sempurna sehingga dia sendiri tidak sempat memahami apa yang berlaku. Dia terkebil-kebil. Kemudian, perlahan-lahan membuka matanya lebih besar dan seluruh dunia seakan-akan berhenti.

Afiq Iffat, majikannya. Lelaki itu masih berada di situ. Entah sejak bila dia berdiri berhampiran pintu utama, tetapi kini tubuhnya berada begitu dekat sehingga Izzara dapat merasakan kehangatan nafasnya. Satu tangan lelaki itu masih kemas di pinggangnya, sementara sebelah lagi menyokong tubuhnya dalam posisi seakan-akan adegan 'dipping' dalam sebuah filem romantik.

Mata mereka bertaut. Tiada siapa bersuara.
Bunyi kenderaan yang lalu-lalang seakan -akan semakin jauh. Bunyi hon, suara orang bercakap dan deruman enjin yang memenuhi kawasan hadapan bangunan tadi seperti hilang daripada pendengaran Izzara.
Yang tinggal hanyalah sepasang mata hitam di hadapannya.

Ariq juga tidak bergerak. Dia sendiri tidak menyangka sempat menangkap wanita itu.
Lebih mengejutkan, dia tidak menyangka satu perkara kecil seperti itu mampu membuatkan jantungnya berdegup lebih kuat daripada biasa.

Wajah Izzara yang tadi cemas kini berada begitu hampir dengan wajahnya. Beberapa helai rambut wanita itu terjatuh di sisi pipi, sementara bibirnya sedikit terbuka akibat terkejut.

Cantik! Perkataan itu muncul dalam fikirannya tanpa dipinta. Ariq mengerutkan dahi, seolah-olah tidak suka dengan fikirannya sendiri.

Izzara pula masih kaku.

Alhamdulillah... baby baru muncul lagi. Kisah kali ni lebih santai dan diharap dapat diterima baik..Seperti biasa, novel ini UNLOCK CHAPTER, 4 bab awal boleh dibaca secara percuma dan bab seterusnya akn dikunci... Tinggalkan komen anda tnda support author okey. TQ...?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience