Rate

BAB 2

Family Completed 439

23 OGOS 2017

Esoknya, pagi-pagi lagi aku sudah menempah uber. Mee kolok dan
laksa Sarawak dalam fikiran aku sejak semalam lagi. Kali terakhir aku
merasa makanan ini semasa mengikut kawan sekerja aku ke program “Lan
Berambeh Sarawak” tahun lalu. Program yang mengumpulkan anak Sarawak
yang belajar, kerja dan tinggal di Semenanjung. Aku apa lagi tak
lepaskan peluang untuk turut serta. Makanan percuma untuk semua. Siapa
yang tak suka kalau benda tu percuma kan. Tidak lama kemudian aku telah
sampai ke sebuah kedai yang popular dengan laksa sarawaknya. Menurut
sumber internet yang aku lihat semalam, kedai ini harus aku kunjungi.
Aku duduk berhampiran dengan sebuah keluarga yang anaknya ada dua orang.
Aku kira-kira anaknya berumur dalam lingkungan 5 ke 6 tahun. Aku mencuri
dengar perbualan keluarga itu walaupun aku kurang faham bahasa yang
digunakan

“Kitak mok minum apa?” Tanya gadis muda yang bekerja di kedai ini.

Nasib baik ada perkataan minum. Jadi aku tahu dia bertanyakan tentang
apa. Senyuman gadis muda itu tiba-tiba mengetarkan jantungku. Betul apa
yang diperkatakan, gadis Sarawak cantik orangnya.

“Oh ye. Saya nak air teh ais satu ye. Kurang manis. Lepastu saya
nak mee kolok dan mee laksa Sarawak.” Mendengar sahaja itu, gadis muda
itu tersenyum. Selesai sahaja makan, aku menunjukkan gambar sebuah
lorong dengan gadis muda itu dan bertanyakan di mana boleh aku cari
lorong ini. Gadis muda itu seperti kurang tahu lalu menyerahkan gambar
itu kepada seorang wanita yang berumur dalam lingkungan 50an. Aku
terdengar perbualan mereka.

“Oh, sik salah kamek, tok lorong sempit. Nun dekat India Street.”

Aku menaikkan kening tanda kurang faham. Kemudian gadis muda tadi
memberitahu kembali apa yang diperkatakan oleh wanita tadi.

“Tempat ni di India Street. Dekat je dari sini. Tak jauh. Orang
sini panggil tempat ni lorong sempit.” Terang gadis muda tadi.

Aku selesaikan sahaja bayaran makanan dan terus menelefon uber
untuk bawakkan aku ke lorong sempit itu. Pak Jemat harus aku jumpa.

Seharian aku berdiri di lorong sempit ini. Ramai betul orang lalu lalang
di sini. Dari mula aku menjejak kaki ke India Street ini aku terpukau
dengan bangunan yang terdapat di sini. Binaan lama di India Street ini
disegarkan dengan cat yang bewarna-warni. Masih mengekalkan unsur
sejarah di tengah bandar yang membangun dan moden.

Sememangnya lorong sempit tersebut amat popular dalam kalangan
orang tua buta. Aku lihat lebih kurang dalam enam orang yang duduk di
atas kerusi plastik tepi dinding lorong sempit sambil membawa bekas dan
tisu. Semuanya melayu, seorang bertudung dan selebihnya berkopiah.
Bagaimana aku mahu mencari Pak Jemat? Adakah Pak Jemat dalam kalangan
mereka. Aku berhenti di tepi salah seorang lelaki tua peminta sedekah.
Aku lihat mereka begitu gembira sesama sendiri. Gelak dan sakan betul
bercerita walaupun hanya duduk di lorang sempit ini. Kadang-kadang
terlihat juga orang ramai yang lalu lalang menggunakan lorong sempit ini
memasukkan wang dan syiling di dalam bekas orang tua buta.

“Orang bujang mok nunggu apa?” soal seorang lelaki tua buta yang
duduk di sebelah tempat aku berdiri.

“Maaf pak cik. Saya tak faham.”

“Oh, orang KL duhal. pak cik tanya, kamu tunggu siapa? Dekat sejam
pak cik rasa kamu berdiri di sini. Macam menunggu seseorang.”

“Err..saya pun tak pasti pak cik kenapa saya berdiri lama di sini.
Mungkin terpegun dengan suasana dan keadaan lorong sempit ni.”

Pak cik buta itu hanya tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience