BAB 16

Romance Completed 344019

IAN membetulkan jaket formal berjenama Boss yang tersarung di tubuh. Pandangan matanya memerhati satu-persatu kelibat orang ramai yang melalui ruang lobi bangunan tiga puluh tingkat itu. Menanti dengan penuh sabar bercampur gelisah.

Wajah yang ditunggu-tunggu masih belum menampakkan bayang. Dia mengerling pula ke arah Patek Phillipe di lengan kiri. Sepuluh minit lagi hampir ke pukul sembilan pagi. Terbit keluhan dari bibir. Jangan-jangan orang yang dinanti itu tidak hadir?

“Tunggu siapa?”

Satu suara yang menyapa dari belakang membuatkan Ian tersentak. Spontan dia menoleh sebelum melihat susuk tubuh seorang lelaki berusia lewat lima puluhan dalam pakaian formal sedang merenung gelagatnya.

Datuk Ismail yang juga papa Ian baru tiba di bangunan ini untuk menghadiri satu sesi mesyuarat. Lelaki korporat yang merupakan Pengerusi Syarikat itu jarang-jarang muncul di pejabat kecuali apabila mempunyai aturcara penting untuk dihadiri sahaja.

“Erm tunggu my friend.”

Ian menutur alasan. Malas ingin bercerita lanjut tentang siapa yang dinantikan. Tak sangka pula papanya akan muncul awal-awal pagi di sini. Lain yang ditunggu lain pula yang datang.

Datuk Ismail sekadar mengangguk. Tidak ingin membuang masa lalu memaklumkan dia ingin segera ke tingkat atas. Ada sesi mesyuarat yang perlu dipengerusikan sekejap lagi.

“Hurm papa naik dulu. Any important matter we will discuss later.”

Ian sekadar mengangguk sambil memerhati kelibat papanya yang menghilang bersama seorang pengiring di sebalik ruangan yang menempatkan lif untuk kegunaan VIP.

Spontan kepala Ian menggeleng bersama satu keluhan. Di satu sudut dia adalah anak tunggal kepada lelaki korporat tadi. Manakala di sudut yang lain pula dia adalah pekerja yang dibayar gaji sama seperti kakitangan lain. Malah, apabila prestasi syarikat tidak memberangsangkan, dia juga adalah orang pertama yang akan menerima kritikan serta hamburan kemarahan papa.

Ah, pedulikan. Kerana ada perkara lain yang lebih penting untuk dia fikirkan ketika ini. Hal yang mampu memadam semua kesepian dari hatinya.

PENANTIAN Ian berakhir apabila tidak lama kemudian muncul kelibat seorang gadis melalui pintu kaca automatik yang terbuka di ruang utama lobi berkenaan.

Ukiran senyuman terus terbentuk di bibir Ian. Riak wajahnya bertukar ceria. Lalu langkahnya diatur laju menuju ke arah gadis itu.

“Hey. Morning, Ms Pluviophile.” Ian menyapa dengan mesra.

Alyka tertawa kecil saat mendengar gelaran itu. Hanya kerana dia gemar melihat hujan, maka Ian memberikan dia gelaran berkenaan.

“Awak, maaf sangat-sangat saya terlewat ke sini. Ada hal di rumah tadi.”

Sebetulnya Alyka terlupa bahawa dia perlu memulakan tugasan baharu di syarikat Ian hari ini. Apa lagi, terus kelam-kabut dia bangun pagi tadi dan bersiap untuk ke sini termasuk meredah kesesakan trafik yang boleh tahan sibuk.

Sebaliknya Ian seakan terpaku memerhati ke susuk tinggi lampai yang berada di hadapannya. Begitu memukau pandangan.

Alyka mengenakan pakaian formal pejabat bersama solekan ringkas yang terias di wajah. Namun, semua itu sudah cukup untuk membuatkan mata Ian tidak berkelip memandang. Wajah ini yang sering dirindui setiap hari. Sesaat tidak bertemu terasa bagaikan setahun yang begitu menyeksakan jiwa raga.

“It’s okay. Lewat sikit je,” ujar Ian sambil menayangkan jam di lengan kirinya yang sudah mencecah ke angka 9:10 pagi.

Benar dia tak kisah pun kekasih hati sendiri terlewat. Apa yang penting ruang jiwanya bahagia apabila dapat menatap raut yang teristimewa ini.

“So, welcome to our company. Jom I bawa you ke ruang kerja you.”

Ian begitu bersemangat mahu menunjukkan keseluruhan syarikat milik keluarganya itu kepada Alyka. Jarang-jarang dia bersikap rajin seperti ini. Selalunya urusan berkenaan kakitangan baharu diserahkan sahaja kepada Bahagian Sumber Manusia. Tetapi, untuk Alyka semua itu diberi pengecualian. Kerana gadis ini adalah seseorang yang begitu istimewa dan tidak sama seperti kakitangan biasa yang lain.

“Terima kasih banyak awak.” Alyka mengucapkan penghargaan dan berharap semuanya akan baik-baik sahaja nanti.

“You’re most welcome my dear.” Balas Ian dalam senyuman yang langsung tidak lekang di bibir.

Alyka kemudian menuruti langkah Ian menuju ke ruangan menempatkan lif VIP yang terletak di satu sudut. Seorang kakitangan yang sudah diarahkan oleh Ian menyambut mereka di situ lalu memberikan kad akses pekerja untuk kegunaan Alyka sepanjang bertugas di sini.

Dalam debaran bercampur teruja, Alyka menyambut kad berkenaan bersama senyuman penuh makna yang terukir di hujung bibir. Kad berkenaan direnung dalam-dalam. Inilah kad paling ‘berkuasa’ yang akan membantu dia untuk mendapatkan apa yang sudah direncanakan kelak.

PINTU bilik mesyuarat yang terletak di Bahagian Pengurusan Utama syarikat ditolak dari luar oleh Ian. Dia menjemput Alyka ikut masuk ke ruang bilik tersebut.

Kelihatan beberapa orang pegawai tertinggi syarikat sudah berada di kerusi masing-masing. Dan sedang duduk di kerusi utama adalah Pengerusi Syarikat iaitu Datuk Ismail. Mereka saling memandang ke arah Ian dan Alyka.

Sesi mesyuarat bulanan yang akan membincangkan beberapa isu penting dalam syarikat baru sahaja ingin bermula. Dan sebagai CEO di syarikat berkenaan, Ian berbesar hati mahu memperkenalkan Alyka kepada seisi mesyuarat.

“Hello everyone. Morning. I would like to introduce my new assistant to all of you, Ms Alyka.”

Seraya Alyka yang berdiri di sisi Ian tersenyum sambil menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat dan salam perkenalan kepada semua hadirin. Gementar tak usah cakaplah. Pertama kali dia berhadapan dengan pegawai-pegawai tertinggi di sebuah syarikat korporat besar seperti ini. Terasa dirinya begitu kerdil. Tapi, demi sebuah lakonan yang harus dijayakan, Alyka berpura-pura berlagak biasa dengan keadaan itu.

“Selamat pagi semua. Saya Alyka. Mohon berikan tunjuk ajar jika ada sebarang salah dan silap sepanjang saya bertugas di sini," ucap Alyka dalam nada profesional.

Datuk Ismail yang duduk di hujung meja mesyuarat menjungkitkan kening memerhati ke arah kelibat dua orang yang baru muncul di bilik mesyuarat itu. Dan pandangannya tentu sahaja paling lama bertaut pada si gadis yang sedang berada di samping anak tunggalnya. Ditanggalkan cermin mata rabun dekat untuk melihat dengan lebih jelas ke arah gadis itu.

“Your new assistant? Bukan kamu dah ada PA?”

Datuk Ismail menyoal ke arah Ian. Juga merujuk kepada setiausaha si anak yang turut berada di meja mesyuarat tersebut. Pelik juga kenapa Ian perlukan seorang lagi pembantu.

“Alyka akan assist Ian untuk hal berkaitan tender-tender syarikat. Dia berpengalaman luas dalam urusan deal untuk mendapatkan projek-projek mega. She’s a Business Consultant.” Ian bersuara penuh yakin.

‘Business Consultant’. Alyka meneguk liur. Sebetulnya itulah nama jawatan yang diberitahu kepada Ian tempoh hari. Kononnya dia mempunyai pengalaman untuk membantu sesebuah syarikat dalam urusan mendapatkan peluang perniagaan bersama syarikat-syarikat besar lain. Begitulah seperti yang dicadangkan oleh teman baiknya, Jesrina tempoh hari.

Jenuh jugalah dia ‘study’ bagaimana rupa sebenar seorang Business Consultant melalui Internet. Siap tonton beberapa drama bersiri di Netflix semata-mata nak praktis gaya serta bidang kerja berkenaan. Harap-harap tak akan terkantoi. Ini kalau ‘boyfriend kesayangannya’ si Umar tahu dia bekerja sebagai Business Consultant di sini mesti kena gelak besar. Kelulusan tak seberapa ada hati nak jadi 'Business Consultant' konon. Ahaks.

“Erm okay. Welcome to our company, Ms Alyka. Have a seat.”

Datuk Ismail mempelawa mereka berdua duduk di kerusi kosong yang berada di meja mesyuarat. Lelaki korporat itu kemudian meneruskan agenda mesyuarat serta hal-hal penting lain yang akan dibincangkan bersama.

Alyka mengucapkan terima kasih lalu mengambil tempat bersebelahan Ian. Segala isi mesyuarat yang diperbincangkan hari ini dicatat semuanya. Maklumat-maklumat tersebut pasti akan berguna dalam rencana yang sedang diaturkan.

Sementara Ian pula masih mengukir senyuman. Buat pertama kali dia merasakan sesi mesyuarat yang dihadiri tidak membosankan kerana ada Aly yang menemani. Langsung tidak ada sebarang ragu dan curiga di benaknya terhadap gadis ini.

KETIKA sesi mesyuarat berakhir, Alyka kembali semula ke ruang kerjanya yang sudah ditunjukkan oleh Ian di awal pagi tadi. Manakala Ian pula mengekori langkah papanya ke bilik Pengerusi Syarikat itu untuk berbincang sesuatu. Sempat Ian memaklumkan kepada Alyka bahawa dia akan menemui gadis itu semula nanti.

“Who is that new girl?” Datuk Ismail menyoal sebaik sahaja Ian melabuhkan punggung di kerusi bertentangan meja kerjanya.

“Maksud papa?” Ian mengerutkan dahi tanda kurang jelas dengan nada soalan yang kedengaran berlainan.

Datuk Ismail merenung ke wajah Ian. Sebagai lelaki dia cukup memahami apa yang terkandung di benak si anak. Malah, berdasarkan cara Ian memandang dan tersenyum kepada gadis baharu yang muncul di bilik mesyuarat seketika tadi membuatkan Datuk Ismail seakan dapat mengandaikan sesuatu.

“Gadis tadi yang bernama Alyka tu, apa hubungan kamu dengan dia?”

“She’s my new assistant.”

Ian menjawab tanpa ingin melanjutkan penjelasan sebenar. Tak mungkin dia nak mengaku kepada papa bahawa dia menyukai Alyka. Belum masanya. Walaupun itulah hakikat sebenar.

“Ian Khalif. Remember. Kamu dah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi. Tan Sri Rahmat tu klien penting syarikat kita.” Datuk Ismail menekankan ayat terakhir agar anaknya faham berkenaan sebuah kenyataan.

Ian meraup tapak tangannya ke kepala. Rahangnya bergerak-gerak. Tanda fikirannya sedang dilanda kekusutan.

“Don’t worry. I know what I’m doing.” Ian membalas ringkas.

Datuk Ismail menghembus keluhan. Dia tidak bercadang memanjangkan isu berkaitan gadis tadi bersama si anak. Dia yakin Ian sudah cukup dewasa dan tahu perkara mana yang lebih menjadi keutamaan.

Hanyalah ada sesuatu tentang gadis tadi yang sedikit menganggu fikirannya. Namun, serba salah mahu ditanyakan kepada Ian. Tak mengapalah mungkin lain kali sahaja dia soalkan hal tersebut kepada anaknya.

“Malam ni jangan lupa dinner kita bersama keluarga Tan Sri Rahmat. I think Jennie dah beritahu kamu tempat dinner. Don’t be late.” Datuk Ismail menitip pesan.

Seraya fikiran Ian berputar ligat. Aduh, baru sahaja dia bercadang mahu menghabiskan malam ini bersama Alyka. Kacau daun betullah.

“Dinner tu tak boleh postpone hari lain ke? Ian ada hal malam ni.” Ian memberi alasan untuk mengelak.

“Tak boleh. Tan Sri Rahmat yang minta kita berjumpa dia malam ni untuk bincangkan berkenaan tender projek mega tu sekali. By the way, kalau boleh jangan bawa assistant baru kamu tu. Papa tak nak Tan Sri Rahmat syak yang bukan-bukan pula nanti.”

“Hurm yelah.” Ian akur dalam hembusan keluhan perlahan.

Dia kemudian menyambung berbicara berkaitan hal-hal sulit syarikat bersama papanya. Dalam waktu yang sama masih berencana untuk keluar menghabiskan masa bersama Alyka nanti. Tak keruan selagi tak dapat menatap wajah manis gadis itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience