BAB 1

Romance Completed 1383

Titisan embun yang membasahi pohon-pohon hijau di taman belakang bangunan hospital mendamaikan perasaan Kayla yang hampir seminggu terkurung dalam wadnya.

Gadis berkulit kuning langsat dan berhidung mancung itu melabuhkan punggung di bangku sambil matanya masih tetap meliar ke sekeliling taman menikmati pemandangan pagi. Kayla melepaskan sekelumit senyuman yang hanya dia mengerti apa maksudnya.

Kayla menghidupkan ipad keluaran Samsung di ribanya. Skrin sesentuh disentuh di beberapa ikon lalu memaparkan tayangan gambar-gambar yang merakam sejuta kenangan indah dalam hidupnya.

“Kayla, Ibtizam ada hadiah untuk awak.”

Ibtizam menyerahkan sebuah kotak kepada bakal tunangnya. Kayla menyambut dengan senyuman ceria. Tangannya lincah membuka ikatan reben dan penutup kotak hadiah bermotifkan anak beruang berwarna coklat.

“Setiap gambar kita ada cerita yang nak disampaikan. Kayla simpanlah satu salinan. Ibtizam ada satu salinan lagi.”

Kayla mengambil sebuah album tebal di dalam kotak hadiah. Ada tiga buah album kesemuanya.

“Tengok gambar ni, ingat tak?”

Ibtizam menunjuk ke arah sekeping foto yang menunjukkan wajah Kayla yang kelihatan murung. Kayla mengerutkan kening seperti cuba mengingati sesuatu.

“Ala… Ibtizam curi-curi ambil gambar ni lepas ni kita gaduh pasal Ibtizam tak pergi kelas tusyen Biologi hari tu. Ingat tak?”

Kayla cuba mengingati semula peristiwa dia memarahi Ibtizam kerana tidak hadir ke kelas tusyen. Seharian dia menunggu Ibtizam namun lelaki itu hanya muncul selepas kelas tusyen tamat. Apabila ditanya, Ibtizam hanya mendiamkan diri sehingga Kayla menuduhnya bergaul dengan remaja-remaja nakal. Kayla tersenyum memandang Ibtizam. Dia sudah salah faham ketika itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience