Bab 8

Other Completed 14337

Pintu bilikku diketuk.

Mak long berbaju tidur kelawar berdiri menjengukkan lehernya sambil tersenyum ke arahku.

‘’Zie, boleh mak long masuk?’’ tanya mak long.

Aku membalas senyumannya dan cuma mengangguk. Ku letak buku komik detective Conan di meja dan bangun duduk bersandar di kepala katil.

‘’Sorry kacau Zie baca komik, mak long bukan apa bosan tiada benda nak buat, pak long belum balik lagi, kat tv tiada cerita best, mak Zie pula tidur awal, migraine katanya, tengok lampu bilik Zie menyala tu yang mak long masuk.’’

‘’Tak mengapa mak long, Zie pun sepanjang cuti ni jadi insomnia, susah nak lelap, kadang-kadang jam 3 pagi baru tidur.’’

‘’Ha, eloklah kita dua ni, tapi tak elok amalkan tau, bahaya untuk kesihatan nak-nak lagi jantung. Sekarang ni macam-macam penyakit datang menyerang lebih-lebih lagi kat orang muda yang tak cukup tidur ni,’’

‘’Okay mak long, masa cuti je jadi burung hantu, Zie janji.’’ Mak long senyum seakan berpuas hati dengan jawapan ku.

Mak Long yang tadinya duduk di kerusi meja solek perlahan-lahan duduk di atas katil. Dia tersenyum memandangku. Dari pengamatan ku, sepertinya mak long cuba untuk mengatakan sesuatu padaku tapi masih bertarung untuk mencari ayat yang sesuai barangkali.

‘’Zie, mak long nak tanya, Zie gaduhkah dengan mama?’’ Aha! Akhirnya mak long perasan juga, kenapa lambat sangat? Aku menggelengkan kepala.

‘’Mak long tengok macam ada je tak kena, selalunya korang dua beranak ni sangatlah rapat, paling kecoh, ada saja bahan nak sakat mak long, buli adik, kadanh-kadang suara korang dua beranak je dah macam satu battalion askar berkampung di dalam rumah ni, riuh. Tapi kali ni sunyi sepi, ada apa-apa yang dah terjadi kah Zie?’’

‘’Bukan gaduh mak long, mana ada kami bergaduh. Ia lebih kepada salah faham ataupun mungkin Zie yang tak puas hati,’’ jawabku.

‘’Sebab apa Zie, Zie tahukan tak elok buat macam tu, sebagai anak Zie kena mengalah,’’

‘’Zie cuba untuk memahami, tapi buntu dan Zie tak nampak jalan penyelesaian untuk mama adalah dengan cara yang bakal mama pilih, selama ni kami okay bertiga.’’

‘’Apa yang Zie maksudkan ni?’’

‘’Mak long, mama nak kahwin lagi! Itu yang buat Zie marah, dan sebab itulah Zie bermasam muka dengan mama. Zie tak suka!’’ Akhirnya terluah juga apa yang terbuku di sanubariku dan aku lagi puas hati bila mak long dah tahu tentang hubungan mama dan pak cik Rashid.

Mak long agak terkejut tapi reaksi mukanya masih di tahap tenang bagiku. Mak long berdehem perlahan dan melemparkan senyuman padaku. Dia kemudiannya mengusap-ngusap tapak kakiku yang beralas selimut.

‘’Ouh pasal itukah? Mak long faham perasaan Zie, siapa yang boleh terus gembira menerima berita macam ni kan? Sedangkan isteri kalau dimadukan boleh marah inikan pula anak bila dapat tahu ibu bapa mereka nak kahwin lagi,’’ mak long cuba berseloroh aku cuba mencerna kata-katanya namun gagal, barangkali kami sama-sama letih dan mengantuk sebenarnya.

‘’Beginilah Zie, yang sebenarnya mak long dan pak long dah tahu mengenai hal ini, mama Zie dah ceritakan semuanya dan minta izin dari kami berdua terlebih dahulu sebelum memberitahu Zie. Mama beritahu mak long yang Zie tak bersetuju dan tadi dia beritahu mak long, dia dah lupakan hasratnya dan akan kekal menjadi ibu dan ayah untuk Zie dan adik.’’ Aku patutnya menarik nafas lega mendengar penjelasan mak long tapi entah mengapa hatiku terasa pedih, aku seolah merasa satu kesakitan, seakan-akan patah hati.

‘’Jadi Zie tak perlulah bermasam muka dan marah kat mama lagi ya, tak elok macam tu Zie pun tahu yang syurga di bawah tapak kaki ibu kan?’’ aku cuma tunduk mengangguk.

‘’Tapi dalam masa yang sama, mak long cuma nak Zie tahu yang baik mak long dan pak long pada mulanya berbelah bahagi dengan keputusan mama Zie, tapi bila difikirkan semula, siapa kami untuk menghalang kebahagiaan mama Zie kan? Mama Zie bukan minta kebenaran untuk berpoligami dan sebenarnya, dia tak perlu pun meminta kebenaran kami kerana dia berhak membuat keputusan sendiri. ‘’

‘’Bila mengenang semula susah payah mama Zie membesarkan kamu dua beradik seorang diri selama ni dan melihat kebahagiaan, senyuman manis yang terpancar semula di wajah mama Zie yang telah lama hilang sejak pemergian ayah Zie, kami merasa gembira dan bersetuju. Apa saja keputusan mama Zie kami sokong asalkan dia gembira, dan untuk pengetahuan Zie, pak cik Rashid ada datang sekali pada hari itu, dan beberapa kali melawat kami di Chemor seorang diri. Bagi mak long, baik mama Zie dan pak cik Rashid, kedua-duanya ikhlas saling sayang menyayangi. Mama Zie ada bagitahu tak, yang mama dan pak cik Rashid dulu bersekolah di sekolah yang sama dan belajar satu kelas, pernah bercinta namun terputus di tengah jalan kerana arwah atuk Zie haling dan akhirnya bertemu kali pertama selepas 30 tahun sewaktu mereka mengerjakan umrah tahun lalu?’’ aku tergamam dan menggelengkan kepala.

‘’Selepas balik dari umrah, pak cik Rashid tidak berputus asa cuba mendapatkan hati mama Zie, puas ditolak namun pak cik Rashid tidak berputus asa. Barangkali melihat kesungguhan pak cik Rashid, akhirnya pintu hati mama Zie terbuka menerima lamaran pak cik Rashid, benarlah jodoh itu rahsia Allah, Subhanallah, cantiknya perancangan Allah kan Zie.’’

‘’Tapi mak long, Zie tak kenal lelaki tu, bagaimana nanti kalau lepas kahwin mama berubah dan mengabaikan kami atau mungkin lelaki tu mempersia-siakan mama? Bagaimana Zie boleh percaya yang itu semua takkan terjadi? Jangan cakap Zie tak mencuba, Zie ada memikirkannya tapi end up Zie takut kalau-kalau apa yang difikirkan ini terjadi,’’ aku cuba meluahkan beberapa tanggapan negative yang bermain di fikiranku sejak dua minggu lepas, ya, aku banyak sangat tengok drama, tapi banyak juga kes ayah dan mak tiri jahat yang berlaku di dunia nyata.

‘’Sebab itulah Zie harus cuba mengenali pak cik Rashid, sebab itulah juga tujuan pak cik Rashid datang makan malam, pak cik Rashid yang beria-ria mahu datang semata—mata mahu berkenalan dengan Zie dan meminta kebenaran dengan Zie, malah kami suami isteri yang mencadangkan idea itu pada pak cik Rashid, mama Zie pun tak tahu menahu, tu yang kelam kabut jadinya hari tu. Cuma Allah SWT saja yang mengetahui apa yang berlaku di langit dan di bumi hatta apa yang dibisikkan di hati tiap insan. Kita manusia yang tidak mempunyai kuasa itu hanya boleh percaya dan berserah, tapi sebelum tu kena berusaha. Ni Zie tak berusaha langsung nak kenal, macam mana Zie nak tahu pak cik tu baik atau tak?’’ mak long senyum.

‘’Entahlah mak long, mungkin juga hati Zie berat untuk menerima hakikat mama begitu mudah melupakan ayah dan ada insan lain yang menggantikan tempat ayah,’’ ujarku tanpa sedar air mata mulai membasahi pipi.

‘’Mak Long faham Zie, tapi Zie perlu ingat yang mama Zie juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan, juga perlukan teman. Sudah terlalu lama mama Zie bersendirian tanpa kasih sayang dan perhatian seorang lelaki, mak long tahu selama ini mama tidak peduli akan keperluan dan kemahuan dirinya kerana sibuk membesarkan kamu dua beradik, tapi kini Zie dah besar jarang ada di rumah, ila dah konvo esok hari, siapa tahu mungkin Zie akan kerja di KL tinggalkan mama dan adik, adik pula nanti tinggal di asrama, siapa jaga dan teman mama pula? Rasanya tak perlu mak long jelaskan panjang lebar pada Zie, Zie dah besar panjang. Apa yang Zie rasa sekarang lebih kepada risau.’’

‘’Mak long nak Zie tahu satu perkara ni, pakcik Rashid bukan mahu menggantikan tempat ayah Zie, tiada siapa yang boleh menggantikan ayah Zie. Tapi dia mahu mengisi kekosongan di dalam hidup mama Zie dan menjaga kamu anak beranak ikhlas dunia akhirat,’’ jelas mak long.

Mak long mengelap air mataku yang masih bergenang, aku tahu hakikat yang sebenarnya. Benar kata mak long apa yang aku rasa sekarang lebih kepada kerisauan. Aku memang pentingkan diri sendiri. Panjang berjela mak long jelaskan dan pujuk aku tapi itu masih belum melenyapkan api kemarahan dalam hatiku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience