SEBAIK MATANYA dicelikkan, seraut wajah yang paling dikenalinya berada di sisinya. Berkerut dahinya tambah-tambah lagi apabila mendengar suara tangisan di dalam biliknya itu.
“Ma, kenapa ni?”
Soal Elsalina Farisya kepada mamanya.
“El, mama harap El sabar dengan berita yang mama nak sampaikan ni.”
Ujar Puan Zakiah berselang-seli dengan esak tangisnya.
“Berita? Apa?”
Terus sahaja Elsalina Farisya bangun daripada baringan. Wajah mamanya dipandang meminta jawapan.
“El, papa..”
“Kenapa dengan papa?”
Tanpa sempat Puan Zakiah menghabiskan ayatnya, Elsalina terlebih dahulu menyampuk.
“Papa..dah tiada sayang..papa dah tiada.”
Tergamam seketika apabila diberi berita sedemikian.
“Tak. Papa ada lagi. Mama gurau kan?”
Elsalina Farisya menggeleng kepalanya menepis berita yang baru disampaikan oleh mamanya.
“Betul sayang. Papa dah tiada.”
Sejurus itu Puan Zakiah terus menarik tubuh gadis kecil itu ke dalam pelukannya. Belakang badan anaknya diusap lembut cuba memujuk.
“Tak. Papa dah janji takkan tinggalkan El. Mama tipu!”
Jerit Elsalina Farisya. Esakan halus mula kedengaran.
"Mama tak tipu. Papa kemalangan kapal terbang. Tak ada yang hidup dalam kemalangan tu, termasuk papa sayang.”
Pujuk Puan Zakiah.
“Papa dah janji takkan tinggalkan El.”
Gadis kecil itu merintih lemah. Tangisan yang tadinya perlahan mula berubah rentak.
“El nak papa.”
“Syhhh. Istighfar sayang.”
Puan Zakiah menyapu lembut mutiara jernih yang tidak berhenti mengalir di pipi anaknya. Hatinya terasa hiba melihat anaknya yang tampak begitu lemah setelah mengetahui berita tersebut. Sekiranya dia sendiri terkejut mendapat tahu hal tersebut, apatah lagi anaknya yang masih kecil itu. Pasti sukar untuk menerimanya.
Share this novel