“EL, tak nak makan ke? Mama dah siap masak.”
Teguran tersebut menyedarkan Elsalina Farisya yang sedang termenung. Tangan kecilnya menyeka lembut air mata yang membasahi pipinya.
“El kenapa ni sayang? El jangan macam ni. Nanti sakit kan susah.”
Pujuk Puan Zakiah apabila dilihatnya gadis itu tidak memberikan sebarang reaksi.
“Ma, bila papa nak balik? Dah tiga minggu papa tak balik. Papa ke mana? Papa tak rindu El ke? Papa tak pernah tinggalkan kita lama-lama.”
Puan Zakiah mengambil tempat bersebelahan anaknya.
“InsyaAllah, papa akan balik. Kita doa untuk papa ya?”
Puan Zakiah mengalihkan pandangan ke arah lain. Tangannya turut menyeka air mata yang mengalir. Melihatkan kesedihan yang dilalui anaknya, dia turut merasakan kesedihan itu. Dia turut merindui suaminya.
“El rindu papa.”
Puan Zakiah memaut lembut bahu anaknya.
“Kita doa untuk papa. El tak boleh macam ni. El kena makan. Jom.”
“El tak nak. El nak papa.”
Puan Zakiah sudah tidak mampu untuk menjawab. Dia tahu betapa rindunya gadis kecil itu kepada si papa. Sekiranya dia yang sudah tua itu tidak mampu menanggung rasa tersebut, apatah lagi gadis sepuluh tahun seperti itu. Pasti sedihnya susah diubat.
“El nak papa.”
Elsalina Farisya merintih sekali lagi. Dia masih tidak berkutik daripada tempat duduknya. Matanya masih terhala ke arah taman permainan yang terletak berhadapan dengan rumah keluarganya itu. Dia rindukan kenangan lama. Masih terngiang suara jeritan, gelak tawanya bersama si papa.
“Syyhh. El bersabar. InsyaAllah papa akan balik. Percaya cakap mama. Kita doakan papa ya?”
Puan Zakiah menarik tubuh kecil Elsalina Farisya ke dalam pelukannya. Melihatkan dan mendengar rintihan gadis kecil itu membuatkan air matanya semakin galak mengalir. Dia tidak sanggup melihat keadaan anaknya sebegitu. Dahi anaknya dikucup lembut.
Share this novel