Prolog

Romance Series 108858

"ALHAMDULILLAH, akhirnya berbesan juga kita berdua ni Rais. I happy sangat." Tan Sri Zahrul dengan Tuan Rais saling berpelukan erat. Impian hendak berbesan akhirnya tercapai juga walaupun ditentang habis-habisan pada awalnya. Bersahabat baik sejak zaman universiti lagi, mana mahu mereka terputus hubungan begitu sahaja.

"I pun happy sangat, Rul. Mudah-mudahan rumah tangga anak-anak kita ni kekallah sampai ke anak cucu." Tidak lekang juga senyuman bahagia pada bibir Tuan Rais, mengalahkan senyuman pasangan pengantin baharu sahaja.

"Insya-Allah, kita doa yang baik-baik. Lagipun I yakin, anak I mampu bahagiakan Adeera. Betul tak, Riel?"

Dari sisi para tua itu, Dato' Azriel Fattah hanya tersenyum sinis. Diiyakan sahaja kata-kata yang terselit dengan seribu harapan yang diungkapkan oleh ayah dengan mentuanya itu. Tak apa.

Hakikat di sebalik senyumannya, tiada siapa yang tahu apa sebenarnya yang sedang Dato' Azriel Fattah rancangkan. Menjadi suami kekal buat Adeera? Selisih malaikat 44! Dia yakin, wanita seperti itu hanya pembawa bala sahaja dalam kehidupannya. Tidak mungkin dia mahu menerima seorang perempuan yang lurus dan lemah seperti Adeera menjadi isterinya. Tak ubah seperti kayu mati! Langsung tidak berani menentang walau sedikitpun!

Ya, Adeera sememangnya terlihat sangat lurus bendul dan penurut. Terlebih sopan dan sangat membosankan. Cita rasa Dato' Azriel Fattah bukanlah wanita seperti itu melainkan yang sedikit liar, melawan dan tegas. Barulah lebih mencabar dan menyeronokkan!

"Adeera, papa dengan mama balik dulu. Ada masa nanti, kami datang melawat lagi." Puan Hasrita yang sedang duduk di sisi Adeera lantas meminta diri. Berat hati mahu melepaskan anak tunggal kesayangan mereka itu tetapi dia sedar, Adeera kini adalah isteri orang. "Jadi isteri yang baik, taat pada suami. Jangan buat suami kamu marah," bisik Puan Hasrita lagi seraya memberikan kucupan nipis pada dahi anaknya.

"Baik, mama. Deera tahu, mama jangan risau." Adeera angguk seraya mengukir senyum.

"Riel, jaga Adeera baik-baik. Didik dia supaya..."

"Rasanya tak perlu didik kot, auntie. Normal je I tengok. Lainlah kalau dia terencat akal." Kata-kata titipan Puan Hasrita tadi dibalas selamba oleh Dato' Azriel Fattah. Biarpun membalas dengan nada suara yang sangat lembut, namun tajamnya kata-kata itu memang terasa menusuk ke dalam hati.

"Azriel, apa... "

"Saya naik dulu, pa. Penat," Tanpa mempedulikan keadaan di sekeliling, Dato' Azriel Fattah terus melangkah meninggalkan ruangan tamu itu. Puas hatinya setelah meluah, tetapi lebih puas lagi saat melihat riak wajah Adeera yang mendadak berubah tadi. Biar wanita itu sedar siapa dia di dalam kehidupannya.

"Tak apa, Rul. Jangan dimarah. Lama-lama nanti, eloklah tu." Tuan Rais pantas meredakan keadaan. Dia tahu, menantunya itu masih terkejut dan masih sahaja belum mampu untuk menerima hakikat sebenar.

"Kami minta maaf. Kami akan nasihatkan Si Azriel tu. You berdua jangan risau, selagi kami ada, kami akan pastikan Adeera sentiasa selesa dan aman tinggal dalam rumah ni." Puan Sri Naini yang sedari tadi membela perasaan geram lantas bersuara. Serba salah, rasa malu pun ada.

Setelah berbalas pelukan dan salam, Tuan Rais bersama Puan Hasrita terus pulang dan kini, bermulalah kisah hidup Adeera di dalam rumah besar itu. Dia masih Adeera yang dulu, cuma statusnya sahaja yang berubah iaitu telah menjadi isteri orang. Dia tahu, tanggungjawabnya kini sudah tidak semudah dulu apalagi bersuamikan seorang manusia yang cerewet seperti Dato' Azriel Fattah.

"Adeera, kamu pun naiklah. Rehat awal. Penat, kan? Bilik Azriel yang depan tangga tu. Masuk je tak perlu ketuk. Jangan dibaca sangat benda karut yang dia tulis kat pintu dia tu!" kata-kata Puan Sri Naini lantas mematikan lamunan Adeera.

"Baik, auntie. Saya... "

"Eh, auntie pula? Kamu jangan ikut sangat perangai sewel Si Azriel tu. Panggil mama dengan papa. Kamu tu dah jadi menantu kami." Sekali lagi Puan Naini memuntahkan bebelannya. Sudahlah dia masih sahaja menahan perasaan geram terhadap sikap biadab anak sulungnya yang tadi.

"Ya, sa... saya minta maaf, mama." Adeera tersengih serba-salah. Malu, belum apa-apa lagi sudah dibebeli oleh ibu mentua sendiri sementara Tan Sri Zahrul pula sekadar tersenyum dan bergeleng kepala.

"Dah, pergi naik. Rehat."

Akur pada arahan Puan Sri Naini, Adeera kemudiannya terus menaiki tingkat atas. Bilik yang dikatakan milik suaminya itu dicari, lalu didekati.

'Please knock. The path to a better way of death!'

Terkumat-kumit mulutnya membaca amaran bertulis yang tertampal di depan pintu bilik Dato' Azriel Fattah tanpa sedar yang sebelah tangannya pula sedang memulas tombol pintu. Dipulas lalu ditolak ke dalam.

"Oh, shit! You bodoh asli sejak azali ke? Terencat? Buta huruf? Tak sekolah? Nak mampus??? Tak reti baca apa yang I tulis kat depan tu?!" Terkejut Adeera saat berjela-jela bebelan yang dimuntahkan oleh Dato' Azriel Fattah tiba-tiba sahaja kedengaran pada telinganya. Kelihatan, lelaki itu sedang terkial-kial menyarungkan semula baju pada tubuhnya.

Adeera laju menunduk. Perasaan segan dan bersalah semuanya ada walaupun sedar lelaki yang sedang membebel di hadapannya ketika itu adalah suaminya sendiri.

"Lain kali ketuk pintu tu dulu sebelum masuk. Ni bilik I, bukannya bilik you. Tak baca apa yang I tulis kat depan tu?" Dato' Azriel Fattah masih lagi menyoal dengan perasaan dan riak yang tidak berpuas hati. Sakit hati memikirkan keadaannya tadi. Hampir-hampir sahaja tubuh sasanya yang mahal itu menjadi tatapan Adeera. Walaupun mereka sudah sah menjadi suami isteri, namun Dato' Azriel Fattah sudah bertekad untuk tidak menayang auratnya yang mahal itu kepada Adeera. Haram!

"Ba... baca, abang. Sa... saya... "

"Apa??? You panggil I apa tadi?" Kata-kata Adeera segera dipangkas.

"Ab... abang," dengan hati yang lurus Adeera menjawab.

"I tak ada adik perempuan. Mama I cuma lahirkan I seorang je. Bila masa you yang bendul, samdol, tolol ni jadi adik I? Hahhh, bila masa? Sekali aku... Eee!!! I cuma nak cakap dengan you yang... I tak suka orang luar masuk dalam bilik I. I tak suka berkongsi dan i tak suka privacy I diganggu terutama sekali oleh Cik Samdol macam you ni, faham?!"

"Faham."

"Bagus. So, you boleh pilih nak tidur kat mana. Balkoni luar tu atau... dalam bilik air. You jangan risau, bilik air I tu mewah, cantik. Boleh je buat bilik you. Sesuai sangat sebuah tandas yang indah untuk Cik Samdol." Dato' Azriel Fattah mengekek kejam.

"Errr... saya... "

"You jangan panggil I dengan gelaran lain selain Dato'. Pangkat I lagi tinggi daripada you, tolong sedar diri."

"Baik."

"Baik apa?"

"Baik, Dato'." Adeera tetap menjawab dengan perasaan sabar. Sabar? Tidak sebenarnya tetapi dia sedar siapa gerangan lelaki di hadapannya ketika itu. Biarpun menjengkelkan, tetapi dia tetap sedar yang seorang suami itu haruslah dihormati.

"Sebelum tu, you kemas dulu katil I ni dan I tak nak barang-barang you ada kat dalam ni. Letak kat balkoni atau bilik air. You jangan risau, mana-mana ruang dalam rumah I ni mewah. Tidur dalam toilet pun you akan rasa selesa," ujar Dato' Azriel Fattah dengan angkuh. Berjalan mendekati arah muka pintu namun pergerakannya itu terhenti seketika saat otaknya tiba-tiba dijentik pula oleh akal yang dirasa paling bijak.

"Dan... ada lagi, Cik Samdol. I nak you tahu syarat-syarat selama you menjadi isteri I. Pertama, I tak nak you masuk campur segala urusan I. Dengan siapa I keluar, apa yang I buat, pukul berapa I nak balik... please, jangan menyibuk! Dan yang paling penting, I ada girlfriend yang jauh lebih seksi, lebih cantik daripada you. Kalau nak dibandingkan dengan you... you ni... kat telapak kaki dia je,"

"Tak takut dosa ke, Dato'?" Adeera memberanikan diri untuk menyoal. Bibirnya diketap rapat-rapat, geram! Digelar Cik Samdol, siapa yang suka?

"Dosa??? You siapa nak bercakap tentang dosa? You keturunan malaikat ke? I bebas buat apa yang I nak, termasuklah... "

"Saya izinkan Dato' kahwin dengan dia kalau tu yang Dato' nak." Adeera memberanikan dirinya untuk mencantas tegas kata-kata Dato' Azriel Fattah itu namun seperti biasa, lelaki itu pula sekadar menayang riak angkuh dan tidak kisah.

"I tak perlukan keizinan daripada perempuan samdol macam you pun. I akan buat apa sahaja yang I nak buat sama ada you suka atau tak. You tak ada hak langsung, Cik Samdol. Faham? Faham tak faham?"

"DEERA, Dato' panggil kat office dia."

Adeera mendongak. Gerakan jari jemarinya yang lincah menekan-nekan papan kekunci komputer, serta merta terhenti. Wajah penyelia berambut perang dan bermekap tebal yang sedang terpacak di depan mejanya, direnung. "Ada Dato' cakap tak kenapa dia nak jumpa saya?"

"Tak ada. Pergi jelah, tak payah banyak soal." Wanita itupun terus beredar dari situ.

Adeera lantas berdiri sambil mengherot-herotkan bibirnya. Otaknya ligat berputar cuba mengingat jika ada tugasan penting yang belum dia siapkan lagi. Kenapa dia tiba-tiba nak jumpa aku pula ni? Aku ada buat salah ke? ke dia nak bagi tugas? Otaknya terus berteka-teki sehinggalah dia tiba di depan satu pintu.

Papan tanda kecil berwarna emas yang tertera nama pengarah syarikat itu direnung buat seketika. Nafas ditarik dalam-dalam. "Bismillah..." Terkumat kamit mulutnya membaca doa. Entah kenapa perasaan yang dia rasakan pada ketika ini seperti hendak masuk ke medan perang pula. "Aamiin!" Wajahnya diraup mengaminkan doanya. Adeera menarik hembus satu nafas panjang sebelum dia mengetuk pintu.

"Masuk!" Kedengaran suara garau memberi arahan dari dalam.

Adeera terus masuk ke dalam bilik yang luas itu menghampiri meja. Renungan tajam Dato' Azriel Fattah yang lurus ditala ke wajahnya, dibalas dengan riak tenang dan bersahaja, namun dalam hati, siapa tahu?

"Kenapa Dato' nak jumpa saya?"

Dato' Azriel Fattah memandang Adeera dari atas sampai ke bawah dengan satu pandangan yang tidak dapat ditafsirkan. Senyuman licik terlakar di wajahnya buat sesaat sebelum dia berdiri menghampiri Adeera.

"I nak you..." Bibirnya dirapatkan ke telinga Adeera.

Spontan Adeera mengemam bibir sambil menutup matanya menanti apa yang bakal diperkatakan oleh lelaki itu. Bukan apa, cuma dia rasa geli saat dia terasa hembusan nafas suam menerpa cuping telinganya.

"I nak you buatkan I kopi!"

Terima kasih sudi datang bertandang. Salam sayang daripada kami berdua, Biri-Biri Putih & Azzalea.

Share this novel

Cahaya miyce
2023-11-10 13:27:13 

bestt tpi pendek sngt cerita nii

hudaaaa
2023-10-27 21:49:10 

best bace cerita nihhh x bosan langsong????????


NovelPlus Premium

The best ads free experience