BAB 1

Drama Completed 296

PARA penonton sudah siap-siap duduk memenuhi ruang teater yang besar dan
indah. Perhiasan bak istana, bagai golongan kerabat diraja yang mahu
menontonnya dahulu kala. Persembahan sudah masuk hari yang ketiga.
Semakin hari semakin penuh audiens. Kata mereka yang telah hadir,
persembahan teater ini sangat menyentuh. Penuh dan hangat dengan
perasaan. Kisah cinta yang tidak menjemukan. Bukan picisan. Sutradaranya
merakamkan pelbagai elemen dan persoalan; melalui latar masyarakat yang
berevolusi bangsanya selari dengan zaman. Hasil tularan buah mulut orang
ramai menjadikan teater ini dipenuhi oleh orang-orang yang menghargai
dan menyokong karya-karya yang baik dan berpotensi.

Sedikit riuh-rendah oleh para hadirin, kerana persembahan belum
dimulakan. Lampu-lampu limpah masih menerangi ruang teater yang gah.
Mereka memperkatakan rencaman perkara; tentang keadaan semasa
masing-masing. Ada juga yang sudah menilai akan teater itu. Yang datang
juga bukan calang-calang orang. Sebilangannya adalah rakan karyawan.
Sebilangan lagi adalah pengkritik dan penganalisa persembahan; wartawan.
Ada yang hadir untuk mempelajari selok-belok seni persembahan dan
lakonan teater dengan lebih mendalam. Selain untuk menenang dan
menghiburkan hati dan pemikiran.

Para pelakon teater sudah bersiap sedia menjalankan tugas mereka,
setelah latihan dilakukan dengan gigih berulangkali. Begitu juga dengan
pengarahnya, kerana pada penghujung persembahan itu nanti, beliau
sendiri yang akan menyampaikan sebuah lagu penutup.

Lampu terang-benderang perlahan menyusul suram. Lama-kelamaan terus
kelam. Hanya cahaya pada pentas utama yang terpancar; cerah dengan
perhiasan latar tempat yang digubah sehingga nampak hidup. Kedengaran
suara latar yang bermonolog sendiri. Sebuah dedikasi dan gubahan untuk
kenangan kisah cintanya, tanda persembahan sudah bermula;

“Setelah sekian lama, adakah engkau masih teringatkan aku? Atau engkau
sudah sangat berubah. Sehingga engkau terus menafikan. Namun aku sangat
berharap supaya suara hatiku dapat engkau rasa dan dengar. Betapa kita
sudah sangat asing terpisah. Mencari bahagia dan kejayaan dengan cara
dan hasil usaha sendiri. Betapa kecewa dan kesalnya. Sudah tidak sama
bahagia yang engkau cari, dan bahagia yang aku harapkan. Tidak
mengapalah. Semoga kita diberi petunjuk. Biar aku gubah kenangan yang
bagiku berharga ini, untuk tatapan dibuat pengajaran.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience