BAB 1

Family Completed 637

Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi, namun mata Damia masih belum
mengantuk. Matanya hanya memandang siling bilik tidur. Kurang dari
tempoh 24 jam lagi dia akan meninggalkan bumi Malaysia. Meninggalkan
bumi tanah tumpah darahnya ini untuk kebaikan. Untuk mencari ilmu di
tanah asing. Di tanah bangsa yang pernah menjajah negaranya. Perginya
nanti tidak tahu lagi untuk berapa lama. Mungkin 4 atau 5 tahun atau
mungkin juga untuk selamanya.

Damia menghembus nafas berat. London. Jaraknya beribu batu dari kampung
halaman. Mampukah dia menepis kerinduan terhadap tanah tempat dia
berpijak selama ini? Atau mungkinkah dia lebih gembira di sana
meninggalkan segala-galanya di sini? Hatinya berkata ya. Dia tidak punya
apa-apa disini. Yang ada hanyalah kenangan bersama insan tersayang.

Hatinya gementar bercampur teruja. Selama ini memang dia teringin sekali
untuk merasa sejuknya snowflake yang jauh ke atas tangan. Ingin merasa
membina orang salji. Sekarang impiannya bakal tercapai. Atau mungkin
sebenarnya impian mama. Dia mengiring ke kanan lalu mengambil bingkai
gambar di atas kabinet kayu kecil. Lampu tidur dibuka. Ditatapnya gambar
wanita berusia lingkungan 20-an mengengdong anak kecil. Anak kecil itu
adalah dirinya sendiri dan wanita berkulit hitam manis itulah mamanya.
Mama yang bersusah payah membesarkannya selama ini.

“Damia , nanti Damia belajar pandai-pandai tau… Mama teringin nak tengok
anak mama ni belajar sampai ke universiti. Kalau boleh ke luar negara.
Macam dalam cerita Cinta Antara Benua tu.” Mama mengusap rambut halus
Damia yang ketika itu berusia 6 tahun sambil mata memerhati kanak-kanak
lain bermain di taman permainan berhadapan dengan rumah flat yang disewa
mamanya.

“Kenapa nak kena pergi luar negara mama? Dekat sini tak ada universiti
ke?” Tanya mulut petah Damia . Keropok Super Ring kegemarannya di
masukkan ke dalam mulut kecilnya. Habis comot mulutnya berwarna oren.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience