BAB 2

Romance Completed 5431

Aku meluru ke arah kabinet kasut yang menghadap pintu utama. Aku sarungkan kasut merahku. Setelah itu, aku mencapai dompet beserta telefonku. Pintu rumah dikunci. Aku berlari anak ke arah garaj dan keluarkan BMXku. Aku mengayuh basikalku ke arah kedai bunga yang berdekatan.

Aku melintasi beberapa buah rumah kedai dua tingkat. Sepanjang perjalananku, mindaku telah terbang melayang mengukir wajah yang tercinta di minda. Senyumannya yang indah. Lirikan matanya. Ketawanya. Suaranya.

Setelah hampir 30 minit berlalu, aku berdiri di hadapan sebuah kedai bunga yang dihias dengan begitu indah sekali. Aku meletakkan basikalku di tempat yang dikhaskan untuk basikal. Aku berjalan melepasi pagar, dan memasuki perkarangan kedai itu. Aku menolak pintu dan bunyi kicauan burung menjemputku datang sekaligus memecah kesunyian kedai bunga itu.

“Nauzin!”

Aku terdengar seseorang memanggil namaku. Aku menoleh ke kiriku. Anna! Aku senyum ke arahnya. Anna ialah kawan baikku di kolej. Dia seorang yang baik hati, cantik dan pandai mengambil hatiku apabila aku merajuk. Tetapi satu sahaja yang aku kurang berkenan dengannya iaitu cara pemakaiannya. Dia seorang wanita yang langsung tidak memikirkan tentang fesyen. Lihat sahaja cara pemakaiannya sekarang. Baju t-shirt putih yang comot, seluar jeans biru yang sudah lusuh warnanya dan koyak di bahagian lutut. Kalaulah dia jaga penampilan, pasti nampak cantik.

“Mana yang lain?” aku tanya kepadanya. Anna memberitahuku bahawa keluarganya sedang sibuk melawat saudaranya yang sedang sakit di Australia sementara abangnya masih belum pulang daripada Los Angeles.

Dia mengikat rambutnya dengan riben biru yang pernah aku hadiahkan kepadanya sempena hari jadinya tahun lalu. Dia masih menyimpannya. Hadiah yang dia beri kepada? Entah ke mana aku letak pun aku tidak tahu. Dia bertanya tujuanku datang ke kedainya. Aku menjelaskan kepadanya yang aku ingin membeli sejambak bunga ros. Kenapa bunga ros? Sebab bunga ros sahaja yang aku tahu bunga yang romantik.

Anna mengangkat kening kirinya. “Awak nak bagi bunga ni dekat dia?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience