Series
9126
Seorang wanita berpakaian profesional, blouse kemeja putih, skirt coklat gelap potongan duyung labuh melepasi lutut dan vase warna senada melangkah keluar dari sebuah bilik pejabat dengan wajah pucat lesi. Fail kulit keras ditekap erat di dada.
“Hey, kenapa?” rakan berhampiran menegur.
“Aku dah tak tahan, Ain! Aku nak resign! Si Cruella tu mengamuk lagi. Kalah perempuan menopous!”
“Apa kesalahan kau?”
“Cuma sikit je silap key in data. Itu aku boleh terima, Ain. Yang aku tak boleh dia complaint penampilan aku. Kau tau tak macam mana dia tengok aku atas bawah tadi? Siap bagi smirk yang… ya Allah, menyebalkan, tau tak? Hari tu dia complaint aku pakai kasut flat, tadi tau tak dia kata apa?”
“Apa dia?” si rakan semakin pula teruja mahu dengar.
“Dear, red stilettos are only meant for a red dress. Seriously, my eyes are begging for mercy. Even a traffic light has better colour coordination.”
“Kah! Kah! Kah!” berdekah-dekah tawa si teman dengar.
Wanita tersakiti itu pula siap tiru nada suara dan mimik muka wanita yang diumpat, menambah rasa geli hati si kawan.
“Kejam, jahat, takde perasaan. Memang padan betul dia digelar Miss Cruella. Sebab tulah kot takde lelaki nakkan dia, Tuan Haidar yang dah tua bangka tu digoda. Duda tu dah lama kesepian kot, sudah tentu tak tolak, kena lagi perempuan cantik, seksi bergetah macam si Cruella tu. Last-last mati, harta semua dirampas. Tulah kalau ikutkan nafsu sangat.” Sambung wanita itu lagi sambil cebik. Wajah sarat rasa menyampah, berang, juga cemburu.
“Jangan cakap sembarangan, Mia. Kalau dia dengar, mampus kau.” Nasihat si teman, separuh bisik. Risau ada yang dengar.
“Hmmm…” suara berdehem di belakang menyentakkan mereka berdua. Hampir serentak bibir dikemam.
“Eh, Cik Syakilla… how are you?” Ain lebih dulu bersuara sebaik melihat wanita yang sedang berdiri di belakang mereka.
Syakilla, teman rapat, merangkap peguam bos mereka. Wanita itu sering ke situ, berjumpa dengan bos. Selalu datang seorang diri atau bersama pembantunya, juga seorang wanita. Kali ini, Syakilla hanya seorang diri.
“I’m fine, thank you.” Wanita itu jawab seadanya, tersenyum manis sebelum meneruskan langkah.
“Cruella, huh? Seriously? Kau nak biarkan je staf kau bagi gelaran tu? Kutuk kau macam-macam?” Syakilla peluk tubuh yang sengaja disandar pada tulang pintu. Matanya tajam, menikam satu susuk yang sedang duduk di meja kayu blackwood mahal, lengkap dengan ukiran unik pada setiap bucu. Meja yang nampak terlalu eksklusif dan berkelas, sepadan dengan wanita yang sedang duduk di situ.
Cantik dan anggun! Pujinya dalam hati. Wanita yang sedang direnungnya tidak pernah mengecewakan dari segi penampilan. Sentiasa sempurna dan yang pasti, setiap mata yang melihat pasti sukar dialihkan.
“I don’t care, Killa. Let them be. You know what I’m really concerned about right now.” Akhirnya, wanita itu mendongak, menampakkan wajah jelitanya dengan jelas. Mata bundar, hidung mancung, dan dagu runcing. “…Did you find out what I asked you? It’s been two years, Killa.”
Syakilla mengeluh. Menghampiri lalu labuh punggung di bucu meja blackwood itu. “You know I tried hard, Belle. Tapi sampai sekarang aku masih tak jumpa, malah takde klu pun siapa anak Tuan Haidar tu.”
Syakilla merapatkan wajah. “Wasiat Tuan Haidar tu… kau cuma layak urus harta dia selama lima tahun je. Jika kau gagal, semua harta Tuan Haidar akan diwakafkan.”
“Orang tua tu memang bijak. Tahu benar nak susahkan hidup aku.”
“Sebenarnya mudah je nak faham tujuan dia buat wasiat macam tu. Tuan Haidar nak anak dia kembali ke pangkuan keluarga.”
Ayrabelle cebik. “Anak derhaka macam tu baik mampus je, Killa. Aku dah usaha viralkan kematian Tuan Haidar supaya anak dia kembali masa pengebumian dia. Itu hasrat terakhir orang tua tu tapi tak kesampaian. Now dia tinggalkan aku dengan wasiat gila dia gunakan harta yang dia tinggalkan untuk cari semula anak dia tu.”
Syakilla tertawa kecil. Ada ejekan halus. “Kahwin dengan anak dia, harta Tuan Haidar jadi milik bersama, 50-50. Jika anak dia pilih untuk kahwin dengan perempuan lain, he lost. Semua harta tu jadi milik kau. Tempoh masa diberi cuma lima tahun. Wasiat paling gila pernah aku handle.”
“Memang gila!” bentak Ayrabelle lalu hempas tubuh di penyandar. Lengan bersilang di dada. “That’s why anak dia tak boleh tahu tentang wasiat tu. Aku kena pastikan dia kahwin dengan perempuan lain, dapatkan sijil nikah mereka dan selesaikan semuanya secepat mungkin.”
Syakilla angguk, senyum sinis. “Kau cuma pandang harta, that’s understandable.” Dia tertawa kecil sebelum menyambung, “oh, by the way…” Syakilla sengih nakal, kenyit mata pada Ayrabelle. “I nak kenalkan someone yang mungkin boleh bantu selesaikan dilemma kau. He's so good, almost at everything. Fighting, hijacking, investigating and even so good in… seducing…” Syakilla senyum penuh makna. Matanya bersinar memandang Ayrabelle.
Ayrabelle jongket kening, tunjuk muka tak berminat, capai mug berisi tea hijau yang sudah suam-suam kuku. Mata beralih, memandang skrin telefon bimbit yang Syakilla tunjukkan. Seorang jejaka tampan. Tubuh sempurna, seperti atlet renang, juga persis model. Ukiran wajah komersial, pasti laku keras walaupun dijual tanpa diskaun. Ayrabelle terpegun.
“Hafiy Aden, panggil Aden.”
Tak sedar sedikit air teh tumpah ke dada. Ayrabelle bingkas bangun. Tersentak. “Oh, shit!”
Syakilla tertawa kecil. Terpegun sampai tak sedar air tumpah ke tu? Dia geleng perlahan melihat Ayrabelle kelam-kabut capai tisu lalu lap sisa air di baju. Kekok. Gugup. Semua jelas terlihat.
“He’s your bodyguard from now on.” Putus Syakilla tanpa bincang, tanpa kompromi.
Ayrabelle dongak. Mata menikam tajam ke arah Syakilla.
“Aku tak nak dengar penolakan, Belle. Kau hampir dilanggar hari tu selepas kau tampar dan malukan Izhan, anak Dato’ Adnan. Dengan sikap baran kau, aku tak hairan kau dikelilingi musuh. Aku risaukan kau. Pada siapa lagi kau nak harapkan? Keluarga pun kau dah buang lepas kau berjaya dapatkan perhatian Tuan Haidar. At least, kalau ada lelaki macam Aden di sisi kau, aku taklah risau sangat.”
Ayrabelle diam. Berfikir sejenak sebelum angguk perlahan. “Baiklah, aku terima.” Diam-diam dia curi pandang gambar Aden. Boleh tahan. Simpan jejaka tampan itu di sisi pasti banyak kelebihannya.
“Good! Aku dah serahkan kes kau pada dia. Don’t worry, he’s clean. You can trust him, Belle. Dia penyiasat profesional. Aku kena pergi sekarang. Ada kes yang perlu aku selesaikan.”
Ayrabelle diam, memandang tajam belakang tubuh Syakilla yang sedang menuju ke pintu. Di muka pintu, Syakilla menoleh. “I’ll send him tomorrow!” sempat lempar senyum bermakna sebelum Syakilla menghilang di sebalik pintu.
TOK! TOK!
Ayrabelle dongak, merenung tajam pintu kaca hitam sebentar sebelum menjawab tenang. “Masuk!”
Seorang wanita melangkah masuk, membawa sebuah fail hitam.
“Bos, usahasama dengan ARTEKZ bakal dimeterai. Ini kontraknya.”
Ayrabelle menegakkan tubuh. Raut wajahnya tetap tenang, tanpa sebarang reaksi. “Okay.”
Wanita yang baru masuk itu terpaku seketika. Respons dingin itu memang sudah biasa bagi staf di situ. Namun, mendapat kontrak usahasama dengan sebuah syarikat gergasi antarabangsa bukanlah perkara kecil. Pelik, bos yang terkenal cantik tetapi jahat itu hanya mempamerkan wajah kosong. Tidak teruja. Tidak terkejut. Jauh sekali gembira.
“Er… ni salinan kontrak. Bos boleh semak.” Ragu-ragu, wanita itu meletakkan fail di atas meja.
Ayrabelle kerling. “Siapa wakil syarikat yang uruskan kontrak ni?”
“Nigina, bos.”
“Nigina…” Ayrabelle bersandar pada kerusi. Tangannya bersilang di dada. Pandangannya menikam tajam wajah wanita di depannya yang mula gelisah. “Apa tujuan RM10 ribu yang dia mohon di bahagian kewangan tu?”
“Er… untuk meraikan kejayaan team syarikat, bos. Mereka dah berusaha keras untuk dapatkan kontrak besar ni. Bos boleh rujuk kertas kerja tu. Selain memberi penghargaan kepada staf yang terlibat, mereka juga jemput…”
“Is it necessary?”
Wanita itu terdiam. Menelan liur yang terasa pahit. Nada sinis itu… ya Tuhan, benar-benar menguji kesabaran.
“Er… ia dah diluluskan di bahagian perakaunan. Cek dah dikeluarkan.”
“Buat di kelab yang terkenal dengan jolokan surga hiburan. Staf yang terlibat bukan semuanya bujang, ramai yang dah bersuami, beristeri pun. Apa tujuannya nak meraikan kejayaan di tempat macam tu?”
Wanita itu terkedu. Hanya mampu telan perit air ludah. Ayrabelle tersenyum sinis. Cukup mencabar, juga memperlekeh. Wanita itu tarik nafas, cuba kumpul kekuatan.
“Tapi bos, semuanya sudah diatur. Kalau batal saat akhir, kita kena bayar ganti rugi. Nama syarikat pun boleh terjejas. Lagi pula, CEO ARTEKZ dah bagi confirmation untuk hadir ke majlis tu.”
Ayrabelle mengangkat sebelah kening. Senyuman sinis terselit di wajahnya.
“CEO ARTEKZ, huh? Orang tua yang tak sedar ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’ tu pun tak nak ketinggalan ke?”
“Bos dah pernah jumpa CEO ARTEKZ?” wanita itu bertanya teruja.
Ayrabelle ketawa kecil, penuh mengejek. Dia hanya meneka, tak perlu bertemu untuk yakin. Baginya pasti lelaki tua, kepala licin, dan hidung belang.
“Isn’t it obvious?”
Wanita itu tersenyum, kemudian mengangguk perlahan. “Betul, first impression saya pun macam bos. Agaknya memang mentaliti orang kita. Pangkat-pangkat macam tu biasanya lelaki berusia, jarang orang muda. Tapi bos…” Dia mendekatkan wajah, suaranya rendah dan penuh misteri. “… kata Gina, CEO yang ni… very powerful, bos. Bergegar tulang rusuk. Bos tak curious ke?”
Ayrabelle menyeringai nipis, kening terangkat. “Oh, really?” Nada sinisnya jelas. “I’m more curious about your bonus this year, dear. What if they get cut in half untuk tanggung kos parti konon meraikan kejayaan korang tu?”
Wanita itu terperangah. Sedikit kecut lihat keseriusan Ayrabelle. Tidak lagi berani bersuara, risau memprovokasi tanpa sengaja.
“KILLA, I’m here. Where is he?”
Pintu kereta ditolak perlahan. Kakinya melunjur keluar. Seluar slacknya terangkat sedikit, menayangkan betis putih melepak. Stiletto hitam bermuncung tajam, dihiasi batu Swarovski berkilauan terkena cahaya lampu jalan, menambah aura mewahnya. Dia keluar dari perut kereta, telefon masih melekat di telinga, sementara sebelah tangan mencekak pinggang.
Walau hanya mengenakan blaus berenda di leher dan seluar slack slim fit, rambut panjangnya dibiarkan lepas dengan sedikit gelombang di hujung, keanggunannya tetap terserlah.
“He should be there by now, Belle.”
Dia melirik jam di tangan dan melepaskan satu keluhan perlahan. Pandangannya dialihkan ke bangunan di depannya. Kawasan yang sangat happening setiap malam, terutamanya malam minggu. Pusat hiburan terkenal, mewah, eksklusif, menjadi tumpuan golongan poket tebal.
Kenapa dia tiba-tiba muncul di situ? Ayrabelle kemam bibir. Curious? Tidak! Dia hanya mahu memastikan pelaburan syarikat untuk parti itu tidak dibazirkan untuk perkara sia-sia.
Nafas dihela kasar sebelum melangkah, menuju pintu masuk yang dikawal dua pengawal. Dia ditahan seketika di depan pintu. Setelah diperiksa, namanya tersenarai sebagai salah seorang tetamu VIP malam itu.
Saat pengawal menolak daun pintu, dentuman muzik rancak bergema, menusuk gegendang telinga. Ayrabelle ketap rahang, genggam jemari dengan tegang. Tanpa diminta, memori lama mula menyerang minda. Dada terasa sakit, seperti ditusuk-tusuk belati runcing.
Matanya terpejam beberapa saat, berusaha menghalau memori itu. Berusaha menafikan bahawa suatu waktu dahulu, tempat seperti ini pernah menjadi rumah keduanya, pernah menjadi sumber rezeki, dan pernah menjadi saksi dia jatuh cinta buat pertama kali dalam hidup.
Tubuh tiba-tiba lemah, seolah seluruh tenaga diserap keluar. Langkah goyah, tidak setegas, seangkuh awal tadi. Tetap jua dia gagahkan diri. Kerana dia bukan wanita lemah yang masih dibelenggu kenangan silam.
“Ouch!”
Tubuh ditabrak oleh seseorang yang tiba-tiba meluru keluar. Ayrabelle terundur. Kasut tumit tinggi terpeleot. Tubuh hilang kawalan. Meluru ke arah lantai bersimen.
“Awas!”
Entah dari mana tangan sasa berurat besar itu muncul lalu menyambar pinggang Ayrabelle. Dia terus beku. Kelu. Tubuhnya ditarik ke arah tubuh sasa di depannya dan sekelip mata, wajahnya hampir tersembam di dada bidang, berotot padu yang terlihat jelas di sebalik kemeja hitam licin.
“Kau okay tak?”
Ayrabelle yang masih terkejung terus tersentak. Dia dongak perlahan. Belum sempat meneliti wajah di depannya, satu suara mencelah, berhampiran. Suara yang dalam, serak, penuh emosi tertahan.
“Belle?”
Ayrabelle tambah terkesiap. Kali ini siap pakej dada bergetar. Perlahan, dia menoleh ke arah pemilik suara itu, insan yang dia yakin menabrak dia tadi.
Dan mata mereka bertembung. Ayrabelle terpaku. Seolah ada kuasa mistik yang melumpuhkan saraf. Tatapan itu… seolah mahu membunuhnya. Menelan dia hidup-hidup. Tak pun, mahu cekik tengkuk dia sampai hancur, sampai putus nafas.
Tetapi hanya beberapa saat apabila lelaki itu mengalih mata, memandang telefon bimbit dalam genggaman yang berlagu nyaring. Dia memusing badan, menyambut panggilan itu.
Ayrabelle membuang wajah. Tersentak. Baru sedar keadaan dia dan lelaki yang tiba-tiba muncul selamatkan dia tadi terlalu rapat. Hampir berpeluk. Boleh timbul salah sangka.
Lelaki itu senyum manis. Tenang. Kekal maco. “Aden. I’m your personal bodyguard.”
Share this novel