??????????
MARISSA MARDIANA
EPISOD 1
Hati. Adalah seketul daging yang berdenyut selagi kita masih menghirup udara. Ia tetap bersama kita hingga hancur dihimpit tanah dan dimakan cacing di dalam kubur.
Tapi hati kita, adakah ia dijaga selayaknya? Setiap insan punya hati dan punya rasa. Namun sedarkah mereka akan hati dan perasaanku?
Mereka pijak sampai lunyai hati aku, mereka campak aku ke satu sudut yang terkunci, dirantai, dipaksa menjadi bisu..pekak dan buta. Tetap akur kerana aku sayangkan keluargaku, darah dagingku.
“Masak awal nanti ibu balik semua dah siap. Ibu penat kau faham tak?“ suara ibu seperti halilintar di corong telefon.
“Faham,"
Mana mungkin aku tak faham, leteran ibu yang berulang kali mengingatkanku sejak aku tamat zaman persekolahan. Seperti siaran ulangan di astro, ulang sampai mual.
Jiwa aku dibius dalam keterpaksaan.
Kononnya ibu dan ayah penat bekerja, balik kerja terus ke meja makan. Aku patuh dengan arahan. Semua ku lakukan dengan baik. Ibu tak perlu memekik seperti orang sawan. Anakmu ini cepat sedar diri.
"Jangan lupa Baby Sayang balik nanti dia lapar, dia penat. Kamu duduk rumah mana tahu kita semua penat macam mana!"
"Ya, Ana faham." Huhh, Baby Sayang ibu je tahu lapar?
Tamat SPM aku menjadi penunggu setia di dalam rumah ini. Menyiapkan makan dan pakai seisi rumah. Menggantikan bibik yang lari mengikut kekasih hati.
Ada keinginanku keluar bekerja. Ayah melarang. Takut aku tidak tahan dengan cabaran hidup di luar.
Kalau ayah nak tahu, cabaran di rumah ini lebih menguji kesabaranku berbanding kehidupan di luar. Sumpah sakit mental aku terkurung di sini.
Aku ingin mengambil kelas memasak di luar, atau oun kelas buat kek. Aku suka bau kek yang harum ketika dibakar dalam ketuhar. Suka hasilnya yang sangat membahagiakan. Boleh juga aku jual secara online, berniaga kecil-kecilan.
Ibu mengejek. Impian aku dan minat aku tiada masa depan katanya. Perempuan kolot sahaja akan menghabiskan masanya di dapur. Yang tidak kolot itu Marissa baby kesayangannya.
Ibu tak tengok kejayaan Puan Ina Azlina yang famous di laman web hanya bermula dari masak kek di dapur? Beliau lebih kaya dari ibu yang siang malam mengejar duit bau najis di luar.
Ayah juga menjadi hamba duit. Kepingan-kepingan note berangka itu yang menjadikan ibu ayahku lupa diri, hanyut. Lupa tanggungjawab dia sebagai suami dan ayah.
Adikku, Marissa. Mengejar nama dan mata duitan seperti orang tuaku. Sebelum SPM lagi Marissa hanyut dalam dunia penuh glamour. Menjadi model sambilan untuk produk kecantikan.
Setelah tamat sekolah. Dunia modeling kau hanya mengaburi mata para pengikutmu. Orang-orang bodoh yang mengagumi kau ditipu seperti haiwan tak berakal.
Muka kau cantik, sempurna dan manis di pandang dari sudut mana pun. Bentuk tubuh badanmu yang lentik dan mempersonakan, bak kata orang....MARKET TINGGI.
Sayangnya value kau yang ibu ayah angkat seperti diva hollywood itu kau gunakan ke jalan yang menjengkelkan. Sumpah aku tak hairan dengan kemewahan di seluruh badan kau.
“Sampai bila kau nak jadi orang gaji dalam rumah sendiri, Mardiana? Kawan-kawan kita semua dah keluar merasa nikmatnya dunia luar. Kau masih duduk di dapur dengan muka comot, badan berbau, tangan berminyak, hahahahahaha...“
Sedapnya bahasa kau Irfan Ghadafi !
Satu-satunya rakan sekelas yang masih mahu berkawan denganku. Masih tak jemu bertanya khabar tentangku. Berlagaklah kau, duduk sedap di negara orang.
××××××××××
Malam itu selepas siapkan makan malam sambil menunggu kepulangan Raja, Permaisuri dan Tuan Puteri balik dari kesibukan seharian di luar rumah, aku membelek album lama.
Nanny.
Terlalu lama nama nanny tidak disebut ibu dan ayah. Sejak nanny enggan melepaskan geran tanah ke tangan ayah, lalu nanny ditinggal sendirian di banglo peninggalan moyang kami. Apa khabar nanny?
“Jangan harap aku akan ambil tahu nenek kau hidup atau mati!“ Ayah melepaskan tumbukan ke dinding.
Marah sangat bila aku ajukan soalan. Apakah mereka tidak rasa bersalah membiarkan ibu yang sudah uzur tak berdaya seorang diri?
Eh, ada panggilan dari nanny! Berdebar rasa di hati aku tatkala melihat nama Nanny tertera di skrin.
“Assalam....“
“Manja, dengar sini!“ begitu pantas nanny memintas ucapan salamku.
“Ya, nanny...ada apa?“ aku ragu-ragu untuk menjawab.
Suara nanny agak tegas. Seperti dalam kecemasan kedengarannya.
“Apa pun terjadi Manja jangan datang rumah nanny. Faham?“
“Kenapa? Tapi, rindu nanny,“
“Nanny cakap jangan tu janganlah! Jaga diri kamu baik-baik,“
Talian diputuskan selepas nanny ucapkan selamat tinggal. Apa yang nanny nak sampaikan? Adakah nanny baik-baik di rumah banglo usangnya?
Bunyi pintu besi dibuka. Pasti sudah balik ibu dan ayah. Kebiasaannya Marissa akan balik lewat malam dihantar kawan-kawannya yang kaya, hipster lagi bergaya.
“Ana, siapkan ibu dengan ayah baju untuk party malam ni. Sejam lagi ibu nak keluar.“
Belum nampak orangnya tapi suara ibu sudah menerjah ke gegendang telingaku dulu. Party lagi. Keluhanku yang entah keberapa ratus kali.
“Ana dah siap masak, bu“
“Kau pekak ke? Malam ni ada party faham tak? Makanan kat sana lagi sedap dari masakan kau!“ ayah pula menjerit padaku.
Baiklah...King segala raja. Aku menurut perintah. Aku menaiki tangga dan mencari pakaian untuk pasangan bahagia itu, harus digosok cantik-cantik. Bagai diuruskan sepuluh orang bibik hasilnya nanti.
“Nanny tak dapat maafkan ayah dan ibu kamu. Kalau nanny mati sekali pun, nanny tak akan maafkan anak menantu derhaka!“
Suara nanny menangis membuatkan aku sebak. Sejak kecil aku dan Marissa dimanja nanny seperti intan berlian. Belum pernah sekali pun aku mendengar nanny menangis.
Nanny tentunya kecewa. Sikap ayah yang biadab dan kasar terhadap ibu kandungnya buatkan nanny bertambah sakit.
Empat tahun kami tidak mendengar khabar berita dari nanny. Zalimnya ayah. Itu syurgamu, ayah. Tergamaknya ayah melukakan hati seorang ibu yang sepatutnya ayah muliakan.
“Nanny sayang Marissa Mardiana. Selamat tinggal kesayangan nanny,“
Sambil menggosok baju ibu aku terbayangkan nanny. Kata-kata nanny membuatkan aku hilang fokus. Sedar tak sedsr, airmata telah menitis laju.
“Hei, anak tak guna! Kenapa kau terhegeh-hegeh ni? Aku dah lambatlah!“ satu tamparan menyinggah di belakang bahuku.
Ibu merampas baju yang baru siap ku gosok. Berlalu pergi dengan leteran yang panjang. Seperti selalu.
“Nak melahirkan kau pun susah, dah besar pun menyusahkan aku. Sepatutnya aku biarkan Marissa hidup seorang, kau tu biar mati!“
Iyalah, ibu. Aku sudah lali dengan bait-bait kata itu. Kami tak patut dilahirkan sebagai kembar. Ibu dan ayah lebih sayangkan Marissa.
Ibu bertarung nyawa waktu melahirkan kami. Aku terlebih dulu lemas dalam kandungan. Pembedahan terpaksa dilakukan ketika kandungan belum cukup 36 minggu.
Lantas aku menelan sumpah dan caci maki sejak kecil. Berbanding peluk dan cium yang Marissa dapat setiap hari.
"Kau yang tak mahu keluar dari rumah itu, sekarang kau pula mengeluh." Irfan Ghadafi mengejek.
"Dari awal keputusan SPM keluar aku dah ajak kau lari. Kau ada passport. Kita cuba nasib di Singapura. Tapi kau degil,"
"Sudahlah, Irfan Ghadafi. Aku tak tergamak tinggalkan keluarga aku."
Seperti biasa, irfan Ghadafi akan sebut perkataan LOSER. Ikut suka hati kaulah, Irfan. Memang aku layak kau panggil LOSER.
11 malam..12 malam..1 pagi..2 pagi.
3 pagi !!!!
Ke mana ibu, ayah dengan Marissa? Jarang mereka berparty selewat begini.
Aku masih menjadi penunggu yang setia di atas sofa biru. Menunggu KING, QUEEN dan PRINCESS pulang. Nanti akan mereka minta susu panas, tuala mandi, pakaian untuk diganti. Semua itu kerja aku.
Tiba-tiba lamunan aku diganggu dengan bunyi loceng pintu.
Siapa pula datang awal pagi minggu begini? Yang pasti bukan bunyi kereta ayah yang aku dengar. Enjin kereta masih hidup di luar.
Aku mengintai terlebih dulu dari cermin tingkap. Lampu siren berwarna biru membuatkan mataku silau.
Polis? Aku tutup langsir dan melompat dari kerusi kayu. Dupdap-dupdap jantung aku dipam-pam. Rasa nak pecah jantung ni.
Loceng berbunyi lagi. Tidak membuang masa, aku terus menuju ke pintu. Membuka pintu dengan hati-hati. Risau juga penjenayah menyamar sebagai polis.
"Ini rumah encik Adnan bin Haji Kasim? Isterinya Rohaila binti Syafie?"
Aku mengangguk. Berulang kali. Fikiran aku mula memikirkan ayah dan ibu.
"Apa nama kamu?" Seorang aggota bermisai tebal menyoalku. Rakannya hanya memerhatikan aku di belakangnya.
"Mardiana binti Adnan," menggigil aku menjawab.
"Encik Adnan dan Puan Rohaila terlibat dengan kemalangan di Tol XXX. Kedua-duanya meninggal di tempat kejadian,"
Dunia aku ketika itu seakan berpusing. Terjelepuk aku di atas lantai. Berita apakah ini? Bergurau untuk prank aku atau apa?
Aku sudah tak punya sesiapa?
"Adik saya Marissa, tuan?"
"Ada di hospital. Ikut kami,"
**********
Kejadian sebenar di tempat lain.
Sebuah kereta bergerak laju menuju jalan balik ke rumah. Lagu Mariah Carey bertajuk Without You dipasang kuat. Lagu itu membuatkan Adnan berasa tenang.
Hatinya senang kerana anak kesayangan dapat memancing ikan kayangan. Bersiul-siulan pula si Adnan.
Sang isteri mata duitan pula sedang menghitung wang kertas dari beg tangan jenama Gucci. Lenguh tangannya mengira habuan masuk malam ini. Untung miliki anak cantik dan bijak seperti Marissa.
"Kaya kita kali ni, you. Dato' Rizman bayar mahal untuk Baby Sayang kita. Minggu depan Baby Sayang ikut dato' pergi Kanada 14 hari,"
"Baby nak lebih dari selalu, ibu. Kalau 10k 15k baby tolak!"
"Jangan risau. Kali ni dato' bayar 30k. Duit pun ibu dah dapat cash. Baby enjoylah, shopping semua ditanggung dato'," Adnan teramat gembira malam ini.
Menjerit Marissa bila dapat tahu duit 30k sudah berada di tangan Rohaila. Impian Marissa untuk menjadi gadis muda, bergaya dan kaya semakin menjadi kenyataan.
Lalu Marissa duduk bersandar di tempat duduk belakang. Berkhayal sambil merenung keluar cermin kaca kereta.
Mereka tidak sedar bahawa mereka sedang ditunggu di satu titik garisan. Lagi 100 meter mereka akan tiba ke garisan itu. Entahkan garisan penamat bagi mereka atau tidak.
Malang memang tak berbau. Ada seseorang sedang menanti mereka di tengah garisan putih bersama dendam yang terpendam sekian lama.
Semakin menghampiri kawasan perumahan semi-D, Adnan memperlahankan kelajuan keretanya. Sebentar lagi akan ada satu selekoh yang akan membelok ke kiri.
“Ayah!!!!“ suara Marissa menjerit dengan tiba-tiba.
Terkejut dengan jeritan Marissa, Rohaila dan Adnan menoleh ke belakang. Tubuh Marissa sedikit membongkok, disorokkan wajahnya dibalik tapak tangan.
“Baby ni buat ibu terkejutlah!" Rungut Rohaila.
Adnan memusingkan mukanya ke depan sambil mentertawakan anak emasnya. Tidak jauh dari selekoh tajam memasuki taman perumahan mereka, terlihat sesosok tubuh kurus sedang berdiri di tengah jalan.
Ditekannya brek kaki untuk mengelak dari melanggar orang itu. Dengan jarak 20 meter itu Adnan mula dapat melihat orang yang memeluk batu sebesar dua kepala manusia sedang menunggu mereka tiba.
"You jangan berhenti, langgar je! Orang gila ni nak main-mainkan kita!" Rohaila tidak keruan lagi.
Gerak hati Adnan juga merasakan dia tak perlu berhenti. Bimbang dirinya dan anak isteri dirompak pula. Mungkin kalau dia bertindak untuk maju terus, orang itu akan mengelak.
"Jangan menyesal kalau kena lenyek dengan kereta aku!" Pedal minyak lalu ditekan sekuat hatinya.
Belum sempat menjamah tubuh manusia berjaket hujan yang menutupi wajahnya dengan penutup muka, dia terlebih dulu mencampakkan batu di tangannya ke arah cermin kereta Adnan.
Tubuhnya pantas melompat ke kanan dan berjaya mengelak dari dilanggar.
Batu besar itu tepat menghentak ke muka Adnan. Hancur berderai cermin kereta dengan hentakan itu. Kepala Adnan pecah seperti kelapa busuk.
Kereta gagal dipandu lagi, tangan Adnan memegang kepalanya sambil mengerang kesakitan. Kereta terbabas melanggar tembok di hadapan selekoh. Bunyi dentuman kereta dan jeritan tiga beranak itu memecah kesunyian malam.
Kepala Adnan terkulai layu dengan tubuhnya terhimpit diantara stereng dan tempat duduknya. Tubuhnya menggelupur seketika. Darah pekat mengalir laju.
Rohaila yang duduk di sebelahnya memanggil nama Marissa. Dia menahan sakit akibat pecahan cermin tadi banyak yang menerjah ke mukanya.
"Ibu, Baby takut...ibu, jangan tinggalkan Baby," rintihan Marissa tidak lagi didengari Adnan. Lelaki itu telah menghembuskan nafasnya di situ juga.
"Jangan takut, Baby sayang ibu. Ibu ada. lepas ni ibu jaga Baby. Kita boleh kaya sama-sama, ayah tak ada ibu ada."
Di saat begini pun Rohaila masih fikir tentang impiannya untik menjadi kaya dengan hasil menjual maruah anaknya.
Saat dia berpaling semula ke depan, satu hentakkan baru tepat mengena ke mukanya. Darah memercik keluar. Biji matanya tersembul, batang hidungnya patah.
Wajah Rohaila hancur. Perlahan-lahan dalam kepayahan bersuara memanggil Marissa, nyawa Rohaila berakhir di situ seperti suaminya jua.
"Ibu!" Marissa terperosok di belakang tempat duduk ibunya.
Sepasang mata mengintai Marissa dari luar. Dibiarkan Marissa hidup. Kerana ada permainan yang belum selesai. Keluarga ini harus menerima hukuman diatas kesakitan yang dia alami selama ini.
BERSAMBUNG? #karyapanda
Hiduplah seperti lilin, membakar diri menerangi kehidupan insan tersayang.
Share this novel
Selalu follow