1

Action Series 2052

2009
Malaysia

ENCIK Daud menggeleng kepala apabila melihat berita yang memaparkan jenayah yang semakin menjadi-jadi. Puan Zarina yang pada mulanya hanya bertindak sebagai pendengar turut menyampuk apabila seringkali rungutan Encik Daud hinggap di telinganya seakan memaksa bibirnya berbicara membalas kata.

“Mama, papa… kalau dah sakit hati sangat dengan berita yang banyak memaparkan kes jenayah je, baik papa tukar siaran. Senang! Hati tak sakit,” sampuk Azreen yang sedari tadi hanya memandang dari jauh.

Sehari dalam seminggu begitulah lagak kedua ibu bapanya. Setiap kali mata menonton berita, mulut mereka tak lepas peluang mengulas bersama.

“Isy, kamu ni Azreen… papa bukannya sakit hati dengan siaran ni. Papa cuma sakit hati dengan perangai manusia sekarang yang semakin menjadi-jadi. Kalau dulu, boleh kira dengan jari, berapa kali berita ni siar kes bunuh macam ni,” jawab Encik Daud.

Puan Zarina mengangguk bersetuju.

“Iyalah abang kan… ini pun nasib baik kita tengok berita seminggu sekali. Kalau hari-hari kita tengok, saya tak tahulah berapa banyak dah kes macam ni berlaku,” ujar Puan Zarina pula. Menyokong kata suaminya.

“Assalamualaikum…”

Dengar sahaja suara orang memberi salam, laju Encik Daud menekan butang tutup di alat kawalan jauh. Sebelum sempat salam di jawab, tersembul muka si anak gadis belasan tahun yang sudah meningkat dewasa masuk dari pintu utama.

Puan Zarina melemparkan senyuman manis. Cuba untuk menutup gugup di hati.

“Awal adik balik? Kelas malam di batalkan ke?” soal Encik Daud penasaran.

Mana tidaknya, baru sahaja tadi dia menghantar Dhea ke rumah Suraya. Sepatutnya mereka ada kelas malam setiap hari Sabtu sehingga jam 10 malam. Tapi hari ini tidak seperti biasa, Dhea sudah pulang seawal jam 8.30 malam.

“Tak jadi pulak papa, cikgu telefon ketua kelas tadi cakap tak jadi. Ada kecemasan. Nasib baik Pak Cik Jenal tak sempat hantar kitorang tadi,” terang Dhea.

Seperti hari biasa, Encik Zainal atau mesra di panggil Pak Cik Jenal oleh Dhea adalah ayah kepada kawan baiknya iaitu Suraya. Setiap hari Sabtu selepas maghrib, Encik Daud akan menghantar Dhea ke rumah Suraya dan bapa Suraya yang akan menghantar mereka berdua ke sekolah untuk menghadiri kelas malam.

Apabila kelas tamat, Encik Daud pula yang akan menjemput mereka berdua pulang ke rumah.

“Habis tu adik balik dengan siapa ni?” soal Azreen. Badan laju menuju ke arah tingkap. Langsir di selak sedikit, cuba untuk mengintai ke luar rumah.

“Pak Cik Jenal hantar,” ujar Dhea seraya menayangkan gigi putihnya yang tersusun rapi.
“Sukalah tu kelas batal kan?”

“Mestilah mama,” jawabnya ceria. Badan di sandar ke sofa dengan selesa.
“Hah, habis tu tak reti nak naik tukar baju?” usik Puan Zarina.

“Alah mama ni… bagilah peluang adik nak baring-baring sebelah mama sekejap. Buka TV mama, ada cerita apa waktu ni?” pinta Dhea. Tangannya dah memeluk tubuh si ibu.

“Tak payah nak baring-baring. Mama bukan tak tahu adik punya perangai tu. Kata sekejap tapi kejap lagi tengok-tengok dah terlelap. Dah, pergi tukar baju, kejap lagi nak isyak,” bebel Puan Zarina panjang lebar. Niatnya hanya satu.

Tidak menghiraukan bebelan si ibu, Dhea menarik alat kawalan televisyen yang berada di hadapannya. Belum sempat butang hijau di tekan, alat kawalan itu di rampas.

Geram dengan apa yang di lakukan Azreen, Dhea memuncung.

“Adik tak payah nak bukak TV tu, jam macam ni mana ada cerita. Alih-alih berita, along bosanlah…” sungut Azreen. Dalam hati dia menarik nafas lega. Kalau Dhea sempat tekan butang on, dia tak dapat bayangkan apa benda yang bakal terjadi. Dan dia tak sanggup nak bayangkan.

“Eee, along ni… tak habis-habis nak sekat kita dari tengok berita. Entah apa yang dia takutkan entah,” mulut Dhea membebel tak sudah walaupun kaki sedia bergerak ke biliknya. Kaki di hentak tanda protes. Sengaja!

Usai Dhea beredar ke bilik tidur, Azreen, Encik Daud dan Puan Zarina saling berpandangan sebelum masing-masing menarik nafas lega. Dalam hati masing-masing mula tertanya-tanya. Sampai bila mereka akan bereaksi sebegini? Dan sampai bila Dhea akan begitu?

PUAN Zarina melipat baju di ruang tamu sambil di temani si suami yang ralit membaca surat khabar. Waktu-waktu begini barulah mereke berdua berpeluang melakukan aktiviti sendiri.

Selepas Azreen dan Dhea masuk tidur, mereka berdua masih lagi bersekang mata melakukan aktiviti yang tak sempat di selesaikan pada pagi hari. Selepas kejadian yang tidak di ingini berlaku dalam keluarga mereka, mereka berdua banyak melakukan aktiviti bersama anak-anak. Atau lebih tepat lagi, memantau aktiviti anak mereka.

“Apa yang awak menungkan tu, Ina? Dah nak tembus kain tu awak tenung,” tegur Encik Daud apabila melihat isterinya termenung jauh. Kadang-kadang kedengaran hela yang di lepas kasar. Isterinya tampak seperti orang yang sedang susah hati.

“Abang rasa sampai bila kita boleh larang Dhea dari tengok berita?” soal Puan Zarina telus. Sungguh kali ini dia buntu sendiri.

Soalan Puan Zarina membuatkan Encik Daud mengeluh perlahan. Dia juga terfikir akan kemungkinan itu. Sampai bila mereka berdua boleh memantau segala aktiviti Dhea. Kini, umur anak mereka sudah mencecah 17 tahun dan selepas ini Dhea sudah tentu akan menyambung pelajaran. Pada waktu itu, tidak mustahil Dhea akan terdedah dengan berita yang memaparkan segala jenis jenayah.

Dan kalau itu berlaku, bolehkah dia menanganinya?
Soalan itu berlegar-legar di benaknya.

“Abang…” panggil Puan Zarina.
“Ya?”

“Abang dengar tak ni?”

Encik Daud mengangguk perlahan. Bibirnya tersenyum kelat.

“Saya pun terfikir macam tu. Lagipun, Dhea dah 17 tahun malah umur kita pun semakin meningkat. Bila-bila masa saja roh dan jasad ini akan terpisah. Kalau saya meninggal, saya risau apa yang akan terjadi pada Dhea nanti.”

“Ish, abang ni… ke situ pulak?”

“Kenyataan Ina. Masa berita kematian Makruf sekeluarga terpapar di kaca TV, bertahun kita berusaha nak sembuhkan Dhea. Dan saya risau perkara sama yang akan terjadi kalau saya meninggal nanti. Saya takut kalau ia jadi makin teruk.”

Luahan Encik Daud membuatkan Puan Zarina turut sama termenung. Berita kematian Maaruf sekeluarga terlalu memberi kesan kepada Dhea.

Ketika itu, heboh di Malaysia tentang kematian mereka sekeluarga. Rakyat Malaysia yang meninggal di luar negara menjadi berita utama di Malaysia lebih-lebih lagi ada khabar angin yang menyatakan kematian mereka adalah di rancang. Kawan Dhea, Iman merupakan anak Makruf yang turut sama terkorban.

Berita itu memberi kesan kepada Dhea apatah lagi cara kematian mereka agak menyayat hati. Kereta milik mereka yang meletup sejurus enjin di hidupkan menyakinkan ramai pihak bahawa dendam merupakan motif utama.

Setiap kali berita jenayah melibatkan pembunuhan berlegar di kaca TV, setiap kali itu juga Dhea pengsan tak sedarkan diri. Badannya panas dan bibirnya tak berhenti meracau memanggil nama Iman berkali-kali. Kadang-kadang hampir seminggu juga demamnya melarat.

Selepas setahun melihat keadaan Dhea sebegitu, mereka berdua memutuskan untuk menjauhkan Dhea dari berita sebegitu. Dan kini hampir sepuluh tahun berlalu, tapi mereka masih lagi melarang Dhea menonton berita.

“RALIT benar abang tengok drama tu? Dah jam 10.15 malam ni bang, tak ingat nak jemput Dhea ke?” tegur Puan Zarina apabila melihat Encik Daud sedang asyik bergelak ketawa dengan cerita yang di tontonnya. Lain benar lagak suaminya malam ini. Lawak biasa pun dia boleh gelak beria-ia.

“Allah… boleh pulak terlupa. Nasib baik awak ingatkan.” Encik Daud yang sedang baring kalut bangun lalu mencapai kunci keretanya yang disangkut di tempat kunci.

“Hati-hati,” ucap Puan Zarina seperti kebiasaannya. Encik Daud mengukir senyuman nipis sebelum keluar.

Tak sampai seminit bayang Encik Daud hilang dari muka pintu, pintu rumah terkuak kembali. Tersembul wajah si suami mengundang kembali senyuman di bibir Puan Zarina.

“Kenapa abang? Terlupa ambil kunci ke?” soal Puan Zarina yang kehairanan.

Tanpa menjawab soalan si isteri, Encik Daud mendekati isterinya.

“Ina…” seru Encik Daud. Tangan Puan Zarina di capai. Mata redup si isteri di tenung lama.

“Terima kasih sebab jaga keluarga kita. Janji dengan abang yang awak akan jaga along dan adik sampai bila-bila.”

Puan Zarina menolak tangan si suami.

“Apa yang abang merepek ni? Tiba-tiba saja suruh berjanji bagai,” soal Puan Zarina geram.
Encik Daud gelak perlahan mendengar bebelan si isteri.

Tanpa menjawab soalan Puan Zarina, Encik Daud menarik tubuh Puan Zarina ke dalam pelukannya. Dahi isterinya di kucup. Lama.

“Abang saja nak pesan. Abang pergi dululah, abang dah lambat ni nak jemput adik,” ujar Encik Daud lalu berlalu meninggalkan Puan Zarina yang termangu sendiri.

Dalam hati terbit rasa gundah dengan perangai suaminya yang tiba-tiba. Seolah-olah memberi pesanan terakhir. Tanpa sedar matanya panas. Dadanya berdebar hebat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience