DAGING PUN SEDAP (PART 10)

Horror & Thriller Series 866

Dari luar bilik dapat kami dengar bunyi katil dipijak-pijak. Macam ada orang bermain diatasnya diringi hilai tawa. Merinding tubuhku. Ku pegang erat tangan Tina. Kami sudahpun terketar ketakutan.

"Ustaz..." lirihku.

"Takpe." ustaz Shafiq memberi isyarat tangan agar kami bertenang.

Dia menghampiri bilik itu. Baru saja dia ingin memulas tombol, pintu itu terbuka dengan sendirinya.

KREEEEEK...

Perlahan pintu terbuka. Seperti ada yang membukanya dari dalam. Ku lihat keadaan di dalam bilik sangat gelap. Dengan berhati-hati, ustaz Shafiq melangkah masuk ke dalam. Kami turut membontoti langkah ustaz Shafiq dan berdiri di depan pintu bilik Sue.

ZUPPP!

Satu hembusan angin menerpa ke wajah kami beserta bau yang teramat busuk. Tidak dapat aku jelaskan dengan kata-kata. Yang penting, ianya sungguh meloyakan tekak. Barangkali beginilah bau busuk mayat. Serta merta meremang seluruh tubuh apabila kami menjenguk ke dalam bilik.

Di atas katil, ada satu susuk tubuh sedang asyik mengendong seorang bayi sambil bersenandung;

"Hmmmm...mmmmm..mmmmm..." aku tidak tahu lagu apa yang digumamkan tapi ianya kedengaran sungguh menyeramkan.

"Sue..." aku memberanikan diri memanggil Sue. Dia diam. Kepalanya tunduk ke bawah. Tiba-tiba dia menangis.

"Aku berdosa Jiah.. Aku pembunuh! Aku bunuh baby aku..."

"Tak Sue.. Kau bukan pembunuh. Kau cuma tersilap langkah." pujukku.

"Aku ikutkan nafsu. Aku ingat, kalau aku buang baby ni, Daus akan terima aku balik. Tapi dia dah tak pedulikan aku dan cari perempuan lain. Hati aku sakit Jiah.. Sakit!"

"Dia janji macam-macam dekat aku. Semua kemahuan dia aku turutkan. Tapi bila dia dapat tahu aku mengandung, dia panik. Setiap hari dia akan call suruh aku gugurkan kandungan. Dia ugut akan tinggalkan aku kalau aku tak ikut cakap dia. Tapi kalau aku setuju, dia janji dia akan kahwin dengan aku apabila masanya tiba." sambung Sue lagi.

"Aku bodoh Jiah. Aku percayakan dia. Aku ingat dia betul-betul sayangkan aku. Jadi aku buat keputusan untuk gugurkan kandungan. Tapi aku malu nak pergi klinik. Aku cari kat google cara-cara nak gugurkan kandungan dan aku nekad. Malam tu, aku balik awal ke rumah. Aku ambil penyangkut baju besi tu dan.." Sue tidak dapat meneruskan ayatnya. Terhenjut-henjut dia menangis. Aku rasa aku boleh agak apa yang cuba diceritakan. Aku sendiri pernah terdengar mengenai kaedah itu. Terasa nyeri tulangku.

"Sakit sangat. Aku rasa macam nak mati.. Bila aku nampak janin aku jatuh kat lantai, aku rasa menyesal. Aku betul-betul rasa bersalah. Aku dah jadi pembunuh!" esak Sue. Aku dan Tina tidak dapat menyembunyikan rasa hiba. Bersahutan kami menangis mengenangkan nasib Sue.

"Ini semua salah jantan tak guna tu! Sepatutnya dia yang aku bunuh! Kalau bukan sebab dia, mesti baby aku masih hidup. Dia yang sepatutnya mati!!" nada Sue berubah drastik. Riak wajahnya jadi buruk.

"Tina! Jiah! Saya nak kamu pegang Sue. Saya akan mulakan rawatan." arah ustaz Shafiq.

"Hah??" gila! Nak kami pegang Sue? Aku takut!

"Cepat! Kalau kamu nak Sue pulih, ikut apa yang saya cakap."

"Ba..baik ustaz." Aku dan Tina takut-takut menghampiri Sue. Babak seram dalam cerita The Exorcism of Emily terlayar ditubir mata.

Apabila aku cuba memegang tangan Sue, dia mendengus kasar. Seperti cuba menggigit. Aku kaget. Jantungku sudah berdentum hebat.

"Jangan takut. Dia tidak akan dapat mengapa-apakan kamu."

Segera kubuang rasa takut dan aku duduk di kiri Sue. Tina pula di sebelah kanan. Apa nak jadi, jadilah. Yang penting, Sue dapat disembuhkan. Ketika tangan Sue ku pegang, dapat ku rasakan satu tenaga luar biasa daripadanya. Macam tengah pegang seekor lembu.

Meronta-ronta Sue minta dilepaskan. Namun ku gagahi juga menahan tubuhnya dan cuba membaringkannya di atas katil. Setelah berhempas pulas, akhirnya Sue berjaya ditundukkan. Ustaz Shafiq datang menghampiri. Diletakkan tangannya diubun-ubun Sue dan memulakan pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

"Arggghhhhh!!! Panas!!! Berhenti!!!!Aku nak balas dendam!!" jerit Sue. Suaranya nyaring dan menusuk ke hati.

Ustaz Shafiq jelas tidak terganggu dengan jeritan itu. Mulutnya terkumat kamit melafazkan ayat.

"Tolongggg berhentiii...sakittt...." rayu Sue lemah.

""Sueee..." rintihku. Kasihan aku melihat keadaan Sue itu. Tidak sanggup melihat rakan baikku diperlakukan sebegitu.

"Tina...Jiah..Tolonglah suruh dia berhenti. Tolong aku... Aku sakit...."

"Ustaz..." aku cuba meraih simpati. Meruntun hatiku mendengar rayuan Sue. Mungkinkah Sue sudah sedar?

"Jangan terperdaya. Dia bukan Sue." ustaz Shafiq memberi amaran. Aku menelan liur.

"Arghhh!! Panas!!! Tolong!!!"

"Kau nak keluar ke tak?!"

"Aku keluar! Aku keluar!!"

"Baik, aku akan berhenti baca dan kau mesti keluar dari badan budak ni. Kau janji kau akan keluar?!" gertak ustaz Shafiq.

"Ya, aku janji.. Aku janji.." akur Sue lemah. Badannya sudah terlonglai kaku di atas katil.

Pada ketika itu, ekor mataku dapat menangkap satu kelibat hitam melompat keluar ke pintu masuk bilik. Perlahan-lahan kelibat itu menampakkan bentuk seekor kucing. Kucing hitam! Mimi?

Mimi sedang berpaling memandangku. Pandangannya kosong. Tidak berkelip mataku memandangnya. Aku kaku disitu beberapa saat. Seketika kemudian, Mimi pun berlalu pergi dan hilang begitu saja. Barulah aku tersedar dan aku melihat ustaz Shafiq dan Tina sedang cuba menyedarkan Sue. Mereka tak perasan ke kehadiran kucing hitam tadi? Namun kubiarkan persoalan itu berlalu.

Sue sudahpun kembali seperti biasa dan kami saling berpelukan. Sue menangis semahunya melepaskan segala rasa yang terpendam dilubuk hatinya. Aku faham perasaannya dan bukan tempatku untuk menjatuhkan hukuman keatas dirinya. Biarlah dia mengadu kepada Allah kerana hanya padaNya kita kembali.

*****

SEBULAN KEMUDIAN

Kecoh satu kolej apabila mendengar berita kematian Firdaus. Dia dikatakan membunuh diri dengan menggantung dirinya. Ramai yang tidak percaya dengan cerita itu kerana Firdaus bukanlah jenis yang akan melakukan perkara seperti itu, walaupun kami tahu dia seorang lelaki yang teruk.

Masih terngiang dikepalaku dengan kata-kata Sue yang menyalahkan Firdaus dan mengugut mahu membalas dendam. Adakah dia ada kena mengena dengan kematian Firdaus? Wallahualam..

Sejak dari kejadian itu juga, Sue seperti sudah menjadi orang lain. Perubahannya sangat drastik. Dia menjadi seorang yang pendiam dan suka menyendiri. Adakalanya aku melihat dia seperti berbual dan bergelak tawa dengan seseorang. Tapi yang peliknya, hanya dia seorang disitu. Apabila ditegur, dia akan menjadi marah dan melarikan diri.

Pernah juga aku cuba memujuk ibu bapanya agar membawa Sue berjumpa dengan pakar, namun usahaku dipandang remeh. Mungkin juga ibu bapanya sudah mengetahui hal yang sebenar dan mereka merajuk.

Sudah sebulan berlalu sejak gangguan itu. Sue juga sudah keluar dari rumah sewa kami. Mungkin malu dengan perbuatannya. Tiada siapa yang tahu mengenai kisah itu melainkan aku dan Tina. Kami sendiri tidak mahu menceritakan aib Sue kepada rakan serumah yang lain. Biarlah ia menjadi rahsia di antara kami bertiga.

Sehingga kini, tiada lagi gangguan yang berlaku. Cuma sesekali aku akan terlihat kelibat Mimi di belakang rumah sedang duduk di tempat janin Sue ditanam. Tapi hanya sesaat sahaja sebelum ia hilang dari pandangan mata. Kadang-kala, ada juga aku terdengar sayup-sayup suara menyeru namaku. 

"Jiah...Jiah...Mimi nak daging.."

Namun tidak ku hiraukan.

Oleh kerana itu, aku dan Tina berpakat untuk mencari rumah sewa yang baru. Hanya tinggal beberapa bulan lagi sebelum peperiksaan akhir. Setelah itu, kami akan melangkah pula ke alam pekerjaan. Kami tidak mahu perkara ini mengganggu konsentrasi kami untuk belajar.

Malam itu, selepas maghrib, aku dan Tina sudahpun siap mengemas barang-barang untuk dibawa berpindah. Rakan serumah yang lain menolak untuk berpindah kerana jarak dari rumah sewa itu ke kolej sangat dekat. Kami pun tidak mahu memaksa.

Tepat jam 6.50 malam, aku dan Tina mengucapkan salam perpisahan dengan Fizah dan Lulu. Walaupun kami masih boleh berjumpa di kolej, namun tidak sama dengan menghabiskan masa bersama di rumah.

Usai itu, aku mengangkut bag dan memunggahnya ke dalam kereta Myvi putih milik Tina. Kuloloskan badan ke tempat duduk hadapan. Aku toleh sekejap ke arah pintu depan rumah. Fizah sedang berdiri di situ sambil melambai-lambaikan tangan. Aku turut melakukan hal yang sama. Hatiku sedikit sebak.

Tiba-tiba, mataku tertancap ke bawah kaki Fizah. Mimi! Mimi sedang duduk memandangkanku di tepi Fizah sambil tersenyum. Serta merta aku rapatkan tubuh ke tingkap kereta untuk memberi amaran. Tapi Faizah sudahpun menutup pintu.

Aku kaget. Bagaimana kalau.... Pandanganku terkalih pula ke arah tingkap bilikku yang mengharap jalan raya. Ku perhatikan di tingkap. Seperti ada banyangan tubuh seseorang berdiri di situ. Apabila kufokuskan penglihatanku, aku nampak ada mata sedang memandang merenungku dari celah-celah tabir. Wajahnya hitam pekat. Cepat-cepat aku beristighfar.

"Kau kenapa Jiah?" tanya Tina kehairanan.

"Tak.. takde pape. Jum la gerak."

"Haa..yela..jum." agaknya Tina pun dapat meneka apa yang aku rasa. Dia sendiri sudah merasa seram.

"Bismillah..." ucapnya sebelum memandu laju meninggalkan perkarangan rumah sewa itu.

-TAMAT-

****

P/S: Kisah ini berkisar di sebuah tempat di Sabah. Oleh itu, waktu maghrib yang dinyatakan di dalam cerita ini adalah sekitar jam 6.30++malam. Terima kasih kerana sudi membaca. Harap anda terhibur. Saya mengalu-alukan sebarang kritikan mahupun komen daripada anda.

Kisah seram pendek terbaru akan menyusul tidak lama lagi. ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience