‘Sayang... abang dah jumpa pengganti kekasih hati abang yang meninggal tu. Hidupnya tidak tentu arah. Kesian abang tengok anak-anak dia seramai tiga orang tu. Datanglah rumah Emak. Abang kenalkan dia pada Anzalna.’ Begitu yang tertulis di skrin telefon bimbitku.
‘Arg! Suamiku... biar betul. Janda anak tigakah? Apa hebatnya janda tu? Belum pun genap seminggu. Takkan sebegitu cepat? Dah tak sabar sangat ke dia?’ gumamku dalam diam.
Namun begitu, aku tidak mengendahkan maksud kata-katanya itu. Aku malas hendak melayannya. Biarlah berlalu di angin lalu. Sejak hari itu aku lebih banyak mengabdikan diri pada-Nya. Malas aku hendak memikirkannya lagi. Buat sakit hatiku sahaja.
Setelah aku cuba melupakan apa yang terjadi, tengah hari minggu suamiku pulang ke rumah kami. Kali ini dia tidak bersendirian. Dia membawa Emak nya sekali. Di sampingnya tidak kelihatan pengganti kekasihnya yang meninggal itu. Suamiku tersenyum penuh makna, apabila menyedari reaksiku sebegitu.
“Kejap abang lupa sesuatu,” katanya.
“Inilah buah hati abang yang abang cakap tu,” katanya lagi sebaik sahaja mengeluarkan sangkar kucing dari dalam kereta wiranya.
“Seminggu abang outstation abang cuma cari kucing ni?” tanyaku.
“Kawan abang dekat dari Pahang berikan pada abang. Nak cari sangkar secantik ini punyalah susah,” katanya lagi.
Emak mertuaku yang sedari tadi diam tidak mampu menyembunyikan tawanya lagi. Meledak tawanya memenuhi ruang tamu rumah kami.
“Aduh emak ni, kenapa Emak tidak berterus terang sahaja hari itu?” kataku pula.
“Macam mana emak nak berterus terang, baru sahaja emak nak buka mulut cerita hal sebenar Anzalna dah meluru keluar dari rumah, banyak kali emak panggil Anzalna tak dengar,’’ luah emak mertuaku pula.
Nah! Sudahnya kali ini encik suamiku pula berdekah-dekah ketawa dan tak cukup dengan tu dia bahan aku tanpa henti. Merah padam jadinya aku. Aduh aku dan perangai cemburu dan suka sahaja ambil keputusan melulu ini memang sudah tak boleh diselamatkan. Bersabarlah wahai encik suami, kaum wanita ini macam budak-budak dan akan begini sampai tua. Bertabahlah ye.
Share this novel