part 5

Action Completed 2278

(Bab 3)

"Tuan, macammana ni Tuan? Dato Ruslan dah bertindak sendiri. Dia dengan seorang lelaki yang siap pakai senapang masuk dalam hutan. Nak cari suspek!" Seorang konstabel yang termengah-mengah melaporkan kejadian semasa kepada inspektor Said.

"Kita masuk juga. Ini dah langgar undang-undang. Dia tak boleh buat sesuka hati tanpa keizinan dari pihak berkuasa. Jom masuk! Arah yang lain-lain bersedia di sini. Ingat semua! Tangkap suspek hidup-hidup!!" Arah Inspektor Said dan terus menyiapkan diri untuk masuk mencari Aryan.

(Di dalam hutan)

"Boss, kalau kita jumpa budak tu, boss nk buat apa? Tangkap dan bagi pada polis ke?" tanya konco Dato Ruslan sambil melihat keadaan sekeliling.

"Nak buat apa bagi pada Polis? Kita kasi habislah. Apa yang aku tahu budak tu yang cuba selamatkan Kamal. Aku tahu Kamal mesti ada ceritakan sesuatu pada dia. Aku taknak ambik risiko. Aku taknak masuk penjara!" jawab Dato Ruslan bimbang. Mereka mencari lagi.

(Di kawasan tengah hutan simpan)

          Aryan masih menyorok di sekitar situ. Dia tidak keluar dari tempat persembunyiannya. Kali ini dia tekad ingin berdiam diri selagi boleh. Dia sudah putus asa. Jika pihak polis menjumpainya, dia akan menyerah diri. Dia redha.

            Dia terdengar tapak kaki seseorang di belakang pokok ditempat dia bersembunyi. Dia cuba menahan nafas. Ditutup mulut dikhuatiri nafasnya dapat didengar oleh orang itu. Dia menutup mata kemas. Hanya doa sahaja dapat menenangkan hatinya serba sedikit.

"Kat sini kau bersembunyi! Mari sini kau!" seseorang menarik baju Aryan keluar dari lubang kecil pokok.

Aryan menarik semula bajunya dan berhadapan dengan seseorang yang tidak dikenali.

"Aku tahu kau tak boleh bercakap. Itu memudahkan kerja aku untuk hapuskan bukti terbesar dalam kes Kamal. Iaitu kau Aryan." Lelaki yang memakai sweater yang berhood labuh tidak menampakkan wajahnya.

         Aryan berdiri tanpa gentar. Dia mengeluarkan telefon pintarnya dan menekan sesuatu. Wajah lelaki tadi berubah sambil tangannya meraba poket seluar.

Akhirnya dia ketawa. Aryan berpuas hati kerana tekaannya tepat. Aryan sempat menghantar satu mesej kepada satu nombor. Lelaki tadi mengambil telefonnya dan membaca mesej yang di terima.

"Saya tahu abang Zahid memang terlibat dalam hal ni. Saya dapat sumber mengatakan Abang Zahid telah menerima arahan dari seseorang untuk melakukan pembunuhan. Dan kematian Datin Rosiah ada kaitan dengan abang."
     
               Lelaki tadi membaca mesej yang diterima perlahan. Aryan menegakkan badan tanda yakin.

"Nampaknya kau memang dah tahu kerja aku selama ni. Tahniah sebab dapat bongkarkannya. Tapi aku tak rasa kau mampu untuk bagitahu sesiapa mengenai hal ni sebab hayat kau tamat disini!" Zahid menyerbu kearah Aryan yang siap sedia untuk sebarang kemungkinan.

        Mereka bertempur secara berdepan. Zahid yang handal berlawan cuba mengatasi kemahiran silat dari Aryan. Aryan yang mempelajari silat semenjak sekolah menggunakan tangan dan kaki untuk bertahan. Dia hanya bertahan kerana dia mahu Zahid ditangkap hidup-hidup.

Tumbukan dari Zahid ditepis perlahan oleh Aryan dan Aryan menggunakan tenaga tumbukan dari Zahid untuk membalasnya. Tumbukannya mengena tepat di dada Zahid. Zahid hampir tumbang tetapi ditahan dengan kakinya.

         Aryan bergerak laju dan menendang kearah kiri Zahid. Zahid menahan dengan kedua tangan dan terus memegang kaki kanan Aryan. Aryan melompat dan menendang ke kiri Zahid tanpa amaran.

Zahid terpaksa melepaskan kaki Aryan untuk mengelak. Aryan masih lincah. Dia bergerak lagi kearah Zahid dan menumbuk padu tetapi Zahid seperti tahu gerakaan Aryan dan menepis. Tumbukan dari sebelah kiri Zahid mengena di pipi Aryan.

"Dia kidal ke? Tapi selama ni aku tengok dia menulis dengan tangan kanan." Aryan yang hampir rebah tidak menyangka serangan dari Zahid tadi.

"Pelik ke? Aku boleh guna kedua-dua belah tangan aku kalau bab berlawan. Untung kau kerana dapat melihat cara aku yang aneh ni." Zahid memuji diri sendiri. Aryan senyum sinis.

        Mereka menyambung perlawanan. Satu hentakan dari tangan Zahid membuatkan Aryan hilang arah untuk seketika. Aryan memperkukuhkan kedudukan. Zahid yang memegang kayu yang Agak tebal menyerang.

Aryan mengelak dan cuba memegang kayu yang dihayun. Apabila kayu kemas ditangan, Aryan menendang perut Zahid sekuat hati. Zahid masih berdiri. Sekali lagi Aryan menyiku kayu di tangan kiri lalu patah dua.

Satu hayunan dari kanan Zahid membuatkan Aryan terasa pedih di dada. Aryan berundur ke belakang. Dalam keadaan gelap dia menyentuh dadanya yang mengalirkan air hangat. Zahid ketawa.

Ditangan kanannya terlihat satu pisau panjang. Cahaya bulan membantu Aryan untuk melihat dengan lebih jelas. Pisau yang berada di dada Kamal berada di tangan Zahid.

"Dah lama aku bermain dengan kau. Baik tamatkan benda ni lebih awal. Lagipun esok aku masih ada kelas pagi." sindir Zahid.

        Hayunan demi hayunan dituju pada Aryan yang cuba mengelak. Kesakitan mula menjalar. Ditekannya dada yang masih merah sambil cuba menyelamatkan nyawanya. Akhirnya langkah terhenti di satu pokok besar.

        Zahid menghunus pisau kearah Aryan. Aryan menyambar tangan dan cuba mengilas tangan kanan Zahid ke belakang. Dan menghentak kaki di belakang Zahid sekuat hati. Zahid melutut ketanah. Aryan memulas untuk kali kedua.

         Prak! Jelas kedengaran tangan Zahid patah. Itu sahaja jalannya untuk menghentikan amukan Zahid. Zahid menjerit nyaring. Aryan menghentak tangannya kearah leher Zahid. Sekelip mata pandangan Zahid berpinar dan dia rebah. Zahid bergerak perlahan.

"Gilalah! Tak sangka aku sebilik dengan psiko! Mana pakcik ni? Kata nak datang bagi bantuan." rungut Aryan di dalam hati. Dia terduduk di tanah. Kesakitan semakin perit.
     
       Dengan tidak semena-mena, Aryan terasa sejuk di belakang kepala. Muncung senapang berada hanya beberapa inci dari kepalanya.

"Kau buat anak aku sampai macam ni! Biadap! Bunuh dia Zul!! Tembak dia!" arah Dato Ruslan yang muncul entah dari mana. Picu ditarik dan siap untuk memuntahkan peluru tabur.

"Tak semudah tu Ruslan! Pihak polis dah mengepung tempat ni. Kau dengan anak kau akan makan free di rumah baru." Inspektor Said menarik senapang milik Zul dan anak-anak buahnya menangkap mereka serentak.

"Aryan tak apa-apa ke? Hei! Panggil ambulan cepat!" tanya Inspektor Said cemas sambil memeriksa keadaan Aryan.

"Pakcik lambat! Aku macam nak mati kat sini! Memang pihak polis akan datang lambat bila semua dah settle ke?" itu yang ingin dikatakan oleh Aryan namun pandangannya gelap.

              ******************

"Aryan, pakcik dah siasat mengenai kemalangan yang mengakibatkan kawan-kawan Aryan tempoh hari. Dan pakcik berjaya mengesan sebuah lagi kereta yang melarikan diri semasa kejadian. Pemilik kereta tu bernama Mohd Zahid bin Ruslan. Anak kepada seorang Dato di Kuala Lumpur. Dia belajar di sebuah universiti yang terkemuka. Disebabkan Aryan belajar di situ, pakcik nak minta bantuan dari Aryan. Siasat Zahid dan adik tirinya Kamal. Mereka popular kat universiti tu. Dato Ruslan disyaki dalam penyeludupan senjata haram. Tapi pakcik tak dapat bukti kukuh untuk dakwa dia." minta Inspektor Said.

"Jadi maksud Pakcik, Zahid ni mungkin suspek yang mengakibatkan kemalangan yang menimpa kawan-kawan saya tu ke? Saya akan bantu sebab saya dah janji akan tegakkan keadilan untuk mereka. Mereka takkan mati sia-sia." Luah Aryan sambil menulis di nota kecil.

"Bagus Aryan! Kita bekerjasama dalam hal ni. Sama-sama kita banteras jenayah di negara kita. Aryan taknak jadi Polis?" tanya Inspektor Said bersungguh-sungguh.

"Mana ada polis bisu! Lagipun saya tak suka pakai baju seragam ni. Rimas! Nanti jadi bujang tua macam pakcik." Tulis Aryan di buku notanya. Aryan keluar dari bilik siasatan di Balai polis.

"Mesti mulut budak tu tak ada insurans kan Tuan." salah seorang konstabel bersuara.

"Jangan cakap yang bukan-bukan. Dia anak saudara saya. Anak pada arwah abang saya. Abang saya dulu seorang pegawai berpangkat tinggi dalam polis tapi meninggal dalam kemalangan jalan raya 10 tahun lepas. Tinggallah dia dengan kakak ipar saya sendirian." cerita Inspektor Said.

                ****************

(Di hospital; 3 hari kemudian)

"Maafkan saya kak. Saya bukannya berniat nak libatkan Aryan dalam masalah polis ni. Tapi Aryan sendiri datang pada saya suruh saya siasat pasal kemalangan yang terjadi pada kawan-kawan dia tu. Bila dia tahu siapa puncanya, dia suruh saya siasat dan tangkap pelakunya. Disebabkan saya tak ada bukti kukuh, Aryan rela jadi perisik dan umpan penjenayah tu. Saya tak sangka akan jadi seteruk ni. Maaf kak!" Rayu Inspektor Said di hadapan kakak iparnya iaitu ibu Aryan. Telinganya dipulas.

"Oh... .dah jadi teruk macam ni baru kau nak minta maaf. Sebelum buat kau tak nak fikir baik buruknya. Sekarang Aryan dah cedera teruk sampai berbalut semua. Nasib baik tak mati anak aku tu! Lain kali buat sesuatu fikir habis-habis. Jangan ikut nak famous je! Budak ni kan!" selepas beberapa minit, barulah telinga dilepaskan.

"Akak ni.. Saya dah besarlah. Dah tua dah pun. Akak selalu layan saya macam budak-budak. Malu saya kak." rungut Inspektor  Said.

"Selagi kau belum kahwin, selagi itulah kau tu masih budak. Jangan nak tunjuk eksen dengan aku ya. Sejak kau umur 13 tahun aku dah jaga kau. Jangan nak merungut!" balas ibu Arya keras.

"Yelah! Yelah! Akak, saya nak makan masakan akaklah. Nak rendang daging tok yang selalu akak masak tu. Boleh?" Minta Inspektor Said lemah lembut.

"Datang rumah nanti. Itupun selepas Aryan dah sembuh. Jangan harap boleh makan sekarang!" Arahan tegas dari mem besar. Inspektor  Said hanya tunduk konon merajuk.

             *******************

"Aryan, kau dah lama sangat kat sini. Pergilah balik. Nanti mak kau risaulah. Pergi balik." Halau Ikmal. Aryan diam.

"Kenapa ni? Sedih je. Kau kan dah berjaya cari punca kemalangan kami. Jadi senyumlah. Happylah sikit. Jangan monyok je." pujuk Hariss pula. Mereka sama-sama duduk di tepi sungai di alam mimpi.

"Senyumlah.... Senyumlah... Ahai cekmek molek! Senyumlah.. Senyumlah.. Ahai cekmek molek!" Den menyanyi dan berjoget untuk menghiburkan hati semua orang. Aryan akhirnya senyum.

"Nanti aku akan rindukan korang. Sekarang semuanya dah selesai. Aku tahu korang takkan muncul lagi dalam mimpi aku!" Ujar Aryan sayu.

"Ala kau ni! Nanti kita jumpalah. Kan ada lagi satu dunia akhir buat kita umat islam. Tegakkan syiar islam. Kukuhkan iman. Ingat Allah selalu. In shaa Allah kita akan berjumpa lagi di akhirat." Hariss menggosok belakang Aryan lembut.

"In shaa Allah... Korang jaga diri tau. Aku akan ingat korang dalam hati aku. Kalau aku rindu korang, korang datanglah dalam mimpi aku lagi tau." Aryan mula menitiskan air mata disaat kawan-kawannya bangun.

"Kun faya kun! Kalau Allah berkehendakkan, maka jadilah. Doa pada-Nya, in shaa Allah doa kau akan dimakbulkan. Kami pergi dulu. Assalamu'alaikum sahabatku." Ikmal dan yang lain-lain melambai dengan senyuman manis di wajah.

                ******************

            Aryan tersedar apabila ibunya mengejutkannya bangun. Air mata yang mengalir dipipi Aryan dilap oleh ibunya.

"Alhamdulillah Aryan dah sedar. Syukur ke hadrat Ilahi." Ibu Aryan memeluk anak tunggalnya erat. Inspektor Said juga berada di situ.

           Aryan menyentuh dada yang berbalut dan cuba bersuara. Sunyi sepi. Nampaknya suaranya muncul hanya dalam mimpi. Aryan hanya melihat ke tingkap bilik. Dia merenung dan senyum sendiri.

           Dato Ruslan didakwa atas kesalahan menyeludup senjata haram dan bersubahat dalam pembunuhan Datin Rosiah. Zahid didakwa atas kesalahan membunuh dengan niat dan cubaan membunuh. Mereka ditahan di lokap sehingga tarikh perbicaraan ditetapkan. Manakala Kamal telah selamat dari kecederaan parah dan ditempatkan di hospital yang sama dengan Aryan. Segala harta peninggalan ibunya secara automatik jatuh ke tangannya.

(Tamat )

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience