BAB 10

Romance Completed 9688

Pagi 1 Syawal

Wan menabur perlahan bunga-bunga di pusara. Kemudian dia menyiram air ke pusara itu. Dia berteleku seketika. Kata-kata Abah kembali terngiang-ngiang di telinganya.

“Wan, ingat, dalam hidup kita, akan ada orang yang kita sayang. Macam mana kita nak hadapinya?”

Wan tunduk. Air matanya menitis.

“Kita kena ingat, bukan kita je yang sayang dia. Allah pun sayangkan dia jugak. Malah Allah sayang dia lebih dari kita sayang dia. Tiba masa Allah nak ambil dia, kita kena redha. Sayang Allah tak?”

“Sayang,”

“Kalau sayang, kita kena redha dengan apa yang Allah rencanakan untuk kita. Dia mungkin nak uji kita. Kalau kita sabar, Allah akan bagi ganjarannya. Nak tak?”

“Nak,”

Wan angkat muka. Dia senyum nipis.

“Insya Allah, Wan akan redha,” dia menyapu air matanya. Kemudian dia berkemas untuk pulang.

“Assalamualaikum,” Wan member salam sebaik sahaja sampai di hadapan rumahnya.

“Waalaikumsalam,” sahut mak Aida dari dalam rumah. Dia muncul bersama seorang bayi di pangkuannya. Wan senyum. Dia menghampiri bayi itu.

“Wan Muhammad Al-Fateh….,” panggil Wan mesra. Dicuit perlahan pipi bayi itu. “Papa sayang Fateh sangat-sangat,”

“Hai, Fateh je? Mamanya?” kedengaran suara Aida dari dalam bilik. Senyum Wan bertambah lebar. Aida muncul dari biliknya, menghampiri Wan dan emaknya yang sedang mendukung anaknya.

“Dah bersihkan kubur arwah Mama dan Abah?” tanya Aida sebelum dia tunduk menyalam suaminya. Wan spontan mencium ubun-ubun isteri kesayangannya.

“Sudah, sayang….,”

“Pergi kubur bukan nak ajak…,”

“Abang dari masjid, terus ke kubur. Takkan nak ajak Aida. Aida kan masih berpantang,”

Aida tersipu. “Tau, Aida duga abang je,”

Mak Aida terus duduk di ruang tamu bersama cucu barunya, Wan Muhammad Al Fateh.

“Aida, abang ada kejutan untuk Aida,”

Dahi Aida berkerut. Kejutan?

“Aida tutup mata,” Aida hanya menurut. Seketika kemudian, dia merasakan sesuatu melingkar di pergelangan tangannya. Apabila dia membuka mata…

“Abang! Ni gelang kahwin kita, kan?” Wan mengangguk perlahan. Lantas dia menyapu air mata yang mula mengalir di pipi Aida.

“Abang tebus balik gelang ni,”

“Tapi, mana abang dapat duit ni?”

“Insurans kemalangan abang haritu,”

Aida tunduk. Banyak perkara yang bermain di fikirannya.

“Gelang ni tak seberapa jika dibandingkan dengan pengorbanan Aida selama ni. Terima kasih sayang,” dahi Aida dikucup perlahan. Lantas tubuh isteri tersayang diraih dalam pelukannya.

“Wekkkkkk…..!!!!”

Tangisan si kecil mematikan adegan romantis mereka. Lantas pandangan beralih ke arah bayi yang berada di pangkuan mak Aida.

“Kecik-kecik dah pandai merajuk,” gurau mak Aida. Mereka berdua tergelak mendengar kaa-kata itu

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience