Saya nak kongsi sedikit tentang kisah pengalaman yang terjadi pada diri saya sendiri, terpulang kepada semua untuk percaya atau tidak. Ini sekadar pengalaman saya.
Kisah ini berlaku sekitar 3 atau 4 tahun yang lalu. Ketika itu saya mengalami demam panas. Selepas pulang daripada klinik dan makan ubat, saya masuk bilik dan terus tidur di atas "kerusi malas" yang mempunyai fungsi untuk dibaringkan seperti katil.
Tidak berapa lama kemudian, saya tersedar dan cuba hendak bangun tetapi tubuh badan saya terasa berat sangat dan tidak boleh bergerak secara tiba-tiba. Saya rasa pelik sangat dan hanya boleh gerakkan mata sahaja. Posisi tubuh badan saya ketika itu di tepi dinding dan di hujung kaki saya ialah pintu masuk bilik, jadi saya boleh melihat ke luar ruang tamu dan boleh nampak sedikit bahagian dapur.
Saya cuba gerakkan mata saya dan melihat di sekeliling bilik. Tiba-tiba saya terlihat di luar ruang tamu seolah-olah ada susuk tubuh berwarna hitam. Saya ingatkan abang saya jadi saya cuba memanggil namanya tetapi saya tidak boleh nak bercakap langsung, seperti lidah saya menjadi kelu dan seluruh tubuh badan saya menjadi keras sehinggakan tak boleh nak bergerak langsung, hanya mata sahaja yang dapat bergerak.
Saya lihat di luar ruang tamu, susuk tubuh yang saya ceritakan tadi sedang lalu-lalang beberapa kali dan ternampak seperti ada dua atau tiga lembaga hitam yang turut melakukan benda yang sama. Saya pejamkan mata dan buka semula, masih ternampak benda yang sama di luar. Saya menjadi takut sangat!
Saya pejamkan mata dan kali ini saya membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an di dalam hati. Tidak lama kemudian, saya membuka mata dan Alhamdulillah sudah dapat bergerak tapi tetap nampak benda yang sama sedang lalu-lalang di ruang tamu. Kerana terlalu takut, saya terus pejamkan mata dan terlelap sampai keesokan paginya.
Kisah Tengah Malam menceritakan tentang kejadian-kejadian aneh,kisah misteri,seram dan ganjil. Jangan mudah percaya atau terikut-ikut dengan apa jua kisah yang diceritakan anggaplah hanya sekadar hiburan seperti anda membaca atau menonton cerita-cerita seram. Nantikan cerita-cerita yang lainnya.
Share this novel