TANGAN yang menggoncang lengan Dahliya membuatkan lamunan gadis itu melayang pergi. Bibir itu tersenyum manis sebelum didaratkan ke atas dahi yang berselaput dengan pasir pantai. Doa yang dipinta tidak henti selama dua tahun akhirnya sudah terjawab, dia kini adalah penjaga yang sah kepada Dahlia Dania.
"Anak ibu ni buat istana pasir ke main tanam badan kat pasir ni? Comot betul." Dahliya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil membersihkan dahi anak perempuan itu.
Dahlia tersengih-sengih dan tertawa kecil. Tapak tangannya dibawa ke mulut. Pantas si ibu menghalangnya, tapak tangan yang juga penuh dengan pasir itu dibersihkan.
Apabila Luqman datang menghampiri mereka berdua, pantas kedua-dua tangannya diletakkan ke pinggang.
"Aku suruh kau tengok-tengokkan anak aku ni buat istana pasir, bukan ajar dia main tanam-tanam orang." Matanya menjeling Luqman. Tubuh Luqman ditolaknya sedikit apabila lelaki itu melabuhkan punggung disebelah.
Dahliya menyuapkan sandwic kedalam mulut Luqman apabila lelaki itu mengangakan mulut. Wajah itu juga dibersihkan kerana turut sama berpasir.
"Bagus apa aku ajar dia main tanam-tanam badan kat pasir, boleh meningkatkan kemahiran motor untuk budak kecil macam Didi ni tau." Luqman membalas. Tangannya mencuit kedua-dua belah pipi Dahlia.
"Kemahiran motorlah sangat. Lesen pun tak ada." Bidas gadis itu dengan penuh keyakinan.
Luqman menampar dahinya sendiri. Penat dengan pemikiran kawan karibnya.
"Aku tahu, hidup ni kena ada keyakinan... tapi bukan bermaksud kau boleh terlebih yakin!" Ujarnya. "Maksud aku, bila dia main pasir ni bolehlah dia rasa pasir ni macammana. Lembut ke, kasar ke, boleh makan ke, semua ni boleh meningkatkan tahap sensori Didi. Lagi satu, nanti bila Didi ni dah besar... tak adalah dia baru nak belajar apa itu pasir? Kang nanti, orang tanya pasir tu apa Didi pun tak tahu nak jawab kan, Didi?"
Dahlia menganggukkan kepala kepada ibunya walaupun tidak mengerti. Dahliya menjongketkan bibirnya sebagai respon.
"Didi ni anak siapa? Anak ibu ke anak papa Luq?" Soal Dahliya dengan nada tidak berpuas hati.
"Anak papa Luq! Jawab macam tu Didi."
Pantas Dahliya memukul lengan Luqman apabila lelaki itu membisikkan perkara tersebut ke telinga Dahlia.
"Bukan, Didi anak ibu lah!" Jawab Dahlia seraya bangun dan mendakap tubuh Dahliya. Pipi ibunya dikucup-kucup.
Dahliya menjelir lidahnya kepada Luqman apabila lelaki itu ternganga dimarahi Dahlia.
"Wah, punyalah selama ni papa Luq bagi mainan kat Didi... takkan sikit pun tak sayang papa Luq? Sampai hati Didi." Luqman memalingkan diri daripada mereka berdua dan berpeluk tubuh. Merajuk.
"Ayuk... papa Luq dah merajuk. Pujuk papa Luq cepat." Arah Dahliya sambil menepuk manja punggung anaknya.
Pantas Dahlia berdiri dibelakang tubuh Luqman. Kedua-dua tangannya digunakan untuk menutup mata bapa angkatnya.
kom sema-ri-ga
han chi-be-yi-so
appa gom
omma gom
ae-gi gom
appa gommun tung-tung-hae
omma gommun nal-shin-hae
ae-gi gommun na bul-gwi-yo-wo
hishuk hishuk cha-rhan-da
Luqman terus ketawa apabila Dahlia menyanyikan lagu kanak-kanak korea itu kepadanya. Dia tahu, Dahlia sukakan sangat lagu tersebut kerana hasil ajaran daripadanya. Apabila anak kecil itu mengulanginya sekali lagi, dia ikut sama menyanyi sebelum bertindak untuk menggeletek tubuh anak kecil itu.
"KENAPA kau tergamak buat aku macam ni? Kau sedar tak budak tu, anak aku?! Pewaris kepada Venus Empayar!" Telefon pintar itu dibaling ke dinding oleh Qaiser Iskandar. Naik turun dada lelaki berkumis nipis dan berkulit putih itu selepas melihat gambar anak perempuannya sedang bersama seorang wanita yang telah dikongsikan oleh bekas teman wanitanya.
"Kau tunggu apa lagi? Keluar!" Tengkingnya yang memekik telinga si pembantu peribadi.
"Baik, encik." Balas gadis itu dalam ketakutan.
Wajahnya diramas kasar. Permukaan meja itu ditamparnya berulang kali. Dia terlalu takut sekarang ini. Kedudukannya sebagai Ketua Esekutif mula terancam apabila sepupunya, Adha Fadhlan bakal berkahwin.
Syarat untuk kekal menjadi ketua esekutif hanya satu, perlu memiliki saham paling tinggi didalam syarikat Venus Empayar. Akan tetapi ada cara untuk memiliki saham tersebut, iaitu dengan melahirkan pewaris. Berkenaan pewaris itu Qaiser sudah ada, soalnya dimana pewarisnya itu berada? Perkara itu sangat menekan perasaannya.
Walaupun sepupunya masih tidak menunjukkan minat untuk mengambil jawatan tersebut, namun itu tidak bermaksud lelaki keturunan Qaiser itu mahu mempercayai seratus peratus. Dia yakin, sepupunya itu masih belum terbuka akan mindanya untuk memiliki jawatan itu, sekali sudah terbuka pasti darah persaudaraan itu dilupai mereka.
"Qaiser dan Adha, pertarungan dua nama dari dulu sampailah sekarang." Kata lelaki berkot kelabu gelap ketika memandang bingkai kaca yang tertampal pada dinding pejabat.
Matanya dikecilkan apabila terhenti pada wajah dua orang lelaki yang setiap satunya memiliki iras akan wajahnya dan Adha Fadhlan. Dato' Qaiser Aslan dan Dato' Adha Farhan. Masing-masing sedang mengendong seorang bayi lelaki.
Qaiser memejamkan matanya untuk seketika waktu. Giginya mengetap kuat. Geram kerana hasil usaha pencarian anak perempuannya selama dua tahun itu masih belum terbalas. Ditambah pula dengan berita perkahwinan Adha, membuatkan dia lagi tidak senang duduk.
"Aku takkan bagi kau menang, Adha. Keluarga Adha boleh keluar daripada rumah tu sama macam apa yang keluarga kau pernah buat pada aku dulu."
Pada Qaiser, tiada cinta perlu wujud dalam perkahwinan. Perkahwinan adalah bisnes yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak. Disebabkan itu banyak gadis yang dia tiduri, hanya untuk memastikan bahawa dirinya mempunyai pewaris. Sesudah itu baru dia akan mengahwini gadis tersebut. Tapi hanya untuk sementara. Perkahwinan itu hanya kekal sepanjang tempoh kehamilan sahaja.
Namun apabila ada seorang gadis yang berjaya menghamili anaknya, gadis itu pula bertindak untuk membuang bayi itu sesudah dilahirkan.
"Kenapa you buang dia?!" Soal Qaiser dalam kemarahan.
"Kalau you nak dia, fine. I boleh ambil semula baby kita. Tapi you kena kahwin dengan i. Jujur dengan mak ayah i yang you adalah bapa kepada baby ni." Balas gadis berambut perang itu.
"You dah nak bersalin baru you bagitahu i yang you mengandung. Dah terlambat, Adell. Syarat i, once you get pregnant you need to tell me. Sebab lepas you bersalin, you akan diceraikan dan barulah layak untuk terima bayaran daripada i."
Perbualan dua tahun lalu dengan wanita bernama Adell membuatkan dia kembali berangin. Semua barang-barang di atas mejanya dilempar ke tepi.
Gadis bernama Suzan itu membeliakkan matanya apabila mendengar bunyi barang-barang dilempar dari dalam.
"Apa lagi boss aku ni? Emo tak tentu pasal." Rungutnya sambil mengerutkan wajah. Bimbang jika dia bakal terkena tempiasnya.
"Suzan!"
Terhenjut bahu Suzan apabila mendengar namanya diteriak dari dalam. Dia memejamkan mata sebelum bangun dari tempatnya. Tiba-tiba hidungnya mencium bau yang sangat maskulin.
"Tak apa, awak duduk sini. Biar saya masuk tengok encik Qaiser. Risau pulak saya kalau muka comel awak ni calar-balar bila keluar bilik nanti."
Lemah lutut Suzan apabila lelaki bernama Adha itu mengelus pipinya. Sudahlah tinggi dan kacak, ditambah pula dengan sikap periangnya yang mampu menculik hati setiap gadis yang bertembung mata dengannya.
"What's you name lady?" Soal Adha sebelum mengenyitkan mata kepada Suzan.
"Su... Suzan." Balasnya sambil meletakkan rambutnya ke belakang telinga.
Baru tangan Adha bergerak mahu berjabat tangan dengan Suzan, sepupunya itu sudah memekik nama pembantu peribadinya lagi.
"I masuk dulu ya... sayang." Ujar Adha sebelum mengenyitkan matanya sekali lagi.
Sempat lelaki itu membuat gaya fly kiss kepada Suzan. Merah padam wajah Suzan menahan malu.
"Wow, chill bro. What's wrong?" Soal Adha sebaik sahaja memasuki pejabat utama syarikat itu.
Qaiser terus melabuhkan punggung apabila melihat sepupunya itu menunduk mengambil kertas-kertas dan dokumen di lantai.
"This is money, Qaiser." Ujar Adha ketika mencampak kesemua dokumen itu di atas meja Qaiser. Selepas itu dia terus mengambil tempat duduk di sofa berangka dua ofis itu.
Qaiser bangun dan datang menduduki sofa berangka satu itu. Butang kotnya dibuka. Sempat mulutnya mengeluh sebelum dia menyandarkan kepalanya pada sofa.
"Ni mesti pasal budak tu,kan? Move on je lah, Qai. Kau cari je perempuan lain untuk lahirkan anak kau."
Qaiser membuka matanya sebelum menidakkan cadangan Adha. Bibirnya dikemut sebelum dia memandang wajah Adha.
"Kau jangan risau, aku takkan nak ambillah jawatan kau ni." Tambah Adha lagi.
"Soal jawatan tu satu, soal pemegang saham pun satu. Kau sendiri tahu kan, atuk akan bagi semua saham dia kepada cucu pertama yang berjaya untuk dapatkan anak? Apa gunanya pegang jawatan CEO tapi bukan pemegang saham terbesar?" Soal Qaiser dengan mempamerkan riak seriusnya.
"Dah lah kau dah nak kahwin, setahun dua lagi kau ada anak pulak." Tambahnya lagi sebelum menjeling wajah itu.
Adha ketawa besar sambil memandang Qaiser. Dia langsung tidak takut dengan wajah berang Qaiser.
"Haih, kau ni. Tak habis-habis soal tu. Yalah, aku tunggu kau kahwin dulu lepas tu baru aku buat anak. Settle."
Qaiser tersenyum sinis. "Aku kahwin? Tak ada dalam kamus hidup aku."
Adha membuat bunyi mulut berulang kali seraya menggelengkan kepala. "Sampai bila nak hidup dengan kamus hidup kau tu? Tak ada ketenangan. You should get married with someone you love."
"Cinta tak pernah wujud dalam perkahwinan. Apa bukti wujudnya cinta?" Qaiser menyoal Adha.
"Cinta memang sesuatu yang kita tak nampak." Balas lelaki itu.
"See?"
"Tapi boleh dirasai. Tanpa cinta, kita akan mati." Sambung Adha sambil membuat bahasa badannya yang mengundang sebal Qaiser.
"Poyo. Dah lah kau, keluarlah dari bilik aku. Lepas tu tolong panggilkan Suzan." Arah Qaiser sambil berjalan kembali ke tempatnya.
"Cop! Cop! Cop! Aku nak pesan kat kau, jangan nak naik-naik suara dekat Suzan aku, ya. Kesian dia tau, hampir nak terkencing budak tu bila kau terjerit-jerit macam orang histeria panggil nama dia." Ujar Adha. "Kalaulah dia duduk bawah aku, mesti aku akan belai-belai rambut dia setiap hari."
"Sebab tu dia bekerja dibawah Qaiser Iskandar. Bukan dibawah Adha Fadhlan." Jawab Qaiser. "Kalau dibawah Qaiser Iskandar, dia akan berubah jadi lebih berani dan tegas. Kalau dia dibawah Adha Fadhlan, dia cuma akan reti menggedik sahaja."
Adha mencebikkan bibirnya sambil mengangkat kedua-dua bahunya.
DAHLIYA menggigit bibir menunjukkan tanda keresahan. Sudah banyak laman web dilewatinya untuk mencari peluang pekerjaan. Sesekali rambut anaknya akan disisir ke tepi dan bibirnya akan singgah mencium ubun-ubun itu.
"Lagi dua minggu je lagi aku kerja kat klinik Luqman, tapi sampai sekarang aku masih lagi tak jumpa tempat kerja baru." Dahliya bersandar pada sofa rumahnya. Siling di atas direnungnya. Kalaulah bukan kerana ibu bapanya meninggalkan sejumlah wang yang banyak untuk kegunaannya, sudah pasti sehingga kini dia masih lagi duduk sebumbung dengan Mak Longnya di kampung.
Dia tidak berapa gemar duduk bersama wanita tua itu kerana terlalu banyak hartanya diguna pakai oleh Mak Long. Cukuplah dahulu dia terlalu naif tentangnya. Mujur ada Luqman yang sudi membawanya berhijrah ke bandar untuk memulakan kehidupan yang baru. Tapi sayang, kemewahannya hanya seketika. Selepas dia memilih untuk membeli rumah dengan menggunakan seluruh wang simpanan ibu bapanya itu, tiada satu sen pun yang tinggal.
"Aku ingat kau dah seronok sangat duduk kat bandar sana." Ujar Mak Long apabila melihat Dahliya yang sedang berdiri sambil mengendong seorang bayi di muka pintu.
"Seronok sangat sampai boleh keluar anak haram ni?" Wanita tua itu menyambung. Terkedu bibir Dahliya untuk berbicara. Wajah Dahlia ditenungnya.
"Mak Long, tak baik Mak Long cakap macam tu. Budak ni bukan anak haram pun, Liya cuma jaga dia untuk sementara waktu je." Jawab gadis itu. Matanya berkaca apabila mendengar perkataan hina itu keluar daripada bibir ibu saudaranya.
"Eh Liya, setahun tau kau tinggalkan aku terkontang-kanting duduk kat kampung ni seorang diri sedangkan kau berfoya-foya di bandar. Apa hasil yang aku dapat? Malu je yang aku dapat! Ingat duduk bandar menyenangkan aku, rupanya tahi dibaginya kat aku."
"Mak Long!"
Dahliya menepis air matanya yang mengalir. Mak Long tetap tidak mahu menerima kewujudan Dahlia meskipun selepas dia berjaya membuktikan bahawa dia adalah penjaga yang sah kepada anak kecil itu.
"Hah, eloklah tu anak dara belum kahwin bagi susu badan dekat baby. Nanti bila kau dah kahwin, hari ni nikah esok dah kena cerai tau!" Kata Mak Long ketika dia melintasi Dahliya yang sedang menyusukan Dahlia.
Air mata Dahliya mengalir sekali lagi. Dahlia yang sedang bungkam itu dibawa ke pelukannya.
"Didi, ibu tak pernah menyesal dengan keputusan ibu untuk jadi ibu kepada Didi. Didi anak ibu. Walaupun orang mengata macam-macam pada Didi, Didi kena ingat ya sayang... ibu adalah ibu Didi. Didi ada ibu kat dunia ni."
Pipi anak kecilnya dikucup lama sebelum dia menepuk manja tubuh itu.
"Selamat malam, sayang."
Share this novel