BAB 8

Family Completed 472

Hujung bulan April, Along balik ke rumah memandangkan hari Isnin cuti Hari Buruh. Lama juga dia berada di rumah. Penat bekerja barang kali. Along pun dah jarang balik ke rumah. Kalau berjumpa pun bila ayah mengajak kami pergi berjumpanya.

Selepas makan malam, aku mengambil angin di laman rumah. Bintang-bintang yang berkelipan di dada langit begitu cantik sekali.

“Ina,” tegur Along lalu mengambil duduk di sebelahku.

“Hrm. Dah sudah? Mak tengah buat apa?” soalku tanpa memandang wajah Along. Mataku masih lagi pada bintang-bintang di langit.

“Mak tengah tengok TV. Ina, aku ada benda nak cakap,” ujar Along.

Aku tak memberikan apa-apa reaksi.

“Tengoklah sini. Aku nak cakap sikit,” desak Along apabila aku tidak mengendahkannya.

“Apa?” soalku malas.

Along memandangku. “Aku rasa baik kau fikirkan balik tentang JPA tu kalau kau dapat,” ujar Along.

Aku mengeluh. “Kenapa? Kau dari hari tu cakap, fikirkan-fikirkan. Mestilah aku nak pergi kalau dapat!” tegasku.

Along menggelengkan kepalanya tanda tidak bersetuju denganku. “Ina, aku serba salah sebenarnya,” katanya. Aku tertanya-tanya. Serba salah?

“Ayah suruh aku slow talk dengan kau. Tak payahlah pergi kalau dapat. Kau tak kesian ke dengan dia? Dia tu kan rapat dengan kita adik beradik. Kau tak tengok ke wajah dia masa aku nak pindah Melaka? Wajah dia bila Achik dapat masuk sekolah teknik? Dia termenung tau. Tapi, tak apalah. Dekat. Lagipun selalu boleh datang jumpa kalau dia rindu. Ina, kalau kau pergi UK sana macam mana dengan dia tu? Antara kita tiga beradik, kau yang paling rapat dengan dia. Tak kan kau sanggup tinggalkan dia?” panjang penjelasan Along.

Aku mendiamkan diri. Memikirkan kebenaran kata-katanya.

“Ina, kalau kau rasa kau boleh belajar kat luar negara, boleh perform, apa kata kau belajar kat Malaysia. Buat elok-elok. Dapatkan first class. Tak semestinya kau belajar kat luar negara kau dah bagus. Kat Malaysia, universiti kita pun setanding dengan universiti luar,” ujarnya lagi.

Aku mengambil kata-katanya sebagai satu cabaran. First class, eh?

“Lagi satu. Kalau kau perasanlah. Ramai pak cik-pak cik yang umur sebaya dengan ayah duduk je rumah lepas pencen. Kau tahu tak, kalau diorang duduk rumah senang sakit. Sebab? Diorang tak ada life. Life ayah dengan anak-anak dia. Tu yang boleh kata setiap minggu dia ajak mak jalan nak jumpa anak-anak dia. Kalau kau pergi jauh-jauh, macam mana dia nak jumpa kau.” Along mendongak ke langit. “Kau fikirkanlah apa yang aku cakap ni. Kalau kau nak buat master kat oversea aku rasa ok lagi. Setahun je. Tapi kalau degree… Baik tak payahlah. Lama. Kesian kat orang tua tu.”

Kata-kata Along membuatkan aku berfikir panjang. Tapi, macam mana dengan cita-citaku?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience