BAB 12

Romance Completed 4485

Abang… Hawa harap perkahwinan ini adalah lembaran baru dalam hidup kita. Segala yang Hawa coretkan dalam diari ni, hanya untuk tatapan abang seorang saja. Segala nukilan ini adalah untuk bacaan abang saja. Dan ini adalah kali terakhir Hawa menulis untuk abang. Lepas ini takkan ada dah… sebab, Hawa dah ada abang di depan mata Hawa. Siapa pun abang sebelum ni... teruk macam mana pun sikap abang sebelum ni, Hawa takkan mengungkit sebab Hawa nak kita sama-sama cari keredhaan Allah dalam hubungan suci ini.

Hawa nak kita sama-sama dekatkan diri dengan DIA supaya diberkati hubungan yang halal ini. Dan sebagai penutup kalam… diari untuk suamiku, Hawa bimbang tak sempat nak luahkan secara bersemuka dengan abang perkara ini… apa yang Hawa rasakan pada saat ini. Setelah hampir dua jam menjadi Puan Shahawadah, Hawa rasa… perasaan yang sangat indah. Buat suamiku, Muhammad Rizman Huzaimi… Shahawadah Bazli sangat mencintai abang. Dari detik ini dan insyaAllah, akan kekal hingga ke sana.

Selamat pengantin baru abang sayang… Ingat ya, Hawa sangat sayangkan abang =) Salam dan sayang untuk abang, Isteri abang, Shahawadah.

Abang ingat sayang. Abang akan sentiasa ingat yang sayang sangat sayangkan abang. Ucapan itu disahut hatiku. Hatiku sudah mula dibanjiri rasa pilu. Mataku berkalih semula ke sebelah katilku yang kosong. Dan tidak pernah berpenghuni pun selama ini. Bagaimana hendak diungkapkan apa yang bersarang dalam hati, di kala bahagia melingkari diri, segala sudah ditarik kembali.

Allah Maha Kuasa. Dia lebih sayangkan Hawa. Dan catatan terakhir Hawa adalah benar-benar hari terakhirnya bernafas di muka bumi ini. Dalam sekelip mata saja Hawa sudah tiada. Hawa meninggal dunia usai menunaikan solat zohor di rumahnya sebelum berangkat ke majlis persandingan kami. Dia pergi meninggalkan aku mengharungi hari-hari mendatang membawa gelaran pengantin baru itu dengan seorang diri. Saban malam aku menangis. Saban malam aku merintih.

Yang aku ada untuk dikenang, hanyalah diari Hawa yang membuatkan aku seolah berbicara dengannya. Hanya ini saja yang membantu aku mengenali diri isteri aku. Walaupun dia tidak pernah berbicara dengan aku walau sepatah pun semasa nyawanya masih ada, tapi segala coretannya sama seperti dia sedang berbicara denganku. Luahan hatinya yang membolehkan aku tersenyum juga walaupun hati bersalut duka ketika terkenangkan dia.

Setiap catatan Hawa pasti ada menyebut, Hawa akan doakan abang. Tak lupa sekalipun. Sekarang ini tanggungjawab aku pula… abang akan doakan Hawa. Semoga dicucuri rahmatNYA. InsyaAllah, nantikan abang di SANA sayang… abang sangat mencintai sayang. Muhammad Rizman sangat mencintai Shahawadah. Biarpun kita tak dapat berdamping di dunia untuk tempoh yang lama… insyaAllah, semoga sayang akan menjadi pendamping abang di SANA kelak.

Tanpa aku pinta, air mataku sudah mula menitis. Perlahan aku menutup semula ‘diari untuk suamiku’ yang selamat berada dalam simpanan aku sudah tiga tahun lamanya. Aku letakkan ia di sisi katil yang juga memuatkan gambar pernikahan aku dan Hawa.

Senyuman manis itu tak akan sirna dari ingatan sampai bila-bila. Itulah senyuman yang paling manis Hawa hadiahkan buat diriku. Buat dia yang bergelar suami Hawa. Dan benarlah kata Hawa… senyuman yang terukir di wajah itu sememangnya sangat indah dan tiada tolok bandingannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience