KISAH SERAM DI PLKN

Horror & Thriller Completed 1482

Pada satu malam, masa aku dalam kem PLKN aku terasa nak pergi tandas. Sebelum itu, kami semua sudah dinasihatkan oleh jurulatih kami jika hendak pergi ke tandas malam-malam, jangan pergi seorang diri kena ajak kawan teman. Sebab apa, tidak pula kami diberitahu.

Nak jadikan cerita, malam itu lebih kurang dalam pukul 3 pagi aku nak pergi tandas. Aku dah tak tahan nak buang air sebab malam tadi aku minum air 100 Plus banyak gila dalam 3 ke 4 tin seingat aku.

Disebabkan aku tidak mahu mengejutkan kawan aku yang tengah nyenyak tidur dan aku juga tidak mahu dipanggil penakut (aku lelaki, jadi malulah kalau nak pergi tandas pun kena ada orang yang temankan). Jadi, aku ambil keputusan nak pergi ke tandas seorang diri.

Oh lupa pula nak beritahu, tandas asrama lelaki ni betul-betul terletak kat depan pintu keluar. Hanya perlu berjalan dalam 7 hingga 8 langkah dah sampai ke tandas. Aku dah tak tahan aku pun pergilah melepaskan hajat.

Masa aku dalam salah satu cubicle tandas, aku terdengar ada bunyi tapak kaki dan bunyi pintu tandas dibuka. Dalam hati aku pun cakap la, “Nasib baik ada jugak teman, tak adalah aku rasa takut sangat”.

Bila dah setel aku melepaskan hajat, aku pun keluarlah menuju ke sinki untuk basuh tangan. Sementara tengah basuh tangan tu, aku pun tunggulah orang yang masuk tandas tadi tu keluar.

Tapi orang tu tidak juga keluar-keluar, bunyi air pun takda. Jadi aku buat tidak tahu sajalah. Aku basuh tangan cepat-cepat sebab nak masuk ke bilik sambung tidur semula.

Masa aku tengah basuh tangan tu, aku dengar ada bunyi seperti orang hembus nafas kuat sangat.

Pastu aku terpandang dekat cermin di penjuru tandas ada susuk tubuh tinggi hitam, dengan rambut panjang menutupi muka tengah bersandar pada dinding tandas.

Aku tengok dekat cermin je nampak lembaga itu tapi bila aku pusing ke belakang tak nampak pula.

Aku cuba kuatkan semangat aku, dan dengan perlahan-lahan aku berjalan keluar dari tandas. Ketika aku nak melangkah keluar dari tandas, aku dengar bunyi perempuan menangis.

Perlahan saja bunyi, sayup-sayup je kedengaran di telinga aku. Keluar saja dari tandas, aku pun terus berlari ke masuk dorm. Malam itu aku langsung tak boleh tidur.

Aku cuma mampu berharap agar masa cepat berlalu ke angka pukul 5 pagi sebab kami dekat PLKN kena bangun tidur seawal pukul 5 pagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience