BAB 4 - MISTERINYA CINTA

Romance Completed 97430

“Awak… Awak kat mana?” Merengek halus nada Sayang Seroja mengelayau deretan rumah semi-D dua tingkat saban petang. “Tolonglah muncul wahai cinta. Saya amat-amat perlukan awak sekarang ni untuk halang pertunangan saya. Tolonglah…” Meleleh juga titisan jernih ke pipi.

"Saya tak kiralah awak muncul tiba-tiba ke, keluar celah tingkap ke, menjelma terbang dari bumbung ke atau pun terjun dari langit sekali pun, tolonglah keluar… saya merayu ni, tolong tonjolkan diri awak untuk saya. Saya perlukan awak…” Laung Sayang Seroja mendongak ke langit membiru mengimbas semula babak saat mengetahui dia sebenarnya telah ditunangkan.

“Seroja… Seroja duduk dulu…” Pujuk Puan Sayang Melur telah menarik lembut tubuh anak perempuannya yang pastinya terkejut dengan kenyataan yang telah termaktub agar lebih tenang duduk di sebelahnya.

“Ni Seroja ya… Seroja boleh panggil saya, uncle Hanif.” Kenalkan diri. Inilah kali pertama menjamu mata susuk tubuh yang bakal menjadi ahli keluarganya. Wajah cantik secantik nama amat secocok dijodohkan dengan anak saudaranya.

“Maaf… saya tak pernah bertunang dengan sesiapa dan saya tak akan terima hubungan ni.” Mulut telah memuktamadkan langsung meninggalkan semua mata yang memerhati hilang di balik bilik.

Beg sandang dibaling ke lantai melepaskan geram juga menarik ikatan rambut agar terlerai biar bebas bersama masalah baru yang semakkan kepala. “Seroja tak nak…ibu. Seroja tak nak jadi tunang sesiapa. Seroja muda lagi. Seroja tak nak kahwin!” Marah Sayang Seroja sebaik kelibat ibu tiba di muka pintu.

Puan Sayang Melur langsung memeluk erat tubuh yang meradang juga menangis serentak telah terduduk di bibir katil. “Shhhh… Iya… Iya… Ibu tahu Seroja terkejut. Ibu minta maaf.”

Dengar saja suara lembut ibu, “ibu… tak betulkan semua ni? Seroja tak bertunang dengan sesiapakan? Tak mungkin ibu tunangkan Seroja tanpa pengetahuan Seroja?” Terhambur juga kekecewaan dalam hati dengan suara halusnya.

“Ibu minta maaf Seroja… Ibu…” Kepala menggeleng tidak dapat lepaskan ayat dicelah kerongkong. Dia juga sedih kenangkan nasib anaknya.

“Sampai hati ibu… kenapa ibu tunangkan Seroja? Kenapa ibu buat Seroja macam ni? Kenapa ibu?” Makin mendayu-dayu nadanya menangis.

“Seroja… dengar, ibu tak tunangkan Seroja. Ibu pun nak leraikan hubungan ni buat selama-lamanya. Sebab tu ibu sanggup jual rumah yang penuh dengan kenangan arwah ayah Seroja, bawa Seroja pindah ke sini walaupun waktu tu duit jualan rumah tak seberapa banyak, kita sekeluarga tetap mulakan hidup baru di sini. Ibu nak bawa Seroja lari dari keluarga papa Latif. Tapi ibu tak sangka pula dah bertahun lama berlalu mereka tetap cari kita hingga ke sini.” Kesal sungguh hatinya tak dapat lindungi anaknya.

Mungkin sudah tiba masanya dia buka kisah Sayang Seroja. “Dulu, sewaktu ibu sebaya Seroja, ibu duduk di rumah papa Latif. Atuk Seroja kerja sebagai pemandu kepada Tan Sri Latif dan Nenek Seroja pula bekerja sebagai pembantu rumah sejak ibu kecil lagi. Walaupun keluarga kita tak setaraf keluarga Tan Sri Latif, tapi papa Latif tak pernah memperkecilkan maruah keluarga kita. Malah keluarga kita dah dianggap seperti keluarga sedarah, cara layanan dia.”

Sayang Seroja masih kecewa tak memberi perhatian, tapi masih mendengar cerita ibu bagaikan angin lalu. Dia juga sedang mencuba membendung kemarahan takut buka mulut lebih lagi akan menengking ibunya hingga lupa diri.

“Ketika papa Latif gembira nak timang cucu lelaki dan beria-ria setiap hari jaga kesihatan rupanya, papa Latif disahkan mengidap kanser hati. Atuk Seroja tanpa berfikir dua kali bersetuju dermakan hati kepada papa Latif. Alhamdulillah, selepas pembedahan papa Latif dan atuk Seroja, mereka kembali sihat dan papa Latif dapat hidup dengan cucu lelaki dia hingga kini.”

Puan Sayang Melur mengelus lembut di belakang tubuh anaknya lebih kerap agar Sayang Seroja lebih kuat berhadapan kisah benar untuk pertama kali didengari pastinya merobek hati anaknya.

“Bila ibu kahwin dengan ayah, bertahun juga ibu tunggu nak dapatkan Seroja. Waktu itulah, papa Latif berjanji, jika ibu mengandung dan lahirkan anak perempuan, papa Latif akan tunangkan dengan cucu lelaki dia. Selepas beberapa bulan kemudian, ibu disahkan mengandung dan lahirkan Seroja. Sejak itulah Seroja dah jadi tunang kepada Dee, cucu Tan Sri Latif.”

Alhamdulillah Sayang Seroja tidak memberontak, sebaliknya cukup tenang terima bait ayat tadi. Puan Sayang Melur menggenggam tangan anaknya seketika sebelum meletakkan kotak cincin yang telah dibawa masuk bersama tadi kepada pemilik.

“Jadi sebelum ibu dan ayah bawa atuk dan nenek Seroja pindah dari rumah papa Latif, cincin ni telah diserahkan sendiri oleh papa Latif kepada atuk Seroja. Ini cincin pertunangan Seroja yang ibu simpan selama ni.”

Puan Sayang Melur bukakan kotak cincin, pamerkan buat kali pertama di hadapan Sayang Seroja.

“Setiap kali ibu teringat hal pertunangan tu, bila ibu pandang Seroja, ibu rasa bersalah sangat pada Seroja dan ibu sentiasa berdoa agar keluarga papa Latif lupakan kewujudan kita dan kuburkan saja hal pertunangan itu. Rupanya… “ tak terluah kekesalan lagi.

Kotak cincin ditutup semula serta digenggam Puan Sayang Melur. “Seroja jangan risau. Ibu dah cakap, Seroja masih bersekolah dan ibu pun tak berniat nak teruskan pertunangan ni. Uncle Hanif pasti sampaikan apa yang ibu cakapkan tadi papa Latif dan ibu juga akan cari jalan lain agar Seroja bebas dari pertunangan ni. Sekarang Seroja hanya tumpukan perhatian pada pelajaran dan peperiksaan SPM tinggal beberapa bulan aje lagi ni, okey. Jangan kerana perkara ni, hilangkan fokus Seroja nak belajar, ya sayang.” Pujuk Puan Sayang Melur mengusap rambut Sayang Seroja yang terurai sebelum menarik dalam pelukannya.

Bercangkung Sayang Seroja di tengah jalan apabila teringat kata-kata ibu minggu lepas. Bukan setakat kecewa hal pertunangan tu, kini dia lebih kecewa masih tidak ketemu gerangan yang telah berbulan-bulan dia cari. Tapi macam mana dia nak teruskan carian? Dah kalau gerangan yang berjaya buat dadanya kena renjatan karan cinta tak tahu bagaimana bentuk susuk rupa pun. Dia tak pernah lihat wajah jauh sekali kenal melainkan suara merdu saja yang pernah didengarinya. Kalaulah suara itu gemakan alunan ayat-ayat suci Al-Quran sekarang ni, dia pasti dapat mengecam gerangan itu.

“Cepatlah mengaji wahai cinta… saya pasti mengejar ke arah suara awak agar saya dapat jumpa awak, lihat wajah awak dan mengaku saya dah jatuh cinta pada awak.” Seru Seroja agar angin bawa kata-katanya terus ke hati si cinta misteri. Kini suasana di sekelilingnya masih sunyi seperti tiada manusia di situ.

Murung Sayang Seroja membawa langkah ke kawasan playground di hadapan jalan itu. Buaian menjadi tempatnya terus termangu jauh. Sambil mulut bersenandung, irama yang sering didengarinya sejak kebelakangan ini…

“Takkan bisa…. Sekali-kali kasihku berubah… bila bertindanan halangan tiba… kesetiaanku tetap serupa… kasih tak kan berubah.” Beria Sayang Seroja tarik suara sama pitch dengan penyanyi asal lagu ‘Ke Hujung Dunia’.

“Wow… buat konsert sendirian ke?”

Suara tiba-tiba menjengah dari belakang dipandang. “Awak? Awak stalk saya kan?” Siap jari telunjuk menuding ke arah gerangan berdiri tegak berhampirannya.

“Assalamualaikum…” cukup lembut mengucap salam sebelum labuhkan punggung di buaian sebelah.

“Walaikumsalam…” Nada Seroja masih meninggi. “Cepat cakap, pakcik stalker saya kan? Ke mana saja saya pergi, pakcik muncul? Mesti punya.”

Terangkat kening Daniel Hakim kena tuduh. “Kenapa pula saya nak stalk Seroja? Apa yang Seroja ada, yang buat saya nak stalk?” Bersoal semula. Dia sedikit berminat nak tahu jawapan bibir comel tu.

“Mungkin sebab pakcik nak…. Pakcik nak… nak tackle saya? Atau pakcik nak culik saya?"

Ketawa besar Daniel Hakim. Lucu sungguh jawapan Sayang Seroja. Yang penting riak wajah tu cukup comel di pandangan korneanya. Comel macam kucing munchkin. Baik… kita layankan saja, “atau mungkin Seroja yang stalk saya sebenarnya? Seroja yang selalu muncul depan saya. Cuba Seroja ingat balik kali pertama kita jumpa? Di mana?”
Sengaja mata dibulatkan juga kening terangkat-angkat. Bergayut senyuman lebih berminat nak tengok reaksi lebih comel.
Sayang Seroja terngangar… hah! ‘kentut busuk! Kentut busuk!! Kentut busuk!!! Langsung teringat suara Rania dan Balqis mengulangi kenyataan itu juga gelak terbahak-bahak. Lebih ngeri babak jiran tandas menyapa tu, diulang tayang semula. Shit! Tak nak fikir!! Tak nak fikir!!!...

“Seroja yang serang saya kan? Kali kedua, Seroja yang berlari ke depan kereta saya? Kali ketiga, Seroja yang libatkan saya jadi mangsa prank? So now, siapa yang stalk siapa ni?” Menyoal lagi dengan fakta yang tak boleh nak menggoreng lagi.

“Haaaa….” Menjerit Seroja tak dapat terima kenyataan serta menutup-nutup cuping telinganya tak nak dengar.

“Sekarang siapa yang mengelupur? Saya atau Seroja?” Menambah lagi soalan bertubi.

“Dah la tak nak cakap. Kalau pun betul apa yang pakcik cakap tadi, saya tetap tak pernah terlintas langsung nak stalk pakcik. Kalau boleh saya pun tak nak jumpalah. Tak hingin!” Begitulah ayat-ayat orang kalah tetap nak menang juga.

“Macam tu juga saya. Saya tak stalk Seroja.”
Masih lembut alunan suara dan bibir tak lekang tersenyum-senyum. Langsung kaki menolak badan, mengayun buaian lebih laju. Dah terlalu lama dia tak naik buaian seperti kanak-kanak. Tidak juga zaman remaja ataupun pada usia makin meningkat. Kerana Sayang Seroja dia merasa kembali seperti zaman kanak-kanak riang.

“So, pakcik buat apa kat sini?” Nampak seronok saja lelaki dipanggil pakcik tu dibuai angin, muram semula wajahnya jatuh pandangan ke tanah. Tak berminat nak tengok muka pakcik tu. Kaki menolak badan terbuai perlahan sambil melepaskan keluhan berat.

Kaki memijak bumi, terhenti ayunan. “Tu rumah saya….” Tunjuk Daniel Hakim ke arah rumah paling tepi betul-betul berhadapan playground.

“Pakcik duduk sini?” Terkejut Seroja hingga angkat muka bertemu empat mata.

“Yes.. Kenapa? Tak percaya?”
Tubuhnya langsung diterkam Seroja tiba-tiba. Dia tak dapat mengimbang punggung, menggelongsor ke belakang, terduduk ke atas tanah akibat di tangannya dipegang Sayang Seroja.

“Kejap…” Langsung telapak tangan lima jari tayang depan muka Seroja. Jangan sesekali bergerak walau selangkah supaya badannya tak diterkam sekali lagi.

Beku Sayang Seroja dalam posisi membongkok. Melihat pakcik itu memegang pinggang juga berkerut seribu muka kesakitan. Alahai… kesiannya. ‘Bukan salah aku kan?’ soal sendiri dan semestinya dia tak akan salahkan diri sendiri.

Sebaik berdiri sambil mengibas seluarnya terkena tanah, matanya lebih terkedu melihat pakaian Sayang Seroja bila berdiri berdepan sebegini. Ketika duduk tadi elok saja pakaian Sayang Seroja memakai seluar dan sweater satu suit. Bila berdiri baru tertayang perut serta pusat berkulit putih kegebuan bila sweater tidak berzip menutup t-shirt separa paras bawah dada saja.

“Pakcik… pakcik ada kenal tak mana-mana anak ustaz ke atau ustaz muda duduk jalan ni?”

Lebih berubah riak wajah Daniel Hakim. Sekejap… dia lebih confused dengan soalan yang didengarinya. Dengan imej macam ni, Seroja mencari anak ustaz atau ustaz muda? Ishhh cannot brain! Apa sebenarnya identiti Sayang Seroja ni? Dia pula tak tahu nak bereaksi macam mana lagi.

“Pakcik… tahu tak anak ustaz ke atau ustaz muda duduk kat rumah jalan 1/1 ni?” Melihat wajah itu seakan mengelamun atau sebenarnya blur, “Pakcik… dengar tak?” Makin kuat suaranya.

“Hah…. Ada. Duduk selang tiga rumah dari rumah saya tu.” Berbunyi juga suaranya menjawab dengan jujur serta menunjuk arah rumah yang tepat.

“Oh…” Penuh teruja seakan bercahaya bintang memancar ke arah rumah lelaki misteri yang dicari-carinya selama ini. Akhirnya berjaya. Yahoo... Ikutkan kaki nak lari ke rumah tu, tapi sebelum tu dia mengerling tubuh yang dah menemukannya dengan si cinta hati. Ada gunanya juga pakcik ni!

“Tapi kenapa Seroja cari Ustaz Rayyan tu?” Makin pelik Sayang Seroja ni!

“Dialah cinta hati saya. Saya dah jatuh cinta pada dia. Dah lama saya cari dia.” Terus terang Seroja tanpa rasa malu.

Membulat lagi mata Daniel Hakim terkejut dengan kenyataan yang diberi budak bawah umur tu.

Sayang Seroja gembira bagai nak lompat bintang akhirnya pencariannya berjaya, memerhati rumah yang ditunjukkan tadi. Kisah cinta yang tersemai dalam hatinya bermula di penghujung sepuluh Ramadan terakhir yang lalu. Sayang Seroja sekeluarga berbuka puasa di masjid berdekatan. Sesudah solat maghrib, sementara menunggu solat sunat tarawih, Seroja duduk di barisan paling hadapan dipenghujung dinding.

Seroja melayan smartphone, tiba-tiba terdengar suara sayup masih lagi jelas kemerduan alunan taranum membaca ayat-ayat suci Al-Quran di sudut rak dipenuhi kitab-kitab suci. Suara itu memberi ketenangan jiwa kepada Seroja serta terbuai ralit seketika. Malam itu dia kegelisahan tidak dapat lelapkan mata kerana teringatkan suara merdu itu.

Keesokannya masih berkumandang kelunakkan suara yang sama. Kali ini Seroja beranikan diri memanjangkan leher di celah langsir telah terselak sedikit. Nampak tangan lelaki itu sedang memegang naskah Al-Quran cukup lancar membaca tanpa tersekat-sekat. Seroja mengalihkan kedudukannya ke tepi dinding, nampak lengan baju telah disingsing tayang tahi lalat di tengah lengan. Setakat itu saja penglihatan yang mampu nampak.

Malam seterusnya lagi, sekali lagi gerangan ingin dilihat wajah sambung membaca ayat-ayat suci. Kali ni Seroja tekad nak selak sedikit tirai. Seroja telah memegang kain tirai, perlahan-lahan nak selak, tangannya dipukul padu. Pedih oiii!!!

“Jangan nak buat malu mengintai belah lelaki!” Bisik Sayang Dahlia yang masih berani menjegilkan biji mata di sebelah kakaknya.

Ingat dia sejenis mengalah begitu saja! Nasib dia dah pasang mata-mata hari itu. Tayang duit rm50 sekeping, laju budak lelaki yang mungkin belum mencapai tahap umur remaja beri infomasi amat berguna.

“Ustaz tu duduk dengan ustaz di jalan 1/1, Taman Impian.” Itu saja maklumat yang ada.

Hari seterusnya, dia telah siapkan sepasang baju melayu sejak hari pertama tidak dapat lelapkan mata. Baju melayu warna peach dijahitnya sendiri serta disulam lambang S bercantum S terbalik pada pergelangan tangan sebelah tanda lalat yang pernah dilihatnya.

Kali ni ditayang pula sekeping duit ungu di hadapan budak lelaki yang sama, “bungkusan ni, adik tolong bagi pada ustaz yang baca Al-Quran kat tepi rak tu tau. Lepas tu cakap, ada orang nak jumpa kat depan pagar masjid lepas habis solat tarawih.” Laju budak tu nak sambar duit, dielak Sayang Seroja. “Ingat tau.” Melihat anggukkan beria budak lelaki itu, upah dihulurnya.

Seperti arahan, bungkusan baju itu Seroja nampak di celah tirai telah selamat ke tangan yang betul. Cuma, misi untuk berjumpa di pagar surau gagal sepenuhnya. Lelaki itu tidak muncul tiba dan juga tidak kedengaran lagi suara merdu membaca ayat-ayat suci pada malam-malam seterusnya. Lelaki misteri itu ghaib begitu saja. Yang tinggal hanya kesan cinta dalam hati Sayang Seroja.

“Seroja… Seroja…” Tegur Daniel Hakim perasan Sayang Seroja mengelamun jauh sangat. Agaknya roh dah melompat masuk ke dalam rumah yang ditunjukkan tadi kot.

“Okeylah pakcik.. saya pergi dulu."

“Tunggu Seroja…" nampak badan halus itu berhenti dan menoleh dengan senyuman tak lekang dari tadi, “Seroja benar-benar maksudkan apa yang Seroja cakapkan tadi?"

"Cakap? Yang mana?"

"Jatuh cinta?"

Laju kepala Sayang Seroja mengangguk kegembiraan hingga nampak barisan gigi memutih. "Dialah orang yang dah buat saya jatuh cinta dan tercari-cari selama berbulan-bulan ni. Thank you pakcik. Jadi saya dah faham kenapa saya berjumpa dengan pakcik. Pakciklah orang yang bawa saya terbang terus berjumpa dengan cinta hati saya. Thanks again.”
Melihat Sayang Seroja berlari ke arah rumah itu, kekeliruan Daniel Hakim menjadi kebingungan. Macam mana pula Sayang Seroja boleh jatuh cinta? Nak katakan jatuh cinta dengan anak ustaz Rayyan tu, tak mungkin. Anak ustaz tu baru berusia sepuluh tahun. Entah dah sunat ke belum. Atau mungkin Sayang Seroja jatuh cinta dengan ustaz Rayyan? Lagilah tak mungkin! Ustaz Rayyan tu lelaki dah berkahwin dan dah masuk empat orang anak. Yang paling bongsu baru bersalin minggu lepas dan sekarang pun ustaz Rayyan tiada ada di rumah. Masih di kampung menemani isterinya berpantang. Tak mungkinlah Sayang Seroja sanggup bermadu? Nak extand masjid atau nak robohkan masjid yang telah dibina? Istighfar panjang Daniel Hakim melihat Sayang Seroja melompat-lompat memanggil tuan rumah sambil menekan butang loceng berulang kali. Menggeleng kepala Daniel Hakim entah untuk kali keberapa untuk Sayang Seroja. Ayat biasa yang terlintas kini, apa ke gila perempuan tu?

Share this novel

DHIA AMIRA
2022-10-13 23:48:48 

done bca


NovelPlus Premium

The best ads free experience