Completed
5079
Keseraman bermula apabila malam menjelma. Bayangkan kawasan hutan, yang jauh dari segala hiruk-pikuk, tiada bunyi kereta, tiada lampu jalan, hanya ditemani unggas dan juga cengkerik dan segala jenis bunyi di malam hari. Kami berterusan bercerita antara satu sama lain.
Seorang lelaki yang agak berumur, saya panggil dia Pak Jubang (bukan nama sebenar), tidak menyertai perbualan kami. Dia hanya berbaring di satu sudut, berbantalkan lengan.
Sikap azali beliau memang begitu, tidak berapa campur dengan budak-budak muda, mungkin kerana usianya yang agak tua sedikit. Sedang kami berlima tengah rancak berbual, tiba-tiba kami terdengar bunyi semak seperti digoncang, seolah-olah seperti ada sesuatu yang sedang bergerak.
Kami terdiam, ingin mengetahui apakah benda tersebut. Kemudian terdengar lagi bunyi seperti orang sedang berjalan, seperti menyeret kaki di sekitar ‘langkau’ kami. Bunyinya begitu nyata sekali kerana di kawasan‘langkau’ tersebut dipenuhi dengan daun-daun yang kering.
“Skreeeeeepppp skkreeeeeettttt skkreeeeeeeppp”, agak-agak begitulah bunyinya.
‘Langkau’ kami, diperbuat daripada kayu, berdindingkan dan beratapkan daun nipah, hanya berlantaikan kayu. Lampu kami pada malam itu hanya lampu minyak tanah.
Kedengaran lagi bunyi kaki diseret dan kali ini ditambah pula seperti seolah-olah ada benda meletakkan tangannya di dinding ‘langkau’ kami dan menyeret dari hujung ke hujung. Tiada siapa yang berani keluar pada masa itu.
Kami hanya berpandangan antara satu sama lain. Tiba-tiba, “Taaaammmmmmmmm!!!!!!” Lantai kayu kami dipukul dari bawah.
Kami semua terkejut!
Masalahnya, ‘langkau’ tersebut dibuat bertiang, tetapi ruang di antara lantai papan kami dengan tanah tidak sampai pun satu meter, macamana boleh ada sesuatu masuk ke bawah dan memukulnya sekuat hati hingga hampir tercabut papan tersebut?
Share this novel