BAB 1

Drama Completed 1313

Aku baca berkali-kali mesej yang masuk ke dalam peti masuk telefon bimbitku. Madu? Kononnya pergi outstation, kenapa nak bawa balik madu untuk aku pula? Aku berdongkol di dalam hati, geram tak terkata. Orang lelaki ni memang, tak pernah nak setia pada yang satu.

bila pula Seha minta madu ni? Siapa yang beri abang izin?

Aku balas mesej Iqbal suamiku dengan hati yang membara. Terketar-ketar tangan aku menaip.

sayang jangan buat-buat lupa ya. Kan sayang yang selalu cabar abang bawakan madu untuk sayang.

Hati aku semakin pedih membaca mesej yang seterusnya. Air mata sudah mula merembes ke pipi. Sampai hati abang, buat Seha macam ni. Dua puluh tahun kita hidup bersama, abang berjanji untuk setia, tapi akhirnya madu juga yang akan abang bawa balik.

seha tak rela berkongsi kasih sayang seorang suami dengan perempuan lain. Sebelum abang bawa balik madu tu ke rumah, abang fikir sekali lagi sebab selangkah dia jejak kaki ke dalam rumah kita, seha yang akan menapak keluar dari rumah ini.

Aku balas lagi mesej dengan luahan hati aku. Biar dia tahu aku bukan sebarangan isteri untuk diduakan.

sayang jangan bimbanglah, madu sayang ni tak ada kaki. Sebelum abang balik, sayang jangan pergi mana-mana. Abang tak izinkan. Okey..abang busy ni. Tunggu abang balik bawa madu ya.

Aku membaca mesej seterusnya sambil berfikir panjang. Madu aku tak ada kaki? Cacat ke? Ya Allah..takkan suami aku berkahwin dengan wanita cacat? Sejak bila pula dia berhati mulia ni?

Aku tak balas pun mesej dia yang terakhir. Aku hanya bermenung panjang selepas itu sambil cuba membayangkan keadaan dalam rumah kami yang bakal berubah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience