Completed
47366
HALIM berasa bersyukur, akhirnya isterinya Laila, selamat bersalinkan anak lelaki.
Gibran menepuk bahu Halim, dan dia juga berasa gembira bahawa rakan baiknya itu, sudah pun menjadi seorang bapa.
?Nasib baiklah aku sempat temankan isteri aku bersalin. Kalau tak, panjang sedepa bibir dia nanti. Tapi, aku berterima kasih jugalah, sebab kau dah tolong aku.?
?Itu namanya kawan. Takkan aku nak biarkan kau susah? Lagipun aku dah pernah cakapkan, kalau kau nak minta tolong aku, kau call aje aku.?
Halim mengangguk. ?Eh... tapi kejap, datuk kau tahu tak, kau lambat balik ni??
?Aku dah mesej dia tadi,? tipu Gibran. Sebenarnya dia malas mahu menghantar mesej.
?Okeylah, kalau kau dah cakap macam tu. Kereta kau, aku parking betul-betul tepi pintu masuk. Uish, aku drive tadi pun slow-slow. Aku bukannya apa, takut berlanggar dengan apa-apa nanti. Mana aku nak cekau duit, repair kereta kau tu, kan??
Gibran ketawa. ?Tak payah fikir sangat. Aku tak kisahlah. Okeylah, aku ingat nak balik dulu. Kalau ada apa-apa kau call aje aku tau??
?Baiklah Ran, terima kasih banyak-banyak tau??
?Sama-sama. Tapikan, syok jugak ya, buat Foodpanda ni.?
Halim menjongketkan keningnya. ?Syok? Kenapa tiba-tiba kau cakap macam tu pulak? Kau dah elok-elok duduk dalam pejabat, takkan tiba-tiba nak kerja tengah panas??
?Saje. Seronok tengok perangai customer ni. Untung-untung boleh cari calon isteri.?
Halim ketawa. ?Jangan buat kerja gilalah Ran.?
Gibran melepaskan keluhan. Entahlah, dia pun tidak tahu sampai bila dia hendak hidup membujang.
Tidak dinafikan, Gibran sememangnya memiliki rupa paras yang kacak. Dan baginya, tidak sukar untuk dia mencari pasangan. Namun begitu, Gibran memilih untuk tidak begitu gelojoh dalam soal jodoh.
Gibran terus sahaja mengeluarkan wang lima puluh ringgit sebanyak 20 keping, lalu dihulurkan kepada Halim.
?Eh, apa ni?? Halim berasa pelik.
?Ambil ajelah. Buat belanja. Lagipun aku tahu, kau mesti banyak benda nak kena beli. Wife kau nak berpantang lagi, mesti nak panggil orang datang urut, kan??
?Tapi Ran, ni banyaklah. Tak payahlah Ran. Kau ambil balik duit ni.? Halim menolak.
?Ambillah. Aku ikhlas bagi. Aku faham macam mana susahnya nak cari duit. Lagipun kau dengan aku bukannya baru kenal. Ambillah Lim.? Gibran tetap berkeras mahu Halim mengambil wang tersebut.
?Okeylah, aku ambil jugalah. Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak Ran.?
Gibran mengangguk. ?Okeylah aku balik dulu. Kalau ada apa-apa nak minta tolong, call aje aku okey??
Halim mengangguk.
Gibran terus melangkah meninggalkan hospital tersebut. Di kepalanya mula terlintas satu persoalan, entah apa pula yang bakal didengarnya apabila pulang nanti. Sudahlah dia langsung tidak memberitahu datuknya, bahawa dia akan pulang lewat malam ini. Kalau datuknya sudah mula berleter, terpaksalah dia menadah telinga seperti biasa.
Perjalanan dari hospital ke kediamannya hanya mengambil masa 20 minit sahaja. Usai memarkirkan kereta, Gibran terus melangkah masuk ke dalam rumah.
?Lambat kamu balik.? Gaddafi sudah memandang Gibran.
Gibran menelan liur, sambil jam tangan dipandang sekilas.
?Er, baru pukul 10 malam Tok Ayah.?
?Kamu dah solat belum??
?Dah Tok Ayah. Tadi singgah masjid.?
?Dah makan??
?Belum.?
?Ke mana kamu tadi??
Gibran sudah tidak tentu arah. Satu persatu soalan keluar dari mulut datuknya.
Sejak kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia, datuknya yang mengambil alih tanggungjawab untuk menjaganya. Pada ketika itu, usianya baru sahaja mencecah 15 tahun.
Namun lelaki tua itulah yang menjadi tempat dia bergantung. Dari bangku sekolah, ke universiti, hinggalah dia menjejakkan kaki ke dunia pekerjaan, datuknya tidak pernah berhenti menyokongnya. Malah kini, syarikat arwah bapanya, turut diamanahkan kepadanya untuk diuruskan.
?Ran minta maaf, sebab tak beritahu pulang lewat hari ini. Tadi, Halim minta tolong Ran, untuk hantar makanan pada customer. Wife dia dah nak bersalin masa tu. Tok Ayah pun tahukan, macam mana rapatnya Ran dengan Halim??
Gaddafi tersenyum. ?Tok Ayah tahu, Ran memang suka menolong. Sama macam arwah papa Ran.?
Gibran menarik nafas lega. Nasib baiklah datuknya itu tidak marah. Kalau tidak, bernanahlah telinganya.
?Sini Ran. Tok Ayah nak tunjuk Ran sesuatu.?
Gibran terus melangkah ke arah datuknya, lalu duduk di sebelah lelaki itu.
?Cuba tengok tiga gambar ni. Pilihlah mana Ran berkenan. Tok Ayah ingat nak jodohkan Ran di antara tiga orang ni. Senang lepas ni, adalah yang pantau Ran, jaga makan pakai Ran.?
Gibran sudah dapat meneka. Patutlah datuknya tidak marah. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu.
?Oh, patutlah Tok Ayah nampak lembut aje. Rupanya ada benda yang dia dah buat.?
Gaddafi ketawa. ?Umur Ran dah 32 tahun. Ran tak teringin nak ada isteri ke??
?Belum jumpa lagilah Tok Ayah. Tak ada yang betul-betul ikhlas. Sekarang ni, yang Tok Ayah nak jodohkan ni, dia orang tahu tak, Ran ni cucu siapa??
?Mestilah tahu. Cucu Tan Sri Haji Gadaffi.?
?Tengok tu, pergi beritahu buat apa??
?Habis tu, kalau tak beritahu takkan dia orang setuju nak jodohkan anak dia orang dengan Ran??
Gibran melepaskan keluhan, lalu dia bangun dari sofa. ?I?m not interested.?
?Kenapa pulak? Sampai bila Ran nak hidup membujang? Tok Ayah tak nak, Ran hidup sorang-sorang. Lagipun, Ran sahajalah cucu yang Tok Ayah ada.?
?Bagi Ran masa boleh tak? Ran, tak bersedia lagi.? Gibran menggosok pangkal lehernya. Tiba-tiba sahaja dia merasakan ada beban yang berat di atas kepalanya.
?Bagi masa? Tok Ayah rasa, dah masuk tiga tahun Ran kata bagi masa. Lepas ni, nak tambah berapa tahun lagi??
?Tapi Tok Ayah...?
?Sudah. Tok Ayah tak nak dengar lagi Ran kata bagi masa. Dah cukup dah Tok Ayah bagi masa dekat Ran. Dan sekarang, Tok Ayah bagi tempoh dua minggu pada Ran. Kalau dalam dua minggu tak ada bawa calon, antara tiga perempuan dalam gambar ni, Tok Ayah akan ambil buat calon isteri untuk Ran.?
?Tapi dia orang dah tahu Ran ni siapa. Tok Ayah ingat, dia orang nak lepaskan peluang ke??
?Habis tu apa cara Ran nak buat? Ingat macam drama dalam TV tu ke? Nak menyamar pulak?? teka Gaddafi.
?Er, kalau boleh menyamar, apa salahnya kan? Dari situ kita boleh tahu, perempuan tu ikhlas atau tak??
Berkerut dahi Gaddafi saat ini. Apalah yang mahu dilakukan cucunya?
QIRANA benar-benar terkejut, apabila Pak Cik Mansur diberhentikan kerja. Adakah gara-gara kejadian yang dilihat petang semalam?
?Yaya, kenapa Pak Cik Mansur diberhentikan kerja??
?Aku tak tahu. Kejap, kenapa kau sibuk nak tahu pasal Pak Cik Mansur pulak ni??
Qirana terdiam. Perlukah dia memberitahu apa yang telah berlaku semalam?
?Er, tak ada apa-apa. Aku just nak tahu aje, tak salah, kan??
?Tapi tengok cara kau, macam ada sesuatu yang kau sorokkan. Ceritalah. Tak acilah kau simpan rahsia sorang-sorang.? Yaya sudah menyilangkan kedua-dua tangannya ke dada.
?Er, tak ada apa-apalah.?
?Qirana, masuk bilik meeting sekarang.? Tiba-tiba sahaja Encik Nizam muncul di hadapan mereka berdua, dan mengarahkan Qirana masuk ke bilik mesyuarat. Jantung sudah berdegup laju. Adakah mereka tahu, yang dia telah melihat mereka berdua di dalam bilik petang semalam?
?Awak dengar tak saya cakap ni?? Encik Nizam bersuara tegas.
Qirana tersentak. Adakah dia akan dibuang kerja, sepertimana Pak Cik Mansur dibuang?
?Ha? Apa tadi bos??
?Saya suruh awak masuk bilik meeting sekarang. Saya nak awak bentangkan audit finding. Bawa semua dokumen yang berkaitan.?
?Sekarang ke bos??
?Saya sebut apa tadi?? Encik Nizam sudah menjongketkan kening kirinya. Kenapa stafnya banyak soal?
?Err, sekarang??
?Yes!?
Qirana menggaru kepalanya yang tidak gatal. ?Maaf bos. Saya lupa nak korek telinga pagi tadi.?
Encik Nizam terus melangkah pergi. Manakala Yaya memandang Qirana dengan pandangan yang pelik.
?Kau kenapa? Macam ada yang tak kenalah dengan kau ni.?
?Eh, tak apalah. Aku dah lambat ni. Aku pergi meeting dulu.? Laju sahaja Qirana mengambil fail dari atas meja. Dia berlari menuju ke bilik mesyuarat dalam keadaan tergesa-gesa.
Kenapa dengan dia ni? Fikir Yaya.
BADARIAH menatang dulang ke ruang tamu, dan menuju ke arah Omar yang sedang melayani Rizal, rakan kerjanya sesama guru. Rizal berusia empat puluh tahun, lima belas tahun lebih muda daripada Omar. Dan merupakan seorang duda anak tiga.
?Jemput minum.? Badariah meletakkan dulang di atas meja. Setelah itu, dia terus melabuhkan punggung di sebelah suaminya.
?Terima kasih kak,? ucap Rizal, sambil meneguk air kopi yang dibawa wanita itu tadi.
Badariah tersenyum memandang lelaki itu. Sesekali itu dia melirik ke arah Omar.
?Sebenarnya Rizal, saya ada tujuan ajak kamu ke sini.?
?Tujuan? Tujuan apa tu cikgu??
?Saya terus terang ajelah ya? Sebenarnya saya ada tiga orang anak perempuan. Yang sulung dah berumur 27 tahun. Masih belum berpunya.?
Rizal sudah mengerutkan dahinya. Sememangnya dia tidak mengenali, anak-anak Omar.
?Dan yang nombor dua berusia 25 tahun. Tapi, dah nak kahwin. Cuma masalahnya sekarang ini...?
?Masalah apa tu cikgu?? Rizal mula bersuara.
?Saya dengan isteri saya, tak nak anak nombor dua kami tu langkah bendul. Jadi, kami nak kakaknya kahwin dulu.?
?Maksud cikgu? Hmm, saya tak berapa nak faham.?
?Sebenarnya macam ini. Er, sudi ke kalau Rizal... terima anak kami Qirana, untuk dijadikan isteri? Lagi pun Rizal dah tiga tahun menduda. Anak-anak pun masih bersekolah, kan??
Rizal benar-benar terkejut. Tak disangka yang Omar menjemputnya datang ke mari, semata-mata ingin menjodohkannya dengan anak sulungnya?
?Er, cikgu nak jodohkan saya dengan anak cikgu??
Omar mengangguk.
?Tapi dia masih muda lagi. Baru 27 tahun. Saya ni dah 40 tahun. Dia nak ke dekat saya ni??
?Tak apa. Nanti pandai-pandailah saya jelaskan pada dia nanti. Sebab sekarang dah dua minggu. Sampai ke hari ini, dia masih belum bawakan saya calon suaminya.?
Qistina tiba-tiba melangkah masuk ke dalam rumah, lalu ketawa secara tiba-tiba.
?Kak Qira confirm terima punya. Dia tak bawa calon suami sebab dia bukannya cantik. Sebab tu tak ada lelaki nak.?
?Eh budak ni. Balik-balik terus menyampuk cakap orang tua dah kenapa? Pergi naik atas,? marah Badariah.
Qistina mencebik, lalu melangkah naik ke biliknya.
?Maafkan anak saya yang bongsu tu. Dia masih keanak-anakkan lagi, walaupun dah 18 tahun,? ujar Omar sambil mengukirkan sedikit senyuman. Malu pula dia dengan Rizal, seakan tidak pandai mengajar anak.
Rizal tersenyum sedikit. ?Tak apa cikgu.?
?Kejap ya, saya ambilkan gambar Qirana.? Badariah bangun dari sofa. Tidak lama itu dia muncul semula sambil membawa satu keping gambar Qirana, lalu dihulurkan kepada Rizal.
Rizal menatap gambar Qirana. Wanita itu bukannya tidak cantik, tetapi comel orangnya. Mungkin disebabkan wanita itu mengenakan cermin mata.
?Anak sulung cikgu ni lain ya rupa dia.?
?Oh, lupa saya nak beritahu. Dia bukan anak kandung kami. Kami ambil dia dari rumah anak yatim sejak dia bayi. Awalnya saya ingat isteri saya tak boleh mengandung. Tapi selepas dua tahun, isteri saya disahkan mengandung pula.?
Rizal mengangguk. Sebenarnya dia juga tidak sangka, walaupun tidak memiliki paras rupa yang kacak, sekurang-kurangnya ada juga yang berminat dengannya untuk dijadikan menantu.
?Jadi macam mana cikgu??
?Saya sebenarnya tak keberatan. Tapi sebelum itu, Qirana tahu tak pasal ni??
?Er, dia tak tahu. Tapi, kalau saya suruh dia terima Rizal, dia akan bersetuju jugak. Jangan risau. Pandailah saya nak cakap dengan dia nanti.?
?Tak pun macam ni, esok malam datang rumah ajak anak-anak sekali? Boleh juga kenal-kenal dengan Qira?? Badariah memberi cadangan.
Rizal memandang wajah mereka berdua. Ada baiknya juga jika anak-anaknya berkenalan dengan Qirana.
?Kalau macam itu, saya bawa anak-anak saya jumpa dengan Qirana dulu. Saya bukannya apa, risau juga, takut Qirana tak dapat terima pulak. Yalah, nak kahwin ni bukannya sehari.?
?Eh, jangan risaulah. Kami tahu Qira takkan menolak. Insya-Allah, dia pasti akan terima Rizal dan anak-anak.?
?Betul cakap isteri saya ni Rizal. Kami kenal anak kami tu macam mana, walaupun Qira bukan dari darah daging kami. Dia anak yang baik, dan dengar kata. Tak mungkin dia akan menolak.?
Rizal sudah tersenyum. Di dalam hatinya sudah menjerit gembira. Akhirnya ada juga seseorang yang dapat menjaga anak-anaknya. Dalam diam, dia berharap Qirana akan berhenti bekerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada dirinya serta anak-anak selepas mereka disatukan nanti.
Qistina yang dari tadi menyorok di tepi dinding, telah pun mendengar perbualan mereka bertiga.
Kak Qira, Kak Qira... Tak pasal-pasal jadi mangsa keadaan. Sudahlah dapat lelaki tak kacak. Lepas tu kena jaga anak-anak lelaki tu pulak. Padan muka kau!
Sejak mengetahui bahawa Qirana bukan anak kandung ibu bapanya, perasaan tidak suka mula bertapak di dalam hatinya. Disebabkan itulah, Qistina suka mencari masalah dengan wanita itu.
Share this novel