IMDD 4 - MELAMAR

Romance Completed 47366

HARI ini seperti yang dijanjikan, Rizal dan anak-anaknya akan datang untuk sesi suai kenal dan juga makan malam.

Dari semalam Qirana telah membantah sekeras-kerasnya, yang dia tidak bersetuju untuk dijodohkan dengan lelaki itu. Lebih-lebih lagi, gambar Rizal telah dihantar oleh Qistina semalam, telah membuatkan Qirana langsung tidak dapat menerimanya.

?Kau tak nak balik ke?? Yaya sudah terpacak di hadapan Qirana.

?Aku tak nak baliklah.?

?Hmm... pasal duda tu, jadi ke dia datang dengan anak-anak?? Sememangnya Yaya sudah mengetahuinya setelah diceritakan Qirana pagi tadi.

?Macam mana aku nak tolak? Mak aku paksa-paksalah suruh jumpa lelaki tu juga. Dia orang ni langsung tak fikir perasaan aku.?

?Kau tak payah baliklah macam tu. Jom balik rumah aku,? ajak Yaya.

Qirana dengan malasnya bangun dari kerusi, sambil menggapai beg tangannya.

?Nanti kalau aku tak balik, membebel pulak mak ayah aku. Nak tak nak aku kena berdepan juga dengan lelaki tu. Tapi, kalau aku tak nak, aku boleh aje tolakkan??

?Kau dah tolakkan semalam? Tapi mak kau paksa juga kau orang berjumpa, kan??

?Hmm, itulah. Aku betul-betul serabutlah. Kalau ya pun nak jodohkan aku, carilah lelaki yang kacak sikit. Ni tak, sudahlah badan berisi. Dengan rambut ada tak ada.?

Yaya terus menghamburkan tawanya. ?Macam manalah malam pertama, kan??

?Woi! Kau ni. Dah sampai ke situ perginya. Sudahlah, aku nak balik.? Qirana terus melangkah keluar, sambil diekori Yaya dari belakang. Jika dia tidak berkenan, dia boleh sahaja menolak. Qirana sudah tekad, dia sendiri yang akan berterus-terang dengan Rizal.

Dalam pukul 8.30 minit malam, Qirana tiba di rumah. Sebuah kereta Alza sudah sedia terparkir di ruang parkir. Jantungnya mula berdegup laju.

Dua orang kanak-kanak lelaki kelihatan sedang berlari-lari di situ. Yang si abang, sekitar 10 tahun, galak mengusik adiknya yang berusia 7 tahun sehingga si kecil mula menangis.

Dada Qirana terasa sesak. Belum sempat dia berkenalan dengan mereka, dia sudah disambut dengan adegan seperti itu.

Perlahan-lahan Qirana melangkah keluar dari perut kereta. Dan tiba-tiba si adik terus membaling kasut pada si abang, tetapi tidak mengenai abangnya, tetapi terkena pula pada tingkap kereta. Nasib baiklah balingan tersebut tidak begitu kuat. Kalau tidak mahu pecah tingkap kereta.

?Eh, Qira. Qira dah balik? Mari masuk. Rizal baru sampai ni dengan anak-anak,? ajak Badariah sambil tersenyum.

Kedua-dua mata Qirana naik ke atas. Dia berasa muak, apabila nama Rizal disebut. Laju sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam. Dua kanak-kanak lelaki tadi turut mengekori masuk. Dan tiba-tiba sahaja, yang si abang terus menolak tubuh Qirana, dan hampir membuatkan Qirana tersungkur ke hadapan. Nasib baiklah wajahnya tidak mencium lantai.

?Eh, kenapa tolak Auntie Qira?? Rizal yang berada di ruang tamu terus menegur anak lelakinya.

Qirana memandang wajah Rizal. Wajah lelaki tu nampak kelihatan tua, berbeza dengan gambar yang dihantar Qistina petang semalam. Memang tak sesuai langsung dengannya.

?Tak apa Rizal. Biasalah budak-budak. Nak main,? kata Badariah.

Qirana mengetap bibir, menahan marah. Ikutkan hatinya, mahu sahaja dia menampar wajah kanak-kanak lelaki tersebut.

?Ha, salam Auntie Qira. Nanti Auntie Qira bakal jadi ibu Rania, Ridhuan dengan Raziq.? Omar mula bersuara.

Rizal sudah tersenyum.

Eh, ayah ni. Pandai-pandai sebut ibu? Jangan harap aku nak terima! Bentak hati kecilnya.

Qaisara dan Qistina sudah tersengih-sengih, sambil menyusun pinggan di atas meja makan.

?Padan muka Kak Qira. Dapat lelaki macam tu.? Qistina mula berbisik di tepi telinga Qaisara.

?Tapikan, kesian juga dekat Kak Qira tu.?

?Tak payah nak kesian sangat. Nanti lagi lambatlah, Kak Sara kahwin. Nak ke, tunggu beberapa tahun lagi??

?Ya tak ya jugakan??

?Rania, salam Auntie Qira,? arah Rizal.

Rania yang merupakan anak sulung Rizal bermalas-malasan bangun dari sofa. Tangan Qirana ditarik kasar. Remaja perempuan itu, menyalami tangan Qirana seakan tidak ikhlas. Manakala Qirana memandang Rania dengan renungan tidak puas hati.

?Rania anak sulung saya, 15 tahun. Yang nombor dua 10 tahun. Dan nombor tiga, 7 tahun. Maaf, sebab anak-anak lelaki saya ni nakal sikit.? Rizal memperkenalkan anak-anaknya kepada Qirana.

Kedua-dua lagi anak lelaki Rizal tidak mahu menyalaminya. Malah seronok bermain-main di dalam rumah tersebut.

?Hmm, okey,? jawab Qirana acuh tak acuh.

?Mari kita berbincang dulu, sebelum kita pergi ke fasa seterusnya?? Omar bersuara.

?Papa, Rania tak nak auntie ni jadi mama kami. Perempuan ni tak sama dengan arwah mama! Dia bukan nak jaga kami pun!? Rania tiba-tiba sahaja bersuara, sambil menghentak kakinya.

Qirana memberikan satu jelingan. Ingat aku nak jadi mak kau ke? Aku pun tak inginlah! jerit hati kecil Qirana.

?Rania, cakap tu elok-elok sikit. Siapa ajar Rania cakap macam tu? Papa tak ajar tau? Kalau papa kahwin dengan Auntie Qira, tak adalah kau orang semua sunyi. Sekurang-kurangnya ada orang tolong tengokkan, dan jaga makan pakai kau orang bertiga.?

?Betul tu Rania. Senang nanti kalau Auntie Qira jaga kau orang bertiga. Ada orang tolong gosokkan baju sekolah. Nanti kau orang balik dari sekolah, makanan dah siap hidang atas meja.? Badariah pula bersuara.

Qaisara dan Qistina yang duduk di meja makan, masing-masing ketawa kecil. ?Jadi kuli balacilah Kak Qira lepas ni,? kata Qaisara. Dari rasa kasihan, terus hilang rasa kasihannya.

?Rania tak setuju! Kalau papa nak juga kahwin dengan perempuan ni, Rania nak duduk kampung!? bentaknya.

?Terpulang dekat Rania. Papa tetap akan berkahwin dengan Auntie Qira. Papa buat semua ni untuk kebaikan kau orang bertiga juga.?

Rania tiba-tiba sahaja bangun, dan dia mahu menolak tubuh Qirana, tetapi Qirana terlebih dahulu mengelak.

?Apa ni Rania! Kenapa nak tolak Auntie Qira ni?? marah Rizal.

?Sudah Rizal. Jangan marahkan anak tu. Budak-budak tak faham apa. Nanti bila dah faham, dia orang akan terima juga.? Omar cuba meredakan keadaan.

?Sudah, tak payah nak bertekak lagi dekat sini.? Qirana mula bersuara, setelah lama berdiam dari tadi. Masing-masing memandang ke arah Qirana.

?Qira tak nak kahwin dengan siapa nama tadi? Rizal? Okey Encik Rizal, saya tak nak kahwin dengan encik. Sebenarnya, saya dah ada calon saya.?

?Apa kamu cakap ni Qira?? soal Omar. Dia betul-betul terkejut.

?Qira dah ada calon. Lusa nanti Qira bawa dia kenalkan mak dengan ayah.?

?Hari ini kamu nak berkenalan dengan Rizal, tiba-tiba pula kata sudah ada calon? Kenapa tak beritahu awal-awal?? Suara Omar kedengaran agak keras. Sebenarnya dia benar-benar berasa malu dengan Rizal. Kalau dia tahu Qirana sudah mempunyai calon, tidak perlulah dia menjemput lelaki itu datang ke rumah untuk berkenalan dengan Qirana.

?Ayah percayalah cakap Kak Qira tu. Dia tak nak kahwin dengan Abang Rizal, dia gunalah alasan dah ada calon. Selagi dia tak bawa calon, jangan batalkan apa yang ayah dah rancang. Kalau tak, tak kahwinlah Kak Sara nanti.? Qistina sengaja mencurah minyak ke dalam api.

?Betul tu ayah. Takkan Sara nak tunggu lama-lama.? Qaisara turut bersetuju.

?Kamu jangan nak tipu ayah Qira??

Badariah sudah tidak tahu, di mana mahu letak mukanya. Lebih-lebih lagi di hadapan Rizal.

?Tak ada kerjalah Qira nak menipu. Memang Qira dah ada calon. Dari semalam lagi Qira dah beritahu mak, yang Qira tak nak kenal dengan Encik Rizal. Tapi mak tak nak dengar.?

?Qira minta maaf banyak-banyak pada mak dengan ayah. Dan Encik Rizal juga, saya minta maaf. Saya terus-terang ajelah, saya masih muda lagi, dan saya langsung tak sesuai dengan Encik Rizal. Saya pun tak nak jadi mak tiri kepada anak-anak encik. Nanti keluar pulak berita, mak tiri dera anak tiri pula, kan? Dan saya bukanlah seorang yang penyabar. Kalau encik nak cari calon isteri dan ibu kepada anak-anak encik, saya bukanlah calon yang sesuai.? Qirana terus sahaja melangkah naik ke bilik.

Rizal sudah tercengang saat ini. Jadi, buang masanya sahaja datang ke mari?

?Yeay! Akhirnya papa tak jadi kahwin dengan perempuan tu.? Rania sudah melonjak gembira. Adik-adiknya dari tadi, langsung tidak menghiraukan apa yang terjadi.

Rizal tidak dapat membendung rasa amarahnya. Dia benar-benar rasa dipermainkan.

?Er Rizal, maafkan anak saya. Saya pun tak tahu yang dia dah ada calon. Dia pun tak beritahu saya.?

?Tak apalah cikgu. Saya pun sedar siapa saya ni. Betullah dia cakap tadi, dia masih muda. Memang tak sesuai dengan saya yang dah tua ni.?

Qistina dan Qaisara berpandangan sesama sendiri. Betulkah kakaknya itu sudah mempunyai calon?


KEJADIAN semalam masih terbayang-bayang di matanya. Sekarang ini, di mana pula dia mahu mencari calon suami? Bukannya boleh cari di pasar, pilih mana yang berkenan, dan hulur duit terus dapat. Tapi ini nak cari suami!

Esok pula, dia harus memperkenalkan calon suami yang langsung tak wujud kepada ibu bapanya.

Argh! Peningnya kepala!

Ayah pula sudah memberi amaran. Calon suami itu mesti dibawa dan diperkenalkan kepada mereka. Jika tidak, mereka tetap mahu kahwinkan dia dengan Rizal.

Tok! Tok!

?Qira, kau boleh tolong ambil makanan dekat bawah tak? Aku sakit perut ni, nak memerut kejap.?

?Rider tu dekat mana??

?Dah ada dekat lobi. Ni duitnya.?

?Okey, aku turun kejap.? Qirana terus mengambil duit dari tangan Yaya, lalu dia melangkah turun ke bawah.

Tiba sahaja di bawah, matanya meliar mencari penghantar makanan yang dikatakan Yaya tadi. Tetapi kenapa terlalu ramai penghantar makanan di sini?

Ah, sudah! Mana pula dia nak tahu yang mana satu rider yang menghantar makanan dia dan Yaya? Sudahlah kepalanya pening memikirkan soal calon suami. Sekarang ini, dia kena memerah otak pula untuk mencari penghantar makanan?

?Cik Yaya...? Satu susuk tinggi lampai, tiba-tiba berdiri di hadapan Qirana.

Qirana terkejut melihat lelaki di hadapannya. Wajah lelaki itu tidak kelihatan kerana dilindungi kain penutup muka. Mungkin dia tidak mahu kulit wajahnya terbakar dengan cahaya matahari.

?Cik Yaya, kan?? Suara garau lelaki itu menerpa ke telinga Qirana.

?Er, tak. Saya kawan dia. Dia minta saya ambilkan makanan. Total RM22, kan??

?Ya.?

Qirana terus menghulurkan wang kepada lelaki itu. Bungkusan makanan bertukar tangan.

?Okey, terima kasih.? Penghantar makanan tersebut menyimpan wang ke dalam poket.

Qirana sudah tidak keruan. Apa nak jadi, jadilah. Dia sudah bersedia dengan rancangan gilanya. ?Er, awak masih bujang lagi ke? Kalau bujang, nak tak kahwin dengan saya? Awak cuma sediakan mas kahwin sahaja.?

?Ha??

?Er, sebelum itu saya perkenalkan diri saya. Nama saya Qirana, berumur 27 tahun. Saya bekerja sebagai juruaudit. Mungkin awak akan fikir saya gila. Yalah, tiba-tiba ajak awak kahwin. Tapi...? Qirana terdiam seketika. Dia cuba untuk menyusun kata.

?Mas kahwin sahaja? Hantaran, cincin? Tak perlu??

?Ha?? Kali ini, Qirana pula tercengang. Lelaki ini mahu menerima lamarannya?

QIRANA menyedut minuman yang dipesannya tadi. Dalam masa yang sama, jantungnya turut berdebar-debar menantikan Gibran ke sini, iaitu lelaki yang dilamarnya tengah hari tadi.

Entah apa yang merasuknya sampai berani membuat keputusan sepantas itu. Buatnya lelaki itu jongang? Sudahlah, rupa lelaki itu langsung tidak dilihatnya.

Lantaklah, apa nak jadi, jadilah. Yang penting aku tak perlu kahwin dengan Rizal.

?Assalammualaikum, maaf buat awak menunggu lama.?

Suara garau Gibran menerpa ke telinga Qirana. Jantung mula berdegup laju. Ini memang kerja gila!

Gibran menarik kerusi, lalu duduk berhadapan Qirana.

?Waalaikummussalam. Saya pun baru sampai. Sorry saya tak tahu awak nak minum air apa. Jadi saya orderkan fresh orange.?

?Saya okey aje.? Gibran terus menanggalkan penutup mukanya, lalu diletakkan di atas meja.

Qirana sedikit terpana melihat wajah Gibran saat ini. Lelaki di hadapannya benar-benar kacak, dan sungguh sempurna di matanya. Tak sia-sia dia melamar lelaki itu.

Lelaki ni betul ke nak kahwin dengan aku? Bagaikan langit dengan bumi. Langsung tak sesuai dengan aku. Nanti menyesal tak sudah pulak. Kalau aku, on aje. Siapa yang tak nak suami handsome, kan?

?Sebelum kita berbincang lebih jauh, saya nak beritahu, yang saya hanya rider Foodpanda. Income pun harapkan dari delivery yang saya buat. Jadi, awak betul-betul dah buat keputusan ke nak kahwin dengan saya??

Qirana laju mengangguk. ?Saya yang lamar awak, jadi saya memang tak kisah awak kerja apa pun. Dan saya tekad, nak awak jadi suami saya.?

Gibran tersenyum. ?Tak sangka, rider macam saya, ada juga yang berkenan.?

Wajah Qirana merona merah. Hatinya menjadi cair, saat melihat senyuman lelaki itu. Lebih-lebih lagi ada lesung pipit di pipi kirinya. Cuma di sebelah kanan tidak kelihatan.

?Tapi macam pelik pula, awak melamar lelaki yang tak kenal, secara tiba-tiba. Tak mungkin awak saja-saja. Mesti ada sebab, kan??

Lidah Qirana tiba-tiba menjadi kelu.

Hi smua, Sorry kalau slow update.. Bab 5 Alin akan update hari rabu ni. Tapi masuk bab 5, perlu nCoins untuk unlock. Terima kasih pd yg sudi baca novel Alin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience