IMDD 1 - LANGKAH BENDUL

Romance Completed 47425

QIRANA dan Yaya berjalan menuju ke kafe yang berdekatan dengan kawasan pejabat mereka. Sakit pula hati Qirana pada saat ini, apabila dipaksa membawa calon suami. Kepalanya benar-benar serabut, apabila teringat kembali mesej yang dihantar maknya pagi tadi.

Plecak!

Hampir sahaja Qirana jatuh terlentang, tetapi tangannya sempat ditarik Yaya.

?Fuh nasib baik tak terlentang aku tadi!? Qirana mengurut dada.

?Kau tu, dah kenapa tak pandang depan? Serabut sangat aku tengok kau ni.?

?Eh, kejap. Kau ada bau busuk tak??

?Bau busuk?? Yaya cuba menghidu bau yang semakin busuk masuk ke dalam rongga hidungnya.

?Eh, aku terpijak tahi kucinglah!? Qirana melihat tapak kasutnya yang sudah kotor dengan najis kucing yang dipijak secara tidak sengaja tadi.

Orang ramai yang melalui jalan itu, masing-masing mula menutup hidung, dan ada juga yang memandang Qirana sambil ketawa.

?Apa tengok-tengok? Tak pernah terpijak tahi kucing ke?? sergah Qirana. Sakit pula hatinya saat ini. Laju sahaja dia mencari tandas awam yang ada di kawasan itu, untuk membersihkan kasutnya yang kotor tadi.

Usai membersihkan kasut, mereka berdua berjalan semula ke kafe yang berdekatan untuk mengisi perut yang kosong.

?Qira, kau ni kenapa? Boleh senyum sikit tak? Macam ada masalah besar aje??

?Aku memang ada masalah pun. Kau bacalah mesej aku ni. Mak aku ni, menekan-nekan pulak!?

Yaya mengambil telefon bimbit milik Qirana, lalu isi kandungan mesej tersebut dibaca.

-Mak dengan ayah tak kira. Qira kena jugak bawa calon suami untuk kami. Kalau tak, Sara tak boleh nak nikah. Kami tak nak langkah bendul!-


?Aik, dah kenapa dengan mak kau ni? Tak habis-habis dengan Sara. Dan sekarang, langkah bendul pulak? Isy, apalah. Kahwin ajelah. Apa masalahnya??

?Ha, kau pun fikir benda yang sama, kan? Aku dah cakap, aku ni tak ada calon. Paksa-paksa aku dah kenapa??

?Habis tu macam mana??

?Macam mana apa? Memang aku tak ada calon pun. Ada ke kau nampak aku keluar dengan mana-mana lelaki? Kau tengok rupa aku ni? Pakai cermin mata, pakaian pun tak up to date. Lepas tu terpijak tahi kucing pulak. Siapa yang nak dekat aku ni??

Yaya terus menghamburkan tawanya. ?Sebenarnya kau comel aje aku tengok. Tapi itulah, cuba kena pandai bergaya sikitlah.?

Qirana menjeling. Tak dinafikan dia memang seorang yang comel. Cuma, tidak pandai bergaya sahaja.

Daun pintu kafe ditolak. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam. Kedua-duanya melabuhkan punggung di kerusi, lalu menu di atas meja diambil.

Setelah memesan makanan, Qirana melepaskan keluhan panjang. Pandangannya tertancap ke luar cermin kafe. Apalah nasibnya. Hanya kerana dia bukan anak kandung, sesuka hati sahaja dia dipaksa mengikut kehendak mereka.

Qirana dihantar ke rumah anak yatim selepas ibu kandungnya meninggal dunia sejurus melahirkannya. Identiti bapa kandungnya pula, tidak diketahui. Menurut pengusaha rumah anak yatim, Qirana dipercayai merupakan anak luar nikah kerana tiada sebarang maklumat atau pengenalan tentang bapa kandung ketika ibu kandungnya bertarung nyawa semasa melahirkannya.

Dan selepas sebulan, Omar dan Badariah mengambilnya sebagai anak angkat. Dan demi menjaga batas mahram, Badariah menyusukannya.

?Habis tu macam mana?? soal Yaya. Dia sebenarnya kasihan dengan Qirana.

?Aku tak tahulah. Kadang-kadang sedih bila fikirkan masalah yang aku hadap. Lebihkan sangat dengan Qaisara tu. Ingat aku ni tak ada perasaan ke??

?Kau janganlah cakap macam tu. Aku faham apa yang kau hadapi sekarang ni.?

?Kau tahukan, macam mana aku cari duit? Sara tu baru aje habis belajar. Ni tiba-tiba kata nak kahwin. Sudahlah barang-barang mekap dia, aku yang belikan. Bila tak ada duit, minta aku duit.?

?Kenapa kau pergi bagi. Aku tengok kau orang macam manjakan dia.?

?Ni bukan pasal manjakan dia. Tapi si Sara ni, bila nak duit, dia merunsingkan mak dengan ayah aku. Nak tak nak aku kena bagi duit, supaya dia tak merunsingkan dia orang. Sebab itulah kau tengok aku punya pakaian ni, susah betul nak tengok bertukar. Asyik-asyik baju yang sama aje pergi office.?

Yaya mengangguk. Dia tahu, Qirana banyak berkorban untuk keluarganya. Wang gajinya pula, akan diasingkan sebanyak satu ribu ringgit, untuk perbelanjaan dapur. Dia ingat lagi semasa Qaisara sedang dalam belajar, Qirana akan menghulurkan wang sebanyak lima ratus ringgit setiap bulan kepada Qaisara. Tetapi entah kenapa, selalu sahaja tidak mencukupi.

?Habis tu, dia nak kahwin ni, ada duit ke tu? Jangan pulak, mak dengan ayah kau yang sponsor nanti.?

?Entahlah. Kalau bab nak kahwin, pandai-pandai dialah nak buat macam mana. Tak ada kena mengena dengan aku dah. Aku dah banyak habiskan duit untuk dia dulu. Takkan nak minta duit aku pulak nak buat kenduri??

?Eloklah tu. Janganlah tolong dia. Aku tengok dah naik lemak pulak. Itu baru Qaisara. Belum lagi, Qistina.? Selain Qaisara, Qirana juga memiliki seorang lagi adik perempuan, yang kini berada di tingkatan 6.

?Itulah pasal. Ni balik confirm mak aku membebel lagi. Aku malas nak reply chat dia tu.? Qirana sudah tekad. Dia tidak mahu memikirkan lagi pasal calon suami. Jika adiknya hendak berkahwin dengan kekasihnya, pergi sahaja. Jangan menyusahkan hidupnya lagi.

KERETA Axia milik Qirana masuk ke dalam ruang parkir. Matanya terus tertancap ke arah kereta Myvi milik kekasih adiknya, iaitu Irsyad. Kadang-kadang Qirana berasa menyampah melihat Irsyad, yang kerap sangat datang ke sini.

Qirana mencapai briefcase di kerusi penumpang. Badannya berasa lemah, selepas seharian mengaudit transaksi kewangan Solara Dynamics Sdn. Bhd. Setiap invoice sahaja mencecah lima puluh ribu, dan dialah yang perlu meneliti semuanya sebagai juruaudit.

Dengan langkah lemah longlai, Qirana berjalan masuk ke dalam rumah.

?Assalammualaikum,? ucap Qirana lemah.

?Waalaikummussalam, ha baru balik? Dah nak Maghrib dah,? jawab Badariah.

?Balik lambat, sebab kerjakan? Mak ni macam tak paham pulak. Hujung tahun ni banyak benda nak kena buat,? jawab Qirana acuh tak acuh. Dalam masa yang sama, sempat juga dia menjeling Irsyad yang sedang duduk menonton televisyen.

Dah tak ada rumah ke jantan ni, sibuk nak menepek dekat sini! Kalau nak diikutkan hatinya, mahu sahaja dia memberi satu tendangan jurus pada belakang badan lelaki itu.

?Eh, Kak Qira baru balik?? Qaisara muncul sambil membawa pinggan berisi nasi dan juga lauk ayam masak merah, lalu dihulurkan kepada kekasihnya Irsyad.

?Kak, lauk dekat peti ais tu banyak dah tak ada. Akak pun tak bagi lagikan duit dapur dekat ayah?? ujar Qaisara, tanpa berfikir apa-apa.

Qirana tidak menghiraukan kata-kata Qaisara. Laju sahaja kakinya melangkah naik ke anak tangga.

Aku bagi duit dapur bukan nak bagi jantan tu makan! Ingat aku ni cop duit gamaknya! Getus Qirana.

?Eh, mak. Kenapa dengan Kak Qira tu? Muka bad mood aje??

?Mana tak bad mood. Runsinglah tu. Pagi tadi makmesej dia. Tapi tak reply sampai ke sudah.?

?Habis tu macam mana ni mak? Sara nak kahwin ni. Nak tunggu berapa lama lagi??

?Kalau tak dapat juga, terpaksalah Irsyad bagi sebentuk cincin dekat Kak Qira.?

?Eh, apahal pulak? Lantaklah langkah bendul ke apa. Daripada bagi cincin dekat Kak Qira, baik bagi Sara aje. Yang Kak Qira tu pun satu, carilah cepat pasangan. Yang jadi mangsa kami berdua ni. Mak pun sibuk dengan langkah bendul tu pulak.? Qaisara berpeluk tubuh saat ini.

?Apa awak ni, cakap macam tu pulak. Tak apalah kalau nak saya bagi cincin dekat Kak Qira,? jawab Irsyad.

?Eh, awak ni dah kenapa tiba-tiba nak bermurah hati pulak? Semalam awak cakap lain, hari ini lain pulak? Jangan nak mengada-ngada ya?? Qaisara memberi amaran.

Irsyad sudah mengenyit mata kepada Qaisara, supaya diam daripada bercakap berlebihan.

?Kamu ni pun Sara, cuba cakap perlahan sikit. Dengar di kakak kamu tu nanti.?

?Lah, yang mak nak takut sangat tu kenapa? Lagipun Kak Qira tu, bukannya anak kandung mak ayah pun. Mak ambil Kak Qira tu pun dari rumah anak yatim. So, kenapa nak fikir pasal langkah bendul pulak??

?Mak ambil Kak Qira, sebab ingatkan mak tak boleh mengandung. Tapi tak sangka pulak, Kak Qira masuk umur 2 tahun, tiba-tiba mengandungkan kamu pulak.?

?Itulah mak, cepat sangat. Kalau tak, Sara ni anak yang sulung tau??

?Sudah Sara! Cakap tu biar elok sikit. Kak Qira tu anak mak jugak. Mak tak nak beza-bezakan kamu dengan dia. Sebab itulah, mak tak nak ada langkah bendul.?

Qaisara mencebik, sambil berpeluk tubuh.

Qirana yang berdiri di tepi tangga telah pun mendengar perbualan mereka bertiga. Sakit pula hatinya saat ini. Sedih? Dia langsung tidak berasa sedih. Lagipun sudah kerap dia mendengar perkataan rumah anak yatim. Hatinya sudah keras. Sikit pun dia tidak terasa hati. Jika hendak langkah bendul sekali pun, dia tidak peduli!

Pintu bilik ditolak, lalu briefcases diletakkan di atas meja. Tubuh direbahkan di atas katil, sambil matanya memandang siling.

Mana aku nak cari calon suami ni? Siapalah yang nak dekat aku ni?

?Ha, kenapa tak reply mesej mak?? Badariah sudah berdiri di muka pintu.

?Malas Qira nak reply. Lagipun, Qira tak tahu nak reply apa.? Qirana bangun dari pembaringan, lalu bersandar pada kepala katil.

?Adik kamu tu nak kahwin. Nak tak nak, kamu kena cari calon suami jugak.?

?Sara tu baru aje habis belajar mak. Dah kenapa tiba-tiba nak kahwin pulak? Dengan kerja pun tak ada. Si Irsyad tu ha, baru kerja tak sampai sebulan, kan? Agak-agaklah. Mana nak datang duitnya??

?Boleh tak kamu jangan banyak soal? Ikut ajelah. Apa yang susah sangat??

?Mak ingat, senang ke nak cari calon suami ni? Kalau nak kahwin sangat, pergi aje kahwin. Tak payah nak ikut sangat langkah bendul tu. Lagipun itukan adat? Dalam Islam pun tak cakap, nak kena kakak kahwin dulu. Kalau dah sampai jodoh adik, dia boleh aje kahwin dulu.?

?Boleh tak Qira jangan nak menjawab cakap mak? Kalau mak kata tak nak langkah bendul, tak naklah. Mak tak nak jiran mengata.?

?Kenapa risau sangat? Lantaklah jiran tu. Ha, kalau macam tu bagi aje cincin dekat Qira. Senang, kalau dah tak sabar sangat.?

?Masalah sekarang ni, Sara tak bagi Irsyad bagi cincin dekat Qira. Itu masalahnya.?

?Ah, sudahlah, malaslah Qira nak fikir. Bukannya wajib pun.?

?Tak pun, Qira bagi duit dekat Irsyad, suruh dia beli cincin untuk Qira? Macam mana??

Qirana sudah mendengus kasar. ?Kenapa pulak Qira nak kena bagi duit? Dahlah mak, Qira penatlah, nak rehat.?

Wajah Badariah mula berubah. Geram pula dengan anak perempuannya yang satu ini. Umur sudah masuk 27 tahun, sampai ke hari ini langsung tidak mahu memikirkan masa depan sendiri.

?Qira dah 27 tahun tau? Berapa lama lagi Qira nak hidup bujang macam ni? Nak tunggu jadi anak dara tua ke? Mak tak nak Sara tu lambat kahwin.?

?Mak ni tak habis-habis dengan Sara. Manjakan sangat Sara tu. Budak tu pun baru umur 25 tahun. Tak tua pun lagi.?

?Mak tak kira. Qira kena cari jugak calon suami! Kalau tidak, biar kami sahaja yang carikan. Suka tak suka, Qira mesti terima!? Badariah terus sahaja melangkah keluar dari bilik.

Qirana mengetap bibir menahan marah. Kenapa maknya suka memaksa!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience