3

Action Series 1619

PENGARAH tertinggi syarikat gergasi Layar Industries, Datuk Zahran baru sahaja duduk di meja pejabatnya. Sumbangannya dalam membangunkan bidang perindustrian di Malaysia telah dianugerahkan dengan darjah kebesaran (Datuk) oleh Yang-di-Pertuan Agong (Kerajaan Persekutuan) semenjak dari usia yang muda lagi. Datuk Zahran menjadi antara individu paling berpengaruh dan kaya di dunia.
Menara induk Layar Industries turut dibina di Pulau Pulaza, Melaka demi mengenang tanah tumpah lahirnya. Sebuah binaan pencakar langit yang tertinggi dalam negeri Melaka itu sendiri.
Setiausaha peribadinya, Natasha mmembawakan secawan kopi panas untuk hidangkan tokoh ternama itu. Gadis muda yang cantik itu tetap mengukirkan senyuman walaupun Datuk Zahran sendiri sedang bermuram. Seperti ada guruh yang datang melanda.
“Kenapa, tuan? Ada masalah ke? Jarang betul tengok tuan tertekan macam ni?” tanya Natasha, prihatin.
“Entahlah. saya sendiri pun tak pasti. Tapi, tak mungkinlah....” keluh Datuk Zahran.
“Kalau tuan tak nak cerita tak apalah. Tetapi saya percaya, tuan dapat selesaikan perkara tu dengan tenang. Itulah yang selalu tuan katakan kepada kami, kan? InsyaALLAH, masalah apa pun akan dapat dihadapi dengan baik,” Natasha menunjukkan dirinya mengambil berat.
“Ya. terima kasih, Natasha. Awak memang pekerja yang baik. InsyALLAH, semoga dipermudahkan. Oh ya, bagaimana dengan perkembangan projek di bawah kendalian Mira? Ada berita baik?” tanya Datuk Zahran untuk mengalihkan topik perbualan.
“Oh yang tu,” ucap Natasha, lalu menekan punat pada alat kawalan. Lantas keluar paparan skrin hologram berwarna biru di ruang pejabat yang besar itu. Ia memaparkan data-data yang sukar difahami. Banyak nombor serta perkataan di samping ilustrasi rajah yang ditayangkan.
Datuk Zahran selaku Pengarah Layar Industries meneliti satu per satu data yang dipamerkan. Dia mengangguk perlahan. Seakan berpuas hati dengan hasil kerja yang dijalankan Mira. Salah seorang pekerjanya yang cemerlang dalam bahagian penyelidikan. Lakaran imej tangan yang bergaris-garis terus diperhatikan sahaja oleh lelaki itu.
“Ini boleh menjadi satu inovasi yang besar nanti. Ramai orang yang tak berkeupayaan dapat dibantu,” kata Datuk Zahran, positif.
“Saya mahu melawat tapak pengujian pada petang ni. Boleh awak uruskan untuk saya?” soal Datuk Zahran.
“Err maafkan saya, tuan. Sepatutnya jadual tuan selepas ini perlu melawat anak saudara tian yang terlantar di hospital. Dia kemalangan jalan raya semalam.” Natasha memaklumkan selepas menyemak jadual kerja peribadi Datuk Zahran di koputernya.
“Oh, ya. Hampir terlupa pulak.” Datuk Zahran baru tersedar mengenai hal itu.
Semalam Melissa ada menghubunginya dan memaklumkan mengenai nahas yang menimpa anaknya, Zaki. Namun kepadatan waktu bekerja menyulitkan beliau untuk keluar melawat. Kebetulan pula, mesyuarat bersama beberapa orang CEO pada petang ini telah dibatalkan dan dia ingin mengguna kesempatan itu untuk menjeguk anak saudaranya di hospital.

Hospital Pulau Pulaza

MAKANAN di atas duang lansung tidak tersentuh. Zaki tiada selera hendak menjamah hidangan hospital yang tidak menepati seleranya itu. Dia banyak menghabiskan masa termenung ke luar jendela. Pandangannya dilepaskan ke arah lautan yang membiru dengan ombak yang menderu tenang. Pintu wad peribadinya serta-merta dibuka, mematikan lamunan Zaki.
Tentu ibu yang datang melawatnya, getus Zaki dalam hati.
Tiada siapa lagi yang datang menziarahi selain ibunya. Bahkan teman wanita yang paling dicintainya juga sehingga kini masih tidak menampakkan bayangnya. Akhirnya timbul rasa rindu kepada ibu yang telah melahirkannya. Seolah-olah baru hari ini tersedar bahawa hanya ibunya sahajalah yang betul-betul menyanyanginya.
“Kenapa ibu lewat sangat? Zaki boringlah,” rumgut Zaki sambil menoleh.
Sebaik mata Zaki memandang ke arah tubuh itu, dia mengeluh halus.
“Mana Melissa?” soal Datuk Zahran sambil mengukirkan senyuman. Buah tangan yang sempat dibeli tadi diletakkan di atas meja pesakit oleh setiausaha peribadinya.
“Ibu tak ada. Dia kata nak datang hari ini, sampai petang masih lagi tak datang,” jelas Zaki sedikit kecewa.
Natasha yang mendengar terpinga-pinga. Seperti apa yang dimaklumkan Zaki itu sedikit mengejutkannya.
“Ke mana ibu kau pergi? Sebab akak sendiri pun tak nampak dia tadi kat syarikat hari ni. Akak ingatkan ibu ambil cuti menjaga kau di hospital,” ujar Natasha.
“Apa ibu tak datang kerja hari ini?” soal Zaki pula, terkejut. Tubuhnya sakit apabila dia cuba bangkit dari katil kerana mahukan kepastian.
“Tak apa. Biar pak cik telefon Melissa,” ujar Datuk Zahran lalu segera menghubungi adik iparnya itu berapa kali.
“Tak angkat? Dia pergi ke mana sebenarnya?” kata Datuk Zahran tanpa mengalihkan telefon bimbit yang diletakkan ke telinganya.
Zaki dia atas katil mula resah. Tidak pernah pula ibunya menghilang tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu. Hatinya mula cemas.
Klik.
Panggilan berjawab. Datuk Zahran memberikan salam sebagai pembuka bicara.
“Helo?”
“Jika mahu Melissa selamat. Patuhi arahanku....” Entah mengapa kedengaran suara seorang lelaki dengan kasar di talian.
“Siapa ni? Jangan nak main-main?” marah Datuk Zahran sehingga Zaki dan Natasha terkejut mendengarnya.
“Aku tahu engkau Zahran. Abang ipar kepada Melissa. Jugak Pengarah Syarikat Layar Industries. Patuhi arahanku, Zahran....” Lelaki itu mengulangi ayat yang sama berbaur ugutan.
“Jangan kau berani apa-apakan Melissa?” tengking Datuk Zahran lalu terus keluar dari bilik pesakit itu dengan langkah tergesa-gesa.
Dalam keadaan terkejut, Natasha mengekori manikannya dan meninggalkan Zaki di situ.
“Apa dah berlaku? Ibu kena culik ke? Hoi! Jangan tinggalkan aku kat sini!” laung Zaki.
Wajahnya berkerut seribu. Dia cuba bangkit mengejar pak ciknya, tetapi kudratnya terbatas. Tiada siapa yang membalas jeritannya membuatkan Zaki terkedu.
“Ya ALLAH. Lindungilah ibuku, ya ALLAH,” rintih Zaki dengan penuh pergantungan kepada ILAHI.
Dia tidak tahu apa yang telah berlaku, tetapi dia berserah kepada TUHAN agar dihindari daripada segala musibah. Peristiwa lampau berlegar dalam benak fikirannya. Kematian bapanya amat merentap ketenangan jiwanya. Cukuplah sekadar itu. Dia tidak mahu ibunya pula menerima nasib yang sama lantaran memori silam itu sangat berbekas dalam kehidupannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience