4

Action Series 1619

MALAM telah pun bertemu. Di sebalik kegelapan ini, tiada siapa yang menduga akan ada kejahatan yang bermaharajalela. Seorang wanita berbangsa Cina diikat pada pergelangan tangannya dengan rantai besi di tiang supaya tidak dapat melarikan diri. Wajahnya kelihatan kusut dan lebam. Barangkali dipukul beberapa kali oleh penculiknya.
Di belakangnya ialah Saiful uang sedang duduk menyilangkan kaki sambil menghisap rokok. Asapnya berkepul-kepul dihembus keluar. Mukhriz dan beberapa orang konconya berlegar untuk berkawal di kawasan gudang lama itu
“Kenapa susah sangat kau nak beritahu aku Melissa? Kat mana kiub tu?” soal Saiful.
“Berapa kali aku nak beritahu. Aku tak tahu apa yang kau katakan!” balas Melissa, jujur dengan nada yang membentak. Tidak faham, apa motif penculikan ini bahkan bukan wang ringgitnya dimahukan.
“Cis!” Saiful bangkit lalu menghampiri Melissa. Tangannya diangkat untuk menampar pipi wanita itu. Kesabarannya terhakis disebabkan keengganan wanita itu bekerjasama.
Hampir sahaja tangannya yang kekar menyentuh kulit putih Melissa, laungan suara daripada Mukhriz telah membejatkan langkah yang seterusnya. Pembantu setianya memberi maklum bahawa sebuah kereta Mercedes hitam sedang memasuki kawasan mereka. Saiful dapat mengagak bahawa itu adalah Datuk Zahran. Lelaki itu merupakan kunci kedua kepada persoalan yang mereka kehendaki.
Melissa tersentak apabila abang iparnya tiba-tiba muncul. Ini mungkin helah penjahat untuk menganiayanya. Melissa masih tidak faham motif sebenar penjenayah ini. Entah kiub apa yang dimaksudkan.
Saiful bergerak ke luar bersama Mukhriz untuk menyambut orang yang berjawatan besar dalam Pulau Pulaza ini.
“Kat mana Melissa?” soal Datuk Zahran sebaik keluar dari kereta.
Banyak lampu yang menyuluh ke arahnya sehingga mata terasa silau dan terpaksa menghadang sinarannya dengan tangan.
“Dia ada. Masih bernyawa lagi. Cuma sekarang aku nak tahu, ada atau tak benda tu?” Saiful memulakan rundingan.
“Apa yang kau mengarut sebenarnya? Kesemua lima kiub tu telah kau rampas pada 13 tahun yang lalu! Mengapa tiba-tiba sahaja kau kembali menuntut benda yang kau sendiri sudah milikinya?” tempik Datuk Zahran.
“Usah bergurau, Zahran! Aku tahu masih ada satu lagi yang tertinggal! Lebih baik kau beritahu sebelum kau dan Melissa terbunuh dengan sia-sia!” tengking Saiful, tidak puas hati.
“Aku cakap benda yang betul. Memang hanya ada lima kiub aje. Dengar sini, dalam beg ni ada RM5 juta untuk kau, jika kau bebaskan kami, semua wang ni akan menjadi milik kau,” ujar Datuk Zahran, cuba membuat rundingan demi keselamatan diri dan adik iparnya.
Mendengar jumlah wang sebanyak itu, Mukhriz menelan air liur. Tergamam kerana tidak percaya. Ia adalah angka yang sangat besar. Bekerja seumur hidup pun belum tentu dapat mengumpul wang sebanyak itu! Gumam Mukhriz dalam hati.
“Apa kata kita perdayakan Zahran dan pukulnya? Paksa dia beritahu di mana kiub keenam itu. Pada masa yang sama, kita ambil wangnya,” bisik Mukhriz, menyatakan pendapatnya.
Saiful mengangguk setuju.
“Okey, jika begitu letak beg tu kat atas lantai!” arah Saiful.
Perlahan-lahan Datuk Zahran menunduk dan meletakkan beg yang mengandungi wang sebanyak RM5 juta ke atas lantai. Matanya tertacap pada jasad Melissa yang begitu lemah tidak bermaya. Semenjak semalam wanita itu diculik. Hatinya meluap marah. Mengapa tidak dia sedarinya lebih awal? Hatinya menyimpul kesimpulan sendiri, pasti Melissa teruk diseksa oleh sekumpulan pengganas yang tidak berhati perut ini!
Kemudian anak matanya melirik memandang anggota bersenjata yang berada dalam lingkungan sepuluh orang itu. Datuk Zahran bangkit dan mengundur setapak.
“Sekarang!” jerit Datuk Zahran pantas.
Tidak semena-mena, beberapa das tembakan dilepaskan. Anggota penjenayah itu renah seorang demi seorang membuakkan darah dari tubuh mereka. Saiful dan Mukhriz dihambat kejutan dan segera berlari untuk melindungi diri di balik kontena. Berdebah! Rupa-rupanya Zahran terlebih dahulu bertindak dengan licik.
Dari segenap sudut, orang upahan Datuk Zahran mengesan musuh yang sedang bersembunyi. Dalam sekelip mata, pertempuran telah pun tercetus. Tembak-menembak saling berbalas dalam situasi yang amat tegang. Pada kesempatan itu, Zahran pantas berlari menyelamatkan Melissa.
“Putuskan rantai ni!” arah Datuk Zahran kepada salah seorang orang upahannya.
“Ayuh Melissa , kita lari dari tempat ni. Natasha dah hubungi polis. Sekejap aje lagi mereka akan datang menyelamatkan kita,” pujuk Zahran setelah rantai tangannya terurai.
Melissa mengangguk dengan linangan air mata yang mencurah-curah. Kejadian ini memberikan tekanan yang menyesakkan relung pernafasannya! Kusut dan serabut!
“Tiada sesiapa yang boleh lari daripada aku!” laung Saiful sekuat hati.
Tanpa memberi peluang kepada orang upahan Datuk Zahran, Saiful melepaskan tembakan dari stinggarnya untuk menghancurkan tubuh lawannya. Zahran pantas memimpin Melissa dan melarikan diri. Sedetik masa berlalu, letupan yang kuat terletus. Api marak akibat letupan dari roket stinggar itu. Pergerakan pula kian terbejat dalam kesakitan yang dialami itu.
“Si celaka tu dah mampus! Sekarang, giliran kamu berdua pulak!” tempik Saiful kuat dengan muka yang bengis, selaku seorang pengganas yang kejam.
Tindakan Datuk Zahran melakukn serangan membarakan kemarahan yang bersarang dalam dirinya. Maka, pembalasan itu merupakan satu tuntutan yang wajib dilakukan! Dia akan membunuh Datuk Zahran dan juga Melissa tanpa peduli lagi mengenai kiub keenam itu.
“Saiful! Kita kena beredar sekarang, polis dah datang!” laung Mukhriz, gelisah.
Nafasnya rerhempas kencang. Saiful sempat mencebik memandang Datuk Zahran. Kemarahanya belum terlunas! Sepucuk pistol semi automatik dikeluarkan lalu menembak Melissa. Matanya terbeliak menanggung kesakitan. Saiful pantas mengundur diri sebelum terjebak dalam kancah pertarungan bersama pihak polis.
“Encik Zahran!” laung Natasha sambil berlari masuk ke dalam gudang itu, tetapi langkahnya menjadi pegun.
Setiausahanya menekup tangan ke mulut kerana terkejut dengan kejadian yang menimpa. Darah membuak keluar dari jasad Melissa. Tiada butir kata yang terluah dari bibir Datuk Zahran lagi. Hanya pilu yang menyarungi jasad. Selepas adik kandungnya maut meninggalkannya pada 13 tahun yang lalu, hari ini adik iparnya pula menerima nasib yang sama. Sadis dan sayu! Sudah pasti, ada seseorang yang lebih terkesan dengan peristiwa yang mewalangkan hati nurani ini.
Zaki meraung dan menangis sekuat hati. Khabar yang didengari amat melukakan perasaanya. Andai dia tahu perkara buruk ini bakal terjadi, tentu dia akan membalas pelukan ibunya kelmarin. Hatinya merintih penuh penyelesalan. Cukup perit dengan tusukan kesengsaraan yang bertubi-tubi. Mahu sahaja dia bangkit dari katil hospital dan melihat jasad ibunya, namun ditegah oleh doktor dan jururawat kerana keadaan tubuhnya yang lemah dan tidak mengizinkan.
“Banyakkan bersabar, Zaki. Kirimkan doa untuk ibu kau. Semoga rohnya tenang disana,” pesan Datuk Zahran dengan tenang dan perlahan walaupun dalam keadaan hiba.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience