7

Action Series 1619

FATEH mengorek tanah dan mengeluarkan sesuatu dari balik timbusannya. Sebatang besi panjang diambil dan diselitkan ke dalam mangga pengunci kurungan untuk dicungkil agar terbuka.
Kemudian satu lagi batang besi deselitkan Zaki ke celah pintu kurungan bagi memberikan lebih tekanan untuk membuka mangga itu dengan cara menyilangkan kedua-dua batang besi itu tadi. Setelah berhempas pulas, mangga itu terpatah dan jatuh ke tanah. Pintu kurungan itu terus terbuka memberi laluan kepada mereka.
“Pak cik boleh melarikan diri sejak dulu lagi, tapi kenapa biarkan diri pak cik terkurung dalam tempat ni?” soal Zaki.
“Aku dah tua. Tak larat melakukannya seorang diri. Sekarang ni, ayuh ikut aku dan jangan banyak cakap. Pintu keluar dari tempat ni tak jauh dari kita,” ajak Fateh, kemudian terus berlari pantas ke hadapan.
“Hoi! Tua-tua pun masih cergas lagi?” Zaki terkejut.
Seorang pengawal yang sedang bertugas tidak menyedari kehadiran mereka. Fateh dengan sepantas kilat menerpa ke arahnya dan memberi hentaman kuat pada belakang badannya. Satu tepukan yang ringan sudah membuatkan pengawal itu jatuh pengsan ke tanah. Aksi itu menambahkan kekaguman pada Zaki terhadapnya.
“Tukar pakaian kau. Kita menyamar keluar dari tempat ini,” arah Fateh
JAUH dari pemerhatian orang di kawasan jeti, sebuah kereta Mercedes hitam muncul dan berhenti di situ. Beberapa orang keluar melindungi Datuk Zahran dengan senjata masing-masing. Dalam situasi gentir ini, bila-bila masa sahaja pihak musuh boleh muncul tanpa diduga. Oleh itu, bersiap siaga adalah cara terbaik untuk lebih peka dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling.
Wajah Datuk Zahran tetap tenang meskipun hatinya sendiri sedang bergelojak. Nasib anak saudaranya, Zaki sering terbayang dalam minda. Mengenangkan bagaimana layanan teruk dan kejam yang terpaksa diterimanya. Hatinya tekad untuk menyelamatkan Zaki walau dengan apa cara sekalipun. Lalu, Datuk Zahran menjerit memanggil penjenayah yang bertanggung jawab dalam kemelut menyesakkan dada ini.
“Usah menjerit sebegitu kuat pada waktu malam begini. Anjing pun boleh terkejut.” Saiful berserta konco-konconya muncul dari balik kegelapan bersama senjata api masing-masing
“Aku bawa apa yang kau mahu. Sekarang, serahkan Zaki kepada aku!” ujar Datuk Zahran.
Saiful mengarahkan Datuk Zahran menunjukkan kepadanya bagi memastikan lelaki itu tidak berbohong. Datuk Zahra tiada pilihan lain. Sebuah beg dikeluarkan lalu isi kandungannya dipamerkan kepada Saiful. Ketua Militan Gelap itu tersenyum sinis. Salah seorang pengikutnya diarahkan supaya mengambil beg itu daripada tangan Datuk Zahran.
“Sekarang kau dah dapat apa yang kau mahu. Mana Zaki?” ucap Datuk Zahran agar Zaki segera dibebaskan.
“Orang-orang aku akan hantar dia pulang pada awal pagi esok. Terima kasih untuk kiub ni, Zahran.” jawab Saiful selamba, kemudian berpaling untuk meninggalkan jeti itu selepas mendapat barang yang dikehendakinya.
Datuk Zahran sudah menduga semua ini akan terjadi. Militan Gelap yang diketuai lelaki bernama Saiful langsung tidak boleh dipercayai! Tiada perkara lain yang boleh dilakukan.
Datuk Zahran hanya mampu melihat sahaja Militan Gelap itu berlalu pergi dengan angkuhnya. Melakukan rundingan bersama Militan Gelap, pengganas yang terkenal kejam di Malaysia ini ternyata merupakan sesuatu yang sia-sia. Mereka licik dan penuh tipu muslihat yang sukar digambarkan pada akal fikiran!
“Teruskan dengan rancangan kita,” kata Datuk Zahran kepada pengikut-pengikutnya.

ANGIN malam yang berhembus begitu menggigit ke tulang sulbi. Zaki hampir hilang upaya untuk terus mengorak langkah ke hadapan. Perjalanan ini sudah terlalu lama dan jauh. Tanpa henti dan rehat. Nafasnya kian mengah apatah lagi perutnya yang semakin berkeroncong lapar dan dahaga. Anehnya, orang tua di hadapannya masih nampak gagah. Tiada terdengar keluhan kesah dari bibirnya sepanjang perjalanan ini.
“Sampai bila kita nak berjalan ni, pak cik?” keluh Zaki, kesabarannya hampir menemui titik penghujung.
“Nak tumpaskan Militan Gelap bukannya mudah. Sebelum tu, aku akan bawa kau ke suatu tempat bagi mempersiapkan diri dengan kekuatan fizikal dan rohani!” jawab Fateh.
“Kat mana tempat tu?” soal Zaki, keliru.
“Negara Djibouti di Afrika Timur Laut,” jawab Fateh spontan.
“Apa?” Zaki terpegun bagai ada paku yang memahat di kaki. Terlalu terkejut dan tidak semena-mena tubuhnya menggeletar.
Apa maksud sebaliknya? Mengapa ini yang harus terjadi? Wajahnya bertukar pucat. Pelbagai perkara berlegar-legar di benak fikiran. Tenaga yang masih berbaki bagai telah direntap dengan kasar sehingga melemahkan akal dan kudratnya sendiri.

“APA maksud kau budak tu dah tiada?” tengking Mukhriz ketika bercakap di corong telefon.
Saiful yang berada di sebelahnya hanya membisu dan merenung tajam. Sesekali tubuhnya terumbang-ambing di dalam kereta ketika melalui jalan yang berbatu itu.
“Berdebah! Aku dah agak tak boleh meletakkan dia dengan orang tua tu,” kata Saiful sambil menggenggam kiub yang yang diambil daripada Datuk Zahran tadi.
“Sekarang bagaimana tuan? Apa kita nak jawab dengan Datuk Zahran?” aju Mukhriz.
“Pedulikan! Aku dah dapat apa yang aku mahu. Budak tu bukan lagi urusan aku. Lagipun, tiada apa yang boleh Zahran lakukan. Ha! Ha! Ha!”, kata Saiful.
Setelah kereta pacuan empat roda mereka berhenti di laluan merah yang sempit, iaitu kawsan masuk ke pangkalan rahsia mereka, tiba-tiba sahaja bunyi yang amat bingit menujah ke anak telinga. Putaran angin ligat membuatkan wajah mereka berkerut seribu. Lalu suluhan lampu dari langit menghala menerangi kenderaan mereka. Beberapa buah helikopter dan kereta polis telah muncul mengejar Saiful serta kumpulannya dari segenap penjuru.
“Bagaimana polis dapat mengesan kita?” soal Mukhriz, mula resah.
“Ni tentu kerja Zahran! Arahkan semua orang menyerang polis-polis tu!” arah Saiful lantas mencapai stinggarnya di belakang.
“Hentikan kenderaan anda, Saiful! Anda telah dikepung! Kami akan melancarkan serangan sekiranya anda tidak mendengar arahan!” jerit pegawai polis itu menggunakan pembesar suara.
Namun Saiful tetap berkeras. Dia memilih untuk berjuang daripada tewas begitu sahaja. Saiful keluar dari tingkap kereta dan menghalakan stinggarnya ke arah helikopter yang berlegar-legar di udara.
Dengan sekali tembakan, roketnya meluru laju dan menghempas badan kenderaan berkipas itu. Lalu letupan yang besar meletus. Isi badannya bersepai dalam kebakaran yang menyayat hati. Maka, anggota polis yang lain terpaksa mengambil tindakan. Serangan balas mula bertali arus.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience