"Ana ikut pakcik ya hari ini?" Suara pakcik kedengaran tidak kasar dan garang seperti selalu.
Aku hanya mengangguk. Aku tidak mahu membantah. Mungkin ini peluangnya untuk aku berbaik dengan pakcik? Bolehlah aku merasa kasih sayang seorang ayah. Sudah lama aku tidak merasakannya. Ayah kandungku pergi saat usiaku baru mencecah 7 tahun. Ayah sangat sayangkan aku walaupun aku tidak sempurna seperti anak-anak lain.
"Hendak dibawa kemana si Ana tu, bang?" Soal Ibu. Pandangan aku dan ibu bersatu.
"Ke laut. Boleh dia belajar. Terperuk saja di rumah, dapat apa?" Jawab pakcik.
Aku hanya menjadi pendengar. Nasi lemak buatan ibu sudah separuh aku habiskan. Sambal tumis ikan bilis memang membangkitkan seleraku. Suapanku terhenti apabila pakcik sudah bangun dan mengajakku segera ke lautan.
Aku tidak membantah secara lisan tetapi hatiku sedikit merungut. Sudahlah nasi lemak belum habis dijamah, air milo panas pun tidak sempat kuhirup.
Cuaca pagi itu tenang sekali. Setenang hatiku. Dayungan sampan pakcik akhirnya sampai di tempat yang dituju. Jala yang terbiar dari tadi kucapai dan aku betulkan simpulannya lalu kulempar ke dalam laut. Aku menanti dengan sabar. Jala itu semakin lama semakin tenggelam.
'Harap-harap dapat banyak tangkapan hari ni.' Doaku dalam hati.
Sedang aku leka memerhati jala yang barusan aku lemparkan, dengan tiba-tiba tubuh ku terasa ditolak. Aku tercebur dalam air laut. Tercungap-cungap aku mencari nafas. Aku cuba melonjakkan diriku ke arah sampan pakcik yang teroleng-oleng itu tetapi hampa. Sisi perahu kayu itu hanya sempat kutepuk dari luar dan aku semakin ditelan ke dalam gelora lautan ini.
Kulihat pakcik tertawa terbahak-bahak pabila melihat aku terkapai-kapai kelemasan. Fizikalku yang lemah membuatkan aku tidak dapat bertahan lama.
Share this novel